Koleksi Kertas KajiSelidik Pelajar Sarjana Pendidikan Seksyen Tiga ITTHO

Koleksi Kertas Kerja Kajian Sistem Pendidikan Kebangsaan (MTT2353)



Sekolah Bestari



1.0 PENDAHULUAN
	Rata-rata apabila ditanya tentang Sekolah Bestari sudah tentu ramai yang  akan mengaitkan dengan penggunaan komputer.  Gambaran awal yang diberikan oleh media cetak mengenai Sekolah Bestari ialah sekolah era baru yang dilengkapi dengan pelbagai teknologi pembelajaran dan pengajaran yang canggih.  Sekolah pada asasnya adalah bangunan fizikal dan kemungkinan Sekolah Bestari ini adalah adunan sekolah yang lengkap dengan perkakasan komputer, pembelajaran bestari, guru-guru yang berwibawa dan pelajar pintar. (Mohd Fudzail Mohd Noor, 1997).  Perkakasan komputer yang dimaksudkan adalah sesuatu yang simbolik yang mana ia sebenarnya adalah produk-produk teknologi iaitu TV, video, PC, multimedia, internet dan lain-lain yang menjadi medium dalam pembelajaran Bestari.  Manakala pembelajaran Bestari pula merangkumi pengembangan kebolehan individu melalui saluran multimedia dan interaktif yang tidak terbatas di dalam kelas.  Pelajar pintar adalah pelajar yang mampu menguasai sesuatu dengan lebih cepat dan mudah manakala guru berwibawa juga termasuk dalam komponen Sekolah Bestari kerana guru bertukar dari pengajar kepada penyelaras di mana ia menjadi tempat rujukan kepada pelajar pintar.
	Menurut Fatimah dan Zurida (1998), guru Bestari adalah guru yang bukan saja mahir mengajar, malah cekap menggunakan pendekatan teknologi, tahu bidang pengurusan, mahir dalam menyelesaikan masalah dan berinisiatif untuk menambah pengetahuan dan sebagainya.  Pelajar pintar adalah mereka yang berupaya menjana maklumat baru.  Mereka boleh dianggap pemikir dan bukan individu yang boleh mengeluarkan semula pengetahuan.  Apabila, berdepan dengan situasi yang baru pelajar pintar ini akan menjadi anjal, menganalisa secara cermat dan mengambil kira semua pilihan yang didapati sebelum membuat keputusan.(Tan Seri Dr. Wan Mohd Zahid Mohd Nordin, 1997)
  Di sinilah lahirnya rakyat yang bestari yang dapat pula melahirkan masyarakat madani.  Dalam penyelidikan ini kami cuba membincangkan tentang perlaksanaan Sekolah Bestari dan dengan harapan ia dapat memberikan gambaran yang lebih tepat mengenai Sekolah Bestari.
1.1  Definisi.
	Sebelum kita membincangkan lebih lanjut lagi tentang Sekolah Bestari adalah baik kita memahami dahulu serba sedikit apa itu perlaksanaan, sekolah dan bestari.  Menurut Kamus Dewan:
Sekolah.
	Tempat untuk belajar dan mengajar, tempat menerima dan memberi pendidikan.
Bestari
	Cerdas, pintar, pandai, berpendidikan, berpengetahuam serta berbudi pekerti yang baik.
Perlaksanaan
	Implementasi daripada perancangan yang telah dilaksanakan.
	Daripada definisi kamus dewan di atas boleh disimpulkan bahawa Perlaksanaan Sekolah Bestari adalah mengimplemen tempat untuk menerima dan memberi pendidikan yang menggunakan kaedah secara cerdas dan pintar demi untuk menghasilkan pelajar-pelajar yang pintar dan cerdas.
1.2  Konsep.
	Konsep sebenar Sekolah Bestari ialah sekolah yang menggunakan teknologi untuk mencapai matlamatnya, yang mana matlamat Sekolah Bestari ialah membina minda pelajar serta membentuk mereka menjadi insan sempurna berdasarkan falsafah pendidikan negara. (Tan Seri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Nordin, 1997).
	Manakala konsep pembelajaran bestari adalah suatu pendekatan berpusatkan 'budaya berfikir' dengan memanfaatkan sumber ilmu dan teknologi.  Sumber itu dieksploit secara menyeluruh dan bersepadu dari pelbagai situasi.  Kurikulum bestari, selaku kurikulum fleksibel dan responsif terhadap perubahan menjanjikan pengembangan prospek pencapaian matlamat.  Dapatan ilmu pelajar dikesan melalui penilaian bestari yang menitikberatkan aspek 'whole person developmant'.  Pada pihak guru, pengajaran bestari akan menjadi suatu cabaran baru yang menuntut mereka memanfaatkan ilmu serta menggunakan sumber secara optimum.(zailani Taslim,1998).
	Daripada konsep-konsep di atas boleh disimpulkan bahawa Sekolah Bestari mementingkan pencapaian matlamatnya dengan cara menggunakan teknologi dalam pembelajaran dan pengajaran. 
2.0  RASIONAL PEMILIHAN TAJUK.
	Di sana sini orang sering  menyebut tentang teknologi, apa guna jika kita hanya pandai menyebut teknologi sedangkan kita sendiri buta tentang teknologi.  Dengan wujudnya Sekolah Bestari barangkali mampu untuk menghasilkan 90% daripada rakyat Malaysia yang celik teknologi.  Mungkin seseorang yang tidak mahir menggunakan komputer pada dekad yang mendatang dikira 'buta komputer' dan lebih menakutkan dia akan gagal mendapat sebarang maklumat.
	Isu yang akan dibincangkan adalah mampukah Sekolah Bestari dilaksanakan?.  Pada pendapat kami ia patut dilaksanakan kerana perlaksanaan Sekolah Bestari boleh menghasilkan banyak pembaharuan dalam pembangunan negara kita.  Walaubagaimanapun perlaksanaan ini perlu dirancang dengan kemas, teratur dan spesifik dan janganlah kita terlalu ghairah untuk melaksanakan program ini hingga kita lupa akan kemampuan kita sendiri.
	Rasional perlaksanaan Sekolah Bestari  ini berdasarkan kepentingan ia ditubuhkan iaitu:
a.  Perlaksanaan Sekolah Bestari penting untuk   pembangunan ekonomi negara.
b.  Perlaksanaan Sekolah Bestari mampu menghasilkan tamadun berasaskan acuan kita sendiri.
c.  Sekolah Bestari mampu mempertahankan negara.
2.1  Perlaksanaan Sekolah Bestari penting untuk pembangunan ekonomi negara.
	Teknologi mampu untuk membangunkan ekonomi negara.  Banyak sudah negara-negara yang telah berjaya meningkatkan ekonominya dengan kemajuan industri maklumat dan telekomunikasinya.  Ini dapat dibuktikan di Amerika Syarikat yang mana pekerjanya dalam industri ini telah berjaya menyumbangkan 45% KNK negaranya, manakala di Jepun pekerja dalam industri maklumat dan telekomunikasi telah menyumbangkan sebanyak 40% KNK negaranya.  Kini, sehingga 55% hingga 60% tenaga kerja di negara maju terbabit dalam industri maklumat.  Ini menunjukkan berlaku perubahan dalam orientasi ekonomi negara itu daripada pengeluaran barangan kilang  atau hasil pertanian  kepada industri maklumat.  Inilah intipati informasi yang mendasari perubahan dan pembangunan  sosioekonomi yang berjaya melahirkan masyarakat bermaklumat di negara maju.(Dr. Ding Choo Ming, 1998).
	Pembangunan yang digerakkan oleh teknologi maklumat adalah lebih berkesan berbanding dengan pembangunan ekonomi yang digerakkan semata-mata oleh sumber-sumber ekonomi iaitu modal, tenaga pekerja dan lain-lain, ini kerana teknologi maklumat mampu untuk memberi kesan yang mendalam kepada penggerak-penggerak pembangunan untuk menghasilkan produktiviti yang tinggi.  Sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Dr. Ding Choo Ming, (1998) Hasil penemuan sarjana di East West Center di Honolulu, ada 2 teori mengenai pembangunan dewasa ini iaitu pembangunan ekonomi yang menitikberatkan faktor kewangan, pelaburan modal, bantuan ekonomi dari luar dan import dan eksport dan pembangunan ekonomi dan teori yang menyatakan   . 
Sememangnya kita sedar negara kita sedang menuju ke era teknologi maklumat yang lebih mencabar.  Pembangunan di era ini bukan lagi pembangunan infrastruktur dengan menyediakan jaringan maklumat, perkhidmatan-perkhidmatan yang berasaskan multimedia dan telekomunikasi canggih dan yang lebih utama menyediakan sistem  pendidikan  yang mampu melahirkan bukan sahaja teknokrat-teknokrat yang mahir malah juga berupaya menghasilkan manusia pintar.
	Sebagai persediaan menghasilkan manusia pintar, kerajaan menperkenalkan  beberapa program komputer seperti Projek Pengenalan Kepada Komputer (1986), Projek Literasi komputer(1992), projek Pengajaran Pembelajaran Berbantukan Komputer (1994) dan Projek Jaring Pendidikan (1995).(Hazliza ariffin,1996). 
	Pada masa akan datang kerja-kerja manusia dalam sektor teknologi maklumat tidak lagi berasaskan kemahiran manual tetapi sebaliknya lebih bergantung kepada sejauh mana tahap kepakaran dan kepintaran mereka mencipta dan menggunakan perisian canggih serta mengurus intelek (Safinah Saupi, 1997).  Intelek-intelek negaralah yang akan membina dan memperkembangkan negara dengan cekap dan berkesan.
	Cuba kita lihat Menara Petronas (KLCC) yang menjulang tinggi,  KLIA, MSC dan pelbagai lagi, ini semua telah membuktikan bahawa betapa pentingnya teknologi dan tanpa teknologi ini semua tidak mungkin terbina dan tanpa intelek yang pakar dalam teknologi maka ini semua juga tidak akan terbina.  Jadi adalah menjadi peranan penting bagi Sekolah Bestari melahirkan intelek-intelek muda ke arah perkembangan yang sihat demi pembangunan ekonomi negara.
2.2  Sekolah Bestari mampu menghasilkan tamadun berasaskan acuan kita sendiri.
 	Sejarah silam memperlihatkan penerapan sains dan teknologi boleh berlaku atas tiga sebab utama iaitu dorongan agama, untuk mendapatkan nama sama ada bagi tujuan peribadi, negara dan bangsa dan paling penting untuk meningkatkan ekonomi masyarakat, bangsa dan negara.
 	Kerajaan perlu berusaha melahirkan ahli Sains dan Teknologi yang mampu menguasai ilmu pengkhususan.  Sebilangannya menjadi pendidik sains dan teknologi iaitu guru atau pensyarah.  Sebilangan lagi menjadi pengamal iktisas sains dan teknologi untuk keperluan tenaga manusia dalam pelbagai bidang pekerjaan berasaskan sains dan teknologi seperti jurutera, doktor dan arkitek.
 	Perlu ditekankan di sini bahawa bilangan yang menjadi pendidik sains dan teknologi perlu berada pada jumlah yang mencukupi.  Hal ini supaya usaha melatih dan mendidik angkatan baru ahli sains dan teknologi dapat diteruskan untuk menjamin kejayaan pembangunan masyarakat dan negara.
 	Menurut Masitah Idris,1998 Pendidikan sains dan teknologi adalah suatu proses dinamis yang perlu mengambil kira perubahan zaman, perkembangan mutakhir ilmu sains dan teknologi dan keperluan masyarakat  yang berubah-ubah.  Dari semasa kesemasa perlulah mewujudkan pendidikan baru dengan informasi dan idea baru selaras dengan peredaran zaman.  kita juga perlu mewujudkan prasarana penyelidikan sains dan teknologi yang kukuh.  Ini adalah penting bagi menjadi sebuah negara yang benar-benar merdeka, dan bermaruah tinggi kita perlu menyediakan sebuah tamadun sains dan teknologi berasaskan acuan kita sendiri.
 Secara amnya, peringkat ini sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia.  Kerajaan Malaysia mengalu-alukan penghasilan rekaan dan ciptaan teknologi maklumat bercirikan model Malaysia.  Motif di sebaliknya ialah supaya kita tidak hanya sekadar berpuashati dengan mempelajari sains dan teknologi yang dihasilkan oleh bangsa-bangsa lain sahaja,  kerana kita akan dihadkan untuk menggunakan ilmu mengikut amalan bangsa itu.
 Akibat daripada itu, akan berlakulah permasalahan sosial dan minda generasi Malaysia.  Harus disedari bahawa pada setiap cabang ilmu itu ada bersamanya unsur nilai dan budaya sesuatu bangsa yang kita tidak pasti sama ada sesuai dengan generasi kita atau tidak.
 Oleh itu apa yang perlu dilakukan ialah pengubahsuaian ilmu tersebut untuk kegunaan masyarakat  dan bangsa kita atau jika boleh mewujudkan ilmu sains dan teknologi baru yang bukan sahaja berkepentingan kepada bangsa Malaysia malahan akan diterima pakai oleh bangsa-bangsa lain juga.
 Ilmu sains dan teknologi ini hanya boleh dihasilkan melalui aktiviti penyelidikan dan pendidikan.  Oleh itu di sinilah letaknya peranan Sekolah Bestari yang mana untuk menghasilkan penyelidik yang beracuan kita sendiri melalui pendidikan yang menggunakan pendekatan  atau dengan kata lain yang menggunakan kurikulum sains dan teknologi kita sendiri.  Sekiranya pendekatan dan kurikulum yang digunakan adalah masih lagi berkonsepkan teknologi bangsa asing yang tidak diubahsuai maka kita tidak mungkin berjaya.
 Sekolah Bestarilah nanti yang akan menghasilkan pendidik dan penyelidik dalam sains dan teknologi yang mampu mengubahsuai teknologi barat menjadi teknologi kita atau mungkin mampu menghasilkan teknologi kita sendiri tanpa mencedok daripada mana-mana teknologi pun.  Adalah tidak mustahil beberapa dekad nanti kita akan mampu mencipta teknologi-teknologi canggih yang dihasilkan oleh bangsa kita sendiri dan mungkin akan diterima pakai di seluruh dunia. 
2.3  Sekolah Bestari mampu mempertahankan negara.
Pada fikiran kami dengan wujudnya Sekolah Bestari nanti akan menghasilkan cerdik pandai yang mampu mencipta senjata-senjata pertahanan yang canggih setanding dengan negara barat.  Andaikata negara kita diceroboh maka kita mampu mempertahankannya tanpa perlu membeli senjata daripada pihak luar.  Sekalipun kita beli senjata daripada negara luar dan pada masa yang sama kita adalah celik teknologi sudah tentu kita tidak ditipu.  Macam mana akan jadi kalau kita adalah buta teknologi? Mungkin apabila kita membeli senjata dari pihak luar kita akan diperdaya dengan hanya membeli senjata yang layak untuk memburu binatang seperti rusa sahaja. 
Krisis mata wang mungkin juga dapat dielakkan sekiranya kita mempunyai tahap teknologi yang tinggi yang mana andaikata industri-industri dalam negara kita adalah dimiliki oleh rakyat tempatan bukannya pelabur-pelabur asing.   Sekiranya ada golongan contohnya seperti Soros yang membuat spekulasi untuk menjatuhkan nilai ringgit kita, sekurang-kurangnya ia dapat dipertahankan.  Yang mana bila industri-industri adalah milik rakyat tempatan maka kita tidak takut pelabur-pelabur asing ini keluar daripada negara kita yang membolehkan modal kita berkurang dan seterusnya nilai mata wang kita jatuh.  
Kita juga boleh buat banyak barangan yang kita perlukan seperti jentera, kenderaan, pakaian, barangan elektronik dan pelbagai lagi yang sebagaimana kita tahu semua ini memerlukan teknologi.  Ada barangan lain yang perlu kita import yang mana kita import dengan menggunakan kaedah pertukaran dengan barangan kita.
Kita bertanya mana wangnya untuk menghasilkan ini semua?  Jika kita berfikir dalam kerangka teori ekonomi pasaran bebas, kita memerlukan modal luar.  Tetapi apakah modal?.  Modal itu adalah kekayaan yang kita hasilkan dengan menggunakan tenaga kreatif kita.(Kassim Ahmad,1998).  Tenaga rakyat kitalah modal kita.  Kerajaan boleh mengeluarkan kredit untuk menjalankan projek-projek ekonomi ini dan projek-projek ekonomi ini akan mendatangkan pulangan. Modal luar yang kita perolehi inilah yang telah menelan kekayaan kita sendiri.
Jumlah cerdik pandai yang ramai dalam pelbagai bidang barangkali akan menjadi kenyataan bila Sekolah Bestari betul-betul beroperasi di negara kita dan menghasilkan produk iaitu pelajar yang betul-betul beketrampilan yang mampu menghasilkan teknologi sendiri tanpa perlu lagi kita membeli dan mendapat daripada negara luar. 
3.0  MAMPUKAH SEKOLAH BESTARI DILAKSANAKAN.
	Perancangan untuk melaksanakan Sekolah Bestari telah dibuat oleh kementerian pendidikan tetapi yang menjadi isu sekarang ini adalah mampukah Sekolah Bestari dilaksanakan?.  Kami melihat isu ini daripada 3 perspektif iaitu kos, program pembelajaran dan juga kemahiran guru.
3.1  Kos.
	Bila membincangkan perkaitan kos dan Sekolah Bestari, sudah tentu ramai yang bersetuju bahawa perlaksanaan Sekolah Bestari memerlukan kos yang tinggi.  Secara rasionalnya sudah tentu ia memerlukan peralatan yang canggih yang melibatkan kos yang tinggi.  Terutamanya dari segi infrastruktur iaitu yang berkaitan hal-hal ya ng berikut yang seperti mana dinyatakan oleh Baharum Hj. Sulaiman, 1997:
a.  Alatan mengajar yang akan digunakan adalah dari teknologi maklumat yang canggih dan terkini, iaitu merangkumi penggunaan komputer dan telekomunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran, segala pengurusan kurikulum sekolah dan pentadbiran sekolah.
b.  Sekolah Bestari memerlukan pembinaan pengkalan nasional dan tempat serta pusat sumber yang terangkai.
	Peruntukan kewangan yang mencukupi yang pada dasarnya adalah tinggi dirasakan suatu aspek yang penting dan patut dititik beratkan dalam melaksanakan Sekolah Bestari.  Peralatan serba lengkap dan mencukupi termasuk rangkaian 'LAN' dan 'WAN' bagi membolehkan pelajar mengakseskan maklumat yang diperolehi di sekolah dan di luar sekolah untuk tujuan berkomunikasi adalah sangat penting.  Perisian pendidikan juga perlu ada dan mencukupi.  Sehubungan itu peranan juruteknik membantu guru mengendalikan peralatan canggih itu amat diperlukan.  Namun begitu sekiranya juruteknik dan guru tidak mempunyai kemahiran yang sepatutnya berada di Sekolah Bestari untuk mengendalikan pengurusan, pentadbiran dan pengajaran apakah yang akan terjadi dengan alat-alat ini.  Peralatan ini sudah tentu tidak dapat digunakan 100%, tidakkah ini dipanggil pembaziran sumber alat dan yang sebenarnya adalah pembaziran kos.  Walau bagaimanapun sekiranya kita dapat mempraktikkan segala kemudahan yang ada sudah tentu banyak penjimatan dari segi jangka masa panjang, contohnya kita dapat lihat dengan adanya sistem 'work stations' dalam bilik darjah secara automatik ruang sebenar sebuah makmal tidak diperlukan.  Demikian juga dengan makmal komputer atau makmal bahasa.  Eksploitasi komputer dalam kerja mengakses maklumat daripada Internet dan membereskan urusan perkeranian jelas menjimatkan masa, di samping meminimumkan penggunaan kertas.  Masa pula dapat dikurangkan apabila pengumuman atau arahan disebarkan melalui rangkaian 'LAN' dan 'WAN'.
	Bagi mendapat tenaga mahir yang betul-betul mahir di Sekolah Bestari, kita perlu mengadakan program khas untuk melatih sumber tenaga kita.   Di sini, sekali lagi kita tidak dapat lari kos perbelanjaan yang tinggi kerana tanpa sumber kewangan yang mencukupi latihan-latihan ini tidak mungkin dapat dilaksanakan.
	Kos mungkin faktor yang boleh dikirakan penting dalam perlaksanakan Sekolah Bestari kerana tanpa modal yang mencukupi adalah agak sukar untuk ia dilaksanakana.   Namun begitu sekiranya pihak kementerian mempunyai perancangan yang rapi dan spesifik beserta sokongan dari rakyat sendiri adalah tidak hairan program ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya.  Seperti mana yang dipetik dari penyataan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam salah sebuah akhbar tempatan, Makmal Bestari yang pertama disediakan di Sekolah St. John Bukit Nenas itu merupakan daya usaha sebuah syarikat swasta, Cabaran Vista Sdn. Bhd yang menanggung keseluruhan kos berjumlah lebih RM100,000 termasuk penyediaan komputer dan sistem komputer.  Makmal Bestari ini adalah salah satu projek ke arah melaksanakan Sekolah Bestari.  Apa yang menarik di sini adalah sokongan dari syarikat swasta ini telah sedikit sebanyak menjayakan konsep Sekolah Bestari.  Jadi yang paling penting adalah sokongan daripada rakyat kita sendiri, tanpa sokongan rakyat projek besarnya sukar dilaksanakan.
3.2  Program pembelajaran.
	Kanak-kanak sekarang ini telah diperkenalkan dengan komputer sejak kecil lagi atau dengan pelbagai bentuk media.  Mungkin kanak-kanak ini bosan dengan kelembapan sistem persekolahan bila mereka telah lama terpesona dengan kepantasan video games dan permainan komputer kerana kanak-kanak cepat menghayati penggunaan komputer berbanding orang dewasa.  
Menurut Mohd. Fudzail, (1997) kanak-kanak memang mudah mempelajari sesuatu secara interaktif dengan dunia sekeliling mereka.  Interaktif melalui multimedia yang mengandungi pelbagai bahan pengajaran dan pengetahuan memberikan peluang kepada individu untuk mengeksploitasi kemampuan diri-sendiri dan mencorakkan pemikiran  Jadi melalui program pembelajaran yang baru dalam konsep Sekolah Bestari ini mungkin dapat mengubat kebosanan kanak-kanak ini.
Memandangkan kepada perubahan dalam cabaran global, corak pengajaran dan pembelajarn juga perlu berubah dengan persekitaran yang sesuai dengan perkembangan pelajar-pelajar masa depan.  Persekitaran yang serasi adalah penting dalam menjamin keberkesanan proses pendidikan dan untuk melahirkan pengguna dan penyumbang teknologi dan kita memerlukan persekitaran yang tersendiri daripada peralatan teknologi moden supaya corak pendidikan yang tulen boleh dilakukan. (Datuk Najib dalam tilisan Mohd. Ridzwan, 1997)
	Sistem pendidikan yang ada sekarang menggunakan sistem peperiksaan dan segala maklumat datang dari guru, buku teks dan buku rujukan.  Jadi pada fikiran kami ini semua adalah membosankan.  Pelajar seolah-olah dikongkong dan dihadkan pemikirannya.  Dengan adanya program pembelajaran Sekolah Bestari ini yang mementingkan elemen-elemen kemahiran berfikir, budaya belajar dan pelbagai kecerdasan dimasukkan mungkin dapat mengubat kebosanan pelajar sekarang  ini.
	Sebagaimana dikatakan oleh Datuk Khalid Yunus, pelajar yang menuntut di Sekolah Bestari bebas menimba ilmu dengan hala tuju sendiri, termasuklah menggunakan teknologi serba canggih yang disediakan oleh kerajaan.  Beliau berkata, negara akan berdepan dengan satu keadaan iaitu sistem penyebaran maklumat seperti 'LAN' dan 'WAN' untuk dijadi kelengkapan utama di setiap sekolah. Dan lagi pula perisian Asymetrix mampu menyediakan proses pengajaran dan pembelajaran secara interaktif untuk meningkatkan pengetahuan pelajar pada kadar optimun mengikut keupayaan masing-masing.
	Walau bagaimana pun mampukah program pembelajaran yang sebegini rupa dilaksanakan?.  Pada pendapat kami ia mampu dilakukan tetapi ia memerlukan perancangan yang rapi dan memerlukan badan yang dianggotai oleh orang-orang yang betul-betul pakar dalam kurikulum pendidikan berteknologi tinggi  yang mana ia mungkin boleh menggabungkan pendidik-pendidik dan profesional-profesional dalam teknologi maklumat ini.
	Menurut Datuk Seri Najib yang dipetik dari Berita Harian.97, Kementerian Pendidikan menetapkan semua multimedia mestilah disediakan berasaskan kurikulum kebangsaan serta menggunakan Bahasa Melayu kecuali bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris.  Tanggungjawab untuk menyediakan draf itu dipikul oleh Pusat Perkembangan Kurikulum dengan kerjasama Bahagian Sekolah dan Bahagian Teknologi Pendidikan.
	Pihak yang terlibat dalam membangunkan kurikulum untuk Sekolah Bestari ini perlulah memikirkan banyak aspek terutamanya aspek bahan yang perlu dan bagaimana nak membangunkan kurikulum yang sedia ada agar ia tidak menyimpang dari falsafah pendidikan negara.  Sekiranya sekadar menggunakan komputer dalam proses pembelajaran dan pengajaran itu adalah perkara biasa sekarang ini.  Tetapi apa yang lebih penting adalah kita dapat mencipta satu kurikulum yang menjadikan guru bukan lagi sebagai sumber pendidikan tetapi pembantu dalam proses pendidikan sebagaimana yang telah dirancangkan.
	Menyebut tentang bahan pengajaran dan pembelajaran yang merupakan faktor penting dalam Sekolah Bestari ini, yang mana sebagaimana yang kami nyatakan awal-awal tadi bahawa program ini adalah program pembelajaran kendiri.  Jadi bagaimana kita hendak pastikan bahawa bahan yang digunakan nanti bakal mencipta program pembelajaran kendiri.  Tetapi yang penting adalah pembekalan teknologi multi-media dan jaringan yang menghubungkan seluruh dunia adalah suatu kemestian.  Bahan-bahan adalah keperluan untuk latihan, pembelajaran dan pengurusan sekolah. 
 Dengan itu bahan-bahan yang digunakan perlulah mengambil kira (Baharum Hj. Sulaiman, 1997):
i.  Bahan kursus yang baru, kemaskini dan mencukupi.  Bahan kursus ini perlulah diperkembangkan untuk melaksanakan kurikulum yang disediakan  bagi Sekolah Bestari dalam menghadapi pelbagai jenis pelajar.
ii.  Bahan-bahan kursus itu perlulah mempamerkan ciri-ciri yang berikut:
a.  pukal disket yang lengkap, interaktif, mencabar daya kognitif pelajar serta pemikiran dalam kemahiran berfikir.
b.  pukal disket yang lengkap yang mengandungi penilaian kendiri dan penyemakan oleh guru dalam bentuk peperiksaan, projek, tugasan dan produk. 
3.3  Kemahiran guru.
	Guru dalam sistem Sekolah Bestari memainkan peranan sebagai pemudah cara atau pembimbing kepada pelajar manakala pentadbir sekolah ditekankan supaya menggunakan teknologi untuk meningkatkan kecekapan dan menghapuskan pertindihan supaya perancangan dan pengurusan sumber manusia dan fizikal menjadi lebih berkesan..  Sebagaimana yang dikatakan oleh Hazliza Ariffin, 1996 Sekolah Bestari mengubah pendekatan tradisional guru sebagai sumber utama untuk mendapatkan ilmu kepada fasilitator.  Sebagai fasilitator, guru akan memandu pelajar untuk memilih maklumat yang berguna dan bermanafaat dalam mencapai kecemerlangan dalam pendidikan. 
	Namun dalam keghairahan untuk melaksanakan Sekolah Bestari ini persediaan para pendidik yang bestari perlu diambil kira.  Latihan untuk menyediakan guru mengikut pendekatan bestari harus bermula dari sekarang di maktab-maktab perguruan serta institusi seumpamanya.  Sementara latihan terancang bagi guru dalam perkhidmatan harus diadakan.  Pendedahan juga harus meliputi seluruh warga pendidik khasnya dan warga sekolah amnya.  Kerana apa yang membimbangkan adalah sekolah saja yang bestari tetapi sumber tenaga didalamnya tidak mencapai tahap bestari.  Apabila sumber tenaga di dalamnya tidak bestari tidak hairanlah produk yang dihasilkan nanti setara dengan produk sekolah biasa seperti sekarang.
	Persoalannya bersediakah guru kita menjelang 1999, memenuhi keperluan Sekolah Bestari?.  Terfikirkah pihak kementerian Pendidikan betapa kesan bebanan berganda akan terus menyelimuti insan pendidik yang sememangnya ikhlas mencurahkan khidmat untuk anak bangsa dan negara.  Mampukah guru-guru kita menyalurkan matlamat Falsafah Pendidikan Negara yang menekankan keseimbangan dari sudut Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek di samping penggunaan teknologi multimedia.  Kerana adalah sesuatu yang sukar untuk guru ini mengubah persekitaran yang baru yang mungkin agar kontra dengan persekitaran lamanya.  Pihak kementerian perlu meyakinkan guru-guru dengan mendedahkan mereka kepada teknologi multimedia kerana mereka adalah benteng hadapan memikul tanggungjawab mengembangkan teknologi berkenaan. 
 Menurut Datuk Najib dalam Berita Harian yang ditulis oleh Mohd Fuad pihak kementerian akan melatih guru dalam bidang aplikasi komputer dan cara mengajar menggunakan komputer dan juga menekankan mengenai peranan guru dalam konteks Sekolah Bestari.  Guru bukan saja perlu mahir menggunakan multimedia, sebaliknya perlu terus berperanan sebagai pendidik dan pembentuk akhlak kerana peranan asas ini tidak akan terhakis dengan pewujudan Sekolah Bestari.
 Bagaimana pula dengan guru?  Sejauh ini barangkali sudah ada sejumlah guru yang bercita-cita untuk sama-sama menjayakan sekolah Bestari ini atau dengan kata lain untuk turut bersama-sama berada di Sekolah Bestari.  Di sana mereka tidak lagi terbatas sebagai penyampai pelajaran, tetapi selaku fasilotator, mentor dan pengurus pengajaran.  Latihan personel yang merangkumi tiga bidang iaitu ilmu, metodologi dan pengurus dirasakan perlu bagi membolehkan mereka berfungsi lebih cekap dan berkesan.
Di sini boleh kita simpulkan bahawa pihak kementerian mungkin mampu melaksanakan Sekolah Bestari tetapi salah satu syaratnya adalah menyiapkan komponen-komponen penggerak sekolah ini iaitu salah satunya ialah guru untuk betul-betul bersedia menjalankan fungsinya dan begitu jugalah dengan guru, yang mana mereka juga harus betul-betul bersiap sedia untuk memasuki persekitaran yang baru ini yang boleh dikatakan agak berbeza dengan persekitaran lamanya.
4.0  CADANGAN
	Kami mempunyai beberapa cadangan yang pada fikiran kami, mungkin ia dapat membantu program ini jika ia dilaksanakan.
4.1  Pembinaan peringkat demi peringkat.
Mengikut pandangan kami pada peringkat permulaan setiap negeri perlu ada satu Sekolah Bestari dan sekiranya ia telah berkembang dan hasilnya nampak menggalakkan maka setiap daerah pula dibina sekolah ini dan kemudian barulah ke setiap kawasan.
Pembinaan peringkat demi peringkat ini penting untuk mengenal pasti perkembangannya.  Sekiranya pelajar yang dihasilkan oleh sekolah ini mempunyai pemikiran dan kualiti yang sama atau lebih kurang sama dengan pelajar sekolah biasa maka mungkin ia perlu dikemaskini semula dan pengubahsuai perlu dibuat tetapi sekiranya hasil dari pengubahsuaian ini tidak juga menggalakkan maka adalah lebih baik batalkan saja niat untuk meneruskan program ini kerana ia akan membazirkan kos saja, adalah lebih baik kita gunakan untuk membantu pelajar-pelajar yang langsung tidak mampu ke sekolah disebabkan kesempitan keluarga. 
Walaubagaimanapun menurut Datuk Seri Najib Tun Razak yang ditulis oleh Marhaini Kamaruddin dalam Utusan Malaysia, 1997 85 buah Sekolah Bestari akan beroperasi Jan, '99.  Pada fikiran kami, ini adalah merupakan satu jumlah yang besar kerana sekiranya hasil yang diharapkan adalah tidak tercapai maka pengubahsuaian yang perlu akan melibatkan kos yang tinggi dan lagi pula kos permulaan untuk kita membina sekolah beserta kelengkapan juga adalah tinggi sedangkan hasil yang diharapkan belum tentu.  Oleh itu kenapa tidak didahului  dengan jumlah yang kecil kerana selain kos yang kecil pengendalian juga lebih mudah berbanding dengan jumlah yang besar.  
Seperti yang telah dikatakan tadi pembinaan Sekolah Bestari di setiap negeri adalah perlu kerana untuk memastikan seluruh pelajar di pelusuk negeri mengecapi hasil perkembangan pendidikan dan teknologi di negara kita ini.  Sekiranya pelajar negeri Selangor membahaskan isu Sekolah Bestari sekurang-kurangnya pelajar di negeri Terengganu boleh juga membahaskan isu ini. Dan apabila mereka pandai membahaskan isu Sekolah Bestari mungkin mereka akan tertarik untuk sama-sama belajar di sekolah ini. 
4.2	Pembentukkan satu badan pengendali hal-hal struktur bangunan dan teknologi.
- untuk memastikan struktur dan teknologi yang digunakan sesuai dan terkini.
	Peralatan dan teknologi yang digunakan di Sekolah Bestari perlulah sentiasa dikemaskini selari dengan perkembangan teknologi.  Contoh yang terdekat yang boleh kita lihat ialah walaupun Window '97 telah dihasilkan tetapi di makmal komputer ITTHO masih lagi menggunakan Window '95.  Di sini boleh kita lihat perkembangan sesuatu teknologi itu begitu cepat sekali hinggakan ITTHO selaku institut pengajian tinggi sendiri tidak sempat mengikuti perkembangan ini.  Jadi Sekolah Bestari selaku sekolah yang menggunakan teknologi perlulah sentiasa mengemaskini teknologi yang digunakan. Oleh itu untuk memastikan sekolah ini sentiasa menggunakan teknologi terbaru maka satu badan perlu dibentuk untuk mengawal dan memastikan teknologi yang digunakan tidak lapuk, mungkin ia masih baru di negara kita tetapi sudah lapuk negara luar.
	Oleh itu pembinaan struktur bangunan dan bilik -bilik pembelajaran dan pentadbiran perlulah dibina dengan menggunakan struktur-struktur yang boleh diubahsuai dengan mudah.  Kami sependapat dengan apa yang dicadangkan oleh 
Zailaini Taslim, 1998 tentang pembinaan infrastruktur Sekolah Bestari yang mana beliau berpendapat pembinaan infrastruktur Sekolah Bestari memerlukan perancangan pembinaan yang spesifik.  Bilik darjah misalnya, harus berdinding jenis 'colapsible', mudah diubahsuai dan dipinda.  Segala perabot dan kelengkapan lain hendaklah daripada jenis mudah alih untuk disesuaikan dalam pelbagai situasi pengajaran, tetapi mematuhi garis panduan susun atur bestari.  Kelengkapan menyimpan dan menempatkan pelbagai alat teknologi seperti komputer dan tv bagi kegunaan pejabat dan pelajar memerlukan reka bentuk dalaman bangunan yang tersendiri.  Demikian juga pewujudan bilik khas seperti bilik kawalan, studio rakaman, 'Network', bilik kerja dan sebagainya.  Reka bentuk luaran bangunan pula memerlukan rangkaian koridor bercirikan keselamatan lebih lebar, berbumbung dan selesa demi memudahkan pergerakkan pelajar dari bilik ke bilik tertentu.  Keselamatan dan keselesaan diberi keutamaan di samping motif penjimatan waktu.  Unsur-unsur kekemasan ini akan menonjolkan lagi kebestarian sekolah. 
	Jadi adalah perlu satu badan khas yang dianggotai oleh orang-orang yang pakar dalam bidang-bidang tersebut untuk mengendalikan hal-hal pengemaskinian teknologi dan pembinaan struktur yang mudah untuk diubahsuai.
4.3  Pembinaan maktab khas untuk Sekolah Bestari.
	Untuk mengajar di Sekolah Bestari memerlukan pengajar yang mahir dalam penggunaan teknologi, sebagai mana yang kami telah nyatakan di dalam pendahuluan yang mana kurikulum yang digunakan di Sekolah Bestari adalah sama cuma ada pengubahsuai sedikit untuk menyesuaikan dengan penggunaan komputer.  Jadi yang membezakan sekolah biasa dengan Sekolah Bestari adalah dari segi penggunaan komputer.  Adalah perlu untuk mendapatkan pengajar yang mahir dalam teknologi untuk mengajar di sekolah-sekolah ini.
	Pada pendapat kami adalah perlu pihak Kementerian Pendidikan perlu membina sebuah maktab bestari untuk menampung keperluan pengajar di Sekolah Bestari.  Mungkin pihak pendidikan hanya perlu mengubahsuai maktab-maktab yang sedia ada menjadi Maktab Bestari.  Yang kami maksudkan dengan Maktab Bestari adalah maktab ini dikhaskan untuk pengajar yang bakal mengajar di Sekolah Bestari.  Cara pengambilan pengajar ini adalah sama dengan maktab biasa iaitu lepasan SPM dan STPM cuma yang  membezakan adalah kelayakan mereka yang mana Maktab Bestari hanya mengambil pelajar yang SPM gred I dan STPM 5P dengan unit yang baik. 
 Maktab bestari juga perlu mengadakan program ijazah dan pendidikan dan diploma dan pendidikan iaitu seperti mana yang ada di universiti - universiti sekarang, contohnya ijazah perakaunan dan pendidikan.  Cuma yang membezakan adalah program ijazah dan pendidikan serta diploma dan pendidikan ini lebih menitik beratkan kepada penggunaan teknologi dalam pendidikan.  Tetapi yang paling penting segala teknologi yang berada di Maktab Bestari perlulah ada di Sekolah Bestari ini membenarkan bakal-bakal guru ini mempraktikkan segala teknologi sama dengan situasi yang sebenarnya.   
4.4   Sekolah Bestari perlu ada sumber untuk dipasarkan.
	Seperti mana yang kita ketahui Sekolah Bestari memerlukan kos yang tinggi untuk pengendaliannya oleh itu untuk menampung keperluan kewangannya ia boleh menghasilkan sumber kewangan sendiri.  Pihak-pihak pentadbir dan pengajar disekolah ini boleh memikirkan sumber-sumber yang boleh dipasarkan.  Ianya mungkin dalam bentuk barangan atau mungkin dalam bentuk perkhidmatan.  Contohnya Sekolah Bestari menyediakan perkhidmatan pembaikian komputer, memasukkan perisian yang terbaru atau apa-apa yang diminta oleh pelanggan, menjual komputer, khidmat nasihat berkaitan teknologi maklumat, kelas-kelas latihan komputer dan pelbagai lagi.  Sekurang-kurangnya hasil yang diperolehi ini dapat menampung keperluan yang diperlukan oleh sekolah.
5.0	KESIMPULAN
Daripada perbincangan yang telah kami buat didapati perlaksanaan Sekolah Bestari akan menjadi paksi membentuk minda seluruh generasi di Malaysia bagi mempersediakan mereka untuk menghadapi cabaran dalam zaman informasi kelak.  Selain itu, ia juga memastikan pembangunan masyarakat akan datang bukan hanya mampu menggunakan maklumat tetapi turut menemui langkah baru untuk pembelajaran dan penggunan informasi secara pintar serta kreatif.
Secara ringkasnya dari perbincangan yang telah dibuat bolehlah dikatakan pemelajaran di Sekolah Bestari lebih terarah kendiri mengikut kadar individu dan reflektif.  Sekolah Bestari dilengkapi dengan teknologi multimedia dan jaringan yang menghubungkan seluruh dunia.  Budaya sekolah akan berasaskan pengetahuan pemikiran, kreatif, inovatif dan penyayang dengan menggunakan teknologi yang canggih dan terkini.
Kami juga telah membangkitkan satu isu dalam persiapan melaksanakan Sekolah Bestari iaitu mampukah Sekolah Bestari dilaksanakan? Yang mana kami membincangkan isu ini dalam 3 perspektif iaitu berkaitan kos, program pembelajaran dan kemahiran guru.  Kita sememangnya mampu melaksanakan Sekolah ini dengan jayanya dengan syarat setiap komponen penggerak dalam perlaksanaan ini dikaji, dipertingkatkan kualitinya dan dibuat pengubahsuaian dengan rapi. Seandainya kita leka dengan impian masa hadapan dan lalai membuat perancangan dan perlaksanaan dengan sebaik-baik mungkin maka impian tidak mungkin tercapai malah kerugian disebalik kelalaian sendiri akan menimpa.  Kerana sebagaimana yang kita bincangkan ia memerlukan kos yang tinggi, kajian program pembelajaran yang spesifik dan tenaga mahir yang mempunyai tahap kemahiran yang tinggi untuk menjanjikan  impian tercapai.



	
BIBLIOGRAFI
	




	




 



return to main