Make your own free website on Tripod.com

Koleksi Kertas KajiSelidik Pelajar Sarjana Pendidikan Seksyen Tiga ITTHO

Koleksi Kertas Kerja Kajian Sistem Pendidikan Kebangsaan (MTT2353)



Guru



1.0	PENDAHULUAN
	
	Golongan guru merupakan anggota sekolah yang terlibat secara langsung dalam perlaksanaan kurikulum dan program pendidikan di sekolah.  Peranan yang dimainkan oleh seseorang guru dalam sesebuah sekolah  amat penting terutama dari segi pencapaian aspirasi dan matlamat sekolah. Menurut Mok Soon Sang (1988), antara peranan guru yang penting ialah:
 Sebagai tenaga pengajar dengan merancang aktiviti pelajar berdasarkan sukatan pelajaran dan melaksanakannya dalam bilik darjah mengikut strategi pengajaran yang sesuai.
 Sebagai pengarah pembelajaran dengan membimbing pelajar supaya mereka berusaha belajar secara individu atau berkumpulan.
 Sebagai pengurus bilik darjah seperti menyusun rutin bilik darjah, menentu corak penyusunan meja dan sebagainya.
 Sebagai ibu bapa kepada pelajar, demi menjaga keselamatan dan kebajikan pelajar.  Peranan ini akan membantu pelajar menyesuaikan diri dalam sekolah sebagai sebahagian keluarga mereka.
 Sebagai pendisiplin yang bertanggungjawab menjaga disiplin pelajar serta membantu mereka membentuk sahsiah dan kelakuan yang sejajar dengan nilai dan norma masyarakat.
 Sebagai contoh model hidup di mana tingkah laku guru menjadi contoh teladan kepada pelajar.  Nilai-nilai murni yang ditonjolkan oleh guru di sekolah dapat diterapkan dalam jiwa pelajar.


1.1	Guru Sebagai Pendidik
	Guru ialah pendidik yang berilmu pengetahuan.  Di samping itu dia dilatih untuk menguasai kemahiran mengajar, dan diberi tugas menyampaikan ilmu kepada pelajarnya.  Oleh itu guru sebagai pengamal ilmu perlu memainkan peranan untuk menyampaikan ilmu yang berguna dalam bidangnya.
	J. M Coopes (1988) berpendapat guru yang berkesan ialah guru yang memperolehi ilmu pengetahuan khususnya kemahiran mengajar seperti:
 Menguasai ilmu pengetahuan dalam teori pembelajaran dan psikologi manusia
 Menunjukkan sikap jujur yang dapat menggalakkan pembelajaran serta mewujudkan interaksi yang positif dalam pelbagai hala.
 Memperolehi ilmu pengetahuan yang lengkap dalam mata pelajaran yang diajar
 Menggunakan kaedah dan teknik mengajar yang mewujudkan murid menjalankan aktiviti pembelajaran mereka

	Sebagai seorang pendidik yang bertanggunjawab, guru hari ini harus menyedari tugas dan amanah yang diserahkan kepadanya untuk mendidik generasi yang akan menjadi dewasa kelak. Perubahan perancangan hari ini adalah perlu diiringi dengan perubahan strategi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Untuk menghadapi cabaran dan tuntutan daripada perubahan strategi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, guru hari ini hendaklah sentiasa berusaha melengkapkan diri dari masa ke semasa.
	Sekolah sebagai satu institusi masyarakat perlu mementingkan perkembangan dan perubahan tingkahlaku pelajar dan kehendak masyarakat.  Justeru itu, persekolahan yang berorganisasi itu perlu memainkan peranan dalam mengekalkan corak kehidupan dan kebudayaan yang dianggap baik, misalnya perkara-perkara yang berkaitan dengan moral. Oleh itu guru di sekolah perlu memainkan peranan sebagai agen memodenkan masyarakat dalam semua bidang perkembangan semasa dan kemajuan.  Ini bermakna pendidikan di sekolah perlu mementingkan nilai kemasyarakatan dan perkembangan sifat perseorangan pelajar serta membawa perubahan semasa.  Tetapi persoalannya sekarang, mampukah sekolah menangani masalah sosial yang semakin mencabar ?.

2.0	PERANAN SEKOLAH 

Fungsi utama sekolah ialah untuk memberi pendidikan dan latihan.    Pendidikan yang dianggap sebagai satu proses yang membolehkan seseorang manusia yang sanggup berfikiran kritikal dan mempunyai daya kreatif.  Latihan pula bertujuan  memberi kemahiran-kemahiran teknikal dan kegiatan-kegiatan psikomotor.  Oleh itu peranan sekolah ialah untuk memberi peluang kepada mausia khasnya generasi muda untuk menguasai pelbagai pengetahuan dan  kemahiran-kemahiran yang difikir sesuai untuk menyesuaikan diri dalam perkembangan masyarakat dan kehidupan-kehidupan seharian.
	Sekolah merupakan satu institusi masyarakat yang penting  dalam mementingkan perhubungan dan perubahan tingkahlaku pelajar-pelajar mengikut arah dan kehendak masyarakat (Khadijah Haidi, 1994).  Justeru itu sekolah perlu memainkan peranan dalam mengekalkan corak kehidupan  dan kebudayaan  yang dianggap baik.  Misalnya perkara-perkara yang berkaitan dengan moral seperti budi bahasa , sopan santun dan sifat hormat menghormati biasanya dipelajari di sekolah.  Tidak ketinggalan juga sekolah mengajar kebudayaan kebangsaan seperti mengetahui tentang bendera negara, lagu kebangsaan dan bahasa kebangsaan. Bahkan guru bukan hanya menyampaikan ilmu pengetahuan semata-mata tetapi menanamkan sikap, nilai dan sahsiah yang sempurna, mematuhi peraturan masyarakat. 

2.1  Guru dan Isu Semasa
	Pada masa kini, masyarakat Malaysia merupakan masyarakat perindustrian yang maju dalam teknologi telah mengalami perubahan sosial yang pesat (Mohd. Yusman Awang, 1996).  Oleh itu guru di sekolah juga hendaklah memainkan peranan sebagai agen memodenkan masyarakat dalam semua bidang bagi mencapai  kemajuan.  Ini bermakna, pendidikan di sekolah perlu mementingkan nilai kemasyarakatan dan perkembangan sifat perseorangan pelajar mengikut arus pembaharuan semasa.  Ini selaras dengan wawasan negara, yang mementingkan kemajuan teknologi maklumat supaya konsep pendidikan negara bercorak ke arah bercirikan teknologi secara saintifik. Dalam kata lain tanggungjawab guru ini menjadi semakin berat dan komplek kerana rakyat masa depan yang hendak dihasilkan itu bukan sahaja perlu diterapkan dari segi pemikiran dengan nilai teknologi tinggi semata-mata, tetapi perlu diseimbangkan dengan nilai moral dan etika yang murni.  Persoalannnya sekarang , mampukan guru mengimbangkan teknologi maklumat, moral dan etika terhadap pelajar ?.  Jika kita lihat untuk mengimbangi faktor ini sukar untuk dicapai. Selaras dengan kemajuan teknologi kini masalah keruntuhan moral pelajar semakin menjadi-jadi.Baru-baru ini di dalam akhbar tempatan turut menyuarakan pendapat dan rungutan ibu bapa mengenai masalah anak dan komputer. Menurut laporan Berita Harian (Oktober,1997) seorang bapa mengadu tingkahlaku anaknya berubah menjadi liar dan berperangai tidak senonoh berikutan dengan pertambahan pengetahuan dan maklumat dari internet yang tidak bertapis. Pelajar mudah mendapatkan sebarang maklumat sama ada sesuai atau tidak dengan cara yang lebih mudahdi zaman kemajuan teknologi maklumat kini. Penerapan nilai murni dan ketahanan jiwa pelajar perlu disemai oleh guru sebagai pendidik di sekolah di samping ibu bapa di rumah. Sekiranya ia tercicir dari landasan untuk mencapai hasrat ini maka akan timbul masalah di kalangan pelajar seperti wujudnya pelbagai masalah yang menjurus mereka ke arah keruntuhan akhlak remaja masa kini.  Sehubungan dengan itu guru perlu berpaling kepada tugas-tugas yang lebih mencabar dan menguji kewibawaan guru tersebut di samping tugas utamanya sebagai penyampai ilmu pengetahuan. Pada pendapat kami, pengetahuan ilmu teknologi maklumat ini penting untuk generasi muda sebagai satu wadah untuk mencapai kemajuan di masa hadapan.  Tetapi pengetahuan ilmu ini perlu disekat dan diberi secara berperingkat.  Misalnya bagi pelajar sekolah rendah pengetahuan mengenai internet tidak perlu lagi, bagi mengelakkan mereka daripada meneroka jauh di dalam bidang ini ke arah yang tidak sihat. Namun pengetahuan secara teori perlu diberikan supaya mereka tidak ketinggalan. Apabila pelajar ini telah melangkah ke sekolah menengah pengetahuan teknologi maklumat ini perlu diberi pendedahan secara keseluruhan kerana pada peringkat umur ini mereka sudah mampu berfikir untuk menentukan yang baik dan yang buruk. Walaupun pendedahan ini perlu, ibu bapa hendaklah sentiasa mengawasi tingkahlaku pelajar ini di rumah.  Di sekolah masalah ini mungkin sukar terjadi kerana ia dikawal sepenuhnya oleh guru. Masalah ini biasanya berlaku di rumah ketika bersendirian atau bersama rakan sebaya.

2.2  Peranan Sekolah dan Masyarakat
 Sekolah merupakan institusi sosial yang melatih generasi muda supaya berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia.  Ini dapat dicapai sekiranya sekolah memberi perhatian yang bersungguh-sungguh bagi menangani gejala sosial yang dihadapi oleh masyarakat. Isunya sekarang, mampukan pihak sekolah dan masyarakat berindak seiring dalam menangani masalah sosial di kalangan pelajar ?. Dalam menangani masalah sosial pelajar ini semua pihak perlu merasa ini adalah tanggunjawab bersama.  Pihak sekolah perlu memainkan peranannya manakala masyarakat dan ibu bapa perlu memberi kepercayaan kepada pihak sekolah dalam melaksanakan tugas berat ini. Namun demikian, kebelakangan ini terdapat petanda peranan sekolah dalam menangani masalah akhlak dan moral terlalu lemah . Menurut Dr. Abdul Rahim Abd. Rashid (1997), ini disebabkan oleh kelemahan -kelemahan sekolah seperti hubungan interpersonal yang renggang, guru yang kurang bermotivasi dan berdedikasi, perasaan yang tidak berpuas hati terhadap sekolah, hubungan guru dan murid yang tidak harmoni, kurang keperihatinan yang ditunjukkan oleh guru-guru terhadap masalah murid, tekanan sosial dan emosi yang tinggi yang dihadapi oleh murid di sekolah, kegagalan yang tinggi  dihadapi oleh murid-murid disebabkan oleh ketidakcekapan sekolah dalam memenuhi kehendak murid, dan kekerapan berlakunya murid diabaikan di sekolah.  Masalah sosial yang membabitkan murid sekolah semakin meningkat dan membimbangkan kerana sekolah yang merupakan institusi sosial semakin renggang hubungannya dengan masyarakat setempat.  Banyak masalah murid dan masalah masyarakat dengan sekolah khususnya yang bersabit dengan hal-hal personal murid dan hal pendidikan masyarakat setempat tidak dapat ditangani dengan berkesan oleh pihak sekolah.  Menurut S. Subramaniam, Setiausaha Persatuan Perkhidmatan Pendidikan (Jun 1998)  pengasingan sekolah daripada masyarakat semakin menjadi-jadi berikutan dengan tindakan yang diambil oleh pihak sekolah menguatkuasakan perintah dan amaran-amaran  keras terhadap ibu bapa yang dianggap sebagai penceroboh.
  Hubungan yang terlalu formal yang dikuatkuasakan oleh pengetua atau guru besar di setengah-setengah sekolah menjadikan sekolah seolah-olah satu institusi sosial yang rigid.  Ini menyebabkan banyak konflik dan masalah yang timbul di antara pihak sekolah, murid, ibu bapa dan masyarakat setempat tidak dapat diselesaikan dengan berkesan. Menurut Khairunnisa Sulaiman (1996) dalam  banyak hal, masyarakat setempat tidak diajak bekerjasama dengan pihak sekolah bagi bentuk gejala sosial dan jenayah yang berlaku sama ada di dalam sekolah mahupun di luar sekolah.  Pihak sekolah ada kalanya bertindak sendirian sesuka hati tanpa melibatkan ibu bapa, khususnya yang menyentuh masalah yang ditimbulkan oleh murid di sekolah mahupun di luar sekolah.
 Pihak sekolah harus menyedari, masyarakat setempat adalah satu aset yang boleh dijadikan rakan kongsi yang berkesan membantu pihak sekolah dalam menangani semua masalah yang berlaku , khususnya membanteras masalah sosial dan jenayah di kalangan murid sekolah.
Bagi mengatasi masalah ini, sekolah perlu mempunyai mekanisme pengawalan sosial yang berkesan bagi membolehkan ia mampu mengawal gejala-gejala buruk dan membanteras masalah sosial yang melibatkan pelajar sekolah.  Peranan yang dimainkan oleh sekolah sebagai agen pengawalan sosial boleh dilakukan dengan pelbagai cara terutamanya bekerjasama dengan masyarakat setempat. Pihak sekolah dan masyarakat, khususnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu duduk semeja membincangkan masalah sosial pelajar ini. Pengawalan dan tindakan yang dilakukan oleh sebelah pihak mungkin berjaya tetapi kurang berkesan. Pihak masyarakat juga perlu memberikan sepenuh kepercayaan kepada pihak sekolah untuk menangani masalah ini. Setiap tindakan yang wajar seperti merotan atau denda ringan yang lain hendaklah dianggap sebagai hukuman untuk mendidik bukan sebagai dera.Salah faham ini juga menimbulkan konkfik dalam menangani masalah sosial pelajar. 
Dari masa ke semasa pelajar-pelajar perlu dilatih supaya lebih bertanggungjawab mematuhi peraturan dan undang-undang mengekalkan keamanan, menghormati orang lain, berperangai  mulia dan tahu membezakan mana yang baik dan mana yang buruk sebagaigaris panduan amalan dan tindakan.  Disiplin adalah asas utama mekanisme pengawalan sosial di sekolah.  Disiplin sekolah biasanya diasaskan kepada etika, nilai, akhlak dan standard tingkahlaku yang mulia.  Bagi mencorakkan disiplin sekolah yang berkesan, semua guru perlulah menunjukkan komitmen dan diberi tanggungjawab bagi menguatkuasakan disiplin.

2.3  Sekolah dan Kaunseling
	Masalah disiplin yang kian menjadi-jadi dewasa ini, pihak kementerian pendidikan tidak berdiam diri malah telah mengambil berbagai-bagai langkah untuk mengatasinya.  Antaranya program penting telah diambil ialah mewajibkan tiap-tiap buah sekolah mengadakan unit kaunseling untuk membantu pelajar yang bermasalah. Menurut menteri Pendidikan , Dato' Seri Najib Tun Razak (1996), pada awal tahun 1996 kementerian pendidikan telah mengarahkan tiap-tiap buah sekolah di Malaysia menempatkan sekurang-kurangnya dua orang kaunselor sepenuh masa bagi menangani masalah pelajar tidak hanya dari sudut akademik malah termasuk masalah peribadi pelajar.  Kaunselor perlu prihatin dan peka terhadap setiap masalah pelajar.
	Namun persoalannya, mampukah program seumpama ini  menangani atau sekurang-kurangnya mengurangi masalah pelajar dari sudut akademik, peribadi ataupun tingkahlaku pelajar ?.  Jika dikaji dengan mendalam, unit kaunseling yang beroperasi di sekolah telah wujud sejak tahun 1964 lagi, tetapi lebih dikenali sebagai perkhidmatan bimbingan kerjaya.  Bimbingan kaunseling dan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) pula mula dikenali dalam tahun 1980 an. Kewujudan PRS ini seolah-olah tidak memberi sebarang makna kerana peranannya agak kabur dan tidak ditonjol sepenuhnya.  Kewujudannya seperti kelab dan persatuan ko-kurikulum yang lain di sesebuah sekolah.  Buktinya, sehingga hari ini masih lagi terdapat pelajar-pelajar yang terbabit dengan pelbagai masalah sosial atau kes salah laku seperti kes juvana yang menyebabkan pihak polis terpaksa campur tangan terutamanya di sekolah yang terletak di kawasan-kawasan bandar. Berita-berita ini sering di dedahkan di dada-data akhbar. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh majalah MASSA, Mac 1997, jumlah tangkapan pelajar dalam pelbagai salah laku meningkat iaitu pada tahun 1994 jumlah tangkapan 3247 pelajar, tahun 1995 jumlah tangkapan 4192 pelajar dan pada tahun 1996 jumlah tangkapan meningkat lagi dari tahun sebelumnya iaitu sebanyak 4601 pelajar.
	Menurut Dr. Abd. Rahim Abd. Rashid (1997) berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh pihak polis Bukit Aman Kuala Lumpur, jumlah tangkapan kes juvana mengikut pecahan umur 10 tahun hingga 18 tahun dari tahun 1993 hingga 1995 amat membimbangkan. Dalam tahun 1995,  bilangan pelajar yang ditanggap kerana kes juvana sahaja dari umur 10 tahun hingga 18 tahun  adalah seramai 4,192 orang.  Ini belum lagi dicampur dengan jumlah pelajar yang terbabit dengan kesalahan tingkahlaku.  Walaupun tidak semua tangkapan kes juvana melibatkan pelajar sekolah tetapi secara rambangnya tahap umur 10 tahun hingga 18 tahun melayakkan mereka dikategorikan sebagai pelajar.  Sekiranya mereka tidak terkandas dalam peperiksaan, dibuang sekolah atau malas belajar mereka masih di alam persekolahan.
	Menyedari hakikat inilah, Kementerian Pendidikan mengambil keputusan untuk mewujudkan perkhidmatan kaunselor sepenuh masa yang bersifat proaktif dan bertaraf profesional di setiap sekolah menengah secepat yang mungkin (Abdul Hamid, 1996).
	Sementera itu menurut kaunselor di Unit Kaunseling  Universiti Sains Malaysia, Wan Mohd Khair Wan Chik berpendapat bahawa idea untuk mewujudkan kaunselor sepenuh masa sepatutnya dilakukan sejak dulu lagi.
Mewujudkan dua orang kaunselor di tiap-tiap buah sekolah amat dialu-alukan.  Bagaimanapun, selain daripada menumpukan perhatian di dalam mewujudkan kaunselor di sekolah-sekolah, perkara penting yang perlu di beri perhatian ialah kemudahan untuk kaunselor menjalankan tugas mereka.  Guru-guru perlu di beri kefahaman mengenai tugas kaunselor agar pihak guru dan kaunselor dapat bekerjasama antara satu  sama lain.  
Kehadiran kaunselor di sekolah-sekolah dijangkakan dapat menangani masalah pelajar kerana mereka dapat memberikan tuampuan sepenuhnya kepada pelajar.  Sebelum ini guru 'biasa' ditugaskan sebagai kaunselor secara tidak langsung.  Beban tugas mengajar tidak dapat memberi peluang kepada guru untuk memberi perhatian yang sewajarnya kepada pelajar yang bermasalah.  Kehadiran kaunselor di sekolah amat penting kerana selain daripada menyelesaikan setiap permasalahan pelajar malah beritndak membentuk generasi yang berketrampilan dalam apa jua bidang yang diceburi di samping mengenali hakikat diri  mereka.

2.4  Sekolah dan Unit Disiplin
	Sejak kewujudan institusi persekolahan di negara ini, tiap-tiap buah sekolah sama ada sekolah menengah ataupun sekolah rendah perlu melantik seorang guru yang bertindak sebagai guru disiplin.  Tugas guru disiplin ini adalah untuk memastikan tiap-tiap pelajar di sekolah tersebut mengikut undang-undang yang ditetapkan.  Pelajar-pelajar yang didapati melakukan kesalahan seperti salah laku pelajar iaitu datang lewat, tidak hadir ke sekolah, rambut panjang dan sebagainya sehinggalah kepada kesalahan yang  berat seperti merokok dan menghisap dadah di bawah pemerhatian guru disiplin (Kamarrudin Jusoh,1997).
Guru disiplin amat dihormati dan ditakuti oleh kebanyakan pelajar.  Denda yang setimpal akan dikenakan sekiranya pelajar tersebut melakukan kesalahan.  Isunya sekarang, adakah tugas guru disiplin sekarang dihormati dan menjadi batu penghalang kepada pelajar untuk melakukan sesuatu kesalahan?.  Kehadiran guru disiplin di sekolah seolah-olah tidak dihiraukan oleh pelajar hatta pihak sekolah sendiri (Rusil, 1997).  Sekolah lebih memberi tumpuan untuk meningkatkan pencapaian akademik pelajar.  Menurut Kamaruddin Jusoh, bekas guru disiplin, sesetengah sekolah sanggup untuk memperuntukan sejumlah wang ke arah kecemerlangan akademik dengan mengabaikan masalah-masalah displin pelajar. Pihak pentadbir akan mendabik dada sekiranya sekolahnya terdapat ramai pelajar mendapat 'A' dalam peperiksaan ataupun 100% lulus dalam peperiksaan PMR, SPM dan STPM. Sekolah tidak mengambil kira nilai-nilai yang ditonjolkan oleh setiap pelajarnya asalkan matlamatnya tercapai iaitu mendapatkan sebanyak mungkin pelajar mendapat 'A'.
Menurut Kamarrudin (1997) masalah pelajar tidak menghormati guru disiplin semakin runcing apabila terdapat campurtangan ibu bapa yang lebih menyebelahi pelajar.  Terdapat satu kes pada penghujung tahun 1996, seorang guru disiplin dihadap ke muka pengadilan kerana merotan seorang murid yang melakukan kesalahan disiplin.  Apabila kes sebegini diajukan kepada pengetua, Pegawai Pendidikan Daerah, Pengarah Pendidikan Negeri dan Kementerian Pendidikan, jawapan yang diberikan, "sekiranya guru tersebut bersalah kita akan mengambil tindakan tatatertib dan jika perlu, guru tersebut akan dibuang dari perkhidmatannya". Seolah-olah di sini guru disiplin tidak dihiraukan di sekolah. Dengan demikian guru disiplin akan merasa tugas dan komitmen yang disumbangkan untuk mengawal disiplin dan salah laku pelajar adalah sia-sia dan tidak memberi kesan .    Oleh itu unit displin di sekolah-sekolah sekarang ini tidak dapat menolong untuk membenteras gejala sosial dengan sewajarnya.









BIBLIOGRAFI
Amida Abdul Hamid (Jan. 1998). Mengapa Ibu Bapa Terlalu Sensitif. Dewan Masyarakat.

Dr. Abd. Rahim Abd. Rashid (8 Mac 1997). Mampukah Sekolah Memebenteras Jenayah. MASSA.

Guru Dedikasi Tidak Mendera Murid. (19 Okt. 1996). MASSA

Kadijah Haidi Khalid (1994). Meneroka Alam Remaja . Nuria Enterprise, Kuala Lumpur.

Kamarrudin Jusoh (5 April 1997). Keluhan Bekas Guru Disiplin. MASSA.

Kehadiran Kaunselor: Berkurangkah Masalah Pelajar? (6 April 1996). MASSA.

Mohd. Yusman Awang, Kharunnisa Sulaiman (19 Okt. 1996). Deraan Guru Makin Mengancam. MASSA.

Mok Soon Sang (1988). Pendidikan Di Malaysia. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd., Kuala Lumpur

Mohd. Yusman Awang, Kharunnisa Sulaiman (19 Okt. 1996). Deraan Guru Makin Mengancam. MASSA.

Nur Aishah Ismail (18 Mei 1996). Kerjaya Perguruan Harus Seiring Dengan Minat. MASSA.

Rusil (Jan 1997). Dilema Guru: Disiplin Atau Dera. Dewan Masyarakat.








	




 



return to main