KERTAS KERJA SOSIOLOGI PENDIDIKAN (MTT 3303)

 

DENDA DAN PEMBENTUKAN DISIPLIN PELAJAR

 

 

  1. PENDAHULUAN

Pembentukan disiplin di sekolah adalah sama pentingnya dengan penyebaran ilmu pengetahuan. Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di sekolah mempunyai perkaitan yang rapat dengan kesempurnaan disiplin pelajar. Untuk mendapatkan gambaran mengenai soal dan keadaan disiplin sekolah dikatakan serius sehingga menggangu-gugat pengawasan pengajaran dan pembelajaran adalah merujuk kepada kajian yang telah dijalankan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pelajaran Kementerian Pendidikan pada tahun 1979. Kajian juga telah dilakukan oleh Unit Disiplin Bahagian Sekolah-sekolah dalam tahun 1984 dapat memberikan perspektif yang betul. Kajian menunjukkan masalah disiplin disekolah menengah hanya sebanyak 2.2% kes kesalahan setahun yang kebanyakannya merupakan kes sederhana berat. Dalam kajian Reynolds (1977) menunjukkan bahawa sekolah yang kadar hukuman deranya tinggi mempunyai lebih masalah tidak berdisiplin daripada sekolah yang lain. Jadi masalah tidak berdisiplin perlu ditangani dengan bijak oleh pihak sekolah dan pihak lain-lain yang berkenaan untuk mengelakkan kes-kes yang lebih teruk berlaku.

  1. RASIONAL PEMILIHAN TAJUK

Tajuk ini menjadi pilihan kami memandangkan generasi pelajar pada hari ini adalah merupakan aset penting bagi negara untuk masa hadapan. Oleh itu pihak sekolah, ibu bapa dan lain-lain pihak yang terlibat perlu bekerjasama untuk sama-sama cuba menangani masalah displin pelajar di peringkat awal lagi. Pelbagai tindakan dan dendaan atau hukuman telah diambil oleh pihak-pihak yang terbabit, namun masalah displin dikalangan pelajar masih juga tiada penghujungnya.

Isu disiplin dan pelajar ini semakin hari semakin serius dan hangat diperkatakan. Namun, sehingga kini masalah ini masih tiada jalan penyelesaiannya dan kadang kala menimbulkan rasa kecewa terutama di kalangan pendidik yang sering dipertanggungjawabkan ke atas masalah disiplin di kalangan pelajar-pelajar. Maka adalah wajar untuk kita sebagai bakal pendidik di masa hadapan , bertanggungjawab untuk sama-sama cuba memikirkan apakah jalan penyelesaian yang terbaik untuk menangani masalah ini.

3.0 TAKRIFAN TAJUK

Denda

Peters dalam bukunya yang bertajuk Ethics and Education (1966) dan The Logic of Education (1970) telah mendefinisikan denda sebagai mengenakan kesakitan dengan sengaja oleh orang yang berautoriti ke atas seseorang yang melanggar peraturan dan ke atas sesorang yang melakukan sesuatu yang tidak menyenangkan.

Pembentukan

Kamus Pelajar terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka telah mendefinisikan pembentukan sebagai perbuatan atau hal membentuk. Daripada sini dapatlah dibuat kesimpulan bahawa langkah-langkah yang dijalankan bagi memastikan bahawa pelajar akan mematuhi disiplin dan menjadikan pelajar insan yang berguna.

 

Disiplin

Kebanyakan kamus memberikan berbagai definisi tentang perkataan disiplin. Walau bagaimanapun, di antara kebanyakan definisi kamus yang sering digunakan ialah latihan membentuk, membetul atau melengkap suatu sistem peraturan tentang tingkahlaku atau aturan yang di adakan untuk murid-murid sekolah dan lain-lain. Namun begitu, definisi yang diberikan oleh Laporan Jawatankuasa Kabinet adalah terhad iaitu kehidupan bilik darjah seharian disiplin bererti aturan atau kawalan yang dikenakan dari luar.

4.0 TEKNIK MENGHADAPI MASALAH DISIPLIN

Guru juga adalah berperanan sebagai pengurus. Guru akan menjadi pengurus yang berjaya sekiranya berupaya menghadapi masalah disiplin dengan menggunakan teknik tertentu. Antaranya ialah memonitor bilik darjah dengan lebih kerap. Sentiasa berjalan-jalan dalam bilik darjah dan secara tak langsung menunjukkan kehadirannya kepada pelajar, oleh itu pelajar akan merasa takut untuk melakukan tingkah laku yang melanggar disiplin. Guru juga boleh menggunakan perhubungan mata secara berkesan. Guru boleh berdiri berhampiran dengan pelajar dan mengarahkan perhatian pelajar yang mempunyai masalah tingkah laku pada sesuatu aktiviti.

Masalah yang lebih serius boleh dihadapi dengan menghentikan tingkah laku yang melanggar disiplin dengan memanggil namanya dan membetulkan tingkah laku mereka. Sebagai contoh sewaktu anda sedang mengajar ada pelajar yang bercakap dan guru boleh menghentikan tingkah laku demikian dengan memanggil nama pelajar dan menyuruh mereka berhenti berbual. Tetapi dalam pertengkaran dan perbalahan, guru perlu mengkaji punca situasi itu kerana ia kurang jelas atau kabur. Jika terdapat kes di mana situasi adalah jelas, guru tidak perlu menyoal atau berleter lagi dan guru bolehlah mengenakan denda yang sesuai. Walau bagaimanapun guru tidak boleh memberi ancaman kerana ini boleh menimbulkan konflik di antara guru dan murid.

5.0 KONSEP DENDA

Denda bolehlah juga dikatakan sebagai insentif untuk memperbetulkan tingkah laku pelajar. Seorang ahli kaji jiwa telah menyatakan bahawa insentif atau dorongan yang negatif amat penting dalam kehidupan seharian. Mendenda bukanlah perkara yang disukai oleh guru dan pelajar. Biasanya, perkara ini boleh dielakkan tetapi guru perlu mengetahui bila, bagaimana dan dendaan jenis apa yang sesuai untuk digunakan.

Dendaan perlu dibezakan daripada dendam dan benci. Menurut Peters dalam bukunya Ethics and Education (1966), kesalahan yang dihukum merupakan kes membalas dendam dan bukan dendaan jika yang menghukum itu tidak ada autoriti. Sebagai contoh pelajar telah membocorkan tayar kereta guru. Dalam hal ini, jika guru menghukum pelajar atas alasan kerugian yang telah beliau alami, maka ini adalah kes membalas dendam. Namun begitu jika pelajar dihukum oleh guru kerana kesalahan membocor tayar, maka ia adalah satu kes denda.

Oleh itu perlulah diambil perhatian oleh guru apakah tujuan mereka menghukum dan juga samada mereka mempunyai autoriti atau tidak. Selain itu, jenis dan kadar hukuman yang dikenakan juga perlu dipertimbangkan, ini adalah kerana apabila dendam yang terlibat biasanya hukuman yang dikenakan adalah lebih berat daripada yang sewajarnya. Para guru perlu berhati-hati dalam menggunakan denda supaya tidak dieksploitasi oleh pelajar.

  1. BENTUK DENDAAN

Abdul Rahman dan Zakaria Kasa dalam bukunya Falsafah dan Konsep Pendidikan telah membahagikan dendaan kepada tiga jenis seperti berikut :

Teori Pembalasan

Teori ini melihat kembali atau ke belakang akan kesalahan yang dilakukan dan memastikan bahawa dendaan adalah sesuai dengan kesalahan. Walau bagaimanapun, adalah sukar untuk menentukan jenis dendaan yang sesuai dengan pelanggaran peraturan yang dilakukan oleh pelajar. Oleh itu faedah dendaan berbentuk pembalasan adalah kurang kerana kemungkinan tingkah laku pelajar masih tidak dapat diubah malahan boleh membangkitkan perasaan marah dalam diri pelajar kepada gurunya.

Teori Pencegahan

Teori ini mengatakan bahawa dendaan yang dikenakan adalah bertujuan untuk mencegah daripada berulangnya pelanggaran tingkah laku. Apa yang menjadi isu di sini teori ini ialah pertenglingkahan di antara keadilan dan pertimbangan untuk kepentingan ramai. Sebagai contoh ialah guru mendenda semua pelajar yang berada dalam kelas apabila guru gagal mencari pelajar yang melakukan kesalahan. Guru sepatutnya membuat pilihan di antara keadilan dan kepentingan ramai. Daripada contoh tadi guru telah mengambil keputusan mencegah untuk kepentingan ramai daripada mengutamakan keadilan kerana pesalah yang sebenar tidak dikenakan hukuman. Telah menjadi isu ialah apabila guru mendenda semua pelajar, guru telah menganiayai pelajar yang tidak bersalah.

Dendaan Berbentuk Pemulihan

Seorang penulis Nash (1966) berpendapat bahawa dendaan jarang-jarang sekali memulih pembuat kesalahan kecuali ada perhubungan yang benar-benar mesra serta penuh dengan kasih sayang di antara yang membuat kesalahan dan yang mendenda. Tetapi tidak ramai guru yang mempunyai pengetahuan dan kemudahan yang ada pada mereka dapat memulih pelajar-pelajar liar. Jika kita lihat sekarang ini majoriti sekolah mengadakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di mana pakar-pakar psikologi ditempatkan untuk menolong memulihkan pelajar-pelajar berkenaan. Teori ini lebih banyak mendidik pelajar menjadi manusia berguna kerana pemulihan yang dibuat telah menggantikan dendaan.

Teori ini juga sesuai dengan situasi sekolah iaitu bersifat pemulihan, pendidikan atau perubahan ke arah yang lebih baik. Jika kita lihat kepada matlamat sekolah juga ialah ingin memajukan sesuatu yang berfaedah seperti perkembangan pelajar sebagai individu yang bebas, maka dendaan yang berbentuk pemulihan adalah amat sesuai.

Ketiga-tiga teori denda iaitu pembalasan, pencegahan dan pemulihan ada kelebihan dan kelemahannya. Oleh yang demikian, janganlah diutamakan satu teori sahaja dan mengenepikan yang lain. Apa yang diminta ialah satu pemahaman yang betul mengenai pembalasan sebagai asas utama dendaan sambil dipertinbangkan fubgsi-fungsi atau matlamat pencegahan dan pemulihan sesuatu dendaan itu.

7.0 MENDENDA SECARA BERKESAN

Kerjaya guru bukanlah seperti mata-mata gelap yang harus mancari semua kesalahan pel;ajar den kemudiannya mengenakan denda. Guru mesti tahu bila dan bagaimana menggunakan denda yang tidak merosakkan. Ada guru yang berpendapat bahawa denda hanya sesuai untuk tingkahlaku yang diulang, tetapi jika pelajar menunjukkan usaha membaiki tingkah lakunya, maka jangan dikenakan denda. Ada benarnya pendapat ini kerana pelajar yang telah sedar akan kesalahannya tetapi masih dikenakan denda akan hilang keyakinan kepada guru berkenaan. Denda disarankan digunakan apabila sudah tiada jalan yang sesuai lagi.

Menurut Bandura (1961), denda mengurang dan mengawasi tingkah laku tetapi dengan sendirinya tidak mengajar tingkah laku yang diingini atau mengurangkan keinginan untuk bertingkah laku buruk. Oleh sebab itu mendenda perlulah dibuat setimpal dengan tingkahlaku yang bermasalah atau syarat juga boleh dikenakan supaya pelajar berusaha mengelakkan denda dengan memperbaiki tingkah lakunya. Denda boleh diberi dalam pelbagai bentuk iaitu menyisih atau mengasingkan pelajar yang bermasalah dari kumpulan, menghadkan hak-haknya, dan memberikan kritikan yang tajam.

Ada juga pelajar yang mengalami masalah emosi dan personaliti yang memerlukan rawatan yang istimewa. Beberapa langkah telah dimajukan dalam beberapa penulisan dan daripada kajian iaitu seperti di bawah.

  1. Megelakkan daripada memberi gelaran. Perbincangan hendaklah secara sulit dabn bukannya didepan kelas.
  2. Menegaskan tingkah laku yang diingini dengan menggunakan peneguhan positif. Adalah didapati jikalau guru menggunakan ancaman dan ugutan, murid tidak mungkin memperbaiki dirinya dan berulangnya tingkah laku yang bermasalah.
  3. Memberikan fokus kepada tingkah laku pelajar yang berkaitan dengan sekolah. Pelajar yang ada masalah dirumah perlu dianggap sebagai normal bukan individu yang mesti dikesani.
  4. Menjalinkan perhubungan yang baik dengan pelajar dan jadikan hubungan ini untuk mempelajari kecacatannya.

Walau bagaimanapun sedikit denda jika digunakan pada ketika tertentu banyak manfaatnya. Ada teori mengatakan tingkah laku yang baik sahaja yang perlu diperhatikan dan diberi ganjaran. Tingkah laku nakal harus jangan diberi perhatian langsung. Walaupun demikian, dalam keadaan semulajadi bilik darjah , setengan tingkah laku pelajar amat berbahaya jika dibiarkan saja, oleh itu denda yang dikenakan haruslah berkesan.

  1. ISU-ISU

8.1 SEJAUH MANAKAH HAD KUASA GURU DALAM MELAKSANAKAN

DISIPLIN SEKOLAH

Guru memainkan peranan yang penting dalam melaksanakan disiplin sekolah kerana guru adalah orang yang rapat sekali dan mempunyai hubungan langsung dengan murid. Oleh sebab itu pelaksanaan disiplin sekolah adalah tanggungjawab dan tugas setiap guru dan bukan semata tanggungjawab Guru Besar, Penolong Kanan dan Guru Disiplin sahaja.

Guru memainkan peranan dan tanggungjawab bukan sahaja setakat mengajar tetapi juga mendidik. Mereka membentuk sikap, nilai dan akhlak para pelajar melalui pembentukan disiplin yang baik. Dalam buku Pengurusan Sekolah ada menyatakan bahawa matlamat akhir guru adalah membentuk disiplin kendiri yang baik. Penulisnya Omardin Ashaari juga ada menyatakan peranan guru dalam melaksanakan disiplin adalah dengan mengawas disiplin dalam bilik darjah, disekitar sekolah dan dalam kegiatan luar sekolah.

Ordinan Pelajaran 1957 dan Pekeliling Ikhtisas yang diedarkan oleh Bahagian Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan 1968 dijadikan landasan untuk membentuk tatacara disiplin di sekolah-sekolah diseluruh Malaysia. Namun begitu, dari kajian yang telah dilakukan oleh Jawatan kuasa Disiplin sekolah, didapati bahawa pihak sekolah mengambil tindakan yang berbeza-beza ke atas kes yang sama. Ini adalah kerana pentadbir sekolah diberi kuasa menggunakan budi bicara mengikut Buku Panduan Disiplin yang menimbangkan tindakan yang setimpal dan berdasarkan persekitaran persekolahan, latar belakang pelajar, kekerapan melakukan kesalahan dan alasan pelajar melakukan kesalahan tersebut.

Kuasa guru dalam melaksanakan undang-undang disiplin tidak dapat dipertikaikan lagi kerana ia telah termaktub dalam Ordinan tapi perlu mengikut prosedur yang telah ditetapkan dalam Peraturan 4, Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) iaitu :

    1. keadilan hendaklah diamalkan
    2. seseorang tidak boleh dihukum tanpa belaan dirinya.

3. stiap individu yang dituduh hendaklah diberi peluang dan hak untuk didengar.

Oleh itu, guru mestilah adil dalam menjatuhkan hukuman kepada pelajar dan pelajar juga perlu diberi peluang untuk mengemukakan alasan-alasan terhadap perlanggaran disiplin itu untuk membela diri mereka.

Buku Pengurusan Sekolah tulisan Omardin Ashaari ada menyebut mengenai dendaan yang boleh diamalkan untuk mengatasi masalah disiplin terdiri daripada hukuman biasa dan berat. Hukuman biasa yang boleh dikenakan kepada pelajar yang didapati melakukan kesalahan kecil adalah seperti rotan, amaran, dan penahanan. Jikalau pelajar melakukan kesalahan yang serius dengan mengancam guru, merosakkan harta benda, penggantungan bagi tempoh tertentu dan pembuangan sekolah dikenakan ke atas diri mereka. Pada masa penggantungan pelajar tidak dibenarkan memasuki kawasan dan menggunakan kemudahan sekolah.

Itu adalah antara hukuman-hukuman yang disarankan dan begitu jugalah pendapat beberapa orang penulis lain. Walau bagaimanapun, dalam Peraturan ( c ) menyatakan guru Besar atau Pengetua boleh menggenakan hukuman yang difikirkan sesuai. Oleh itu hukuman yang pada pendapat orang ramai tidak sesuai seperti yang berbentuk penyeksaan, cacian dikhalayak ramai atau lain-lain hukuman yang liar perlu dielakkan.

Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 telah menetapkan guru besar adalah orang yang bertanggungjawab dan diberi kuasa mengambil tindakan terhadap pelajar yang melanggar disiplin tertentu. Namun begitu, Guru Besar boleh menurunkan kuasanya kepada guru lain, khasnya Penolong Kanan, Penyelia Petang, Guru Disiplin, Guru Bimbingan dan Kaunseling atau Guru Kelas.

Guru biasa bertanggungjawab dalam mengawal disiplin pelajar walaupun mereka jarang diberi kuasa untuk menghukum. Guru tidak hanya mengawas pelajar dibilik darjah tetapi juga semasa aktiviti luar bilik darjah dijalankan. Di dalam buku Dinamika Sekolah Dan Bilik Darjah tulisan Kamarudin Hj Hussin, menyatakan tindakan yang boleh diambil oleh guru biasa ialah

    1. memberi amaran atau nasihat kepada pelajar yang melanggar disiplin sekolah.
    2. jika kes disiplin adalah ringan, guru boleh menghukum pelajar dengan menyuruhnya berdiri atau mengasingkan pelajar dari rakan.
    3. jika pelanggaran disiplin adalah berat, guru hendaklah menghantar pelajar yang berkenaan kepada Guru Besar untuk diberi nasihat dan tindakan yang sewajarnya.

Untuk kes berat guru perlulah memberi perhatian yang serius kerana ini akan melibatkan masa depan pelajar. Sebagai contoh, Sek. Men. Jalan San Peng, Kuala Lumpur, telah menggariskan Prosedur Tindakan Lembaga Disiplin untuk kesalahan berat, Lembaga Disiplin Sekolah akan menyiasat terlebih dahulu dan kemudian akan membuat keputusan samada buang atau gantung sekolah. Sekiranya pelajar digantung sekolah, tingkah laku pelajar berkenaan akan terus diperhatikan dan sekiranya tiada perubahan maka pelajar akan dibuang sekolah.

Sebagai rumusannya, guru seharusnya mencari pendekatan yang sesuai supaya mencapai matlamat akhir iaitu membentuk disiplin yang baik dalam diri pelajar. Namun begitu, untuk mencapai matlamat akhir itu guru sendiri seharusnya mempunyai disiplin yang baik dan menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada pelajar dengan sentiasa bertata tertib , berbudi bahasa serta bijak dalam menghadapi masalah.

 

Isu Dalam Akhbar

Terdapat satu kes dalam akhbar yang berlaku di Taiping yang bertarikh 18 Julai 1997 yang bertajuk Pelajar Patah Tangan Dirotan. Pelajar lelaki berkenaan telah dirotan 4 kali kerana menyaksikan menyaksikan permainan sepak takraw oleh rakan mereka dalam blik asrama. Bagaimanakah hukuman rotan dikenakan dan adakah guru berkenaan bersalah kerana menyebabkan kecederaan? Di sini tidak menjadi isu dan pelajar tidak boleh menyaman guru sekiranya terdapat dalam undang-undang sekolah hukuman rotan akan dikenakan sekiranya pelajar melakukan kesalahan yang berkenaan. Prosedur yang telah ditetapkan oleh Ordinan Dalam Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 telah menyatakan bahawa hukuman dera yang hendak dijalankan perlu menggunakan rotan ringan dan pukulan rotan hanya boleh dibuat pada tapak tangan atau bahagian punggung yang dilapik dengan pakaian.

Dalam melaksanakan proses hukuman, untuk mengelakkan guru yang melaksanakan hukuman teraniaya , Peraturan 5 ada menyebut bahawa guru perlu merekod jenis hukuman, ditandatangani oleh Guru Besar dan disaksikan oleh seorang guru lain sebagai saksi. Dalam Bereita Harian yang bertarikh 4 September 1997, telah melapurkan bahawa, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Khalid Yunus iaitu berikutan daripada peningkatan kes jenayah yang melibatkan pelajar sekolah, guru terutamanya Guru Disiplin akan dilindungi oleh Undang-undang ketika mereka menguatkuasakan atau meaksanakan peraturan sekolah.

Oleh itu selagi guru yang melaksanakan hukuman mematuhi tatacara yang telah ditetapkan dalam Ordinan dan undang-undang sekolah maka guru berkenaan terselamat daripada segala tindakan yang diambil oleh pihak pelajar yang bersalah termasuk tindakan mahkamah.

  1. SEJAUH MANA KEBERKESANAN HUKUMAN ATAU DENDA

TERHADAP PEMBENTUKAN DISIPLIN PELAJAR

Seperti yang sedia maklum masalah disiplin dikalangan pelajar-pelajar sekolah kian hari semakin membimbangkan. Oleh itu pelbagai tindakan telah diambil dan dirancang oleh pihak-pihak terbabit bagi mengatasi masalah masalah disiplin dikalangan pelajar ini.

Di antaranya beberapa langkah yang diambil oleh pihak sekolah adalah seperti hukuman rotan, gantung sekolah, buang sekolah dan lain-lain lagi. Ini dapat dilihat malalui laporan-laporan akhbar tentang masalah disiplin dan salahlaku pelajar sekolah serta tindakan yang diambil. Persoalan yang timbul adalah sejauh mana keberkesanan tindakan yang diambil terhadap pembentukan disiplin sekolah. Kita boleh melihat kesannya dari dua sudut iaitu kesan positif dan negatif. Contohnya seperti berikut :

  1. Hukuman Penyingkiran Pelajar

Kesan Positif

Kesan positif dapat dilihat dengan jelas melalui tindakan penyingkiran pelajar yang merokok setelah tiga kali melakukan kesalahan yang sama. Ini secara tidak langsung dapat menyelesaikan pelajar yang merokok di sekolah dan dapat menjadikan sekolah sebagai kawasan yang bebas dari gejala merokok. Sebagai mana yang dilaporkan dalam akhbar Berita Harian pada 13 Mei 1997 di mana Kementerian Pendidikan telah mengarahkan pihak sekolah menyingkirkan pelajar yang merokok selepas tiga kali melakukan kesalahan yang sama. Tindakan ini diambil selepas dikenakan hukuman amaran, rotan dan gantung persekolahan pada kali pertama dan kedua kesalahan tersebut.

Hukuman ini telah diumumkan sendiri oleh Menteri Pendidikan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, memandangkan kes ini adalah serius dan perlu ditangani dengan segera. Ibu bapa juga akan menghadapi tindakan sekiranya mencampuri tindakan sekolah yang menjalankan hukuman ke atas anak mereka.

Kesan Negatif

Bagaimanapun tidak kurang pula kesan negatif yang boleh dipersoalkan ekoran daripada tindakan disiplin ini. Amntara nya sebagai mana yang menjadi isu kepada akhbar tempatan China Press iaitu adakah hukuman tegas sebagaimana yang dicadangkan itu akan membawa kepada masalah sosial seperti merokok yang lebih serius. Walaupun masalah merokok di sekolah dapat diatasi tetapi bagaimana pula diluar sekolah. Masalah ini merupakan asas atau bibit -bibit awal kepada masalah sosial yang lain.

Bagi mereka yang dibuang sekolah, ke manakah pula haluan yang seterusnya? Apa yang jelas, pelajar yang disingkirkan itu mungkin boleh dilihat sebagai cara untuk menyelesaikan masalah disiplin disekolah, tetapi hakikat sebenarnya memberitahu kita ia cuma menjadikan masalah remaja itu berubah kepada masalah sosial yang lebih besar sahaja. Ini kerana remaja yang terlalu awal disingkirkan oleh sekolah akan mudah terpengaruh dalam gejala buruk dalam masyarakat.

  1. Hukuman Rotan

Kesan Positif

Selain daripada hukuman penyingkiran pelajar, hukuman rotan juga merupakan satu hukuman yang berat dan menyakitkan. Hukuman ini menjadi amalan biasa di sesetengah sekolah sebagai salah satu cara untuk mengatasi masalah disiplin di sekolah. Contohnya bagi kesalahan merokok pertama kali di sekolah, pelajar akan dirotan sebelum disingkirkan.

Guru patut diberi sedikit hak dan kuasa untuk memukul pelajar bagi mengawal disiplin di kalangan pelajar yang kini ditahap membimbangkan. Ibu bapa dan media perlulah lebih adil dan rasional apabila berdepan dengan kes guru memukul anak mereka. Tidak ada seorang gurupun yang mahu memukul pelajarnya sesuka hati tanpa sebarang sebab. Guru adalah pendidik dan berpendidikan, mereka tahu natijahnya jika mereka memukul pelajar ( Dewan Masyarakat, Januari 1997).

Menurut menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datok Dr. Abdul Hamid Othman, adalah wajar memukul sebagai satu hukuman terhadap salah laku kanak-kanak dan ini dibenarkan sendiri dalam Islam kerana ia adalah kaedah pengajaran yang berkesan. Beliau juga berpendapat ibu bapa sepatutnya memberi sedikit kelonggaran kepada guru untuk memukul anak mereka yang melakukan kesalahan bagi membentuk disiplin dan keperibadian mereka. Ini kerana apabila seseorang pelajar menerima hukuman seperti rotan, pelajar tersebut akan merasa sakit dan serik untuk melanggar peraturan sekolah lagi. Manakala pelajar-pelajar lain yang melihat hukuman ini dijalankan juga akan merasa ngeri untuk melakukan kesalahan tersebut. Oleh itu masalah pelanggaran disiplin dapat diatasi.

Kesan Negatif

Bagaimanapun disamping memberi kesan yang positif terhadap pelaksanaan hukuman rotan, ia juga turut memberi kesan negatif kepada pelajar. Ini kerana walaupun hukuman ini pernah diiktiraf dan diakui keberkesanannya pada suatu ketika dulu, tetapi kaedah ini dikatakan tidak sesuai pada masa sekarang memandangkan keadaan persekitaran yang berubah. Justeru itu keberkesanan hukuman rotan perlu dinilai semula, ini tidak bermakna hukuman rotan tidak boleh direalisasikan tetapi elok jadikan ia sebagai salah satu daripada alternatif yang boleh diambil.(Tamadun, Julai 1996).

Menurut Datok Dr. Abdul Hamid Othman beliau juga tidak menggalakkan penggunaan rotan kerana ia boleh meninggalkan kesan fizikal kepada pelajar yang dipukul. Pun begitu dalam melaksanakan hukuman rotan guru seharusnya berhati-hati sebelum sesuatu tindakan diambil. Hukuman yang dikenakan perlulah setimpal dengan jenis kesalahan yang dilakukan oleh pelajar. Guru sewajarnya tidak menyalahgunakan kelonggaran atau kuasa yang ada dan bertindak memukul pelajar dengan dorongan perasaan geram atau marah. Ini bertujuan mengelakkan gejala penderaan terhadap pelajar sekolah berlaku.

9.0 KESIMPULAN

Walau apapun masalah disiplin yang timbul, pelajar perlu dikenakan hukuman atau denda baik ringan atau berat bergantung kepada tahap kesalahan yang dilakukan. Pelaksanaan hukuman ini perlu kerana ia merupakan salah satu daripada kaedah atau cara pendidikan yang berkesan. Ini diakui sendiri oleh Datok Dr. Abdul Hamid Othman. Bagaimanapun sebelum pelaksanaan sesuatu hukuman, pihak ibu bapa hendaklah dimaklumkan terlebih dahulu supaya tidak timbul sebarang masalah berbangkit selepas sesuatu tindakan dilakukan. Namun begitu pihak sekolah juga harus bertanggung jawab sepenuhnya terhadap tindakan yang dibuat. Ini bertujuan mempastikan sesuatu tindakan yang diambil adalah wajar dan berpatutan dengan keslahan yang dilakukan. Secara tidak langsung dapat mengelakkan daripada timbulnya masalah guru mendera pelajar.

 

 

 

 

BIBLIOGRAFI

Abdul Rahman Aroff dan Zakaria Kasa, Falsafah dan Konsep Pendidikan, Siri Pendidikan

Fajar Bakti, 1987.

Ann Wan Seng, Disiplin Pelajar : Relevankah Hukuman Rotan? Tamadun, Julai 1996,

ms34.

Ibrahim Saad, Isu Pendidikan Di Malaysia, Edisi 2, Dewan Bahasa Dan Pustaka, 1986.

Kamarudin Hj. Hussin, Dinamika Sekolah Dan Bilik Darjah, Edisi 1, Siri Pengajian dan

Pendidikan Utusan, 1994.

Omardin Ashaari, Pengurusan Sekolah, Edisi 1, Siri Pendidikan dan Pengajian Utusan,

1996.

Rohaty Mohd Majzub, T. Subahari Mohd Meerah, Faridah Karim, Ahmad Jaffni Hassan,

Disiplin Dalam Pendidikan, Edisi 1, Nurin Enterprise.

Rusil, Dilema Guru : Disiplin atau Dera, Dewan Masyarakat, Januari 1997, ms50.

Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959.

Prosedur Tindakan Lembaga Disiplin, Sekolah Menengah Jalan San Peng, Kuala Lumpur.

Http: // intranet.psz.utm.my/index/akhbar/html.