KAJIAN SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN (MTT2353)

ZAHID BIN DAIM (MT971143)

SHAHNAZIM BIN SHAHAR (MT971135)

 

PERANAN DAN IMPLIKASI INSTITUT PENGAJIAN TINGGI SWASTA ( IPTS ) KEPADA PERKEMBANGAN PENDIDIKAN NEGARA

 

  1. Rasional Pemilihan Tajuk
  2. Kami telah sepakat untuk memilih tajuk ini sebagai persembahan kami disebabkan oleh beberapa perkara utama diantaranya adalah memandangkan isu pendidikan tinggi menerusi institut-institut dan kolej-kolej swasta begitu menonjol sejak kebelakangan ini. Fenomena perkembangan atau pertumbuhan sektor pengajian swasta ini telah kami lihat pada awal tahun 1990-an apabila begitu banyak pusat pendidikan swasta yang dibina, terutama di kawasan bandar-bandar besar. ( Massa, Disember 1997 ) Seperkara lagi kami tertarik terhadap permasalahan-permasalahan yang berlaku di dalam pengurusan pengajian tinggi swasta yang melibatkan kredibiliti IPTS sendiri yang boleh menjejaskan keyakinan orang ramai kepada kewibawaan IPTS di dalam penyediaan prasarana pembelajaran. ( Ruangan Pendidikan, Akhbar Utusan Malaysia, 17 Jun, 1998 ) Ini termasuklah dari segi perlaksanaan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di pusat-pusat pengajian mereka. Sikap "double standard" yang diamalkan oleh pihak IPTS di dalam mendaulatkan Bahasa Melayu telah sedikit sebanyak menimbulkan rasa prasangka rakyat terhadap kewujudan institusi ini. ( Dewan Budaya, Julai, 1995 ) Walaupun begitu kita tidak menafikan masih ada beberapa institusi yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama serta menawarkan kemudahan pembelajaran dan keperluan yang canggih bagi memastikan pembelajaran berjalan lancar setanding dengan kemudahan yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi awam yang mendapat tajaan kerajaan. ( Massa, Disember, 1997 ) Selain dari perkara yang boleh dibincangkan di atas kami turut tertarik terhadap isu monopoli institusi pengajian swasta oleh sesuatu kaum mahupun syarikat persendirian dari segi pemilikan dan dari segi jumlah pelajar yang menuntut dan mengikuti kursus-kursus yang dianjurkan oleh pihak mereka. ( En. Lee Meow Fatt, 1992 ) Secara keseluruhannya tanpa menyentuh mengenai "capability" IPTA kami melihat kewujudan institusi pengajian swasta ini dari sudut yang positif iaitu institut swasta boleh mencapai tahap pendidikan terulung yang diperlukan oleh negara sekiranya penubuhan mereka dapat dikawalselia dengan baik oleh pihak Kementerian Pendidikan agar ianya tidak bertentangan dengan dasar dan Falsafah Pendidikan Negara. ( Sharil Marzuki, 1993 )

  3. Perkembangan Pendidikan Swasta

Kejatuhan nilai ringgit nampaknya membawa rahmat yang besar kepada industri pendidikan tinggi tempatan di mana ramai di kalangan pelajar yang menuntut di luar negara pulang ke negara untuk menyambung pengajian akibat kos yang meningkat naik.

( Massa, Mac, 1998 ) Mengikut laporan majalah Massa keluaran 21 mac 1998 adalah difahamkan bahawa hampir 3000 pelajar di luar negara telah menyatakan minat mereka untuk menyambung pengajian mereka di IPTS tempatan. Golongan ini menjadikan IPTS sebagai alternatif utama untuk menyambung pengajian mereka dan ianya semakin menggalakkan pendidikan swasta berkembang dengan pesat di negara ini dari segi jumlah, jenis, saiz dan skop pengajiannya. ( Massa, Disember, 1997 ) Penjelasan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Khalid Yunus kepada majalah Massa keluaran 28 Mac 1998 menyatakan bahawa kepesatan lahirnya IPTS adalah salah satu langkah dan strategi kerajaan untuk mengurangkan pergantungan kita agar tidak menghantar pelajar lagi ke luar negara. Jadi seharusnya kita melihat perkara ini dari sudut yang positif dan tambahan lagi Timbalan Menteri Pendidikan dalam hujahnya menyatakan adalah menjadi hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pendidikan yang cemerlang dan Kementerian Pendidikan berhasrat melihat 40 peratus rakyat negara ini berpendidikan tinggi dengan tertubuhnya IPTS. ( Massa, 28 Mac 1998 ) & ( Massa, 21 Jun 1997 ) Perdana Menteri Malaysia, Datu Seri Dr. Mahathir Mohamad dalam satu ucapan dasarnya semasa mempromosikan Koridor Raya Multimedia (MSC) menegaskan tujuan kerajaan Malaysia melonggarkan sistem pendidikan negara adalah bagi membolehkan memberikan peluang yang lebih banyak kepada rakyat meneruskan pelajaran pada peringkat tinggi selaras dengan usaha kerajaan untuk melahirkan pekerja yag berilmu.

( Massa, 21 Jun 1997 ) Dalam Belanjawan Negara 1998 yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, rebat cukai untuk ibu-bapa yang menghantar anak-anak mereka ke luar negara dihapuskan dan pelbagai bayaran untuk tujuan itu dinaikkan termasuk fiskal imigresen dan lain-lain merupakan satu isyarat bagi menggalakkan seterusnya mengurangkan kecenderungan golongan ibu-bapa agar menghantar anak-anak mereka belajar di pusat pengajian tinggi tempatan. ( Massa, 6 Disember 1997 ) Ini ditambah dengan keghairahan syarikat-syarikat gergasi swasta mahupun awam menubuhkan kolej-kolej pendidikan swasta dan mengadakan program-program berkembar dengan universiti luar negara. ( Massa, 21 mac 1998 ) Di samping itu bidang-bidang pengajian yang popular terdapat di kolej-kolej swasta seperti bidang kejuruteraan, perakuanan, pengurusan perniagaan, komunikasi dan sains komputer yang berteraskan kemahiran memberikan harapan yang cerah untuk mendapatkan pekerjaan yang baik di samping berpuluh-puluh lagi kursus yang ditawarkan telah menarik minat pelajar untuk memasuki kolej-kolej swasta kerana syarat kemasukannya adalah mudah. ( Massa, 6 Disember 1997 ) Perkembangan ini wujud apabila permintaan terhadap institusi pendidikan semakin bertambah berikutan kualiti pembelajaran anak-anak meningkat daripada semasa ke semasa ekoran tindakan Kementerian Pendidikan memperkemaskan kurikulum di sekolah rendah, menengah rendah dan tinggi. ( Massa 6 Dec 1997 )

Dianggarkan jumlah kolej swasta negara ini lebih 400 buah dengan kebanyakannya terdapat di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru. Sesetengah dari kolej dan institut swasta telah mempunyai cawangan atau kampus cawangannya di negeri-negeri lain. ( Massa 6 Dec 1997 ) Baru-baru ini Kementerian Pendidikan baru saja meluluskan penubuhan sebanyak 524 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di mana mereka mengendalikan program berbentuk matrikulasi. diploma dan ijazah. ( Berita Harian, Khamis 16 Julai 1998 )

Sehubungan itu permintaan gunatenaga yang tinggi terhadap tenaga kerja profesional dan mahir oleh sektor perindustrian dan perdagangan menjelang tahun 2020 apabila Malaysia menjadi negara perindustrian dan negara maju adalah menjadi faktor utama kepesatan perkembangan pendidikan swasta pada masa sekarang ini dan ditambah dengan galakan dan gesaan dari kerajaan agar sektor swasta melabur di dalam pendidikan dengan menubuhkan institusi pendidikan swasta. Ini dinyatakan oleh En Lee Meow Fatt, yang menegaskan ;

"Malaysian Incorporated and vision 2020 and the shortage of skilled manpower have often been cited as rationale for the establishment of private institution". (The Star, 2 August 1992).

3.0 Peranan Pendidikan Swasta Terhadap Dasar Pendidikan Negara.

Pada masa kini institusi pengajian tinggi awam tidak dapat menampung permintaan pelajar melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi tempatan. Menurut Menteri Pendidikan :

"Kerajaan tidak dapat menampung kekurangan kira-kira 150,000 tempat belajar diperngkat pendidikan tinggi, beliau seterusnya menerangkan bagi setiap 100 orang yang layak, pusat pendidikan tinggi di negara ini mampu menawarkan tempat kepada 33 atau 34 pelajar sahaja" ( Berita Harian, 4 November 1992 )

Ini menimbulkan masalah untuk menempatkan pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang jumlahnya terlalu sedikit, berbanding lulusan cemerlang atau terbaik kedua-dua peperiksaan peringkat sekolah itu. (Massa 6 December 1997) Langkah yang telah diambil oleh pihak IPTS dengan menggabungkan institusinya dengan universiti luar negara yang menawarkan program berkembar di mana kursus-kursus profesional seperti undang-undang, perakuanan, kejuruteraan anjuran institusi pendidikan swasta ditawarkan merupakan langkah yang bijak di mana yuran pengajian yang rendah tetapi dengan kualiti yang sama dengan IPTA menjadikan IPTS sebagai alternatif utama untuk pelajar meneruskan pengajiannya. ( Massa, 31 Januari 1998 ) Dengan ini juga institusi pendidikan swasta dapat membantu IPTA dalam melatih tenaga profesional dan mahir bagi menampung permintaan sektor perindustrian dan perdagangan yang sedang pesat membangun. Misalnya pada tahun 1990 hingga 1997, Malaysia memerlukan kira-kira 300,000 pekerja terlatih dalam sektor perkilangan. ( Berita Harian 10 Mei 1993 )

Begitu juga mengikut Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua 1991 -2000, Malaysia memerlukan tambahan jurutera seramai 30,100 orang, pembantu jurutera seramai 122,900 orang dan 600 orang lagi bagi pegawai perubatan dan kesihatan menjelang tahun 2000. Dalam seruannya, Timbalan Menteri Pendidikan Dr.Fong Chan Onn telah menyeru supaya sektor swasta mendirikan lebih banyak institusi pendidikan bagi menampung permintaan terhadap pendidikan tinggi.

"With this strong demand for education, the government finds itself unable to cope and we want them (the private sector) to build more colleges and other institutions of higher learning ( The Sunday Star 17 Januari 1993)

Menteri Pendidikan ketika itu iaitu Datuk Sulaiman Daud menyeru agar sektor swasta memainkan peranan yang lebih cergas dalam pembangunan pendidikan negara, khususnya menyediakan kursus yang tidak dapat disediakan oleh kerajaan ( Berita Harian , 4 Novemver 1992 ) Mengikut Rancangan Malaysia Keenam (1991) pada tahun 1985, dianggarkan seramai 60,000 pelajar telah belajar di institusi pengajian tinggi di luar negeri. Bilangan pelajar Malaysia yang ramai di luar negeri ini telah mengakibatkan pengaliran keluar tukaran wang asing kira-kira RM1.2 billion setahun, tetapi dengan tertubuhnya institusi pengajian swasta telah menyebabkan fenomena pelajar ke luar negara berkurangan. Misalnya pada tahun 1990, jumlah pelajar yang melanjutkan pelajaran ke luar negeri telah menurun kepada 52,000 orang sahaja. ( Kerajaan Malaysia 1991) Sehubungan itu, institusi pendidikan swasta yang tumbuh seperti cendawan pada akhir-akhir ini, selain dapat memberikan kemudahan pendidikan kepada pelajar-pelajar tempatan, juga dapat menarik dan memberi peluang belajar kepada pelajar-pelajar luar negeri khasnya kepada pelajar-pelajar Asean. Ini disarankan oleh Perdana Menteri sendiri agar :

"Institusi pendidikan swasta berusaha menarik penuntut bukan saja daripada dalam negara bahkan juga dari luar negara, Beliau seterusnya berkata, bahawa kita mampu daripada segi kepakaran untuk menyediakan segala kemudahan peringkat tinggi bagi rantau Asia Tenggara" ( Utusan Malaysia, 30 April 1993 )

Setakat ini, menurut sumber Kementerian Pendidikan, cuma terdapat 4,000 pelajar asing menuntut di negara ini, itu pun termasuk di pusat pengajian tinggi awam. ( Massa, 6 December 1998 ) Menerusi institusi pengajian swasta, pemilihan menerusi pencapaian akademik untuk kemasukan atau pengambilan tidaklah diperketatkan seperti di IPTA, kerana yang penting mereka iaitu setiap pelajar berkemampuan menampung kos pembelajaran dan mengambil kursus yang bersesuaian dengan keputusan peperiksaan sekolah. Selain peranan-peranan yang tersebut di atas institusi pendidikan swasta juga berperanan sebagai pelengkap dan bukan pesaing kepada pendidikan awam. Dengan maksud yang lain bahawa apa-apa kursus atau pendidikan swasta akan menawarkannya, malah institusi pendidikan swasta adalah lebih peka terhadap kehendak pelajar dan masyarakat. ( Massa, 6 Disember 1997 ) Pelajar-pelajar yang mengikuti kursus di kolej-kolej swasta khasnya melalui "twinning" atau "lingkage" program akan dapat menjimatkan kos perbelanjaan (cost saving) pendidikannya di dalam lingkungan RM15,000 hingga RM20,000 setahun bagi kursus-kursus di bawah program dengan universiti-universiti di Amerika Syarikat. Ini bermakna jika sesuatu kursus itu diadakan selama 3 tahun di kolej swasta tempatan sebelum menghabiskan tempoh pengajian di luar negeri, maka penjimatan kos pendidikan adalah di antara RM45,000 - RM60,000. Bagi kursus di bawah "twinning" atau "linkage" program dengan universiti-univerisiti di United Kingdom penjimatan kos perbelanjaannya adalah sebanyak RM20,000 - RM90,000. Penjimatan kos ini belum termasuk penjimatan kos daripada kos saraan, sewa rumah, tambang/pengangkutan yang sememangnya jauh lebih mahal di Amerika Syarikat mahupun di United Kingdom jika dibandingkan dengan di Malaysia iti sendiri. Kolej Antara Bangsa Berjaya iaitu salah sebuah IPTS utama di Malaysia hanya mengenakan yuran sebanyak kira-kira RM2000 - RM3000 sahaja kepada pelajar matrikulasinya. ( Utusan Malaysia, 29 Jun 1998 )

4.0 Implikasi Pendidikan Swasta (IPTS) Terhadap Pendidikan Negara

4.1 Implikasi Kebaikkan

IPTS yang sedia ada bukan bertindak sebagai pesaing tetapi adalah sebagai pelengkap kepada tanggungjawab IPTA yang semakin besar yang sukar menampung pertambahan jumlah pelajar. Ini akan mewujudkan proses pendidikan yang lebih liberal dan demokrasi selaras dengan seruan kerajaan yang ingin melihat penduduk Malaysia mempunyai pendidikan tinggi pada tahun 2000. ( Massa, 28 Mac 1998 )

Memetik kata-kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Khalid Yunus ( Massa 28 Mac 1998 ) Kerajaan ingin menjadikan Malaysia sebagai pusat pendidikan yang cemerlang serta melihat 40% rakyat adalah berpendidikan tinggi sebelum melangkah tahun 2000. Menerusi IPTS, pemilihan menerusi pencapaian akademik untuk kemasukkan dan pengambilan tidaklah diperketatkan seperti di IPTA kerana yang penting mereka iaitu setiap pelajar berkemampuan menampung kos pembelajaran dan mengambil kursus yang bersesuaian dengan keputusan peperiksaan sekolah. ( Massa, 6 Disember 1997 ). Perdana Menteri kita dalam dasar ucapannya ketika mempromosikan Koridor Raya Multimedia (MSC) di London menegaskan bahawa kerajaan Malaysia akan melonggarkan sistem pendidikan negara bagi membolehkan mereka yang kurang keputusan cemerlang dapat meneruskan pelajaran pada peringkat pengajian tinggi selaras dengan usaha kerajaan untuk melahirkan pekerja yang berilmu.

( Massa, 21 Jun 1997 ) Penubuhan IPTS juga dapat mengurangkan pengaliran wang ke luar negara dan seterusnya mengurangkan pelajar yang sedang menuntut di luar negara dan ke luar negara. Mengikut Rancangan Malaysia Keenam (1991) pada tahun 1985, dianggarkan seramai 60,000 pelajar telah belajar di institut pengajian tinggi di luar negeri. Bilangan pelajar Malaysia yang ramai di luar negeri ini telah mengakibatkan pengaliran keluar tukaran wang asing kira-kira RM1.2 biliion setahun. Walaubagaimanapun dengan tertubuhnya institusi pengajian swasta, ia telah menyebabkan fenomena pelajar ke luar negara berkurangan dan membantu mengukuhkan sumber pendapatan negara melalui sektor pendidikan iaitu kerajaan berupaya menarik sebanyak 4,452 pelajar asing untuk belajar di negara kita di IPTS dan IPTA yang membawa masuk tukaran wang asing sebanyak RM53 juta setahun ( Massa, Mac 1998 ) . Pada tahun 1990, jumlah pelajar yang melanjutkan pelajaran ke luar negeri telah menurun kepada 52,000 orang sahaja. ( Kerajaan Malaysia 1991 ) Seterusnya dengan kerjasama yang dimainkan di antara IPTS dengan Universiti luar iaitu dengan mengadakan Linkage atau Twinning Program akan turut melibatkan pemindahan teknologi atau pengetahuan yang lebih cepat hasil dari kepakaran yang diperolehi dari tenaga pakar pensyarah asing kepada pensyarah dan pelajar IPTS khususnya. ( Massa, 6 Dis 1997 ) Beberapa contoh kerjasama IPTS dengan universiti luar :-

( sumber : Massa 6 Disember 1997 & Massa 21 Mac 1998 )

IPTS di Malaysia juga berkemampuan untuk menyediakan kemudahan pembelajaran yang setanding bahkan lebih baik berbanding dengan IPTA bagi memastikan pembelajaran yang lancar. Ini tidaklah menghairankan kerana kedudukan kewangan mereka yang kukuh hasil pungutan yuran yang dikenakan terhadap pelajar yang agak tinggi sehingga ada yang 4 hingga 5 kali ganda berbanding dengan IPTA. Di samping itu IPTS itu sendiri dibiayai oleh individu dan organisasi yang mempunyai kedudukan kewangan yang stabil dan mantap. Seperkara lagi memandangkan IPTS mempunyai persaingan di kalangan mereka sendiri , komitmen mereka untuk menyediakan prasarana kemudahan yang terbaik adalah tinggi, yang bertujuan untuk menarik perhatian pelajar dan ibu-bapa. ( Ramli Abdul Karim, Massa 6 Dis 1997 ) IPTS bukan sahaja berkemampuan untuk menawarkan lebih banyak kursus yang berorientasikan kepada keperluan pekerjaan malah mereka lebih peka kepada kehendak pelajar dan masyarakat. ( Massa, 6 Disember 1997 ). Kursus yang paling popular di IPTS ialah perniagaan, perakaunan, pemasaran dan pengurusan sumber manusia, teknologi maklumat, kejuruteraan perisian, kejuruteraan elektrik dan elektronik serta kejuruteraan mekanikal. ( Utusan Malaysia, 3 Mac 1998 ) Pendapat di atas telah dipersetujui oleh Prof. Ishak Haron (1992) yang mengatakan :

"Ciri utama latihan anjuran swasta ini ialah dengan cepat sesuatu kursus latihan itu ditawarkan atau dipersetujui mengikut permintaan pasaran tenaga kerja. Misalnya kursus-kursus berhubung dengan penggunaan komputer dengan cepat diadakan di sana sini di bandar, dibandingkan dengan institusi atau kolej kerajaan".

    1. Implikasi keburukan

Namun demikian ada individu dan organisasi yang mengambil kesempatan di atas kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan di dalam penubuhan IPTS. Beberapa IPTS yang ditubuhkan oleh badan-badan korporat dan individu yang mempunyai kewangan yang kukuh menganggap bahawa penubuhan IPTS yang mereka taja adalah semata-mata untuk mempelbagaikan kegiatan perdagangan mereka iaitu mereka melihat disebalik IPTS yang mereka taja, meraka akan dapat mengaut keuntungan yang besar hasil daripada yuran yang tinggi yang dikenakan terhadap pelajar. Ini jauh daripada landasan sebenar iaitu sebagai memenuhi tanggungjawab mereka terhadap memartabatkan mutu pendidikan negara di mata dunia. Seorang pengusaha kolej swasta, Datuk Dr Sharom Ahmat yang juga Presiden Kolej Disted yang beribu pejabat di Pulau Pinang baru-baru ini, menyentuh isu berkenaan dengan menyatakan bahawa kewujudan semakin banyak kolej swasta di negara ini, akhirnya akan menghilangkan keyakinan orang ramai terhadap sektor itu sendiri. ( Massa, 6 Disember 1997 ) Naib Presiden Kolej Unitek Malaysia, Petaling Jaya, Rosli Yusof dalam kenyataannya menyatakan bahawa pihaknya turut menghadapi masalah kekurangan tenaga pengajar terutama di bidang kejuruteraan dan komputer. ( Massa, 6 Disember 1997 ) Manakala Eksekutif Penerbitan Institut Teknologi Tun Abdul Razak ( ITTAR ), Mohd Shukri Awang pula menyatakan bahawa pihaknya tidak menghadapi masalah kekurangan tenaga pengajar kerana di samping kakitangan sepenuh masa, ITTAR juga mengambil tenaga kerja separuh masa. Masalah penghijrahan pensyarah IPTA ke IPTS turut disuarakan oleh mereka yang resah terhadap fenomena penghijrahan ini. Penghijrahan pensyarah di IPTA merupakan satu ancaman kepada sistem pendidikan negara kerana ia melibatkan tanggapan masyarakat yang melihat penghijrahan ini adalah satu perkara yang luar biasa.( Massa, 2 Ogos 1998 ) Menurut Yang Dipertua Persatuan kakitangan Akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (PKAUKM) Dr. Wan Mokhtar Wan Yusof dalam ulasannya kepada majalah Massa Ogos 1998, penghijrahan ini merupakan satu fenomena yang biasa berlaku dalam mana-mana sektor kerana ia dilihat sebagai tuntutan kepada keperluan tenaga pengajar sejajar dengan perkembangan pendidikan negara. Sdr Razif Ahmad dalam ulasannya di majalah Massa keluaran 21 Mac 1998 menyatakan bahawa kita tidak mahu syarikat-syarikat atau kolej-kolej asing melambakkan kursus-kursus yang tidak menepati sasaran semata-mata kerana hasrat meraka yang tamak yang mahu mengaut keuntungan melalui sektor pendidikan. Kita tdak mahu tradisi keilmuan dibelakangkan oleh matlamat keuntungan perniagaan. Kesan negatif daripada penubuhan IPTS juga adalah status dan martabat Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Ilmu akan tercabar. Pemisahan yang jelas antara pengajian ilmu kemanusiaan (umpama bahasa, sastera, sejarah dan falsafah) dengan pengajian ilmu ekonomi, pengurusan, sains dan teknologi. IPTS lebih berminat kepada pengajian yang kedua itu, kerana kepentingan ekonomi dan pasaran dan menganggap bahawa pengajian ilmu-ilmu kemanusian itu kurang ada gunanya. ( Anwar Ridwan, Dewan Budaya, Julai 1995 ) Isu ini dihangatkan lagi dengan kemasukkan pelajar ke IPTS yang tidak mempunyai kredit di dalam Bahasa Melayu yang dibangkitkan oleh Kesatuan Guru Bahasa Melayu Se Malaysia (KGBMS) di dalam akhbar Utusan Malaysia pada 11 Julai 1998. Sikap memandang sepi kepada bahasa kebangsaan yang berlaku di IPTS ini perlu dibendung agar tidak berlaku di kejadianmembelakangkan Bahasa Melayu kerana ini bererti membelakangkan Dasar Pendidikan Negara. Seksyen 41(1) Akta IPTS yang menetapkan bahawa hanya Bahasa Melayu yang boleh menjadi bahasa pengantar di IPTS merupakan langkah yang bijak dalam menegakkan DPK. Namun kelonggaran yang diberikan dalam Seksyen 41(3)(a) dan Seksyen 41(3)(b) dengan membenarkan IPTS memohon pengecualian menggunakan Bahasa Inggeris atau Bahasa Arab sebagai bahasa pengantar telah menyebabkan ia menjadi tandatanya kepada masyarakat. Walaupun bagaimanapun pendapat ini telah ditentang dan dinafikan oleh Dr. Yahya Ibrahim iaitu Presiden NAPIEI ( The Association of Private Independent Educational Institutions ) yang menjelaskan bahawa :

" Tidak timbul soal kurangnya penekanan penggunaan bahasa Malaysia atau kurang penerapan nilai-nilai murni, kenegaraan dan kebudayaan tempatan kerana pelajar sekolah swasta adalah mereka yang telah menerima pendidikan awal peringkat rendah dan menengah selama 11 tahun dan ada juga yang mengikuti selama 13 tahun ". ( Utusan Melayu, 26 Jun 1993 )

Penswastaan IPT dalam pengertian yang luas akan melahirkan dua aliran atau dua tahap IPT di negara ini - di satu pihak ia berdasarkan sistem pendidikan kebangsaan berbahasa Malaysia dan di pihak satu lagi yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar.

" Dapatkah kita mempercayai pertambahan kolej swasta seumpama itu benar-benar tidak bercanggah dengan dasar dan falsafah pendidikan kebangsaan dari segi falsafah, kandungan dan perlaksanaannya, seterusnya beliau berkata bahawa perkara itu hanya boleh terlaksana jika pentadbiran Kementerian Pendidikan mempunyai kekuatan azam politik". ( Berita Harian, 8 Jun 1993 ) "

Satu lagi masalah yang sering di timbul ialah kebanyakkan kolej swasta ini dimiliki oleh satu kaum sahaja atau dimiliki oleh syarikat sendirian berhad yang dikuasai oleh satu kaum sahaja, begitu juga dari segi jumlah pelajar yang mengikuti kursus-kursus di kolej swasta adalah majoritinya dari satu kaum sahaja, ini telah dinyatakan oleh En.Lee Meow Fatt ( 1992 )

" Another source of concern is the dominance of one ethic group in the management of and participation in private education ".

En Lee Meow Fatt dalam ceramahnya di ceramah Anjuran Persatuan Mahasiswa UKM di UKM Bangi pada 2 Ogos 1992 yang berjudul "Private Educational Institution" menyuarakan kebimbangan dan menyatakan bahawa masalah yang sering timbul semasa penubuhan IPTS ialah kebanyakkan IPTS ini dimiliki oleh satu syarikat atau syarikat sendirian berhad sahaja begitu juga dengan jumlah pelajar yang dimonopoli oleh satu kaum sahaja dimana fenomena ini akan menyebabkan jurang perpaduan wujud, pada hal kita melihat sektor pendidikan adalah merupakan satu alat untuk menyatu-padukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Seperkara lagi isu-isu lain yang seperti kewibawaan kualiti tenaga pengajar di IPTS yang boleh dipertikaikan. Pendedahan yang dibuat oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan bahawa terdapat IPTS di negara ini yang menggunakan khidmat pensyarah yang kurang wibawa. ( Berita Harian, Dis 1997 ) Sikap IPTS ini amat mendukacitakan kerajaan dan akan membantutkan rancangan kerajaan menjadikan Malaysia sebagai pusat pendidikan bertaraf antara bangsa. Sebenarnya kerajaan telah menyediakan 5 akta utama dalam mengawalselia IPTS iaitu :-

Jadi tidak timbul isu bahawa kementerian pendidikan mengambil mudah di dalam mengawalselia perkembangan IPTS. Adalah diharapkan melalui akta ini akan dapat membendung segala masalah yang berlaku di dalam mengawal perkembangan IPTS yang semakin pesat. Kerajaan menetapkan bahawa setiap pensyarah di IPTS mesti mempunyai kelayakan yang lebih daripada pelajar mereka seperti mempunyai sarjana untuk mengajar sarjana muda dan Ijazah Kedoktoran bagi mengajar sarjana. ( Abdullah. K 1998) Seperkara lagi masalah yang dihadapi di atas kewujudan institusi pengajian tinggi swasta adalah akan wujud tiga golongan generasi muda Malaysia pada masa akan datang disebabkan wujudnya tiga sistem pendidikan diperingkat pengajian tinggi , iaitu pertama golongan pelajar di universiti, institut dan kolej kerajaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, kedua golongan pelajar tajaan kerajaan dan badan-badan berkanun yang belajar di luar negara dan yang ketiga adalah golongan pelajar di kolej-kolej swasta yang menggunakan buku teks dan pengantar bahasa Inggeris. Oleh kerana golongan ini akan menceburkan diri dalam pelbagai lapangan ikhtisas atau profesional baik di sektor awam atau sektor swasta, apa yang menjadi persoalan di sini ialah mampukah siswazah-siswazah lepasan universiti dan institusi tempatan bersaing denga siswazah-siswazah luar negara dan kolej swasta di dalam mencari pekerjaan terutama di sektor swasta. Ini disebabkan pendidikan yang berbeza akan melahirkan manusia yang berbeza khususnya dari perubahan sikap , tingkah laku berfikir dan cara hidup.

Kesimpulan

Pada keseluruhannya, kewujudan IPTS adalah salah satu langkah bijak kerajaan yang ingin melihat 40% penduduk Malaysia mempunyai latarbelakang pendidikan tinggi menjelang tahun 2000. ( Massa, 28 Mac 1998 ) IPTS juga boleh berperanan sebagai pelengkap kepada IPTA yang jumlah yang sedia ada tidak dapat menampung jumlah pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran mereka. Jika kita buat perbandingan dengan negara Australia, kita hanya mempunyai 10 universiti awam dan 3 buah universiti swasta berbanding dengan Australia dengan kapasiti penduduk yang hampir sama dengan kita tetapi memiliki lebih dari 40 universiti dan kolej. (Utusan Malaysia, 3 Mac 1998 ) Seharusnya kita melihat penubuhan IPTS dilihat sebagai aspek yang positif di mana melalui penubuhannya akan dapat menangani masalah kekurangan tempat pengajian bagi pelajar yang ingin melanjutkan pengajian. Kerajaan telah mengubal undang-undang untuk mengawal selia perkembangan yang pesat yang dialami oleh IPTS iaitu diantaranya :-

Adalah diharapkan dengan akta yang sedia ada ini kerajaan dapat berperanan dengan lebih telus dan tegas dalam mengawalselia IPTS. Walaubagaimanapun untuk memilih IPTS sebagai alternatif pusat pengajian tinggi adalah terletak kepada kebijaksanaan pelajar dan ibu-bapa sendiri yang harus menjalankan kajiselidik terlebih dahulu sebelum membuat keputusan kerana ini bukan sahaja melibatkan jumlah wang ringgit yang agak besar tetapi masa depan anak mereka yang begitu ingin melanjutkan pelajaran mereka. Ibu-bapa dan pelajar tidak harus menyalahkan pihak kerajaan semata-mata kerana diri mereka harus tahu tanggungjawab mereka sebagai seorang pelanggan kerana kerajaan mempunyai komitmen yang lain di dalam menguruskan soal pentadbiran negara bukan semata-mata menumpukan perhatian kepada IPTS semata-mata

 

 

 

 

 

 

 

RUJUKAN

Lee Meow Fatt, "Private Educational Institution. Their Regulation in Full Filling National Mission and Vision ". Kandungan ceramah Anjuran Persatuan Mahasiswa UKM di UKM, Bangi pada 2 Ogos 1992.

Kementerian Pendidikan Malaysia (1984), "Laporan Jawatankuasa kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran", Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdullah bin Othman, "Penubuhan Sekolah-sekolah dan Institusi-institusi Pendidikan Swasta Masa Kini : Jenis, Perundangan dan Dasar" Kertas Kerja yang dikemukakan pada Unit Perhubungan dan Pendaftaran, Jabatan Pendidikan Negeri di IAB, 1988.

Prof. Isahak Haron "Aliran Perkembangan Pendidikan Pembentukan Malaysia sebagai Negara Industri dalam Abad ke 21", Kertas Pidato Umum, Aminuddin Baki kali ke-4, Anjuran IAB, Kementerian Pendidikan di UPM, 4 Januari 1992.

 

Kerajaan Malaysia (1986), "Rancangan Malaysia Kelima 1986-1990", Kuala Lumpur, Percetakkan Negara.

Kerajaan Malaysia (1991). "Rancangan Malaysia Keenam 1991-1995, Kuala Lumpur, Percetakan Negara.

Bahagian Pendaftaran Sekolah-sekolah dan Guru-guru, Kementerian Pendidikan, kertas; "Establishment of A Private School or Educational Institut in Malaysia" some General Information.

Prof Madya Hj Shahril bin Hj A.Karim "Pendidikan swasta menjelang wawasan 2020", Kertas dibentangkan di Seminar Nasional ke-2 Pengurusan Pendidikan, di IAB pada 26-28 Nov 1992.

Shahril Marzuki (1993) "Pendidikan Di Malaysia", Kuala Lumpur, Utusan Publication & Distributors.

Zainal Ghani (1988), "Student Mobility:Linked Programmes, A Malaysian Case Study" Pulau Pinang, Universiti Sains Malaysia.

Mok Soon Sang (1996). "Pendidikan Di Malaysia " Kumpulan Budiman Sdn Bhd, Kuala Lumpur.

Majalah Dewan Budaya, Julai 1995

Majalah Massa, 21 Jun 1997

Majalah Massa, 6 Disember 1997

Majalah Massa, 31 Januari 1998

Majalah Massa, 21 Mac 1998

Majalah Massa, 28 Mac 1998

Majalah Massa, 2 Ogos 1997

Majalah Massa 26 April 1997

Keratan Akhbar

Utusan Malaysia, 17 Jun 1998

Berita Harian, 16 Julai 1998

The Star, 2 Ogos 1992

Berita Harian , 4 Nov 1992

Berita Harian, 10 Mei 1993

The Sunday Star, 17 Jan 1993

Berita Harian, 8 Jun 1993

Utusan Malaysia, 30 April 1993

Utusan Malaysia, 29 Jun 1998

Utusan Malaysia, 3 Mac 1998

Utusan Malaysia, 26 Jun 1993