KAJIAN SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN (MTT2353)

 

DUALISME DALAM PENDIDIKAN

 

 

1.0 RASIONAL PEMILIHAN TAJUK

Tertarik dengan isu-isu gejala sosial yang kelihatannya semakin membarah di dalam masyarakat dewasa kini, membawa kami untuk cuba mengupas permasalahan ini. Telah dikenal pasti, golongan terbesar yang telah terjerumus di dalam gejala yang amat tidak sihat ini, ialah golongan remaja.(Utusan Malaysia, 13 April 1994). Golongan ini ialah satu golongan yang dianggap masih mentah, punya akar yang masih belum tunjang dan masih tercari-cari arah matlamat yang boleh dijadikan pedoman dan panduan didalam membina jati diri. Dalam menggarap usaha untuk menangani permasalahan ini, kita tidak boleh lari dari perlu mengenal-pasti punca-punca dan faktor-faktor penyumbang kepada tompok-tompok hitam yang telah mencemarkan pemandangan corak pembangunan negara.

Dapatan dari pemerhatian para cendekiawan-cendekiawan juga para ilmuan, maka tebarislah satu senarai panjang dikatakan sebagai faktor-faktor terpanculnya masalah yang cukup mencabar kewibawaan masyarakat timur yang dikenali dengan tata susila juga kebanggaan adab sopannya. Persekitaran remaja dirumah, persekitaran di luar rumah, peranan ibu-bapa, peranan pendidikan (Utusan Malaysia, 13 April 1994), masalah kecelaruan falsafah dan dasar pembangunan negara (Berita Harian, 3 Jun 1998) juga beberapa senarai lagi yang telah dikenal pasti. Namun begitu, di dalam kertas kerja ini, kami penulis akan hanya memfokuskan kupasan kami kepada satu faktor yang cukup besar sumbangannya di dalam permasalahan ini, iaitu peranan pendidikan. Bukan hanya jika kerana kurangnya ilmu di dalam bidang ini, ia boleh menjadikan seseorang individu itu terumbang-ambing lantas mudah diserap dengan gejala-gejala yang sentiasa mengganas ini, bahkan dengan memahami, menjiwai dan mempraktikkannya juga ia boleh menjadi benteng yang cukup utuh daripada serangan-serangan anasir-anasir negatif tersebut.

Dalam membincangkan peranan pendidikan, kami akan cuba meluaskan pemahaman peranan pendidikan bukan setakat sistem pendidikan negara sahaja bahkan segala bentuk pendidikan yang boleh diperolehi oleh setiap individu itu samada secara rasmi iaitu di sekolah atau juga apa jua bentuk pendidikan yang boleh diperolehi di luar sistem persekolahan. Apabila menyentuh isu sistem pendidikan negara, beberapa cendiakawan dan ilmuan negara mendakwa sistem pendidikan yang mengamalkan dualisme adalah antara faktor yang paling ketara sumbangannya kepada kerapuhan jati diri remaja. (Dewan Budaya, Jun 1995), (Tamadun, Ogos 1997). Bahkan turut mengakui hakikat wujudnya dualisme dalam sistem pendidikan negara ialah Menteri Pendidikan sendiri, Dato’ Seri Najib Tun Abd. Razak, di dalam wawancara ekslusif beliau dengan majalah Dewan Budaya. (Dewan Budaya, 1995).

Dalam membincangkan isu dualisme di dalam pendidikan ini, kami akan cuba mengenal-pasiti sejauh mana kebenaran dakwaan bahawa ia merupakan faktor asas kepada masalah yang perlu segera ditangani ini. Oleh kerana dualisme didalam pendidikan yang diperkatakan hanya wujud di dalam bentuk konsep sahaja, maka kami akan cuba menyertakan beberapa bukti yang boleh menyokong hujah-hujah yang cuba disampaikan agar kertas kerja ini tidak menjadi satu bahan retorik.

  1. DEFINISI

Menurut Kamus Dewan Edisi Baru cetakan ke empat 1993, dualisme bermaksud "teori yang berasaskan dua dasar yang berlainan", atau "perihal yang mendua sesuatu yang berasaskan dua hal yang bertentangan"

Sementara itu Abdul Halim Ramli, didalam rencana tulisannya, Memecah Dualisme Harmoniskan Ilmu : Reformasi Sistem Pendidikan Menurut Perspektif Syeikh Mohamad Abduh dan Sayyid Ahmad Khan, dualisme dalam pendidikan ditakrifkan sebagai berikut :-

"....wujudnya dua sistem pendidikan yang berbeza iait sistem pendidkan tradisional Islam dan sistem pendidikan moden. Sistem pendidikan tradisional Islam lebih menumpukan perhatiannya terhadap ilmu-ilmu keagamaan semata-mata dengan mengabaikan ilmu-ilmu moden. Manakala sistem pendidikan moden hanya menitikberatkan ilmu-ilmu moden dengan mengabaikan ilmu-ilmu keagamaan". (Tamadun, Ogos 1997).

Sementara itu, tafsiran dualisme dalam pendidikan yang diberikan oleh Menteri Pendidikan, Dato’ Seri Najib Tun Razak ialah :-

".....masalah masyarakat Islam rata-rata, bukan sahaja di Malaysia, ialah kita telah mewujudkan dualisme di antara ilmu wahyu atau naqliah dengan ilum aqliah ataupun sciences." (Dewan Budaya, Disember 1995).

Nik Azis Nik Pa di dalam bukunya, Program Pendidikan Pintar Cerdas : Teori dan Praktik (1990) pula menyentuh dualisme sebagai ".....program pendidikan yang dimajukan di Barat tidak sesuai untuk masyarakat negara ini kerana program tersebut mengamalkan prinsip dualisme dan sekularisme yang memisahkan ilmu keduniaan dan ilmu agama."

Melalui ketiga-tiga definisi yang telah diberikan di atas, jelaslah bahawa dualisme dalam pendidikan yang diperkatakan ialah pengasingan di antara ilmu agama dengan ilmu selain agama, iaitu ilmu-ilmu lain yang mempunyai berbagai definisi, ilmu moden oleh Abdul Halim Ramli, ilmu sains oleh Menteri Pendidikan dan ilmu keduniaan oleh Nik Azis Nik Pa. Walaupun, ilmu-ilmu lain itu mempunyai berbagai nama, ianya datang dari satu punca iaitu Barat, sementelah lagi, negara kita Malaysia, kesan penjajahan British ke atas sistem pendidikan masih cukup jelas, bahkan ianya telah pun mendarah daging.

Oleh kerana, di peringkat awal kertas kerja ini, kami telah menyatakan bahawa sistem pendidikan yang cuba disentuh, bukan setakat sistem pendidikan negara, yang mendasarkan kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan, tetapi juga sebarang bentuk ‘pendidikan’ yang boleh diterima di luar sistem persekolahan. Seperti definisi yang telah diberikan oleh Kamus Dewan, dualisme bermaksud "perihal yang mendua sesuatu yang berasaskan dua hal yang bertentangan". Kami ingin cuba menyentuh satu aspek lain yang menurut pemerhatian kami, berkemungkinan sebagai faktor pokok kepada permasalahan gejala sosial yang serius ini iaitu masalah kecelaruan di dalam falsafah pembangunan negara.

Oleh kerana dualisme ialah merupakan sesuatu yang berasaskan dua hal yang bertentangan, maka kami akan cuba mengaitkan kewujudan dualisme di dalam falsafah pembangunan negara. Dualisme di dalam falsafah wujud kerana apa jua bentuk falsafah pun yang telah digariskan bagi negara kita, ialah datangnya dari sekumpulan pemimpin yang mempunyai idealogi yang sama. Muhamad Razak Idris, di dalam rencana beliau, Kecelaruan Falsafah Pembangunan Negara, membayangkan akan kewujudan cabang-cabang falsafah pembangunan yang mempunyai matlamat yang hampir tidak selaras. Antara lain beliau menulis :-

"Perancangan pembangunan negara kini seolah dalam pertembungan. Di satu pihak, wujud aliran nilai dan komitmen yang cukup tinggi untuk membangunkan generasi berasaskan budaya dan aspirasi Timur yang beradab mulia. Sementara pada aliran lain pula gigih menyemarakkan nilai dan tradisi asing terutama dalam aspek pemikiran dan gaya hidup kebendaan yang bersifat keseronokan. Hal inii dilihat dalam kekecauan gerak kerja dan dasar pada setiap pihak yang memaparkan kekaburan terhadap falsafah serta hala tuju pembangunan negara yang dihasratkan." (Berita Harian, 3 Jun 1998).

Kecelaruan falsafah yang cuba dibincangkan di sini ialah, ketidak selarasan di antara matlamat Falsafah Pendidikan Negara dengan falsafah pembangunan negara. Falsafah Pendidikan Negara telah digariskan dengan mempunyai matlamat yang begitu murni iaitu meletakkan pembangunan insan sebagai matlamat, bertentangan pula dengan falsafah pembangunan negara, jika dilihat melalui pemerhatian kita sendiri, iaitu lebih kepada pembangunan material. Seterusnya di dalam kertas kerja ini, kami akan cuba memperincikan bentuk dualisme yang telah pun diutarakan.

  1. BENTUK DUALISME

3.1. Dualisme Dalam Sistem Pendidikan Negara.

Pengasingan antara ilmu agama dan sekular di dalam sistem pendidikan negara, adalah perkara pokok kepada persoalan dualisme di dalam pendidikan. Cendiakawan dan ilmuan menyuarakan kebimbangan mereka akan kewujudan aliran ini di dalam sistem pendidikan kerana melihat kepada natijah yang terhasil akibat daripada perlaksanaan sistem begini di dalam pendidikan. Justeru itu, berbagai saranan telah diberi untuk cuba mengatasi permasalahan ini. (Tamadun, Ogos 1997).

Kebimbangan ini mendapat perhatian pucuk pimpinan kita, lantas terhasillah Falsafah Pendidikan Negara yang digariskan dengan penuh kesedaran, Falsafah Pendidikan Negara ialah :-

" Pendidikan di Malaysia adalah usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani dan jasmani berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara."

Berdasarkan kepada falsafah ini, kurikulum bersepadu di peringakat sekolah rendah dan menegah telah diperkenalkan bagi memastikan pembelajaran tidak lagi terpisah antara ilmu aqli dan naqli iaitu kesepaduan antra kemanusiaan dan bimbingan wahyu. Kita bercita-cita membangunakan generasi muda yang mampu melihat Islam sebagai agama yang bukan lagi bersifat ritual tetapi cara hidup yang syumul mencakupi keperluan seluruh komponen kehidupan manusia. Melalui falsafah ini dapat dilihat bahawa hasrat kerajaan cuba disalurkan melalui falsafah pendidikan ini, iaitu diharapkan sistem pendidikan kita berjaya mewujudkan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat. Malang sekali, sehingga kini cita-cita murni ini masih sukar ditafsirkan kejayaannya.

Isu yang cuba ditimbulkan di sini ialah, walaupun falsafah pendidikan itu telah digariskan dengan begitu teliti, dan kelihatan cukup sempurna, namun ianya tidak seiring dengan perlaksanan sebenar sistem tersebut. Dengan wujudnya pengasingan di antara ilmu agama dan sekular, matlamat murni ini sememangnya diyakini agak sukar untuk dicapai. Wujudnya pengasingan sekolah-sekolah aliran agama dan sekular inilah yang menjadi kekangan kepada matlamat untuk insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani dan jasmani berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan. Kita bercerita tentang kepercayaan kepada Tuhan, sedangkan kita tahu bahawa ianya tidak akan berjaya dilaksanakan jika sistem yang didasari tidak menitik beratkan kepentingan perkara ini.

Adakah sistem pendidikan yang sedia ada tidak mampu untuk menjadi benteng kepada remaja untuk menepis gejala-gejala sosial yang sentiasa mengejar mereka?. Menteri Pendidikan kita mengakui bahawa, sistem yang sedia ada masih belum mampu untuk menjadi perisai pertahanan diri remaja. Menurut beliau lagi masih banyak kelemahan yang perlu diatasi, dan penekanan ialah ke atas masalah dualisme antara sekular dan agama. (Dewan Budaya, Disember 1995). Sistem pendidikan Barat yang diamalkan sekarang terbukti gagal untuk membina konstruk sosial remaja. Bahkan ia juga gagal di dalam pembinaan falsafah moral dan kemasyarakatan. Model pendidikan Barat digerakkan oleh satu fahaman yang terlalu material kerana keghairahan masyarakat itu mempelopori dan menguasai pembangunan dunia melalui kuasa keilmuan mereka.

Jelaslah bahawa kefahaman dan penerapan nilai-nilai agama merupakan satu-satunya jalan penyelesaian kepada penyakit masyarakat ini. Adakah remaja kita benar-benar tidak tahu agama, maka mereka terjerumus ke kancah gejala sosial ini?.

Menurut Dr. Faizal , di dalam rencana tulisannya, adalah tidak benar sama sekali bahawa remaja kita dikatakan tidak tahu agama, kerana rata-rata remaja Islam tahu tanggungjawab ke atas agama yang perlu dilaksanakan, cuma mereka tidak mahu melaksanakannya. (Tamadun, ). Persoalannya adakah cukup hanya dengan tahu agama sahaja maka benteng sakshsiah diri boleh terbina ?. Keperluan agama yang bagaimanakah untuk membina jati diri seorang insan yang yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani dan jasmanai berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan ?.

Firman Allah :-

" Maka hadapkanlah dirimu (wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu) ke arah Din yang lurus sebagai fitrah Allah yang menciptakan manusia di atasnya, tidak ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu, inilah Din yang betul dan lurus, tetapi kebanyakkan manusia tidak mengetahui." (Al-Rum :30)

Dan seterusnya Firman Allah :-

"Wahai orang-orang yang beriman, masuklah ke dalam Islam itu keseluruhannya....." (Al-Baqarah : 208)

Jelaslah melalui dua ayat ini, bahawa pemahaman dan penerapan kepada agama itu hendaklah secara keseluruhannya, kerana agama itu adalah syumul. Begitu jugalah hal nya dengan sistem pendidikan kita.

Kesyumulan Islam itu, Allah jelaskan di dalam FirmanNya :-

"Tidak kami tinggalkan dalam kitab itu suatupun....." (Al-Anam : 38)

Di dalam hal ini Al-syahid Hassan Al-Banna menggambarkan kesyumulan Islam dengan mengatakan :-

"Islam adalah merupakan suatu perutusan (risalah) yang jangaka masa panjang meliputi setiap zaman yang mendatang. Pengisian lebarnya mencakupi pelusuhk dunia. Ketunjangan dalamnya meraut segala urusan dunia dan akhirat."

Sistem pendidikan negara tidak cukup dengan kurikulum bersepadu yang telah dirangka. Ianya memerlukan kesepaduan diantaran pendidikan yang bersifat metrial dan yang bersifat spiritual. Ini adalah kerana kesempurnaan sistem pendidikan Islam itu sendiri yang ingin melahirkan tenaga-tenaga mahir yang bertaqwa kepada Allah dan melakukan sesuatu dengan jujur dan berdisiplin menurut kehendak syariat Islam. (Nik Rosdi & Nik Kamaliah,1993).

Oleh kerana sistem pendidikan sekular telah lama berjalan dalam masyarakat, menyebabkan sistem Pendidikan Islam walaupun sempurna sifatnya sukar untuk dilaksankan sebagai mengganti sistem yang lapuk itu. Ianya terpaksa mengambil masa untuk membuat perubahan menyeluruh kepada sistem pendidikan tersebut.

 

3.2. Dualisme dalam falsafah pembangunan negara

Bertolak pula kepada aspek ke dua dualisme yang telah disentuh sedikit diperingkat awal kertas kerja ini, iaitu dualisme di dalam falsafah pembangunan negara. Persoalan ini telah disentuh dengan agak terperinci oleh Muhamad Razak Idris dari Universiti Islam Antarabangsa di dalam tulisannya Kecelaruan Falsafah Pembangunan Negara. (Berita Harian, 3 Jun 1998). Namun begitu agak sukar untuk menjelaskan dengan sempurna satu isu besar seperti ini hanya dengan separuh halaman akhbar harian. Walau apa pun, maksud yang cuba disampaikan oleh beliau masih boleh difahami dengan jelas.

Setiap falsafah yang ada di negara kita adalah datangnya dari sekumpulan pemimpin yang berlatar-belakangkan ideologi yang sama. Falsafah Pendidikan Negara, mengariskan matlamat pembinaan insan, namun begitu Dasar Pembangunan Negara dan Dasar Urbanisasi Negara, yang juga datangnya dari pimpinan yang sama, tidak langsung menyentuh tentang pembangunan manusia melainkan hanya dari segi material sahaja. (Sila lihat Lampiran). Muhamad Razak Idris, menulis :-

‘Dalam penelitian kini, falsafah pembangunan kita hanyalah kerana ingin membangun. Kita seolah-olah berpuas hati dan terpegun terhadap pembangunan negara dengan keupayaan kita mendirikan bangunan pencakar langit, menara tertinggi,............. Adakah itu saja cita-cita pembangunan?.’ (Berita Harian, 3 Jun 1998)

Kecelaruan ini menghasilkan turut mewujudkan kecelaruan minda pelajar. Jalan manakah yang harus dituju?. Di sekolah, guru-guru berusaha untuk membina jati diri pelajar dengan menerapkan nilai-nilai murni yang telah digariskan melalui Falsafah Pendidikan Negara, bahkan mereka turut bertanggung-jawab ke atas satu senarai panjang tugas-tugas untuk memastikan matlamat ini tercapai. Malang sekali usaha- usaha ini, hanya terbatas di sekolah sahaja dan terurai sebaik sahaja pelajar melangkah keluar dari pagar sekolah.

Tidak ramai pelajar yang berjaya menyerap nilai-nilai yang telah ditanam di sekolah, mahu pun di rumah. Lebih ramai pelajar yang menjadi mangsa pembangunan, nilai yang cuba ditanam masih belum utuh untuk menepis cabaran-cabaran yang menanti di luar sistem pendidikan rasmi. Ini terbukti melalui pendedahan Jabatan Pendidikan Selangor (JPS) terhadap masalah salah laku dan masalah disiplin yang melibatkan pelajar di seluruh Selangor. Sepanjang tahun 1993, terdapat lebih 19,000 kes salah laku dan disiplin di negeri Selangor termasuk 384 kes tingkah laku lucah. (Utusan Malaysia, 13 April 1994). Aliran-aliran di luar sistem pendidikan ini dengan ganasnya merobek sistem nilai serta falsafah akhlak yang diterap di peringkat persekolah. Pelajar menghadapi dilema dalam melakukan penilaian antara bimbingan guru di sekolah atau desakan pengaruh dari pesekitaran yang sama sekali bercanggah daripada teras nilai dan fasafah akhlak yang mereka pelajari. Apabila mengimbas kembali maksud dualisme di dalam Kamus Dewan, sesuatu yang berasaskan dua hal yang bertentangan. bukankah kecelaruan ini juga boleh dikategorikan sebagai dualisme ?.

  1. NATIJAH DUALISME

Ke dua-dua dualisme ini telah terbukti menjadi faktor penghalang utama kepada pembinaan jati diri remaja. Cabaran-cabaran yang sukar ditepis ini lebih tertumpu kepada golongan remaja yang masih lemah dan mudah dipengaruhi. Kupasan seterusnya ialah ke bahagian manakah di dalam masyarakat kesan negatif yang terhasil daripada dualisme ini menular.

  1. Nilai Budaya dan Pemikiran

Kita mengakui bahawa proses pendidikan sebenar bukan hanya berlaku di sekolah. Proses pendidikan berlaku hampir setiap masa dan ketika. Setiap dasar dan undang-undang digubal juga antra lain bertujuan untuk mendidik, mewujudkan keseimbangan sosial juga kesejahteraan rakyat. Di sini kami suka untuk menyentuh tentang Dasar Penyiaran dan Penerangan Negara. Dasar yang kita ada sekarang amat longgar dan tidak memperlihatkan kewujudan satu dasar dan falsafah murni dalam membentuk pemikiran dan mengangkat budaya tempatan atau menyokong hasrat dan cita-cita Falsafah Pendidikan Negara.

Contoh terkini yang boleh kami berikan ialah Malam Anugerah Industri Muzik (AIM) baru-baru ini. Bagi rakyat yang insaf dan sedar terhadap arah tuju pembentukan budaya majlis itu ternyata tidak lebih daripada propaganda budaya asing yang cuba menjajah pemikiran generasi muda dalam menilai martabat seni. Temasya yang disiar secara langsung itu tidak memiliki identiti Malaysia sama sekali, malah penuh dengan nilai Kebaratan. Daripada pakaian penyanyi, pemuzik persembahan lagu dan penggunaan Bahasa Inggeris yang melampuau oleh penerima anugerah dari kalangan orang Melayu, ternyata menjejaskan imej dan identiti sebenar negara.

Perkara lain boleh dilihat melalui penerbitan majalah dan akhbar hiburan yang langsung tidak mengambil kira kesensitifan lunas-lunas agama. Bahkan ia langsung tidak menampakkan akan kecenderungan untuk mengutuhkan nilai dan peradaban yang sekian longgar, malah tambah menggoyah dengan pemaparan gambar-gambar yang menjolok mata, budaya berpasangan serta pergaulan bebas dikalangan remaja. Dimanakah letaknya dasar penilaian terhadap bahan penerbitan yang berusaha untuk mendidik dan membentuk nilai rakyat dan kemanakah sebenarnya hendak dibawa rakyat negara ini dari segi corak berfikir dan cara hidup?.

  1. Media Massa

Tidak dapat kita nafikan bahawa media massa menjadi unsur penting dalam proses sosialisasi remaja. Sebahagian besar daripada waktu rehat remaja dihabiskan dengan penggunaan media. (Berita Harian, 29 April 1997). Media yang dianggap sebagai ejen yang menerajui budaya popular seringkali berlumba-lumba mendpatkan perhatian orang ramai terutamanya remaja. Kerap-kali apa yang disajikan untuk remaja tertumpu kepada apa yang menarik dan dikehendaki remaja. Dalam konteks ini niali berita atau program yang boleh membentuk jati diri remaja tertinggal.

Timbalan Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan Dan Kemasyarakatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Samsudin A. Rahim di dalam kerta kerjanya yang di bentangkan di Persidangan Meja Bulat Ketembusan Media dan Isu Sosial Remaja anjuran Pusat Kajian Media Antarabangsa, antara lain menyatakan :-

".......media sememangnya menyumbang kepada pembentukan konstruk sosial remaja. Dengan lain perkataan media memberikan cermin diri kepada remaja mengenai gaya hidup yang harus dilalui dan diikuti. Dalam proses pemediaan ini juga di dapati bahawa budaya popular sedikit demi sedikit menghakis budaya tradisional......."

Dr. Mahathir juga mengakui kuasa pembujukan yang dipunyai oleh media ke atas penonoton. Dalam ucapan beliau di sesi Pleno Persidangan ke 48, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York pada 1 Oktober 1993, menyebut kuasa media sebagai berikut :-

‘....apa yang kita lihat dan dengar adalah apa yang media mahu kita lihat dab dengar. Jika media penyiaran mahukan kita terperanjat dengan pembunuhan beramai-ramai ia akan menyiarkan pembunuhan itu dengan terpeinci sekali. Tetapi jika ia memilih untuk menyiarkan Micheal Jackson semasa pembunuhan itu berlaku, kita akan menghentak kaki dengan gembira menonton persembahan Micheal Jackson...".

Melalui pernyataan-pernyataan di atas, dapat dilihat bahawa media cukup berkuasa untuk mempengaruhi audiencenya terutamanya remaja yang masih tercari-cari arah tujuan. Trend media massa di Malaysia lebih kepada program bercorak hiburan, tidak kira samada melalui penerbitan majalah-majalah berbentuk hiburan yang berbagai, dan konsep yang diutarakan di dalam majalah-majalalah-majalah juga program hiburan televisyen ini lebih berbentuk kebaratan. Secara tidak langsung, semua ini telah membantutkan lagi usaha untuk mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Negara.

    1. Pengaruh Persekitaran

Bukanlah satu perkara yang menjadi kemusykilan, apabila berlaku kes sosial dan perlanggaran disiplin dari kalgan belia dan pelajar bawah umur yang semakin meningkat kerana penyumbang dan antara penyebab utama ialah kerana ketidak selarasan dasar diperingkat pentadbiran negara. Sesungguhnya adalah tidak adil untuk kita menyalahkan remaja seratus peratus di dalam permasalahan ini. Perilaku remaja adalah cermin konstruk sosial yang orang dewasa bina melalui kuasa mereka. Malangnya trend masyarakat kini, di mana ibu bapa lebih sibuk mengumpul kemewahan di samping berusaha keras untuk seiring dengan pembangunan, anak- anak telah menjadi mangsa.

Akibat kurangnya perhatian, remaja mula tercari-cari arah untuk membentuk diri. Kadar peratusan pembangunan yang semakin meningkat turut sama membawa sekali peningkatan kepada penagihan dadah di kalangan remaja. Dalam analaisis kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dibuat bagi tempoh sembilan tahun bermula 1988 sehingga tahun 1996, Timbalan Menterinya, Ong Ka Ting, menyatakan bahawa 27 peratus penagih baru yang di tangkap tahun lalu mempunyai kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berbanding hanya 18.7 peratus penagih memiliki kalayakan yang sama pada tahun 1988. (Berita Harian, 31 Mac 1997). Jelaslah bahawa, pembangunan negara memerlukan pengorbanan yang begitu tinggi. Walaupun rakyat Malaysia, terutama orang Melayu berasal dari kampung yang corak kehidupannya berasaskan struktur tradisi. Akibat perubahan masa, mereka dihadapkan dengan kehidupan masyarakat perindustrian moden. Ia sesungguhnya telah membawa perubahan nilai yang amat drastik.

5.0 KOMEN DAN CADANGAN

Sesungguhnya di dalam kita membincangkan permasalahan gejala sosial ini, kita sememangnya tidak boleh lari daripada turut sama mengaitkan sistem pendidikan yang ada. Sikap lepas tangan sesetengah masyarakat tambah merumitkan lagi keadaan. Institusi pendidikan telah terbeban bahkan ianya juga ‘terjejas teruk’ akibat dari perspektif masyarakat kepada para pendidik yang semakin hari semakin menurun, sama teruknya dengan penurunan kadar nilai mata wang negara. Kecelaruan falsafah yang ada tambah mengeruhkan suasana.. Namun begitu, tidak kita nafikan bahawa komitmen pihak kerajaan untuk cuba memperbaiki keaddan. Ini dapat dilihat melalui penggubalan kurikulum bersepadu di peringkat sekolah rendah dan menengah. Cumanya, masa yang diperuntukkan untuk mata pelajaran berbentuk keagamaan perlulah ditambah untuk memastikan keberkesanan penerapan nilai. Pendekatan yang sedi ada pula perlu dikaji keberkesanannya.

Saranan Perdana Menter, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad, supaya kursus Tamadun Islam diperkenal dan dilaksanakan di IPT pada tahun 1993 yang lalu juga antara lain menunjukkan komitmen kerajaan untuk menghasilkan para intelek yang berilmu dan berakhlak. Silibus dan tatacara perlaksanaan kursus ini yang telah digariskan oleh Kementerian Pendidikan untuk memastikan keselarasannya. Malang sekali, sejak awal hingga kini masih wujud perbezaan dari segi tafsiran dan kefahaman terhadap perlaksanaan kursus itu di peringkat IPT. (Berita Harian, 8 Julai 1997).

Masalah gejala sosial ini perlu ditangani segera kerana semakin hari ianya kelihatan semakin kronik. Jika telah kita kenal pasti dengan penghapusan dualisme dalam sistem pendidikan boleh menjernihkan keadaan, maka perlulah pihak-pihak yang bertanggungjawab segera mengorak langkah. Penghapusan dualisme ini adalah merupakan sesuatu yang melibatkan legislatif. Namun begitu, suara-suara rakyat tetap perlu diambil kira. Adalah tidak adil jika kita hanya bersikap menunding jari menyalahkan orang lain. Oleh itu setiap lapisan masyarakat perlulah turut sama berganding bahu dalam usaha mencerahkan kembali ‘jerebu’ yang telah menyelubungi

negara ini. Kita tidak lagi boleh bertangguh. Duduk berdiam diri tidak akan menguntungkan sesiapa. Ibu-bapa dan keluarga tidak boleh lari dari tanggungjawab mengawal institusi keluarga masing-masing, walau tidak dinafikan akan betapa besarnya pengaruh ‘pendidikan’ yang terbentang di luar rumah.

  1. KESIMPULAN

Negara sememangnya amat memerlukan satu falsafah sempurna yang mampu di kongsi hasrat dan cita-cita bersama oleh seluruh lapisan masyarakat. Falsafah yang sempurna ini mampu membentuk kesatuan dan juga sebagai dorongan dalam pencapaian matlamat. Kesempurnaan falsafah amat penting untuk mengelakkan kecelaruan pandangan dan tindakan dan yang paling penting ia boleh mengelakkan pertembungan sebagaimana yang telah kita alami dewasa kini.

Dalam menangani arus kemodenan dan pembangunan, kesejahteraan rakyat perlulah diutamakan. Pembangunan yang sebenarnya seharusnya merangkumi seluruh dimensi kehidupan insan. Falsafah pembangunan dalam Islam ialah memberi kesejahteraan dan kebahagiaan kepada insan dalam kehidupan. Pembangunan itu hendaklah memenuhi komponen kejadian insan yang dibangukan oleh unsur rohani, akal, emosi dan fizikal. Pembangunan hendaklah besifat seimbang dan bersepadu dalam erti kata tidak terlalu memberati pembangunan fizikal dan material sehingga melupakan kecemerlangan budi dan pemantapan budaya hidup manusia. Teras pembangunan dalam Islam ialah Tauhid. Ini bererti, setiap susun atur dan perancangan pembangunan harus menepati konsep keabdian dan kehambaan kepada Tuhan.

Sebarang bentuk pembangunan yang akan merobek dan merosakkan kesejahteraan, kedamaian dan kebahagiaan insan, menjauhkan insan daripada melakukan pengabdian kepada Tuhan, memusnahkan akhlak dan nilai murni kehidupan, menyebabkan gangguan dan malapetaka alam, menghancurkan sistem kepercayaan, mengganggu pemikiran yang benar dan mengajak melakukan kejahatan harus ditolak dan ditentang kerana usaha dan gerak kerja itu tidak selari dengan falsafah pembangunan.

Sebagai mengakhiri kertas kerja ini, suka kami menyertakan sepotong ayat Al-Quran untuk renungan bersama :-

" Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu mereka mencari lain daripada agama Allah?. Padahal kepada Nyalah tunduk taat sekelian makhluk yang ada di langit dan di bumi; sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepada Nyalah mereka dikembalikan." (Al ‘Imran :83)