Koleksi Kertas KajiSelidik Pelajar Sarjana Pendidikan Seksyen Tiga ITTHO

Koleksi Kertas Kerja Kajian Sistem Pendidikan Kebangsaan (MTT2353)



PENDIDIKAN DAN PROSES PENGAJARAN



1.0 PENGENALAN


Pendidikan adalah suatu proses pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan perhubungan atau komunikasi dan interaksi di antara individu dengan individu yang lain seperti seorang ibu dengan anaknya atau seorang pengikut dengan ketuanya atau seumpamanya. Ia juga boleh berlaku di antara individu dengan  beberapa individu yang lain seperti di antara seorang anak dengan kedua ibu bapa atau keluarganya atau dengan rakan sebaya, seorang guru dengan murid-muridnya atau seumpamanya.

Pendidikan juga merupakan suatu proses komunikasi dan interaksi di antara manusia dengan persekitarannya seperti sekolah, media massa, tempat tinggal, pekerjaan dan tempat bekerja serta institusi masyarakat lainnya.

Oleh kerana pendidikan adalah suatu proses penerimaan dan penyebaran maklumat, maka ilmu dan budaya yang tersebar secara langsung dan tidak langsung akan mempengaruhi perkembangan fizikal, sosial dan rohani manusia. Proses ini berlaku sehingga manusia mencapai keserasian dalam kehidupannya yang perlu berinteraksi dengan individu dan masyarakat serta alam dan dalam keperluan perhubungan beribadah kepada Tuhan (Allah s.w.t.)(Ab. Rahman Abu Bakar, 1992).

Al Quran telah memberi beberapa garis panduan sebagai asas bagi mewujudkan perhubungan atau interaksi yang berkesan di antara seseorang dengan seseorang insan yang lain. Di antara ayat-ayat Al Quran yang menjelaskan tentang perkara di atas ialah :
"Perkataan yang baik dan perbuatan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada memberi sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan) menyakitkan hati. Dan (ingatlah) Allah maha kaya dan maha penyantun".
								                  (Al-Baqarah: 263)

"Dan kalaulah engkau terpaksa berpaling daripada mereka untuk tidak melayani mereka kerana menuntut Rahmat Tuhan kamu yang kamu mengharapkannya, maka katakanlah kepada mereka kata-kata yang baik menyenangkan hati".			(Al-Isra' : 28)

"Maka rahmat Allah yang menyebabkan kamu berlemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu".
									(Al-'Imran : 159)

"Serulah (manusia) ke jalan (agama) Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat yang baik dan berbahasalah dengan mereka dengan cara yang sebaik-baiknya….."								(An-Nahl : 125)

Petunjuk-petunjuk dari ayat-ayat Al Quran di atas telah menggariskan bahawa hikmah kebijaksanaan, lemah lembut dan percakapan dan bahasa yang baik adalah menjadi asas bagi mewujudkan komunikasi dan interaksi berkesan di antara sesama insan. Manakala sifat-sifat keras dan kasar serta kata-kata yang menyakitkan adalah dilarang.
2.0 RASIONAL PEMILIHAN TAJUK
ISU 1
Kemahiran berkomunikasi boleh dikuasai melalui proses pembelajaran (Rosli Abd. Rahman, 1997). Melalui interaksi, seseorang itu dapat bertukar pendapat dan berkongsi pengalaman dengan individu lain. Individu yang mempunyai kemahiran berkomunikasi mempunyai peluang lebih baik untuk menyesuaikan dirinya dengan persekitarannya.

Dewasa ini kebanyakan majikan mendapati kekurangan keterampilan siswazah merupakan faktor penyebab pihak majikan berhati-hati mengambil mereka bekerja dalam firma swasta. Ekoran dari faktor ini, sebilangan besar siswazah gagal dalam temuduga pekerjaan sama ada di sektor awam atau swasta. Didapati bahawa kegagalan mereka dalam kemahiran berkomunikasi ini menjadi penyebab wujud masalah dari segi pergaulan, bekerjasama, cara berkomunikasi dan dalam pengurusan konflik. (Rosli Abd. Rahman, 1997). 

Dalam proses komunikasi, salah satu bidang yang mempunyai pengaruh yang paling kuat ke atas tingkah laku seseorang ialah persepsi diri seseorang atau konsep kendirinya. Keberkesanan berkomunikasi interpersonal berkait rapat dengan persepsi diri. Brooks dan Emmert (1976), menyatakan konsep kendiri ialah suatu faktor penting dalam komunikasi interpersonal. Hamachek (1990), berpendapat konsep kendiri dan personaliti sebagai sinonim.

Jelas di sini, individu yang mempunyai konsep kendiri positif biasanya dapat berinteraksi dengan orang lain dengan cara yang lebih baik. Kurang kemahiran berkomunikasi dan konsep kendiri di sekolah boleh menyebabkan pelajar sukar membuat penyesuaian diri dan sukar menyelesaikan masalah.


ISU 2
Pembinaan minda merentas kurikulum yang diajar di sekolah rendah dan menengah diperhebatkan lagi dengan pelancaran Program Gerak Gempur Minda 1997 bagi melahirkan pelajar yang berkemahiran berfikir secara lebih kritis dan kreatif.

Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Dr. Wan Mohd Zahid Mohd Noordin berkata, aspek tersebut masih kurang menonjol walaupun ia merupakan matlamat yang perlu ditekankan dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR).

Menurut beliau, secara umumnya, 95 % proses pengajaran dan pembelajaran sekarang masih berpusat kepada guru dan hanya 5 % membabitkan interaksi pelajar. Kelemahan ini tidak sewajarnya berlaku dalam bidang pendidikan yang kegiatan utamanya memerlukan aspek kemahiran berfikir serta pengembangan minda selain penekanan yang diberikan kepadanya di dalam KBSM dan KBSR.


	Daripada dua isu yang telah dikemukakan tersebut menunjukkan bahawa usaha ke arah mengutamakan aspek kemahiran dan keupayaan berkomunukasi perlu dipertingkatkan untuk kepentingan pelajar menyesuaikan diri di dalam masyarakat pada masa akan datang. Oleh itu kami telah memilih tajuk ini dengan membincangkan dari beberapa aspek seperti :
kepentingan komunikasi bilik darjah 
ciri-ciri komunikasi guru yang positif dan negatif 
ciri-ciri komunikasi yang disukai oleh murid 
ciri komunikasi guru yang boleh menghasilkan pengajaran yang berkesan
 halangan-halangan komunikasi bilik darjah  
cara untuk mengatasi halangan yang dihadapi 
cadangan dari aspek kesedaran dan kesediaan guru.











3.0 PERANAN SEKOLAH SEBAGAI INSTITUSI SOSIAL

Mengikut kamus Oxford (1969) menyatakan bahawa sekolah merupakan institusi untuk memberi pendidikan kepada para pelajar. Ia berlaku di mana ada masa dan ruang yang ditetapkan untuk melakukan pengajaran dan pembelajaran. Interaksi sosial pelajar dalam sistem pendidikan formal di sekolah berlaku dalam bilik darjah dan aktiviti ko-kurikulum. Bilik darjah merupakan unit interaksi sosial yang paling berpengaruh di sekolah (Syarifah Alawiah Al-Sagoff, 1988). Ini adalah kerana guru-guru berinteraksi dengan pelajar secara individu hampir setiap hari. Dalam keadaan persekolahan sekarang ini, kebanyakan proses pengajaran dan pembelajaran mencorakkan tingkah laku dan perbendaharaan kata pelajar (Syarifah Alawiah Al-Sagoff, 1988).

Sekolah memberikan pendidikan dan menghasilkan perubahan ke atas diri seseorang pelajar itu. Pendidikan yang didapati di sekolah merupakan proses dan aktiviti yang bertujuan untuk membawa perubahan kepada seseorang individu. 

Menurut Dewey, pendidikan harus berpusatkan kepada pelajar sebagai individu untuk melengkapkan dirinya dengan ciri-ciri insan yang sempurna pada keseluruhannya. Oleh itu, sekolah bukan merupakan institusi setakat untuk menyediakan individu itu bagi sesuatu latihan dan memperolehi pekerjaan tetapi membuat persediaan untuk mereka membangunkan masyarakat.


4.0 INTERAKSI ANTARA GURU DAN MURID DI DALAM BILIK DARJAH

4.1 Kepentingannya
Setiap orang guru perlu mahir dalam berkomunikasi, khususnya dalam bilik darjah. Sekiranya guru tidak faham serta mahir dalam berkomunikasi dengan murid-murid semasa mengajar sudah pasti sukar bagi seseorang guru itu untuk menjadikan pengajarannya berkesan dan bermutu.

Dengan komunikasi yang berkesan guru akan dapat menyampaikan isi pelajaran, ilmu pengetahuan, idea, maklumat, tunjuk ajar serta nasihat kepada murid-murid dengan baik dan tepat tanpa menimbulkan sebarang kekeliruan, kekaburan dan salah faham. Kegagalan guru berkomunikasi dengan berkesan bukan sahaja akan menyebabkan murid-murid menjadi kecewa, malah lebih buruk lagi ialah objektif yang dirancang bagi sesuatu sesi pengajaran itu tidak akan tercapai, serta sesi pengajaran pembelajaran menjadi hambar dan membosankan.

Guru juga perlu bijaksana menyusun strategi agar suasana berinteraksi di antara murid sesama murid berlaku secara harmonis, saling bantu membantu serta hormat menghormati supaya pembelajaran berlaku secara bermakna dan berkesan.

Dalam konteks bilik darjah, waktu untuk guru berinteraksi dengan murid-murid begitu terhad. Oleh itu segala maklum balas yang berlaku di antara kedua belah pihak bukan sahaja terjadi secara spontan dan perlu segera, malah ianya seolah-olah tidak langsung memberi kesempatan untuk merancang dan berfikir. Oleh kerana itu, apabila berhadapan dengan murid-murid, guru bukan sahaja perlu kreatif dan inovatif, tetapi mesti sabar, bijaksana, cekap dan optimis dalam menghadapi sesuatu situasi serta cabaran.("Classroom Life : Some Dimensions of Parallel Universes", 1994).

4.2 Corak Komunikasi dalam bilik darjah
Komunikasi merupakan proses penyampaian mesej, samada lisan atau bertulis. Sekiranya mesej yang dihantar oleh penyampai dapat difahami maksudnya oleh penerima, maka komunikasi berkesan telah pun berlaku. Sebagai seorang guru, komunikasi lisan berlaku apabila guru sedang menyampaikan pelajaran atau arahan untuk menjalankan sesuatu tugas amali. Ketika guru menulis sesuatu di papan hitam atau lutsinar untuk kegunaan murid-murid, maka komunikasi secara bertulis telah diamalkan. Dalam situasi berkenaan, nyata bahawa kemahiran berkomunikasi amat penting bagi seorang guru untuk mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.(Ee Ah Meng, 1996).

Ini bermakna komunikasi atau interaksi bilik darjah boleh berlaku secara lisan dan bukan lisan. Semasa waktu mengajar, guru berinteraksi dengan murid dengan bercakap, memberi penjelasan, menyoal soalan-soalan, berbincang, meneguh dan menegur, mengarah, memberi isyarat, menghampiri dan mendampingi murid, mengenakan denda dan sebagainya.

Flanders, 1970 (Edward dan Westergate, 1987) dalam kajiannya terhadap interaksi bilik darjah dikenali dengan Sistem Analisis Interaksi Flanders) telah merumuskan bahawa dalam sesuatu proses pengajaran yang berlaku dalam bilik darjah, seseorang guru bercakap dua pertiga daripada keseluruhan waktu mengajar. Percakapan guru itu secara langsung mempengaruhi murid-murid seperti dalam menyampai, memberi arahan dan mengkritik. Flanders meletakkan tanggungjawab utama mencorakkan interaksi bilik darjah itu adalah terletak di tangan guru.

Anderson dan Brewer's, 1946 (Dalam Amir Sharifudin, 1986) dalam kajiannya menunjukkan bahawa terdapat dua jenis tingkah laku guru apabila berinteraksi dengan murid-murid sewaktu mengajar dalam bilik darjah, iaitu jenis dominatif dan intergratif. Guru-guru yang bersifat dominatif menunjukkan ciri-ciri berkomunikasi dengan murid-murid seperti berikut :
Menentukan secara terperinci segala gerak geri murid
Enggan menerima langsung cadangan dari murid
Mengatur aktiviti murid tanpa mengkaji hubungan sesama mereka atau di antara murid dengan persekitaran bilik darjah
Suka menengking dan memarahi murid
Selalu memberi amaran
Gagal menyediakan kemudahan kepada murid



Guru-guru yang bersifat intergratif pula mempunyai ciri-ciri tingkahlaku seperti berikut :
Sentiasa bersetuju dengan cadangan murid
Menerima perbezaan pendapat dari murid
Memandu murid melengkapkan jawapan yang kurang sempurna
Mengambil bahagian bersama murid-murid di dalam aktiviti bilik darjah
Bersimpati dengan masalah murid
Memberi kebenaran atau menggalakkan murid-murid mencuba

Hasil kajian tersebut telah menunjukkan bahawa guru-guru yang bersifat dominatif lebih banyak membawa kesan negatif terhadap perkembangan dan kemajuan murid. Manakala guru-guru yang bersifat intergratif pula didapati lebih banyak mendatangkan kesan positif kepada pembelajaran murid-murid.

Dapatan tersebut terbukti memang berasas apabila kajian yang dibuat oleh beberapa orang pengkaji terkemudian seperti Taylor, 1962; Evan, 1962 dan Hollis, 1975 (dalam Noran Fauziah dan Ahmad Mahzan, 1990) telah menyenaraikan antara tingkahlaku guru yang disukai murid semasa berinteraksi dalam bilik darjah ialah :
Baik hati, mesra, peramah dan sabar sewaktu mengajar
Menggalakkan murid-murid menyoal dalam kelas
Sering menyelitkan humor atau unsur berseloroh semasa sesi pembelajaran
Membenarkan murid-murid melakukan banyak aktiviti dan dalam masa yang sama dapat mengekal ketenteraman dan disiplin kelas

Hamachek (1974) (dalam Noran Fauziah dan Ahmad Mahzan, 1990), mempercayai guru yang berkesan mempunyai unsur-unsur "kemanusiaan" iaitu guru yang mempunyai kualiti seperti suka berseloroh, bersikap adil, peramah dan baik hati. Hamachek juga menyebut tentang kajian-kajian lain yang menyatakan guru-guru sekolah menengah yang peramah dan bertimbang rasa, banyak menerima tulisan puisi dan lukisan daripada pelajar-pelajar mereka.


4.3 Ciri-ciri Interaksi Guru dan Pelajar di dalam Bilik Darjah yang berkesan
Motivasi pelajar untuk belajar adalah sangat berkaitan dengan sikap, perasaan dan kehendak mereka yang mana ianya bergantung kepada kualiti perhubungan dan interaksi di dalam suasana pembelajaran.(Wlodkowski, 1984) (dalam Classroom Life, 1994). Sebagai seorang pemimpin di dalam kelas, guru mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mengenalpasti keperluan pelajar dan untuk menggalakkan interaksi bilik darjah yang positif dan berkesan. Wlodkowski mencadangkan beberapa strategi untuk menghasilkan interaksi yang berkesan antara guru dan murid. Antaranya ialah :
Menggunakan teknik "Supportive communication behavior" untuk membantu interaksi yang bermakna.
Gunakan "direct" dan "spontaneous communication" iaitu menerangkan dengan jelas apa yang hendak disampaikan oleh guru dan cuba menerima pendapat pelajar terutama di dalam menyelesaikan masalah dan merancang aktiviti.
Gunakan struktur matlamat secara menyeluruh untuk memaksimumkan penglibatan pelajar
Sistem pendidikan di Malaysia telah mengalami banyak perubahan sejak merdeka, terutama dalam tahun-tahun 1980-an. Berdasarkan kepada Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran (1979), rancangan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) mula dilaksanakan di semua sekolah rendah di seluruh negara mulai tahun 1983, diikuti dengan rancangan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang mula diperkenalkan di semua sekolah menengah pada tahun 1989.(Mok Soon Sang, 1996).

Rancangan KBSR dan KBSM telah digubal dengan menekankan pengajaran yang berpusatkan murid. Bagi mempastikan sesuatu pengajaran pembelajaran itu berhasil dengan baik, beberapa ciri tingkahlaku berkomunikasi dalam interaksi bilik darjah telah disarankan, antaranya :
Guru menggalakkan murid berinteraksi secara teratur sesama murid, antara murid dengan guru dan antara murid dengan bahan-bahan
Menggalakkan murid-murid memberi pendapat sendiri serta peluang untuk mempertahankan pendapat tersebut mengikut cara dan gaya tersendiri
Memberi arahan secara lebih positif
Menggunakan penghargaan, ganjaran atau pengukuhan positif

Abdul Hamid Mahmood, 1990 (Prof. Dr.) telah menggariskan beberapa ciri komunikasi guru dan murid yang boleh menghasilkan pengajaran yang berkesan, antaranya ialah :
Mempunyai sifat penyabar, penyayang serta suka akan murid-muridnya. Sifat ini dapat melahirkan kemesraan antara guru dengan murid
Pandai menghargai dan memuji murid-murid. Penghargaan dan pujian yang diberikan hendaklah ikhlas dan jujur
Sentiasa bersikap positif dan bercakap tentang perkara yang baik dan benar. Elakkan daripada bersikap angkuh atau suka melemparkan kritik yang tidak beralasan
Air muka, pertuturan dan tindakan guru harus mencerminkan perhatian guru dan kejujurannya hendaklah membantu dan mendidik murid-murid
Menggunakan bahasa badan atau gerak geri yang sesuai dalam pengajaran
Sentiasa mewujudkan dan mengekalkan hubungan mata semasa bercakap atau berkomunikasi dengan murid
Sentiasa mengulang isi-isi penting
Sentiasa bertolak ansur dengan murid-murid dalam memberi maklumat atau pengajaran
Sentiasa memberi peluang kepada murid-murid untuk mengemukakan soalan atau maklum balas

Hasil daripada kajian-kajian yang dilakukan menunjukkan bahawa pengajaran dan pembelajaran yang bermutu dan berkesan boleh dihasilkan apabila perhubungan atau komunikasi bilik darjah berlaku secara berkesan. Perhubungan atau komunikasi boleh berlaku secara berkesan apabila interaksi guru dengan murid atau di antara murid sesama murid terjadi dalam suasana yang ramah mesra, lemah lembut, kasih sayang, hormat menghormati, sabar dan berdisiplin. Di antara hadis-hadis Rasulullah (Nabi Muhammad s.a.w.) yang menegaskan mengenai kesimpulan di atas ialah :

"Sesiapa yang tidak menyayangi kanak-kanak dan tidak menghormati hak orang yang lebih tua maka ia bukan dari golongan kami"
									(Riwayat Al-Bakhari)
"Sesungguhnya Allah menyukai sikap berlemah-lembut dalam semua hal"
									(Riwayat Al-Bakhari)

"Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu memberi salam apabila bertemu dengannya dan menyediakan tempat duduknya dalam sesuatu majlis serta panggillah ia dengan nama yang paling disenanginya"
									(Riwayat Al-Tabrani)










5.0 HALANGAN-HALANGAN DALAM INTERAKSI BILIK DARJAH

Menurut Mohd Amir Sharifudin Hashim (1986), terdapat juga halangan-halangan yang menyebabkan interaksi bilik darjah tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan iaitu :
Faktor fizikal
Seperti bangunan, dinding bilik dan kecacatan tubuh badan
Faktor bukan fizikal
Seperti peraturan-peraturan yang dilaksanakan dan faktor dalaman diri seseorang atau faktor psikologi seperti rasa takut, marah, ragu-ragu, malu dan sebagainya serta faktor masa.













6.0 MENGATASI HALANGAN BERINTERAKSI

Persoalan utama kita ialah bagaimanakah halangan-halangan tersebut dapat diatasi, terutamanya terhadap faktor dalaman diri atau faktor psikologi yang mendatangkan kesan yang sangat negatif terhadap pembelajaran murid serta juga pengajaran guru.

Sistem KBSR telah mengemukakan beberapa cadangan sebagai garis panduan bagi mengatasi masalah tersebut, antaranya ialah :
Melalui sistem pengaliran dan pengumpulan murid dengan mengecilkan bilangan murid dalam satu kelas
Memperkenalkan kaedah kumpulan mengikut kebolehan 
Pendekatan individu 
Menggalakkan penggunaan sumber sebagai media dan aktiviti-aktiviti gerakerja kelas, kumpulan dan individu dalam bentuk lembaran kerja, eksperimen dan sebagainya.

Walaubagaimanapun, menurut Ab. Rahman Abu Bakar (1992), ternyata bahawa saranan-saranan tersebut ada yang terlalu ideal dan sehingga sekarang tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh kerana kekangan infrastruktur dan tenaga guru, seperti pengecilan jumlah murid dalam satu bilik darjah. Rata-rata kebanyakan sekolah terpaksa menempatkan dalam lingkungan 40 orang murid dalam satu darjah.

7.0 CADANGAN DARI ASPEK KESEDARAN DAN KESEDIAAN GURU

Apa yang penting kepada kita ialah untuk meroboh halangan tersebut dengan memberi perhatian kepada situasi dalam setiap episod sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran, dari permulaan hingga penutup. Sebagai contoh, hasil kajian Wlodkowski, 1984 (classroom Life, 1994) mendapati permulaan sesuatu sesi pengajaran adalah detik yang paling penting dalam mencorak situasi pembelajaran seterusnya.

Sebenarnya permulaan bagi sesuatu sesi pengajaran itu berlaku sebaik-baik sahaja guru mula melangkah masuk ke dalam bilik darjah. Murid-murid dalam kelas terus memberi perhatian dan mula membuat tanggapan yang tersendiri serta membina sikap tertentu terhadap guru melalui sifat dan perawakan zahir yang diperlihatkan. (Wlodkowski, 1984)(dalam Classroom Life, 1994).

Guru yang masuk ke kelas dengan penuh ceria dan senyum , dengan mudah mendapat respon yang positif daripada murid. Dengan senyuman, ketegangan dapat dikendurkan dan kebuntuan dapat diatasi, lebih-lebih lagi apabila disusuli dengan sapaan yang bermakna seperti salam atau ucap selamat. (Ab. Rahman Abu Bakar, 1992).

Dalam sesuatu sesi pengajaran, apabila salam atau ucap selamat dilafazkan, dengan sendirinya tabir yang menghalang interaksi guru dengan murid mula tersingkap dan seterusnya mencorak situasi perhubungan guru murid dalam proses pengajaran pembelajaran yang selanjutnya.(Ab. Rahman Abu Bakar, 1992).
Di dalam Islam, saling memberi dan menjawab salam merupakan satu aspek ibadah yang menjadi faktor kepada hubungan kasih sayang, kesefahaman dan kemesraan di antara sesama insan kerana salam adalah doa dan harapan yang dirujuk kepada Allah (swt), manakala doa adalah pendidikan, ketenangan dan penguatan rohaniah yang berkait mesra dengan fitrah insan itu sendiri (Uthman Muhammady, 1991) (dalam Rosli Abd. Rahman,1997).

Kajian oleh Theodore Coladarci (1991) juga menunjukkan bahawa faktor percakapan dan panggilan murid juga memudahkan berlaku jalinan hubungan dan interaksi guru murid dalam bilik darjah. Guru yang bercakap dengan penuh bertenaga, sebutan yang tepat, jelas, berintonasi serta suara yang menarik lebih cepat menerima respon daripada murid, lebih-lebih lagi apabila diucap dengan tata bahasa yang betul dan tersusun.

Dialog-dialog bilik darjah yang kemas dan teratur, yang diselit dengan unsur-unsur berseloroh serta mesra dapat memurnikan lagi suasana interaksi bilik darjah. Begitu juga dengan menyebut nama atau singkatan nama atau panggilan khusus yang selalu diucap oleh keluarga dalam berinteraksi dengan murid lebih bermakna daripada penggunaan ungkapan panggilan umum seperti 'awak', 'kamu', 'anda' dan sebagainya.(Ab. Rahman Abu Bakar, 1992).

Menurut Ab. Rahman Abu Bakar (1992) faktor-faktor umum yang lain seperti motivasi, penggunaan sumber, aktiviti kumpulan dan lain-lain juga merangsang ke arah mewujudkan interaksi dalam pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Namun demikian, satu perkara yang tidak kurang pentingnya bagi mencapai matlamat yang dibincangkan ialah dari aspek kesedaran dan kesediaan guru sendiri dalam beberapa perkara yang disarankan di bawah :
Guru benar-benar mengenali serta faham akan masalah setiap orang murid secara individu
Guru benar-benar menguasai kurikulum serta kaedah dan teknik pengajaran
Guru sentiasa bermuhasabah untuk menilai pengajaran sendiri secara ikhlas setiap masa
Guru sentiasa meluaskan pengetahuan dan kemahiran kendirinya melalui pembacaan, peningkatan taraf akedemik dan profesional dengan melanjutkan pelajaran, mengikuti kursus, seminar, bengkel dan seumpamanya.










8.0 KESIMPULAN

	Maka jelaslah di sini bahawa interaksi antara pelajar dan guru memainkan peranan yang sangat penting di dalam mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang menarik. Untuk mewujudkan suasana interaksi sosial yang baik, guru dan pelajar perlu mengetahui peranan yang sebenarnya yang perlu dimainkan oleh setiap individu. Ini kerana dalam usaha menyesuaikan diri dalam masyarakat, pelajar dipengaruhi oleh berbagai-bagai egen sosialisasi termasuk keluarga, sekolah, rakan sebaya dan media massa. Sekolah sebagai institusi sosial bertanggungjawab mewujudkan interaksi sosial dan pembentukan sikap kepimpinan di kalangan pelajar dengan menekankan keberkesanan interaksi di dalam bilik darjah.











RUJUKAN:
Abdullah Yusuf Ali (1991), Al Quranul Karim, Terjemahan Dan Huraian Maksud, Terjemahan Uthman El-Muhammady, KL., DBP.

Abdul Hamid Mahmood (Okt.1990), Komunikasi Berkesan Asas Pendidikan Bermutu, Jurnal Dewan Bahasa, KL., DBP.

Ab. Rahman Abu Bakar (1992), Kearah Melahirkan Pengajaran Berkesan, Jurnal Dewan Bahasa, KL., DBP.

Edward, A.D. and Westergate (1987), Investigating Classroom Talk, London and Philadepia: The Falmer Press.
 
Ee Ah Meng (1996), Pendidikan Di Malaysia 1, Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Mohd Amir Sharifudin Hashim (1986), Pengurusan Bilik darjah: Interaksi Guru-Murid Dalam Bilik darjah, Kertas Kerja Ikhtisas Guru-Guru agama Islam, KPM: Bahagian Agama Islam.

Mok Soon Sang, (1996), Pendidikan Di Malaysia, Kumpulan Budiman Sdn Bhd, Kuala Lumpur.

Noran Fauziah Yaakob dan Ahmad Mahzan Ayob (1990), Guru dan Perguruan, Kuala Lumpur, DBP.

Rosli Abd. Rahman (1997), Kesan Latihan Kemahiran Berkomunikasi Terhadap Konsep Kendiri Pelajar Di Sebuah sekolah Menengah, Jurnal Pendidikan Malaysia.

Tan Sri Dr. Wan Mohd Zahid Mohd Noordin, , 4 April 1997, Gerak Gempur Minda Lahir Pelajar Kritis, Utusan Melayu.

Theodore Coladarci (1991), Teachers' Sense of Efficacy and Commitment to Teaching, Journal of Experimental Education, University of Maine.


Classroom Life : Some Dimensions of Parallel Universes, 1994, _ HYPERLINK http://barco.art.uiuc.edu/arted/clclife.html __http://barco.art.uiuc.edu/arted/clclife.html_.





 



return to main