KERTAS KERJA KAJIAN SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN (MTT2353)

KERUNTUHAN AKHLAK DAN SALAH LAKU PELAJAR

 

PENGENALAN

Institusi Pendidikan sememangnya merupakan penggerak utama ke arah pembentukan awal minda masyarakat. Status guru dan peranannya tidak dapat dinafikan dapat membentuk masyarakat ke arah kewujudan tamadun manusia yang lebih gemilang. Namun begitu, apa yang dapat dilihat institusi perguruan tidak lagi dihormati dan dipandang sebagai institusi yang dapat memberikan kesan yang positif. Kepincangan demi kepincangan hadir dalam melaksanakan tanggungjawab untuk mendidik masyarakat yang seimbang dari segi mental dan rohani. Malah masalah sosial yang melanda pelajar-pelajar kita hari ini semakin dirasa dengan peningkatan kes yang melibatkan pihak polis. Apabila kita digemparkan dengan "kemajuan" gejala-gejala sosial ini masyarakat kita akan cepat merasa gusar dan kecewa malah ada yang menunding jari kepada orang lain, kumpulan tertentu sebagai yang bersalah.

Walaupun terdapat pelbagai tanggapan masyarakat terhadap status mulia ini tetapi tidak adil sekiranya semua kekurangan itu diletakkan atas bahu pendidik. Walaupun kekurangan sememangnya wujud, usaha sepatutnya dilakukan demi mengembalikan kemuliaan status tersebut.

Jika dahulu status guru begitu disanjung tinggi sehingga masih berkekalan panggilan "cikgu" walaupun seorang guru telah bersara. Keadaan ini menunjukkan bahawa jasa seorang guru begitu besar sehingga dikenang selamanya. Berbeza dengan hari ini status guru tidak lagi dipandang mulia malah setengahnya pula menjadi sasaran sebagai tempat memikul segala kesalahan.

JENIS-JENIS KERUNTUHAN AKHLAK DAN KEMEROSOTAN DISIPLIN DI KALANGAN PELAJAR

Keruntuhan akhlak dan kemerosotan disiplin pelajar boleh dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu salah laku dan jenayah yang dilakukan oleh pelajar.

Salah Laku Pelajar Di Sekolah

Kajian yang dilakukan oleh T. Subahan Mohd. Meerah et.al. di dalam artikel yang bertajuk Masalah Disiplin Pelajar dan Penyelesaian oleh Mohd Tajudin (1995) ke atas 20 orang guru pelatih yang pernah membuat latihan mengajar bagi sesi persekolahan 1987/1988 di beberapa buah sekolah menengah juga menunjukkan jenis salah laku yang dilakukan oleh pelajar iaitu:

Ponteng

Dalam kategori ini, salah laku ponteng sekolah ialah 50%, ponteng kelas 40 %, dan kerap keluar kelas 25%.

Tidak Patuh Arahan

Kategori ini mencakupi salah laku seperti tidak memberi perhatian terhadap pelajaran sebanyak 30%, tidak membuat kerja rumah sebanyak 25%, tidak membawa buku sebanyak 10%, tidur dalam kelas sebanyak 10% dan tidak boleh mengikuti pelajaran yang diajar sebanyak 5%.

 

Ganguan Pengajaran

Kategori ini, antara jenis-jenisnya ialah buat bising (30%), merosakkan alat bantu mengajar (20%), mengganggu kawan semasa proses pengajaran guru (15%) dan mempertikaikan pengajaran guru (10%).

Tidak Sopan

Dalam kategori salah laku tidak sopan ini ialah berpakaian tidak kemas (25%), bercakap kasar dengan guru (25%).

Kes Jenayah Remaja

Pandangan golongan radikal terhadap kelemahan fungsi sekolah ini menyebabkan sekolah dikritik dan dilabelkan sebagai punca pembiakan delinkuensi dalam masyarakat. Pelbagai masalah juvanalisme atau jenayah yang dilakukan oleh golongan remaja di sekolah seperti menjadi samseng, menyertai geng motosikal, memeras ugut, menumbuk guru, menjahanamkan harta sekolah, mencuri, menipu, merogol, berjudi dan memabuk mencerminkan kelemahan institusi sekolah sebagai mekanisme pengawalan sosial remaja. Dari satu segi yang lain, meningkatnya pelbagai gejala sosial dan jenaya remaja ini menggambarkan satu manisfestasi krisis dan keruntuhan moral yang tinggi dalam masyarakat. Jenayah remaja adalah produk sosial dan produk budaya masyarakat keseluruhannya. Jadual di bawah menunjukkan kes-kes jenyah yang telah berlaku:

 

Jadual 1

Perbandingan Jumlah Tangkapan Membabitkan Pelajar Melayu dengan Bangsa Lain

Tahun

1994

1995

1996

Melayu

1862

2402

2890

Bangsa Lain

1385

1790

1711

Jumlah Tangkapan

3247

4192

4601

Jadual 2

Kes-kes Jenayah dan Jumlah Tangkapan

Kes Jenayah

Jumlah Tangkapan

Bunuh

22

Curi Kenderaan

526

Samun Malam

370

Curi Harta

351

Lain-lain Curi

318

Lain-lain Jenayah

315

Dadah

134

Pecah Rumah

131

Rogol, Senjata api dan rompak

>100

*Daripada jumlah perangkaan 2,831 terdiri daripada remaja lelaki dan 59 perempuan

Sumber: Majalah Massa pada 8 Mac 1997(m.s. 57)

RASIONALNYA KERUNTUHAN AKHLAK DAN KEMEROSOTAN DISIPLIN PELAJAR BERPUNCA DARI GURU

Disiplin adalah asas utama mekanisme pengawalan sekolah. Disiplin sekolah biasanya diasaskan kepada etika, nilai, akhlak dan standard tingkah laku yang mulia. Bagi mencorakkan disiplin sekolah yang berkesan, semua guru harus menunjukkan komitmen dan diberi tanggungjawab bagi menguatkuasakan disiplin. Kelemahan yang jelas di sekolah yang menjadi punca keruntuhan akhlak dan kemerosotan disiplin berleluasa di kalangan pelajar ialah guru-guru tidak diberi kuasa bertindak mempertahankan disiplin. Disiplin sekolah secara rasminya adalah menjadi tanggungjawab guru disiplin, guru besar dan guru penolong kanan. Keadaan ini menyebabkan sebilangan besar guru-guru di sekolah mengambil sikap lepas tangan dan tidak menunjukkan komitmen bagi menangani masalah disiplin yang dilakukan oleh murid-murid samada di sekolah mahupun di luar sekolah. Murid-murid yang nakal dan suka melanggar disiplin menjadi lebih berani dan bebas melakukan perbuatan yang melanggar peraturan dan undang-undang kerana mereka tahu guru-guru tidak mempunyai kuasa yang boleh dilakukan ke atas mereka. Malah dalam keadaan tertentu, murid-murid ini dengan berani mencabar kewibawaan guru yang mereka tidak sukai.

Bagi setengah-setengah guru yang merasa keselamatan mereka terancam akan mengambil sikap tidak peduli dan membiarkan sahaja apa yang dilakukan oleh murid-murid yang bermasalah ini. Masyarakat guru terpaksa membodohkan diri mereka sendiri, membutakan mata, membisukan suara dan membenamkan rasa kekecewaan mereka sebagai golongan pendidik yang dayus dan tidak berwibawa.

Jika dahulu guru amat mementingkan nilai kasih sayang dalam mendidik para pelajar tetapi hari ini nilai kasih sayang sebegini jarang benar dapat dilihat dan setengahnya langsung hilang disebabkan kepentingan yang bersifat material.

Menurut Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dalam akhbar Utusan Melaysia yang bertajuk Bukan Salah Sistem PM: Kelemahan Penyampaian Mata Pelajaran Punca Gejala Sosial (1997) menegur sikap sesetengah guru yang tidak memberi pengajaran menyeluruh kepada murid, sebaliknya hanya menumpukan perhatian mengajar mata pelajaran yang ditugaskan kepada mereka. Sehubungan dengan itu, menurut Perdana Menteri, sistem pendidikan tidak boleh dipersalahkan tetapi sikap guru yang hanya sekadar menyampaikan maklumat mengenai mata pelajaran yang dipertanggungjawabkan ke atasnya sahaja perlu diperbetulkan.

Di samping itu, ketidakseimbangan nisbah guru wanita dan lelaki yang kian meruncing di sekolah rendah dan menengah telah menimbulkan isu di mana guru wanita telah menyebabkan disiplin pelajar kian merosot. Sifat wanita yang lemah-lembut telah menjadi isu di mana pelajar tidak takut kepada guru wanita. Dalam artikel yang bertajuk Disiplin: Jangan Prejudis Guru Wanita (1997) telah menyatakan kata-kata Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pengetua Sekolah-sekolah Menengah Malaysia (PKPSM), Saleha Othman tentang ketidakseimbangan bilangan guru lelaki dan wanita yang kian ketara bukan disebabkan Kementerian Pendidikan memberikan lebih tempat kepada guru wanita, tetapi kekurangan golongan lelaki yang memohonnya. Dalam artikel yang sama juga menerangkan kenyataan Siva Subramaniam iaitu kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan 280,000 tenaga pengajar tempatan adalah wanita.

Walau bagaimanapun adakah semua tindakan disiplin hanya boleh dilakukan dengan tindakan yang keras seperti yang terkenal dengan merotan atau mana-mana tindakan keras disiplin yang lain. Masyarakat merasa bimbang kerana guru lelaki lebih berkemampuan mengambil tindakan tegas dan ‘keras’ berbanding guru wanita. Guru disiplin boleh mendisiplinkan pelajar dengan menggunakan kelembutan seperti menggunakan pendekatan psikologi dan kaunseling serta mengenal pasti punca permasalahan yang sebenar.

FAKTOR-FAKTOR LAIN YANG MENDORONG KE ARAH KERUNTUHAN AKHLAK DAN KEMEROSOTAN DISIPLIN PELAJAR

Masalah sosial dan jenayah yang membabitkan murid sekolah semakin meningkat dan membimbangkan kerana sekolah merupakan institusi sosial semakin renggang hubungannya dengan masyarakat setempat. Banyak masalah murid dan masalah masyarakat dengan sekolah khususnya yang bersabit dengan hal-hal peribadi murid dan hal pendidikan masyarakat setempat tidak dapat ditangani dengan berkesan oleh sekolah. Pengasingan sekolah daripada masyarakat semakin menjadi-jadi berikutan daripada tindakan yang diambil oleh pihak sekolah menguatkuasakan perintah dan amaran-amaran keras yang dikenakan oleh pihak sekolah terhadap ibu bapa yang dianggap sebagai penceroboh kawasan sekolah. Hubungan yang terlampau formal yang dikuatkuasakan oleh pengetua atau guru besar di setengah-setengah sekolah menjadikan sekolah seolah-olah satu institusi sosial yang rigid. Ini menyebabkan banyak konflik dan masalah yang timbul di antara pihak sekolah, murid, ibu bapa, dan masyarakat setempat dengan sekolah tidak dapat diselesaikan dengan berkesan. Dalam banyak hal, masyarakat setempat tidak dapat bekerjasama dengan pihak sekolah bagi membanteras sebarang bentuk gejala sosial dan jenayah yang berlaku samada di dalam sekolah mahupun di luar sekolah.

Faktor Sosial

Faktor Ibu bapa

Dalam faktor sosial, peranan ibu bapa amat penting dalam mendidik anak-anak. Kebanyakan ibu bapa bekerja kerana wujudnya perubahan sosial hari ini. Ada kalanya mereka terlalu mementingkan pekerjaan daripada memberi perhatian kepada anak-anak. Mereka cuba memuaskan hati anak-anak dengan hanya memberikan keselesaan dan kemewahan kebendaan tanpa kasih sayang dan masa untuk bersama-sama anak-anak. Mereka lupa bahawa anak-anak juga memerlukan perhatian untuk mendapat maklumat dalam kehidupan seharian. Dari situ anak-anak akan terasa terbiar tanpa kasih sayang dan jagaan yang sempurna. Mereka bercampur dengan rakan sebaya yang bermasalah dan akhirnya menimbulkan masalah disiplin pada pihak sekolah.

Ada juga ibu bapa yang tidak menghiraukan anak-anak mereka walaupun pihak sekolah ada memberitahu mereka tentang masalah disiplin anak-anak di sekolah. Anak-anak ini mengambil peluang dari sikap acuh tidak acuh ibu bapa mereka untuk bertindak lebih buruk lagi di dalam dan luar sekolah. Akhirnya mungkin pihak polis terpaksa campur tangan dalam hal ini. Jadi, adalah tidak tepat jika meletakkan masalah disiplin di bahu guru sahaja sedangkan pihak ibu bapa cuma melepaskan tangan dalam hal ini.

Kajian yang dibuat oleh Nabil dalam artikel Mohd. Tajudin (1995) yang berkaitan dengan faktor keluarga menyimpulkan beberapa perkara yang tidak dititikberatkan oleh ibu bapa iaitu:

Ibu bapa adalah orang yang bertanggungjawab untuk mencorakkan anak mereka. Guru hanya dapat meluangkan masa selama lima atau tujuh jam seminggu. Mereka juga terpaksa mengawasi sebuah bilik darjah yang sesak yang mana kadang kala terdapat 40 hingga 50 pelajar dalam sebuah kelas. Ini menyebabkan guru tidak dapat membuat perhubungan interpersonal dengan setiap pelajar di dalam kelas itu.

Terdapat ibu bapa yang terlalu manjakan anak mereka sehinggakan tidak dapat membezakan betul atau salah. Ibu bapa lebih senang mengunjungi sekolah apabila mendengar cerita anak mereka dirotan oleh guru. Sebilangan besar daripada golongan ini datang ke sekolah seolah-olah guru yang bersalah dan bukan anak mereka yang bersalah. Sikap seumpama ini lebih merupakan salah-menyalahi antara satu sama lain tetapi bukan cara untuk menyelesaikan masalah bersama di mana ini akan merumitkan lagi masalah pelajar tersebut. Jika anak mereka tidak dapat membezakan baik dan buruk, jadi ibu bapa sepatutnya membimbing anak mereka dan bukannya menambahkan lagi kesalahan anak mereka.

Berdasarkan pemerhatian, ibu bapa yang berstatus rendah di sekolah luar bandar lebih meredhai tindakan guru kerana mereka memikirkan bahawa tanggungjawab seseorang guru bukan sahaja menyampaikan ilmu, tetapi juga mencorakkan anak mereka agar lebih bertanggungjawab dan berhemah tinggi. Manakala ibu bapa yang berstatus agak tinggi sering sahaja mempersoalkan tindakan guru kerana anak mereka terlalu dimanjakan di rumah. Mereka lebih cenderung memberi alasan bahawa anak mereka tidak pernah dipukul di rumah. Mereka sepatutnya menyedari tanggungjawab yang berat harus dipikul kerana ibu bapa hanya mengawal beberapa orang atau seorang anak di rumah malah guru perlu menjaga 40 orang pelajar di setiap kelas. Tambahan pula, terdapat ramai guru muda yang tidak mempunyai pengalaman mendidik anak-anak mereka di mana ibu bapa sendiri yang lebih memahami sikap anak mereka.

Kurang Didikan Agama

Sebahagian besar dari pelajar yang menghadapi masalah disiplin terdiri daripada pelajar yang mempunyai latarbelakang keluarga yang kurang didikan agama. Ibu bapa mereka sendiri tidak mengamalkan suruhan agama, bercakap dengan anak-anak dengan bahasa yang kasar dan kesat, selalu bertengkar serta tidak mengamalkan tingkahlaku yang sihat adalah menjadi contoh kepada anak-anak mereka. Anak-anak ini membawa sikap itu ke sekolah dan bercakap serta bertindak ganas dengan rakan sebaya. Keadaan ini boleh menimbulkan masalah disiplin di sekolah.

Pengaruh Budaya Barat

Wujudnya budaya kuning barat seperti rap, rockers, budaya lepak, penyalahgunaan dadah dan sebagainya yang menjadi ikutan pelajar secara membuta tuli tanpa memikirkan akibatnya.

Pengaruh Media Massa

Pengaruh media massa seperti radio, televisyen, video, pawagam, majalah, akhbar dan sebagainya, secara tidak langsung memberi ilmu pengetahuan dan tidak ketinggalan memberi kesan negatif.

Pengaruh artis

Pengaruh dari artis tempatan mahupun dari luar negara turut memainkan peranan dalam masalah sosial ini. Semua perbuatan dan cara berpakaian cuba diikuti oleh peminat-pinat mereka yang mana rata-rata mereka ini terdiri dari para remaja. Merka terlalu meminati artis tersebut dan meletakkan artis sebagai idola mereka.

Faktor Sekolah

Pihak sekolah ada kalanya bertindak sendirian sesuka hati tanpa melibatkan ibu bapa, khususnya yang menyentuh masalah yang ditimbulkan oleh murid di sekolah mahupun di luar sekolah. Pihak sekolah harus menyedari, masyarakat setempat adalah satu aset yang boleh dijadikan rakan kongsi yang berkesan untuk membantu pihak sekolah dalam menangani semua masalah yang berlaku, khususnya bagi membanteras masalah sosial dan jenayah di kalangan pelajar sekolah.

Mata pelajaran yang diajar di sekolah terlalu padat dan membebankan pelajar. Keadaan ini menyebabkan mereka tidak dapat menyiapkan tugasan mereka dan ini akan mengakibatkan pelajar tidak berminat dengan guru atau mata pelajaran tersebut.

Penyampaian guru yang membosankan menyebabkan mereka ponteng sekolah. Pelajar turut beranggapan bahawa peperiksaan tidak dapat mengukur kebolehan mereka dan mereka ini lebih berminat kepada kemahiran amali.

Dapatan dari kajian yang dibuat oleh Rafiah dalam artikel Mohd. Tajudin (1995) mendapati bahawa salah satu faktor sekolah yang menyebabkan keruntuhan akhlak dan kemerosotan disiplin adalah berpunca dari guru disiplin yang terlalu bersikap tegas dan keterlaluan dalam menjatuhkan hukuman ke atas pelajar tanpa melihat latar belakang keluarga dan sebab pelajar melakukan perkara tersebut.

Faktor Rakan Sebaya

Pelajar menganggap peraturan atau undang-undang sekolah sebagai sesuatu yang remeh dan tidak perlu dipatuhi. Mereka akan membentuk kumpulan mereka sendiri dan mengadakan peraturan tertentu dan ahli kumpulan perlulah mematuhinya. Di sini mula timbul masalah disiplin seperti peras ugut, pergaduhan, hisap rokok dan sebagainya. Biasanya apabila ahli kumpulan mereka dipukul mereka akan membalas balik secara berkumpulan.

Faktor Diri Sendiri

Satu lagi faktor yang menyebabkan masalah disiplin menjadi semakin serius adalah kerana sikap pelajar itu sendiri. Mereka lebih suka bersuka ria dari mengulangkaji di rumah. Permainan-permainan seperti video game, computer games dan sebagainya menyebabkan mereka leka dan mengabaikan pelajaran mereka.

Faktor Falsafah Pembangunan Negara

Kalau diperhatikan falsafah dan model pembangunan negara kita sendiri pada hari ini kurang mendapat perhatian dalam mana-mana perbincangan tentang penyakit sosial ini. Inilah sebenarnya akar tunjang kepada masalah-masalah kemanusiaan yang gawat kita hadapi kini. Menurut Idris Zakaria (1997), falsafah pembangunan yang didominasikan oleh falsafah liberal kapitalis di mana soal kemajuan material dan keuntungan kewangan menjadi titik hitung paling utama. Kemudian fahaman pragmatis pula turut menyokong keseluruhan agenda-agenda pembangunan tersebut.

Falsafah pembangunan jenis ini berasal dari barat dan apabila negara dan masyarakat kita berasas dan beracuankan barat, walaupun ada sedikit pengubahsuaian maka hasil dan kesannya adalah sama seperti yang berlaku di barat. Masyarakat Barat yang selalu dilanda gejala negatif sosial ini, muda-mudi yang jemu terhadap agama dan adab susila sebaliknya menyukai heroin, ganja, budaya disco, perjudian, arak, pelacuran yang diterima sebagai satu pekerjaan, HIV dan AIDS adalah lumrah, rukun hidup berkeluarga semakin terhakis dan manusia hanya menjadi alat pembangunan. Oleh yang demikian kita semua adalah bertanggungjawab untuk menangani masalah sosial ini. Adalah tidak adil jika ditumpukan pembaikkan hanya kepada para guru sahaja sebab segigih manapun tanggungjawab mereka tunaikan, tetapi persekitaran sosialnya dalam banyak bidang menyajikan banyak yang bertentangan, generasi kita akan hilang arah juga. Titik tumpuan terbesar adalah orang-orang yang mempunyai kuasa dan orang-orang yang kita letakkan harapan rakyat untuk sedia membuat perbaikkan falsafah pembangunan. Jika mereka tidak bersedia membuat perubahan, negara kita akan terus dilingkari penyakit sosial sepanjang zaman.

 

 

IMPLIKASI KERUNTUHAN AKHLAK DAN KEMEROSOTAN DISIPLIN TERHADAP PENDIDIKAN DI MALAYSIA

Sebagaimana yang kita ketahui sekolah merupakan institusi untuk memberi pendidikan kepada pelajar bukan sahaja dari segi akademik, malah pelajar juga diasuh mengenai tingkah laku yang sempurna dan diajar mengenai disiplin diri. Oleh yang demikian penekanan terhadap pentingnya perasaan rasa tanggungjawab pelajar kepada negara amatlah perlu untuk menghindari pelajar-pelajar daripada gejala sosial. Kalaulah pelajar membiarkan diri mereka terbabit dengan masalah sosial sudah tentu negara kita tidak akan aman dan mereka akan menjadi mangsa gejala sosial di zaman mereka.

Kalau dilihat dari satu sudut, tidak dinafikan wujudnya negara yang kadar sosialnya tinggi tetapi masih mampu melahirkan golongan bijak pandai. Namun mahukah kita melahirkan cendekiawan yang terus dilingkari penyakit sosial sepanjang zaman? Sedangkan merekalah orang harapan untuk menjadi pemimpin yang bakal menerajui negara. Sekiranya pemimpin masyarakat jelek akhlak, cacat peribadi, dan rendah moral, sudah pasti rakyat akan memandang sinis usaha membina masyarakat yang berakhlak. Memandangkan tanpa moral, kepimpinan akan hilang wibawanya, jadi walaupun kriteria akhlak dan moral adalah subjektif, ianya harus diambil kira dalam memilih pemimpin-pemimpin masyarakat. Ini adalah kerana pelajar-pelajar hari inilah yang akan menerajui kepimpinan akan datang.

Keruntuhan akhlak dan kemerosotan disiplin juga mampu memberi pelbagai implikasi terhadap sekolah dan institusi pendidikan di Malaysia. Apabila pelajar telah pandai mencabar kewibawaan guru, keselamatan guru sudah tidak terjamin, berleluasanya kes-kes jenayah dan masalah sosial pelajar maka wujudlah tanggapan yang negatif terhadap institusi pendidikan tersebut dari pelbagai pihak. Maka peluang-peluang menyambung pelajaran, pekerjaan dan lain-lain yang menguntungkan mungkin akan diketepikan. Keadaan ini amatlah tidak adil bagi sebahagian pelajar yang memang mempunyai pencapaian akademik dan moral yang baik.

CARA-CARA UNTUK MENGATASI MASALAH TERSEBUT

Peranan Sekolah Secara Keseluruhan

Dalam konteks menangani keruntuhan akhlak dan kemerosotan disiplin beberapa inisiatif telah dilakukan oleh pelbagai pihak khususnya pihak sekolah. Antar usaha-usahanya ialah:

Peranan Guru Disiplin

Disiplin sekolah secara rasminya adalah menjadi tanggungjawab guru disiplin, guru besar dan guru penolong kanan. Dalam artikel yang bertajuk Guru Disiplin Jadi Penguat Kuasa menyatakan guru-guru disiplin di sekolah akan dilantik sebagai pegawai penguatkuasa bagi menguatkuasakan peraturan melarang golongan remaja bawah umur 18 tahun (pelajar-pelajar) daripada melanggar undang-undang. Dengan adanya kerjasama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan, maka kekuatan yang ada pada seseorang guru disiplin boleh ditambah. Ini sedikit sebanyak telah menakutkan pelajar di sekolah kerana pelajar-pelajar yang nakal di sekolah menganggap guru disiplin hanya dapat mengawal mereka sekadar di kawasan sekolah sahaja tetapi tidak jika mereka berada di kawasan luar dari sekolah. Ini yang menyebabkan mereka suka ponteng sekolah kerana tiada siapa boleh menangkap mereka jika mereka merokok di luar kawasan sekolah. Beliau juga menambah bahawa kajian statistik yang dibuat menunjukkan jumlah penagih dadah yang memulakan tabiat ketagihan mereka dengan menghidap rokok adalah sangat tinggi. Walaupun, ibubapa juga turut terlibat dalam memberi teladan yang baik dalam mengamalkan tabiat buruk ini - merokok.

Dalam artikel yang bertajuk Disiplin: Jangan Prejudis Guru Wanita juga (1997) menyatakan cadangan kerajaan untuk mewujudkan kuasa polis tambahan (AP) kepada guru disiplin adalah salah satu cara yang dibuat untuk menangani masalah disiplin pelajar. Sebelum ini juga terdapat kerjasama secara tidak rasmi dimana pihak sekolah dengan pihak polis. Walau bagaimanapun, dalam artikel yang sama di mana bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Tan Sri, Ainuddin Abdul Wahid juga mencadangkan semua guru dilantik menjadi guru disiplin supaya turut terlibat dalam menjaga dan mengawal disiplin. Cadangan ini meletakkan tanggungjawab pembentukan sahsiah pelajar di atas bahu semua guru supaya tiada guru yang boleh terlepas dari masalah disiplin pelajar.

Peranan guru besar

Guru besar sekolah seharusnya bekerjasama dengan pihak polis dalam membanteras masalah disiplin dan bukanya menyembunyikan samseng kerana masalah ini akan menular kepada pelajar-pelajar yang lain. Guru itu harus bertindak dengan cepat dan tepat. Jika tidak penyakit samseng akan menjadi lebih lerus.

Program pembimbing Rakan Sebaya

Program ini bertujuan untuk menggalakkan rakan sebaya membantu teman mereka yang bermasalah. Orang yang paling dekat dengan remaja selain daripada kedua ibu bapanya ialah rakan remaja itu sendiri. Kaunseling rakan sebaya ini harus diwujudkan sambil mengenalpasti siapakah sasarannya. Remaja yang kebiasaanya menjadi ketua atau dianggap sebagai ketua harus didekati dan diberi bimbingan kerana dengan cara ini ketua remaja tersebut akan menyampaikannya kepada kumpulannya dan cuba pula untuk mempengaruhi mereka. Cara ini dianggap lebih mudah dan lebih berkesan daripada menghimpunkan semua remaja untuk diberi bimbingan kaunseling.

Sistem Mentor-Mentee

Di samping berperanan sebagai pengajar, guru juga diberi peranan sebagai ibu angkat atau bapa angkat kepada para pelajar supaya mereka dapat mengenalpasti masalah pelajar.

Sekolah Penyayang

Melalui pendekatan ini , guru diminta bersikap kasih sayang terhadap pelajar dan berpegang kepada prinsip bahawa setiap pelajar boleh diajar dan mahu belajar-mengutamakan nilai-nilai kemanusian serta menghormati harga diri pelajar sebagai individu.

Perhimpunan Sekolah

Menaikkan bendera Malaysia dan negeri, lafaz Rukun Negara, penyampaian amanat, pesanan serta nasihat daripada pengetua, guru besar dan pemeriksaan rambut dan pakaian.

Perkhemahan Bimbingan dan Kaunseling

Perkhidmatan bimbingan dan kauseling juga disediakan di sekolah untuk pembentukan dan peningkatan disiplin di kalangan pelajar. Hal ini dilaksanakan melalui pelbagai program dan aktiviti. Antaranya ialah sesi bimbingan dan kaunseling peribadi, sosial dan penyalahgunaan najis dadah, pendidikan dan kerjaya, kaunseling Rakan Sebaya, Kem Jaya Diri, Motivasi dan Ceramah Bimbingan.

Perkhemahan Integrasi Ketua Murid

Melalui perkhemahan ini, kursus diadakan untuk membina kepimpinan yang berkualiti, progresif, bersikap positif, menerapkan nilai-nilai murni, mengeratkan perpaduan dan menghapuskan prasangka.

Kempen

Kempen ini termasuk kempen kebersihan, anti merokok dan bersopan santun. Selain itu, Kempen Pencegahan Dadah dan AIDS yang bertujuan untuk mencapai drugfree school dan zero involvement di kalangan pelajar harus juga diadakan.

Pendekatan Bersepadu

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). PIBG diwujudkan dengan tujuan untuk mengadakan forum dan perkhidmatan bagi kebajikan dan kemajuan pelajar. Ia juga sebagai usaha membantu dan menambah usaha bagi memenuhi kehendak dan keperluan pelajar dalam kegiatan mereka serta mewujudkan majlis perundingan antara ibu bapa dengan penjaga bagi mempertingkatkan taraf pendidikan anak-anak mereka.

Briged Komuniti. Briged Komuniti ditubuhkan di peringkat kebangsaan, negeri, daerah dan sekolah yang bertujuan untuk membantu pihak sekolah dalam usaha mencegah dan menyelesaikan masalah disiplin. Briged ini juga bertujuan untuk menyedarkan masyarakat, khususnya ibu bapa agar tidak menyerahkan tanggungjawab menjaga disiplin anak-anak mereka kepada pihak sekolah saja. Melalui Briged Komuniti ini perkara-perkara yang boleh menimbulkan salah faham antara pihak ibu bapa/penjaga dengan pihak sekolah ke atas pelajar yang bersalah laku dapat dikurangkan.

Bimbingan dan Hukuman. Pendekatan ini dilaksanakan secara memberi nasihat (55%), berjumpa dengan pelajar salah laku di luar kelas (30%), mengkaji punca salah laku pelajar untuk mencari jalan penyelesaian (10%), menghantar kepada guru bimbingan untuk bimbingan dan kaunseling (10%) dan menghantar kepada guru besar (5%).

Strategi Pengajaran. Strategi ini dilaksanakan melalui usaha untuk meningkatkan penglibatan murid semasa pengajaran (15%) dan mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran (10%).

Interaksi. Cara ini dilakukan dengan merapatkan diri dengan para pelajar dengan berbincang (30%) dengan mereka. Dalam keadaan ini, setiap guru perlu menganggap diri mereka sebagai teman, fasilitator dan kaunselor kepada pelajar. Justeru itu sistem hubungan dua hala antara guru dan pelajar boleh diwujudkan di sekolah-sekolah yang bukan sekadar melibatkan masalah akademik tetapi juga masalah peribadi pelajar untuk membolehkan pihak sekolah mengesan gejala yang tidak sihat di peringkat awal sebelum mereka benar-benar terjebak dalam kes-kes yang tidak diingini.

Denda. Pendekatan ini dilakukan melalui menyuruh pelajar berdiri di dalam kelas (45%), memberi kerja tambahan (10%), merotan (10%), memulau murid yang melakukan salah laku (5%) dan mengertak (5%).

Peranan Ibu Bapa

Ibu bapa harus bersikap lebih terbuka dan tidak seharusnya terlalu memanjakan dan mementingkan kehendak anak mereka. Matlamat dan wawasan pendidikan yang mengharapkan keseimbangan insan dari segi kerohanian, jasmani, emosi dan intelek akan tercapai hanya sekiranya masalah disiplin ini menjadi agenda bersama ibu bapa dan pihak sekolah tanpa sebarang sekatan. Apabila anak mengadu kepada ibu bapa guru memukul atau menghukumnya, ibu bapa harus menghubungi pihak guru dengan cara yang sopan dan memperbetulkan kesalahan anak mereka melalui nasihat dan cara-cara yang lebih berkesan.

Ibu bapa harus mengukuhkan institusi keluarga kerana ia merupakan tulang belakang sistem moral masyarakat. Jadi kita harus mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk membina sistem keluarga yang mantap dan penyayang. Selain itu, kefahaman agama ibu bapa dan bakal pengantin perlu dipertingkatkan. Ini boleh dilakukan dengan menjadikan pengajian keibubapaan sebagai suatu kursus pra perkahwinan.

Usaha untuk membanteras keruntuhan akhlak dan kemerosotan disiplin ini perlu mendapat kerjasama yang erat dari pihak ibu bapa kerana dari tinjauan yang dibuat menunjukkan sebahagian besar remaja yang melakukan salah laku dan jenayah ini tinggal bersama keluarga mereka.

Ibu bapa disaran supaya mengamalkan sikap yang positif dalam segala kegiatan mereka supaya dapat dijadikan contoh dalam pembentukan peribadi anak-anak di masa depan. Sikap positif ibu bapa dalam menangani masalah sosial ini dapat membantu anak-anak menerima tanggngjawab mereka dengan baik apabila dewasa kelak.

Peranan Media Massa

Mengorientasikan semula fungsi media massa

Demi pembinaan masyarakat yang berakhlak, media massa perlu menerapkan nilai murni dalam setiap laporan, rancangan, atau siaran mereka. Di samping itu, pihak berkenaan harus mempunyai asas pertimbangan yang konkrit yang berteraskan nilai agama dan budaya timur dalam memilih program mahupun menerbitkan bahan.

 

Menyemarakkan fungsi budayawan

Golongan budayawan seharusnya jangan mempertimbangkan komersil semata-mata sambil meleburkan perkiraan sosial sehingga akhirnya hancur peribadi bangsa. Sebaliknya para budayawan perlu lebih kreatif dan inovatif dalam mengetengahkan alternatif kesenian baru yang berteraskan budaya peribumi.

Penerapan Agama

Penyegaran semula institusi agama

Dalam perkara ini, fungsi institusi agama harus diorientasikan semula bagi memenuhi tuntutan zaman baru. Fungsinya bukan setakat mengurus jenayah syariah, menganjurkan kursus fardu ain dan sebagainya tetapi menjadi agensi thing tank yang melaksanakan program dan projek yang berkaitan dengan hal keagamaan dan permasalahan ummah secara lebih komprehensif. Tambahan pula, adalah tidak cukup bagi golongan agamawan sekadar berceramah di masjid ataupun surau sedangkan sebahagian besar generasi muda yang bermasalah bukan berada di sana. Jadi, mereka harus menjadi aktivis sosial, pendamping generasi muda dan pencegah mungkar sekali gus.

KESIMPULAN

Matlamat utama Wawasan 2020 adalah untuk membina sebuah negara maju tanpa mengabaikan nilai agama dan moral. Namun, kalau dilihat antara idealisme masa depan dengan realiti masa kini terdapat jurang yang besar di mana jumlah kes jenayah di kalangan pelajar kita hari ini (yang bakal menerajui negara kita) adalah semakin meningkat. Nampaknya semakin maju kita, semakin luntur pula nilai moral masyarakat. Justeru itu, dalam keghairahan merancang dan merencana pelbagai projek raksasa agar negara kita seiring dengan era ledakan informasi dan pembangunan industrialisasi yang mantap, kita seharusnya tidak meminggirkan projek raksasa dalam pembinaan insan.

Lebih-lebih lagi kita sebagai anggota masyarakat yang sentiasa melaung-laungkan slogan masyarakat penyayang tidak sewajarnya hanya menggeleng-gelengkan kepala apabila mendengar berita gejala cemar ini tetapi harus turut sama menyingsing lengan turut ke gelanggang pemulih dan membanteras gejala ini daripada menular menjadi budaya hidup remaja kita.

Memandangkan masalah keruntuhan akhlak di kalangan pelajar/remaja kita hari ini bukan sahaja disebabkan oleh salah guru tetapi juga disebabkan oleh faktor-faktor lain seperti faktor sosial - ibu bapa, kurang didikan agama, pengaruh budaya barat dan artis-artis; faktor sekolah, pengaruh rakan sebaya, mahupun diri sendiri. Maka semua pihak yang bertanggungjawab seharusnya melaksanakan suatu reformasi secara holistik dengan merangka strategi atau program yang bersistematik, bersepadu, dan menyeluruh untuk memulihkan suasana gawat ini. Akhir sekali, perlu diingatkan bahawa program sedemikian harus disegerakan secepat mungkin dan diharapkan semua pihak dengan keinsafan jadikanlah pendidikan remaja kita sebagai satu agenda masyarakat yang besar yang tidak seharusnya kita ambil mudah apa lagi memgabaikannya. Sayangilah masa depan mereka kerana masa depan mereka adalah di tangan kita.