KERTAS KERJA KAJIAN SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN (MTT2353)

INSTITUT PENGAJIAN TINGGI SWASTA

1.0 PENGENALAN

Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) bukan lagi fenomena baru dalam masyarakat Malaysia. Disebabkan kegawatan ekonomi yang melanda negara sekarang, institusi pendidikan swasta ini tumbuh bagaikan cendawan. Faktor utama yang diberikan adalah program berkembar yang dijalankan oleh institusi pendidikan swasta dengan universiti luar negara lebih menjimatkan kos. Walaubagaimanapun, reaksi rakyat adalah berbeza-beza. Bagi golongan berada, IPTS ini memberikan imej elit kepada anak-anak mereka. Tetapi bagi golongan yang kurang berada pula, IPTS adalah satu tempat yang bukan dikhususkan untuk mereka. Apakah yang dimaksudkan dengan IPTS? IPTS didefinisikan sebagai Institusi Pendidikan (termasuk Universiti atau Kolej Universiti atau Kampus Cawangan) diluluskan dan didaftarkan di bawah akta, tetapi tidak dikendalikan atau disenggarakan oleh kerajaan(Education Guide Malaysia,1997), untuk menyediakan:

    1. Pendidikan Tinggi
    2. Pendidikan Jarak Jauh
    3. Pendidikan tinggi atau pendidikan jarak jauh iaitu program berkembar, atau kerjasama dengan :

Kerajaan akan memastikan penubuhan universiti swasta di negara ini dibuat mengikut pertimbangan rasional agar tidak mengorbankan kualiti sistem pendidikan negara. Kerajaan tidak boleh membenarkan percambahan universiti berlaku tanpa kawalan. Pertumbuhan tanpa kawalan akan mewujudkan sikap berlumba di antara satu sama lain secara negatif bagi mendapatkan pelajar demi hendak memastikan operasi universiti masing-masing (Utusan Malaysia, 8th Mac). Sepertimana perkembanagan institusi kewangan, kita juga mesti ada kawalan supaya tidak ada universiti swasta yang gagal.

Oleh itu, pada 1996, kerajaan telah mengambil langkah bijak dengan menubuhkan satu akta iaitu Akta Institusi Pendidikan Swasta 1996. Secara amnya, akta ini membahagikan institusi pendidikan swasta kepada dua kategori mengikut peringkat pendidikan yang ditawarkan. Institusi Pendidikan Swasta dibiayai oleh pihak swasta. Ia menawarkan kursus untuk para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia / SPVM / SM III / STPM bagi mendapatkan sijil, diploma dan ijazah. Secara amnya ia adalah gabungan dua kategori institusi pendidikan tinggi mengikut status mereka:

    1. Institut Pengajian Tinggi Swsta (IPTS) tanpa status universiti atau kolej universiti (Kolej Swasta).
    2. Institutusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) dengan status universiti atau kolej universiti Universiti Swasta.

Hanya IPTS ditauliah status universiti atau kolej universiti oleh Kementerian Pendidikan (Akta Pendidikan Swasta 1996) dibenarkan menawar program ijazah dalaman. Universiti Swasta Malaysia yang pertama adalah Universiti Telekom.

Kumpulan IPTS yang perlu didaftarkan dengan kementerian pendidikan ialah:

Sijil dan Diploma yang dianugerahkan oleh IPTS diperakui oleh institusi luar negara yang ternama. Ia boleh diterima sebagai syarat kemasukan ke program ijazah pertama. IPTS menawarkan bidang pengajian yang luas termasuklah perniagaan dan perdagangan, teknikal / vokasional, kejuruteraan, pengajian kreatif, perhubungan dan pelancungan, IT dan komputer, pereka fesyen, pembinaan dan seni bina serta banyak lagi program yang berteknologi tinggi.

1.1 Kolej Swasta / IPTS Tanpa Status Universiti atau Kolej Universiti

Jenis pendidikan yang ditawarkan oleh kolej swasta adalah:

dan Institusi Luar Negeri

1.1.1 Program Dalaman oleh Kolej Swasta (IPTS)

Dalam pengajian kategori ini IPTS tempatan (kolej swasta) yang menganugerahkan kelayakan tertentu menetapkan kurikulum dan peperiksaan. Para pelajar boleh belajar sepenuh masa di premis institusi yang mengendalikan program tersebut atau melalui pengajian jarak jauh mengikut akta yang terbaru.

  1. FUNGSI / PERANAN
  2. Sebagaimana namanya, IPTS berfungsi sebagai tempat menimba ilmu. Ia memberikan alternatif kepada mereka yang tidak mendapat tempat untuk ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Selain daripada itu, ia juga memberi pilihan kepada ibubapa golongan berada yang mahukan anak mereka menimba ilmu di tempat yang berprestij.

    IPTS dapat menampung keperluan pendidikan tinggi negara berikutan keputusan kerajaan mengurangkan penghantaran pelajar ke luar negara. Mengikut Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib, penubuhan universiti swasta benar-benar diperlukan. Tambah beliau, pada masa sekarang terdapat 50,000 lagi pelajar di luar negara dan ini bererti sistem pendidikan tempatan tidak ada kemampuan menampung semua pelajar Malaysia yang berada di luar negara.

  3. SUMBANGAN
  4. IPTS turut memberikan sumbangan terhadap kemajuan pendidikan di negara ini. Ia membuka peluang yang lebih luas lagi kepada mereka yang ingin melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat yang tinggi tetapi tidak layak atau tidak mendapat tempat di IPTA. Kos pengajian bagi IPTS yang menjalankan program berkembar juga adalah jauh lebih rendah berbanding melanjutkan pelajaran ke luar negeri. Pengajian di dalam negeri dapat membantu kerajaan dari segi ekonomi kerana kurangnya pengaliran wang ke luar negara.

    Penubuhan IPTS juga memberi persaingan sihat dalam memajukan kualiti pendidikan negara. Kemajuan IPTS akan menambahkan penawaran dalam bidang pendidikan. IPTS dan IPTA sudah pasti terpaksa berjuang mengekalkan kualiti produknya demi lebih menarik lebih ramai pelajar( Tan K.H, 1998). Di samping itu juga IPTS diharapkan dapat memberikan atau membekalkan tenaga kerja yang mahir dan separa mahir di dalam bidang-bidang yang tertentu seperti contoh bidang fesyen,kejuruteraan, pelancongan, perhotelan dan juga bidang teknologi maklumat yang mana bidang ini amat diperlukan di dalam proses menjana wawasan negara kearah negara maju. Kolej Sal misalnya dapat membekalkan tenaga mahir di dalam bidang grafik komputer. Institut Help pula dapat membekalkan tenaga kerja mahir dan separa mahir di dalam sektor kejuruteraan dan beberapa buah institut lain yang mempunyai kemahiran dan kecemerlangan didalam sesuatu sektor.

  5. ISU-ISU SEMASA.
    1. Kemana arah universiti kita?
    2. Sejak akhir-akhir ini kita bukan sahaja bercakap tentang usaha meningkatkan mutu dan taraf universiti-universiti kita tetapi kita malah menyatakan hasrat untuk menjadikan negara ini pusat kecemerlangan pengajian tinggi di rantau ini malah di dunia pada keseluruhannya. Namun begitu kita perlulah mempunyai persepsi yang jelas dikalangan kita sendiri tentang ciri peranan dan arah pertumbuhan institusi pengajian tinggi itu.

      Beberapa pusat kecemerlangan ilmu, kecendiakawanan dan pengajian tinggi di dunia yang kita kenal kini ternyata telah dibina dalam jangka waktu yang lama, sehingga melahirkan tradisi dan keperibadiannya yang tersendiri yang tidak mudah ditiru atau diatasi oleh sebuah pusat pengajian tinggi yang lain. Banyak faktor kemasyarakatan, tradisi, kebebasan, perjuangan dan kecendiakawanan yang telah membantu pertumbuhan institusi-institusi tersebut menjadi pusat-pusat kecemerlangan ilmu.

      Biaya yang besar, kemampuan menarik para pengajar dengan gaji yang lumayan, kampus yang besar dan indah, malah penerapan teknologi yang terakhir dan tercanggih untuk penyaluran maklumat (yang belum tentu ilmu), tidak akan menjamin lahirnya pusat kecemerlangan ilmu. Sejarah pengajian tinggi dalam masyarakat kita masih baru. Peranan pengajian tinggi telah dikucar-kacirkan oleh pelbagai macam aliran pertumbuhan. Ini ditambah pula beberapa institusi pengajian tinggi sedang dirancang oleh badan-badan korporat yang mungkin banyak wangnya tetapi menganggap penubuhan universiti itu semata-mata sebagai sebahagian daripada usaha mempelbagaikan kegiatan perdagangannya.( Utusan Malaysia, Mac. 1998 )

      Ada institusi pengajian tinggi yang diusahakan oleh badan-badan awam atau separuh swasta yang juga banyak wangnya, dan kerana itu didorong oleh pihak kerajaan, membina universiti sebagai tanggungjawab sosialnya. Oleh yang demikian, ada kecenderungan untuk universiti-universiti tersebut bersifat seperti pusat latihan kakitangan bagi badan-badan tersebut, terutamanya dari segi bidang pengajarannya dan pendekatan ilmunya. Selain itu, ada pula institusi-institusi pengajian tinggi yang dirancang oleh badan-badan NGO atas dorongan perjuangan politik dan kepentingan sukuan yang terbatas.( Utusan Malaysia, Feb.1998 )

      Bidang-bidang yang masih kurang bilangan para pengamalnya pada waktu ini dan kerana itu mudah dipasarkan seperti perubatan dan kejuruteraan telah melahirkan pula beberapa akademi dan fakulti di negara ini. Kerajaan pula masih terus merawat universiti-universiti tradisional yang ada dengan berusaha melepaskan sebahagian besar tanggungjawabnya melalui proses-proses seperti pengswastaan dan perkorporatan.

      Oleh yang demikian, pertumbuhan pengajian tinggi yang sedang berlaku di negara ini merupakan contoh perkembangan institusi sosial yang klasik bersifat ‘laissez-faire’. Perkembangan yang digerakkan oleh pelbagai kelompok.( Utusan Malaysia, Feb. 1998 ) Setiap satunya dengan motif, tujuan, kefahaman serta persepsinya yang sama sekali berlainan (yang biasanya tidak ada hubungannya kemurnian ilmu) pastilah akhirnya nanti melahirkan suasana dan sistem pengajian tinggi yang sama sekali kucar-kacir.

      Bagaimanakah segala kekeliruan dan kekucar-kaciran ini akan dihuraikan dan dijelaskan untuk menjelmakan keseluruhan sistem pengajian tinggi kita itu sebagai pusat ilmu dan kecendekiwanan yang sebenarnya? Atau, apakah kita memang tidak pernah merasa gusar tentang perkara ini? Dalam pendekatan kita kini, tampaknya pendidikan universiti tidaklah ada bezanya daripada pendidikan kemahiran dan ketukangan yang boleh dimulakan separuh di sini dan disambung separuh lagi.

      Amat menarik pula diperhatikan bahawa ditengah-tengah segala kekeliruan tentang ciri dan orientasi pengajian tinggi yang sedang dilahirkan oleh segala motif dan pendekatan pihak-pihak yang cuba melahirkan universiti ini terdapat pula usaha satu kelompok untuk melahirkan sebuah universiti yang dinamakan Universiti Budaya. Usaha itu kononnya ditunjangi oleh seorang ahli politik yang pada waktu ini sedang terlibat dalam usaha merebut kedudukan kepimpinan dalam proses pemilihan kepimpinan parti.

      Kita tertanya-tanya apakah nanti peranan yang diandaikan bagi Universiti Budaya itu: Apakah universiti tradisional yang memberikan tumpuan kepada ilmu-ilmu kemanusiaan, kemasyarakatan dan kebudayaan? Atau apakah universiti itu ingin dijadikan sebuah akademi seni bagi melatih dan mengasah bakat semulajadi dalam bidang seni tampak, seni pertunjukan dan persembahan,karya sastera dan sebagainya.

    3. Bahasa Kebangsaan Terpinggir
    4. Sebelum negara memperoleh kemerdekaan daripada penjajah Inggeris, kedudukan sekolah swasta telah disebutkan dengan jelas dalam Penyata razak 1956. Dalam Penyata Abdul Rahman Talib 1960 (yang kemudiannya menghasilkan Akta Pelajaran 1961) kedudukan sekolah-sekolah swasta telah dinyatakan secara terperinci. Bahasa Melayu diletakkan sebagai bahasa rasmi dan menjadi bahasa pengantar di sekolah-sekolah.

      Tetapi sejak 1980 bilangan sekolah-sekolah swasta (termasuk kolej dan pusat pengajian tinggi) yang menggunakan bahasa pengantar Inggeris kian bertambah. Tinjauan di sekitar kawasan Kuala Lumpur mendapati kolej atau institut pengajian tinggi yang menjadi "saudara kembar" kepada beberapa buah universiti di luar negeri kini meningkat dengan begitu mendadak. Kesemua institusi ini menggunakan pengantar bahasa Inggeris. Kolej Sunway, misalnya mempunyai kebanyakkan pelajar dari golongan "elit" dan mempunyai taraf hidup yang tinggi menggunakan Bahasa inggeris sebagai bahasa penghantar, bagi mereka dengan berbahasa Inggeris ini akan menaikan taraf atau kualiti serta standard pusat pengajian itu tetapi dalam masa yang sama mereka telah meminggirkan bahasa Melayu yang telah menjadi bahasa Kebangsaan negara. Tambah menyedihkan lagi apabila baru-baru ini Kementerian pendidikan Malaysia telah di kejutkan oleh Kesatuan Guru Bahasa Melayu Se Malaysia ( KGBMS ) mengenai isu kemasukan pelajar yang tidak mendapat kepujian didalam Bahasa Melayu ke IPTS( Utusan Malaysia, Mei 1998 ). Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana Kementerian pendidikan Malaysia dari awal-awal lagi telah menentapkan syarat untuk memasuki pengajian ke IPTS perlulah mendapat kepujian di dalam Bahasa Melayu. Jika hal ini dibiarkan, pelajar-pelajar yang berada di bangku sekolah sekarang ini pasti akan memandang sepi akan kepentingan bahasa Melayu. Pujian haruslah diberikan kepada ( KGBMS ) kerana berjaya dan dengan lantang menyuarakan isu ini.

      Menurut merekalagi, bahasa Inggeris akan memudahkan kesinambungan pengajian dan menjadi syarat untuk meningkatkan diri dalam sebarang kerjaya dalam sektor swasta. Walau apapun alasan yang diberi, namun jelas kedudukan Dasar Pendidikan Kebangsaan sudah tidak begitu bermakna lagi. Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang menyatukan berbilang kaum kini terjejas. Wujudnya syarikat atau firma gergasi di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling jaya yang turut membiayai institut pengajian tinggi swasta sebagai "saudara kembar" kepada institut pengajian tinggi luar negara semakin meruncingkan keadaan ini. Alasan yang diberi ialah untuk membantu kerajaan meringankan beban dalam usaha memberikan pendidikan tinggi kepada lebih ramai rakyat negara ini yang memerlukannya.

      Kalau benarlah apa yang dikatakan itu, mengapakah IPTS ini tidak mewajibkan subjek Bahasa Melayu menurut peringkat pembelajaran yang sesuai. Contohnya, kalau peringkat universiti, maka taraf Bahasa Melayu yang diajar, hendaklah sama tarafnya dengan kurikulum universiti. Tidaklah memadai dengan hanya mengadakan pengajaran Bahasa Melayu untuk mereka yang tidak berjaya mendapat kelulusan baik dalam SPM. Yang jelas, Bahasa Melayu sengaja dipinggirkan oleh kebanyakan IPTS. Keadaan menjadi lebih kritikal lagi apabila terdapatnya syarikat swasta yang membuang pekerjanya yang tidak fasih berbahasa Inggeris

      (Razali M.F, 1998 )

      Jadi semakin ramailah golongan muda yang tidak fasih berbahasa Melayu. Mereka lebih senang berbahasa Inggeris dalam pergaulan sehari-hari. Dikhuatiri, akan terdapat dua golongan rakyat pada masa hadapan iaitu golongan rakyat "biasa" yang mengikuti Dasar Pendidikan Kebangsaan dan golongan "elit", golongan yang berkelulusan IPTS. Jadi untuk mengelakan atau menghapuskan terjadinya 2 golongan rakyat pada masa hadapan, berkuatkuasa Januari tahun depan semua IPTS dimestikan mengadakan kursus matapelajaran wajib iaitu Bahasa Kebangsaan A ( untuk warganegara ), Bahasa Kebangsaan B ( bukan warganegara ), Pengajian Malaysia, pengajian Islam dan Pendidikan Moral. Ianya perlu dijalankan selaras dengan Akta IPTA 1996 dan Akta Lembaga Akreditasi Negara 1996.( Utusan Malaysia, Mei 1998 )

       

    5. Kualiti Produk IPTS.

Baru-baru ini terdapat berita di akhbar Berita Harian berkenaan pelajar kolej swasta yang kurang wibawa. Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak, mendedahkan banyak institusi pengajian tinggi swasta di negara ini menggunakan khidmat pensyarah yang kurang wibawa. Sikap IPTS terbabit yang masih belum mengambil langkah sewajarnya menaikkan taraf kewibawaan pensyarah mereka, hanya akan membantutkan rancangan kerajaan menjadikan Malaysia pusat pendidikan bertaraf antarabangsa ( Berita Harian, Dis. 1997 )

Tambah beliau lagi, kerajaan mahu setiap pensyarah di IPTS mempunyai kelayakan yang lebih daripada pelajar mereka seperti mempunyai sarjana untuk mengajar sarjana muda dan Ijazah kedoktoran bagi mengajar pelajar sarjana.( Abdullah.K. Feb.1998 ) Selain daripada tenaga pengajar, kelengkapan kolej juga dipertikaikan. Sebagai contohnya, para pensyarah di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya bimbang tentang keupayaan kolej-kolej swasta mengambilalih program matrikulasi boleh membantutkan penyediaan pelajar Melayu di bidang sains.( Ibrahim N.A, Jun 1998 )

Seorang pensyarah yang terlibat dengan penubuhan asasi sains, penempatan para pelajar matrikulasi di luar kampus, matlamat pendedahan kepada kehidupan kampus, matlamat pendedahan kepada kehidupan kampus yang sebenar tidak tercapai kerana kebanyakan IPTS tidak menyediakan persekitaran secocok. IPTS tidak mungkin dapat menyediakan persekitaran berkenaan,lebih-lebih lagi IPTS yang tidak mempunyai kampus yang tetap dan hanya beroperasi di rumah-rumah kedai atau kawasan yang tidak sesuai. Sebagai contoh sebuah Kolej di Bangsar iaitu Kolej Bakti yang telah di ambil oleh Institut Goon yang mendapat francais program matrikulasi Universiti Malaya terletak di kawasan deretan rumah kedai.( Berita Harian, Mei 1998 ) Kebanyakan daripada pelajar yang memasuki kolej ini tidak mempunyai pilihan dan jawapan yang kerap di berikan apabila diajukan soalan berkenaan penempatan mereka di kolej itu ialah "apa nak buat tiada pilihan". Persekitaran kolej tersebut juga tidak sesauai kerana kedai nombor ekor, pusat-pusat snuker serta permainan video terletak berhampiran dengan kolej tersebut. Jadi tidak hairanlah jika setelah selsai kuliah mereka akan mengunjungi pusat-pusat hiburan tersebut. Maka pembaziran masa dan wang ringgit akan berlaku. Harapan ibu-bapauntuk melihat anak-anak mereka berjaya kan berkecai.

Kemampuan IPTS mengawal disiplin dan keselamatan para pelajar amat meragukan berikutan tempat belajar dan penginapan yang tidak setempat menyukarkan kawalan terhadap para pelajar. IPTS tidak mungkin mengawal para pelajarnya yang menginap di pangsapuri atau kondominium yang disewa oleh IPTS dan belajar pula di tempat lain. Para pelajar yang tinggal tanpa kawalan warden atau pegawai keselamatan akan terdedah kepada gaya hidup bebas dan anasir-anasir tidak sihat.

IPTS yang bermotivasikan keuntungan akan cuba menarik seberapa ramai pelajar yang boleh. Keadaan ini akan menyebabkan kesukaran dari segi tenaga pengajar dan kemudahan kelengkapan pembelajaran. Kriteria kemasukan pelajar juga direndahkan berbanding dengan Institut Pengajian Awam (IPTA). Terdapat berita yang mengatakan IPTS mengambil pelajar yang tidak mendapat kepujian di dalam subjek Bahasa Melayu di peringkat SPM / SPMV.

 

 

 

4.4 Isu francais universiti

Sejak kebelakangan ini, wujud pula fenomena baru dalam arena pusat pengajian tinggi. Pusat pengajian tinggi awam tempatan seperti Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Institut Teknologi Mara telah memberi peluang kepada IPTS untuk mengendalikan program-program pengajian dengan menggunakan ‘nama’ mereka atau dengan kata lain memfrancaiskan nama mereka.

Universiti Malaya ternyata mendahului universiti lain kerana memfrancaiskan program matrikulasinya. Ini dilakukan sebagai salah satu langkah pengkorporatannya. Namun begitu, di sebalik keghairahan universiti tersebut memfrancaiskan program matrikulasi itu, banyak aspek telah terabai. Sebagai contoh yang telah tersiar di akhbar baru-baru ini, ibubapa meluahkan rasa ketidakpuasan hati mereka kerana berasa tertipu dengan "Tawaran Melanjutkan Pelajaran ke Universiti Malaya".

Dalam surat tawaran tersebut, mereka diberitahu bahawa anak mereka telah diterima melanjutkan pelajaran oleh universiti tersebut tetapi mereka diminta mendaftarkan diri di kolej swasta. Selain berasa teraniaya dengan beban yuran yang tinggi iaitu hampir mencecah RM5000 setahun, persekitaran kampus kolej swasta tersebut juga tidak menggambarkan suasana pengajian di pusat pengajian tinggi. Mereka terpaksa belajar di kawasan rumah kedai yang disewa oleh kolej terbabit.

Masalah seterusnya, kolej-kolej terbabit juga tidak mempunyai kemudahan-kemudahan pembelajaran yang lengkap. Keadaan ini membimbangkan kerana dikhuatiri pencapaian para pelajar matrikulasi lepasan kolej berkenaan tidak memuaskan. Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Khalid Yunus, kemudahan pembelajaran meliputi peningkatan mutu tenaga pengajar serta kemudahan asas seperti bilk kuliah, perpustakaan yang lengkap, makmal sains dan sebagainya di samping menampung keperluan IPTA yang memberikan francais itu. Secara umumnya program francais yang diterima pakai ialah program yang sedia ada di sebuah universiti dan telah diluluskan untuk kendalian oleh IPTS dengan menggunakan kurikulum seperti yang dilaksanakan di Universiti induk. Program francais ini mestilah mempunyai ciri-ciri :

Dari segi tenaga pengajarnya pula, kelayakan minimum bagi peringkat diploma dan matrikulasi hendaklah ijazah pertama dan untuk peringkat ijazah kelayakan minimum haruslah sarjana. Bagi nisbah pengajar dan pelajar, UPM contohnya telah menetapkan IPTS boleh meningkatkan nisbah pengajar dan pelajar hanya 2.5 kali ganda nisbah yang terdapat di UPM yang pada masa kini adalah seperti dibawah.( Utusn Malaysia, Mei 1998 )

Bidang nisbah pengajar pelajar

Sains dan Sains Gunaan 1 : 12

Matematik 1 : 14

Sains Sosial dan Sastera 1 : 17

Kejuruteraan 1 : 10

Perubatan 1 : 6

Namun begitu peningkatan nisbah ini dirasakan keterlaluan kerana ianya akan menggugat mutu keluaran IPTS tersebut. Jika sebelum ini di Universiti induk nisbah pengajar kepada pelajar di dalam bidang matematik misalnya 1: 14 tetapi jika di IPTS nisbah ini bertambah kepada 1 : 28, jadi adalah sukar bagi pensyarah untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada setiap pelajar yang mengikuti kuliah tersebut. Sehubungan dengan itu IPTS perlulah bersikap realistik dengan menyediakan segala kemudahan yang diperlukan bagi menjamin pelajar yang mengikuti pengajian IPTS tidak teraniaya pada masa hadapan mereka dan kualiti pendidikan mereka.

4.5 IPTS dan Kawalannya

Menurut Menteri Pendidikan, Dato Sri Najib Tun Razak, kerajaan akan memastikan penubuhan dan percambahan universiti swasta dinegara ini di kawal dan dilaksanakan mengikut pertimbangan rasional. Ini bagi memastikan supaya mutu pendidikan tidak terkorban dan dikorbankan oleh kemunculan pelbagai bentuk jenis universiti swasta yang mula tumbuh seperti cendawan selepas hujan.( Seng. A. W, 1998 ) Pertumbuhan ini bukan sahaja telah menimbulkan persaingan antara universiti untuk mendapatkan pelajar tetapi juga menjadikan pendidikan sebagai bahan komoditi yang boleh diperniagakan. Walaupun dari satu segi penubuhan universiti swasta ini adalah baik kerana ia menyediakan tempat untuk menampung jumlah pelajar yang kian bertambah namun dari segi yang lain pula akan menyebabkan mutu pendidikan itu merosot dan terlalu berorientasikan kepada kursus yang bersifat komersial. Jadi timbul tanda-tanya di sini, kemana arah tuju universiti swasta ini, sama ada hendak memberi dan menyediakan pendidikan tinggi kepada rakyat negara ini atau sekadar untuk mengaut keuntungan daripada dasar liberal kerajaan itu. Perlu diingatkan peningkatan mutu pendidikan negara tidak seharusnya di nilai berdasarkan kepada jumlah universiti yang dimiliki tetapi adalah bersandarkan kepada kualiti pelajar yang dapat dihasilkan. Apa yang lebih menghairankan kita ialah ada diantara universiti itu ditubuhkan oleh badan korporat dan syarikat perniagaan yang tidak mempunyai hubungan dengan bidang pendidikan. Jadi, kita merasa sangsi bagaimana dan apa relevennya syarikat ini diberikan kelulusan untuk menubuhkan universiti. Sedangkan sebelum ini, pihak swasta tidak dibenarkan menubuhkan universitinya sendiri. Memang tidak dinafikan universiti yang sedia ada tidak mampu menampung jumlah pelajar yang kian meningkat. Ditambah pula dengan langkah kerajaan mengurangkan penghantaran pelajarannya ke luar negara, maka bilangan universiti yang terdapat di negara kita sememangnya perlu ditambah. Tetapi yang menjadi masalahnya di sini ialah pertambahan, pertumbuhan dan perkembangan unversiti swasta ini terlalu cepat dan tidak sejajar dengan jumlah pelajar yang ada di negara kita. Pendidikan kalau dilihat daripada sudut manapun tidak boleh dijadikan sebagai barangan dagangan atau bahan komoditi. Nilai komersial yang terdapat pada pendidikan terletak pada kualiti pelajar yang dapat dihasilkan, sama ada dapat memberikan sumbangan yang bermakna kepada masyarakat ataupun tidak.

Disamping kawalan, pengawasan juga perlu dilakukan keatas universiti dan IPT yang telah beroperasi untuk memastikan mutu pendidikan yang disediakan adalah menetapi spesifikasi. Selain daripada memberikan penekanan kepada keuntungan, setiap universiti swasta juga disarankan memainkan dan melaksanakan tanggungjawab sosialnya untuk memberi pendidikan yang sebaik mungkin kepada para pelajarnya sejajar dengan Dasar Pendidikan Negara.

5.0 Kesimpulan

Dalam menangani isu-isu terbabit, peranan kerajaan adalah amat penting. Dalam usaha kita menjadikan negara sebagai pusat pendidikan bertaraf antarabangsa, kita haruslah bijak dalam mengawal mutu pendidikan kita. Kementerian Pendidikan Malaysia menetapkan 12 syarat kepada IPTS yang ingin mengadakan program berkembar sepenuhnya dengan universiti asing. Antaranya ialah mengehadkan kerjasama dengan tiga universiti luar negara sahaja, manakala hanya lima program berkembar diadakan bagi setiap universiti terbabit. Datuk Seri Najib berkata kementeriannya kini membenarkan IPTS melaksanakan sepenuhnya program pengajian berkembar di dalam negara. Menurut beliau lagi,IPTS yang ingin menawarkan sepenuhnya program kembar di Malaysia mesti mendapat kelulusan Menteri Pendidikan serta mempunyai prasarana akademik yang berkualiti.

Semua IPTS wajib menjalani penilaian penentuan standard minimum bagi setiap kursus yang ditawarkan oleh mereka berikutan penguatkuasaan Akta IPTS 1996 pada 1 Januari lalu. Penilaian penting untuk menentukan semua kursus yang ditawarkan oleh IPTS memenuhi keperluan standard minimum yang ditentukan bagi sesuatu kursus.(Razali.M.F, Jan 1998) Jika terdapat IPTS yang tidak mahu mematuhi kriteria yang ditetapkan, kerajaan tidak akan berkompromi dan IPTS terbabit tidak akan mendapat pengiktirafan daripada kerajaan. Berkenaan tenaga pengajar pula adalah dicadangkan pihak pengurusan IPTS perlu membuka peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi di kalangan kakitangan akademik supaya dapat memiliki sekumpulan akademik berwibawa.

Pada keseluruhannya, kewujudan IPTS adalah salah satu langkah bijak kerajaan dalam memenuhi Wawasan 2020. Peluang pembelajaran akan terbuka meluas kepada lebih ramai rakyat Malaysia. Di samping itu IPTS dapat memberikan saingan yang sihat kepada IPTA sedia ada ke arah menjana insan- insan intelek. Rakyat Malaysia mestilah bijak untuk memilih segala yang terbaik untuk diri dan negara. Cabaran-cabaran dalam bidang pendidikan mestilah ditempuhi dengan cekal dan semangat yang tinggi untuk maju.