Koleksi Kertas KajiSelidik Pelajar Sarjana Pendidikan Seksyen Tiga ITTHO

Koleksi Kertas Kerja Kajian Sistem Pendidikan Kebangsaan (MTT2353)



Dilema Pendidikan Islam



PENGENALAN

Pendidikan adalah satu aspek yang paling asas dan dasar dalam sistem kehidupan manusia. Corak dan aliran pendidikan yang begitu dinamik inilah yang menjadi faktor utama merubah kehidupan manusia sejak zaman berzaman. Oleh itu memang wajarlah sistem dan konsep pendidikan dikaji dari masa kesemasa untuk memastikan sistem yang ada memang mendidik dan membangunkan manusia secara yang paling seimbang. (Tajul Ariffin Nordin, 1987)(Dr.)

Menurut seorang ahli falsafah Amerika, John Dewey; pendidikan (education) ialah 'The process of forming fundamental (dispositions, intellectual and emotional towards nature and fellow men", iaitu pendidikan ialah sebagai proses membentuk kecenderungan-kecenderungan asas yang berupa akal  dan perasaan terhadap alam dan manusia. Manakala Prof. H.Horne pula menyatakan "Education is the external process of superior adjustment of the physically and mentally developed, free conscious, human being to gad, as manisfested in the intellectual, emotional and volitional environment of man." iaitu pendidikan adalah proses abadi bagi menyesuaikan perkembangan diri manusia dari segi jasmani, alam Aqli, kebebasan dan perasaan manusia terhadap Tuhan sebagaimana ternyata dalam alam aqliyyah, perasaan dan kemahuan manusia.(Dalam Abdul Halim El-Muhammady, 1987)) (Prof Madya Dr.)

Menurut Prof. Dr. Hassan Langgulung, 1995 dari segi pemindahan nilai-nilai, sistem pendidikan mempunyai dua fungsi yang besar iaitu  :
Menjaga sistem yang telah ada dalam masyarakat dengan cara memperkuatkan lagi asas nilai-nilai tersebut, institusi-institusi dan kemampuan-kemampuan yang ada dalam masyarakat. Dengan cara ini, sosial dan kebudayaan akan terus terjamin.
Sistem pendidikan dapat membendung perkembangan struktur sosial yang sedia ada dengan perhitungan kepada nilai-nilai baru; dengan memberi tumpuan kepada nilai-nilai tersebut dalam perkembangannya, atau melahirkan suatu kelompok masyarakat baru natijah di mana ia merupakan jentera pembaharuan (modernization). 

Maka jelaslah di sini bahawa pendidikan ialah proses membentuk keperibadian manusia. Melalui pendidikan yang sempurna akan dapat melahirkan manusia yang dapat berinteraksi dengan lebih baik dengan Pencipta alam dan alam itu sendiri. Oleh kerana manusia terdiri dari akal, roh dan anggota jasmani, maka pendidikan menjadikan semua itu sebagai sasaran untuk dipupuk dan dikembangkan potensinya.







RASIONAL PEMILIHAN TAJUK

DILEMA PENDIDIKAN ISLAM DIMALAYSIA
Untuk sekian lama, pendidikan Islam telah disisihkan dari arus perdana sistem pendidikan di Malaysia. Apa yang kita lihat walaupun mata pelajaran Agama Islam diajarkan di sekolah rendah dan menengah, ia tidak mempunyai nilai akademik yang tinggi. Ini kerana ia diajar dengan seadanya sahaja dengan peruntukan masa yang begitu terbatas sedangkan perkara yang ingin diajar meliputi satu bidang yang terlalu luas.

Ketidaksungguhan ini dapat kita nilai apabila pada 22 Disember 1993, Datuk Dr. Sulaiman Daud telah mengumumkan bahawa mulai sessi 1994, semua pelajar Islam yang menduduki UPSR, PMR dan SPM dikehendaki mengambil ujian lisan dan praktikal fardhu ain. Walaubagaimanapun, ujian itu tidak memberi sebarang kesan kepada keseluruhan gred dan agregat pelajar kerana ia tidak dikira walaupun tercatat dalam sijil. (UMMI, 1994).

Masalah ini ditambah pula dengan masalah guru-guru agama di sekolah rendah dan menengah kebangsaan yang yang tidak mempunyai kelayakan profesional yang diperlukan untuk menjadi seorang guru yang berwibawa kerana kebanyakan mereka tidak mempunyai latihan ikhtisas.

Sekolah-sekolah agama negeri dan rakyat juga turut mengalami pelbagai masalah. Di antara yang agak ketara ialah masalah kekurangan peralatan, kemudahan serta latihan guru. Pada masa yang sama, jabatan-jabatan agama Islam negeri-negeri pula gagal mencari kata sepakat bagi menyelaraskan kurikulum dan sijil sekolah-sekolah agama.

Namun begitu, dalam keadaan serba kekurangan tersebut, pendidikan Islam semakin mendapat tempat dihati para ibubapa yang inginkan anak mereka mendapat didikan yang dapat menjamin kebahagiaan hidup samada di dunia mahupun di akhirat. Setiap tahun, kita dapati sekolah-sekolah rendah dan menengah agama negeri dan rakyat melaporkan sejumlah besar pelajar tidak dapat diterima belajar di sekolah-sekolah berkenaan kerana ketiadaan tempat.

Perkara ini berlaku kerana sekolah-sekolah ini bukan sahaja berupaya melahirkan generasi masa depan yang mempunyai sahsiah yang baik tetapi juga cemerlang di dalam akademik.

Di dalam kertas kerja ini kami menerangkan secara ringkas tentang Sistem Pendidikan Islam, memberi pendapat mengenai sistem pendidikan Malasyia yang ada sekarang serta cuba mengetengahkan beberapa isu yang timbul di dalam usaha untuk melaksanakan sistem pendidikan, cabaran-cabaran yang dihadapi serta beberapa langkah yang telah di ambil untuk mengatasinya dan peranan guru itu sendiri. Kami mengharapkan semoga dengan terhasilnya kertas kerja ini, dapat membuka minda kita  tentang pentingnya kita melaksanakan sistem pendidikan yang berlandaskan Islam.

SISTEM PENDIDIKAN ISLAM

Pendidikan Islam merupakan tunjang penting bagi melahirkan masyarakat berkarisma tinggi daripada aspek kematangan berfikir dan bertindak Ia bukan setakat memberi tunjuk ajar dalam bidang ilmu yang berkaitan dengan urusan dunia semata-mata, malah menyentuh tentang hubungan manusia dengan Tuhan seterusnya kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Keupayaan pendidikan Islam dalam membentuk masyarakat madani sebagaimana yang dicita-citakan, sudah terbukti sepanjang perjalanan sejarah umat Islam.(Wan Hishamudin Wan Jusoh, 1998).

Pendidikan Islam membawa maksud yang luas merangkumi semua aspek keperluan hidup di dunia yang bermatlamatkan ke arah melahirkan insan yang salih, benar-benar beribadat dan taqwa kepada Allah (dengan penuh yakin, faham, sedar, ikhlas, dan berilmu pada setiap perkara yang di buat). Matlamat ini menjadi garis panduan dalam gerakan (insan) memakmurkan alam ini di dalam daerah dan kawalan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.`` (Zawawi Haji Ahmad, 1988)

Menurut Ghazali Basri, 1986, Pendidikan Islam ini dapat difahami dari dua sudut iaitu :
Sejarah awal pertumbuhannya
Falsafahnya
Dari sejarah awal pertumbuhannya, adalah berdasarkan pemahaman dari wahyu yang pertama (surah al Alaq: 5 ayat terawal) dan wahyu yang kedua (surah al Muddatstir: 7 ayat terawal), dapat diambil kesimpulan bahawa pendidikan Islam itu terasas dari empat aspek :
Pendidikan tauhid : iaitu membaca dengan nama Allah, mentauhidkan Allah, mengakui kebesaran Allah dan kekuasaanNya. Allah sebagai Khaliq.
Pendidikan 'Aqliah dan Ilmiah : mempelajari tentang kejadian manusia dan alam semesta. Menganjurkan usaha-usaha penyelidikan: membaca (dalam pengertian yang luas), mengkaji (menyelidik) dan menulis dengan pena.
Pendidikan akhlak : iaitu pendidikan melatih kesabaran
Pendidikan kesihatan : mementingkan kebersihan pakaian, tubuh badan, dan tempat kediaman. Suci hati dan baik budi pekerti. Kesihatan zahir dan batin.

Beliau turut merumuskan prisip asasnya kepada 5 perkara iaitu :
Membantu pembentukan akhlak yang mulia. Pembentukan akhlak insan yang mulia dilaksanakan melalui pendidikan.
Persiapan untuk kehidupan di dunia dan di akhirat iaitu dengan menguasai segenap bidang keilmuan yang diperlukan oleh berbagai aspek kehidupan seperti ekonomi, sosial, politik dan lain-lain tanpa melupakan persiapan untuk akhirat.
Menjaga kemanfaatan individu dan kolektif. Pendidikan Islam bukan keseluruhannya bersifat spiritual tetapi menitik beratkan juga penyediaan tenaga mahir serta profesyen di dalam berbagai-bagai bidang.
Menubuhkan roh ilmiah di dalam berbagai-bagai bidang keilmuan.
Memupuk dan memperkembangkan segenap potensi yang terdapat pada diri manusia.


ASAS / SUMBER PENDIDIKAN ISLAM

Asas pendidikan Islam ialah Al-Quran dan As-Sunnah yang merangkumi aspek akidah dan syariat. Merujuk kepada pengertian pendidikan Islam itu ialah mendidik dan membimbing manusia mengikut acuan yang berpandukan kepada Al Quran dan Al Sunnah.

Al Quran dijadikan rujukan primer dan sumber untuk mencapai kehendak daripada pendidikan menurut perspektif Islam. Dr Muhammad Fadhil Al Jamali menulis di dalam kitabnya, Tarbiyatu al Insan al Jadid, "Al Quran merupakan kitab teragung menjadi sumber falsafah pendidikan dan pengajaran. Ia juga merupakan perbendaharaan yang menjadi induk kepada semua kebudayaan Islam terutamanya daripada aspek kerohanian". (Dalam Wan Hishamudin Wan Jusuh, 1998)

Dengan itu, jelas kepada kita bahawa Al Quran haruslah menjadi asas dan sumber utama di dunia pendidikan Islam.


MATLAMAT PENDIDIKAN ISLAM

Pendidikan Islam yang diperkenalkan kepada insan seluruhnya mempunyai matlamat-matlamat yang tertentu. Matlamat-matlamat yang telah ditetapkan itu menunjukkan bahawa ianya untuk melahirkan insan yang baik atau insan yang sempurna (insan saleh / insan kamil) iaitu insan yang mencakupi kualiti-kualiti manusia yang sebenarnya. 

Pendidikan Islam meletakkan matlamatnya kepada kesempurnaan kemanusiaan yang sebenarnya di mana ia mengatasi batas-batas sempadan negara, keturunan dan kebudayaan sesuatu bangsa. Ia melatih manusia mengikat hatinya kepada yang Maha Kuasa, membina dan melatih diri dengan disiplin-disiplin yang bersumberkan Al-Quran dan as-Sunnah  yang memberi bahan untuk peningkatan akal badan dan ruh, sedangkan bahan-bahan yang diberikan dalam pendidikan lain adalah untuk peningkatan akal dan fizikal semata-mata.

Di antara matlamat-matlamat yang telah dirumuskan oleh Ghazali bin Basri (1986) ialah :
Menimbulkan kesedaran dan kefahaman tentang Tuhan (Tauhid) supaya menyembahNya dalam keadaan kepatuhan dan ketaatan.
Melahirkan pencapaian keilmuan dan keimanan. Ilmu yang terpisah dari keimanan bukan sahaja dianggap sebagai ilmu serpihan tetapi juga sebagai kejahilan dalam bentuk baru. 
Melahirkan menusia yang saleh. Membina dalam dirinya supaya hidup dalam peraturan syara' serta mewujudkan sahsiah yang luhur dan mantap.
Memindahkan pengalaman dalam bentuk kemahiran atau pengalaman teknik. Di dalam Islam Ilmu-ilmu Syara' adalah melengkapi ilmu-ilmu sains yang lain seperti perubatan, kejuruteraan, ilmu kemasyarakatan dan lain-lain dalam suasana yang harmonis.
Melahirkan manusia yang berwibawa tinggi dan sanggup melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka sebagai insan yang baik dan warganegara yang berguna.
Melahirkan manusia yang berkebudayaan tinggi, sanggup melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka sebagai insan yang "Kamil" dan warganegara yang berguna. 

Dapat dirumuskan di sini bahawa pendidikan Islam adalah satu usaha memimpin atau membimbing kepada kehidupan muslim yang benar-benar bertaqwa kepada Allah sehingga terbentuklah keperibadian yang sejati. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
" Sesungguhnya semulia-mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah manusia yang paling taqwa."

4.0 SISTEM PENDIDIKAN DI MALAYSIA

Kementerian Pendidikan telah berusaha untuk memantapkan satu falsafah pendidikan yang meliputi semua tahap iaitu rendah, menengah dan tinggi. Oleh itu pada tahun 1988  Kementerian Pendidikan telah merasmikan satu pernyataan sebagai falsafah pendidikan negara iaitu :
"Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan kearah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berahklak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara."

Jika kita menghayati maksud yang tersurat dan tersirat di sebalik falsafah pendidikan negara ini, sememangnya ia adalah menepati dengan matlamat pendidikan Islam itu sendiri. Ianya boleh kita nilai dengan mengambil kata kunci yang penting iaitu :
Pendidikan sebagai suatu usaha yang berterusan
Menekankan potensi individu
Menekankan perkembangan individu secara menyeluruh dan bersepadu
 Melahirkan insan yang seimbang dan harmonis
Dengan mengambil kira unsur intelek, rohani, emosi dan jasmani
Kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan
Rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan
Rakyat Malaysia yang berketrampilan
Rakyat Malaysia yang berakhlak mulia
Rakyat Malaysia yang berkeupayaan mencari kesejahteraan diri
Rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

Untuk mencapai falsafah pendidikan yang begitu unggul ini maka sudah pastilah kita memerlukan satu sistem perlaksanaan yang juga unggul dan praktikal. Persoalannya, sejauhmanakah perlaksanaan sistem pendidikan sekarang dijalankan sebagaimana yang dikehendaki di dalam falsafah pendidikan negara yang begitu ideal tersebut.

Pengetua Sekolah Sri Puteri, Kuala Lumpur, Aminah Ahmad, berpendapat sudah tiba masanya sistem pendidikan diubah ke arah melahirkan individu yang bukan hanya berintelek tinggi tetapi juga mampu menyesuaikan diri dengan keperluan dunia hari ini. Menurut Aminah, kurikulum pendidikan yang ada sekarang tidak lagi mampu melahirkan pelajar yang mempunyai kriteria sebagaimana yang dikehendaki oleh Falsafah Pendidikan Negara (FPN) kerana ia hanya menekankan perkembangan intelek  sahaja. (Utusan Malaysia, 2 Mac 1998).

Seorang guru sekolah menengah, Habsah Mat Zin pula berpendapat, sistem pendidikan sememangnya perlu diubah agar matlamat sebenarnya tidak hanya sekadar tertulis pada kertas tetapi  juga dapat dilaksanakan oleh kaum guru. Menurut beliau,  secara teorinya sistem yang ada sekarang memang bermatlamatkan kecemerlangan akademik dan perkembangan individu yang menyeluruh namun dari segi praktikal, guru masih tetap mengajar berorientasikan peperiksaan dengan memberi penekanan pada tajuk yang dijangka penting dan keluar dalam peperiksaan. (Utusan Malaysia, 2 Mac 1998).

Mungkin daripada  pendapat-pendapat dari pihak yang berpengalaman ini, kita dapat menilai bahawa sistem pendidikan yang ada sekarang hanya dapat melaksanakan sebahagian dari Falsafah Pendidikan Negara tetapi agak ketinggalan pada yang sebahagian lagi menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan dalam menghasilkan para pelajar yang dianggap sebagai bakal peneraju negara pada masa akan datang.

Oleh itu sudah sewajarnyalah pihak Kementerian Pendidikan memberi sokongan kepada Sistem Pendidikan Islam yang terbukti dapat melahirkan para intelektual yang berakhlak mulia dan berketrampilan untuk mencapai Falsafah Pendidikan Negara.

Justeru itu apa yang kita dapat lihat ialah pihak Kementerian juga sebenarnya telah mengambil langkah tertentu. Jika kita lihat perkembangan sistem pendidikan telah menerapkan nilai-nilai Islam seperti KBSM yang mempunyai ciri-ciri penting pendidikan Islam di mana matlamat akhirnya untuk melahirkan generasi yang dikehendaki iaitu muslim insanul-kamil dan insanul-soleh, sementara yang bukan muslim menjadi warganegara (ummah) yang mempunyai kesatuan fikiran dengan warganegara muslim. Dengan memiliki kesatuan fikiran (fikrah) dan perasaan sebagai suatu ummah dengan lahirnya :
Generasi muslim yang mempunyai pengetahuan dunia dan teras yang seimbang sebagai golongan yang berilmu teras dan mengetahui ilmu-ilmu dunia.
Jenerasi bukan muslim yang mempunyai pelbagai bidang pengetahuan dan taat kepada negara dan berbakti kepada ummah dengan kemahiran yang sewajarnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdul Hamid Othman pula mengumumkan bahawa kerajaan sedang berusaha untuk menerapkan pendekatan dan nilai-nilai yang digunakan di sekolah-sekolah agama ke sekolah-sekolah biasa di negara ini bagi menangani masalah sosial remaja. (Utusan Malaysia, 5 Mac 1997).

Kita sememangnya mengalu-alukan usaha  untuk menjadikan Islam atau pengajian dan pendidikan Islam sebagai teras kepada usaha menangani apa jua masalah yang kita hadapi kini.

Namun demikian tidak dapat kita nafikan bahawa terdapat juga cabaran-cabaran dan masalah-masalah yang  perlu dihadapi di dalam usaha untuk melaksanakan Sistem Pendidikan Islam ini.


CABARAN PELAKSANAAN SISTEM PENDIDIKAN ISLAM

Berdasarkan kepada penerangan yang telah diberikan mengenai Sistem Pendidikan Islam, jelas menunjukkan kepada kita bahawa Sistem Pendidikan Islam adalah merupakan satu sistem yang lengkap meliputi segala aspek kehidupan yang kesemuanya menuju ke arah pembinaan insan kamil.

Barangkali kita bersetuju jika dikatakan bahawa pengajaran dan pendidikan Islam merupakan subjek atau satu disiplin ilmu yang seringkali diketengahkan sebagai kaedah penyelesaian kepada pelbagai masalah negara. Contohnya ketika kita menghadapi masalah berleluasanya jenayah kolar putih pada suatu ketika dulu, pengajian dan pendidikan Islam telah dicadangkan oleh pelbagai pihak sebagai salah satu kaedah penyelesaiannya.

Utusan Malaysia, 5 Mac 1997 telah mengulas mengenai 'Dilema Pengajian Islam' dengan mengemukakan beberapa pendapat golongan tertentu yang mengatakan bahawa pengajian Islam perlu dijadikan subjek yang wajib dipelajari oleh setiap pelajar Islam sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi dalam setiap disiplin ilmu. Menurut laporan itu lagi, subjek tersebut dikatakan mengandungi pelbagai "Mekanisme Pengawalan" yang membolehkan masyarakat mematuhi ajaran agama.

Ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa sekiranya pengajian Islam difahami serta dihayati isi kandungannya dengan sebaiknya maka akan lahirlah  ahli-ahli politik yang lebih bermoral dan berwawasan, ahli perniagaan yang jujur dan amanah, guru-guru yang berdedikasi serta pelajar-pelajar yang rajin dan berketerampilan, yang mana semua ini akan dapat mengurangkan gejala sosial yang semakin berleluasa dewasa ini.

Dalam pada kita menggembar-gemburkan tentang peri pentingnya Sistem Pendidikan Islam ini diberi penekanan di dalam konteks pendidikan negara, namun masih ada kesangsian lagi samada pihak kerajaan bersedia untuk turut sama meningkatkan taraf dan pencapaian sekolah-sekolah agama, atau dalam konteks yang lebih luas lagi melaksanakam Sistem Pendidikan Islam di Malaysia.

Dalam membincangkan cabaran pelaksanaan Sistem Pendidikan Islam ini , Norizan Sharif dalam Majalah Ummi, Januari 1994 telah mengemukan laporan Kongres Pendidikan Islam Malaysia 1993 mengenai pelbagai isu yang timbul yang menyekat keberkesanan pendidikan Islam di negara kita. Antara isu-isu yang dikemukakan ialah :
Dualisme Dalam Pendidikan
Prof. Madya Dr. Halim Mat Diah, ketua Akademi Islam Universiti Malaya, mengkritik dasar pendidikan Islam di negara ini dan mempersoalkan dualisme yang diamalkan di sekolah-sekolah. Menurut beliau apa yang berlaku ialah guru mata pelajaran Agama Islam mengatakan mendedahkan aurat adalah haram, tetapi kemudiannya masuk pula guru Bahasa Inggeris yang tidak menutup aurat. Jadi ini mungkin akan mengelirukan para pelajar.

Isu dualisme dalam sistem pendidikan ini telah membuatkan sebahagian ibu bapa  tawar hati untuk menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaan dan sebaliknya memilih sekolah agama yang memberikan penekanan kepada kedua-dua aspek akademik dan agama.
	
Kekaburan Mengenai Bentuk Pendidikan Islam
Ustaz Wan Bakar wan Dagang dari Lembaga Penasihat dan Penyelerasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI), Jabatan Perdana Menteri merumuskan kekusutan yang dihadapi oleh Kementerian Pendidikan dalam menentukan dasar pendidikan Islam dengan berkata, 
" Persoalan dasar Pendidikan Islam Malaysia ini sebenarnya belum di putuskan lagi. Apakah pendidikan Islam Malaysia adalah seperti yang wujud di sekolah-sekolah Agama yang ada pada masa kini ? Atau seperti  pendidikan Islam di sekolah-sekolah pondok ? Atau pendidikan Islam seperti di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama ? Atau pendidikan Islam seperti di sekolah-sekolah swasta seperti ABIM ? Atau di Sekolah Rendah Islam Malaysia ? … Atau apakah model pendidikan Islam di negara Islam lain boleh diambil pakai untuk dipraktikkan di Malaysia. Saya rasa persoalan di atas belum lagi ditangani secara sepadu oleh Kementerian Pendidikan Malaysia."



Pelajar Kurang Berminat
Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979 mengenai mata pelajaran Pengetahuan Islam menyebut tiga perkara pokok yang dihadapi dalam pengajaran Agama Islam iaitu :
Masih terdapat pelajar yang tidak berminat untuk mengambil peperiksaan mata pelajaran Pengetahuan Islam
Masih ramai guru matapelajaran Pengetahuan Islam tidak mempunyai kelayakan ikhtisas terutama guru di sekolah rendah
Pengajaran guru kurang menitikberatkan aspek amali.

Tahap minat yang begitu rendah di kalangan pelajar terhadap mata pelajaran Pengetahuan Islam sebenarnya berpunca dari sikap Kementerian Pendidikan sendiri yang tidak meletakkan prioriti yang tinggi terhadapnya.

Walaupun kita sering bercakap mengenai hasrat untuk meningkatkan tahap pengetahuan Islam dikalangan pelajar, sehingga kini mata pelajaran Agama Islam dilihat tidak penting kecuali bagi mereka yang ingin melanjutkan pelajaran kejurusan agama.

Ketidaksungguhan Kementerian Pendidikan
Di bawah Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR), pada zahirnya masa belajar mata pelajaran Agama Islam ditambah daripada 120 minit kepada 150 minit seminggu. Tetapi dengan luasnya skop mata pelajaran tersebut yang meliputi asuhan membaca al Quran dan rampaian Pendidikan Islam, masa tersebut iaitu purata 30 minit sehari didapati tidak mencukupi. Dengan masa yang begitu terbatas tidak hairanlah sekiranya ia kurang berkesan.

Begitu juga dengan guru mata pelajaran Agama Islam yang tidak mempunyai kelayakan ikhtisas. Beberapa perakuan laporan Jawatankuasa Kabinet 1979 mengenai pelajaran Agama Islam masih tidak dilaksanakan sepenuhnya sehingga kini. Kira-kira 5 000 orang guru agama di sekolah rendah yang merupakan Guru Sandaran Tanpa Latihan masih belum mendapat latihan ikhtisas yang cukup. Sepatutnya satu skim latihan khas perlu diberikan ke atas guru-guru agama yang tidak terlatih ini.

Ketidaksungguhan Kementerian Pendidikan untuk meningkatkan tahap kefahaman Islam guru-guru sekali lagi terserlah apabila mata pelajaran Tamadun Islam di maktab-maktab perguruan kini dikurangkan daripada empat semester kepada satu semester sahaja.

Di dalam kongres Pendidikan Islam Malaysia ini juga turut mengupas beberapa masalah yang masih membelengu Sistem Pendidikan Islam di Malaysia yang juga merupakan cabaran yang perlu dihadapi. Di antara cabaran-cabaran tersebut ialah :



Kekurangan Latihan Ikhtisas
Kenyataan ini telah disokong oleh ustaz Ibrahim Abdullah dari Jabatan Agama Islam Terengganu dengan menyatakan bahawa kekurangan latihan ikhtisas bukan sahaja di sekolah rendah tetapi juga di sekolah menengah. Perkara ini juga berlaku kepada matapelajaran akademik yang lain.

Ketiadaan Sistem Peperiksaan dan Persijilan Yang Standard
Masih belum lagi terdapat unit dalam bahagian di Lembaga Peperiksaan untuk mengendalikan urusan peperiksaan bagi sekolah agama negeri dan sekolah agama rakyat. Dengan ketiadaan sistem peperiksaan dan persijilan yang standard, urusan kurikulum dan persijilan sekolah-sekolah agama negeri dan rakyat diuruskan sendiri oleh negeri-negeri dan pertubuhan yang menganjurkan sekolah tersebut.

Perkara ini menyebabkan kurikulum di sekolah-sekolah agama tidak seragam dan ini menimbulkan masalah pengiktirafan. Berhubung dengan masalah ini, Ustaz Haji Zainal Abidin menyebut bahawa ada negeri yang tidak mengiktiraf sijil yang dikeluarkan oleh negeri lain. Ini mengakibatkan kerugian di kalangan pelajar-pelajar kita sendiri kerana tanpa pengiktirafan, sijil yang dikeluarkan tidak lebih daripada sekeping kertas yang tidak bernilai.

Tiada Satu Badan Khusus Yang Mengawasi Penyusunan Buku Teks Agama
Menurut Ustaz Wan Bakar Wan Dagang dari Lembaga Penasihat Penyelaras Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) bahawa sehingga kini Lembaga Penyusunan Buku-buku Agama dalam erti kata yang sebenarnya belum lagi wujud. Bahagian buku Teks, Kementerian Pendidikan hanya dipertanggungjawabkan untuk mengeluarkan buku-buku teks agama di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan.

Bagi membolehkan Islam diterapkan secara bersepadu, sudah sampai masanya bagi kita untuk menubuhkan sebuah Lembaga Penyusunan Buku Agama agar perhatian yang lebih dapat diberikan bagi mengawasi penerbitan buku-buku agama yang lebih bermutu. Selain dari itu, bahagian ini juga boleh merancang usaha-usaha bagi mempercepatkan pengislamisasian ilmu.

Kurang Kemudahan Fizikal
Di kebenyakan sekolah agama terutama sekali sekolah agama negeri atau rakyat menghadapi kesukaran untuk membiayai pembangunan fizikal. Walaupun kerajaan memberikan bantuan namun ia tidak dilakukan secara menyeluruh. Sehingga hari ini masih ada lagi sekolah agama dalam keadaan serba kekurangan tetapi tidak mendapat sebarang bantuan daripada pihak kerajaan atas sebab-sebab tertentu.

Kekurangan Tenaga Tadbir Yang Profesional
Dengan sumber kewangan yang terhad, sekolah-sekolah agama negeri dan rakyat menghadapi masalah untuk mendapatkan khidmat tenaga profesional. Akibatnya pentadbiran sekolah dikendalikan dengan seadanya. Ketiadaan pentadbir profesional sepenuh masa ini menjadikan perancangan masa depan sekolah tidak dapat dilaksanakna secara teratut dan lebih bersifat jangka pendek. Ini menyukarkan sekolah tersebut untuk bersaing dengan sekolah-sekolah yang lain.



LANGKAH-LANGKAH UNTUK MEMANTAPKAN LAGI SISTEM PENDIDIKAN MASAKINI

Berdasarkan beberapa pembacaan yang telah dilakukan untuk mendapatkan maklumat mengenai perkembangan Sistem Pendidikan Islam di Malaysia kami mendapati bahawa pihak kerajaan juga sebenarnya telah mengambil langkah yang tertentu untuk menerapkan nilai-nilai Sistem Pendidikan Islam dalam usaha untuk memantapkan lagi sistem pendidikan yang telah sedia ada. Terdapat langkah-langkah yang masih diperingkat cadangan dan ada juga yang telah mula dilaksanakan. Di antara langkah-langkah tersebut adalah :



Kurikulum Baru Pendidikan Islam bagi Sekolah Rendah dan Menengah
Kurikulum Baru Pendidikan Islam ini akan memberikan tumpuan lebih khusus kepada perkara yang diajar dan pembabitan murid adalah lebih tinggi di dalam pengajaran - pembelajaran. Kurikulum baru ini juga memberi penekanan kepada nilai akhlak bagi membentuk generasi berakhlak disamping memberi penekanan kepada makna dan falsafah setiap ibadah yang dilakukan. Pengolahan kurikulum ini juga mengambil kira mata pelajaran lain secara sepadu, termasuk isu-isu semasa. Kurikulum ini perlu sentiasa dikaji dan dipertingkatkan aspek pendidikannya supaya selaras dengan cabaran dan masalah yang dihadapi oleh golongan berkenaan.

Menurut Muhammad Syafie, Pengarah Bahagian Pendidikan Islam dan Moral, Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Kementerian Pendidikan, kurikulum baru ini telah dilaksanakan sepenuhnya bermula pada tahun 1998. Sebagai permulaannya 40 buah sekolah menengah dan rendah telah dipilih di seluruh negara untuk tempoh percubaan selama setahun.

Kurikulum Baru Pendidikan Islam Bagi Sekolah Aliran Agama
Kurikulum baru yang dicadangkan akan menggunakan Kurikulum Pendidikan Islam Bersepadu yang menyelitkan unsur-unsur bestari iaitu guru bertindak sebagai fasilitator. Objektif kurikulum baru ini bertujuan memperkukuhkan iman dan taqwa, sambil menerapkan nilai dan memperkukuhkan akhlak para pelajar. Untuk tujuan tersebut, para pelajar perlu memahami makna dan amalan-amalan agama. Kurikulum bersepadu ini juga dapat menyemai minda para pelajar bahawa pendidikan Islam merupakan suatu perkara yang mudah dan menyeronokkan. Apa yang lebih penting, kurikulum ini kelak akan menjanakan pelajar yang mampu berfikir sendiri. 

Mewujudkan Latihan Perguruan yang Lebih Bersepadu
Guru merupakan tunjang utama dalam menentukan keberkesanan pembelajaran para pelajar. Oleh itu latihan perguruan yang sedia ada sekarang perlu dikaji semula selaras dengan perkembangan semasa. Sebagai contoh, matapelajaran selain daripada pendidikan Islam perlu diajar dengan menyelitkan unsur-unsur keislaman / murni supaya para pelajar mendapat lebih pendedahan kepada pengertian Islam yang syumul.

Memberikan Bantuan Yang Lebih Menyeluruh
Di dalam usaha untuk memartabatkan Sistem Pendidikan Islam, pihak Kerajaan perlulah perihatin terhadap masalah-masalah yang di hadapi oleh sekolah-sekolah Agama samada dari segi kewangan, peralatan, kemudahan mahupun masalah pengurusan. Dengan adanya bantuan peralatan dan pelbagai kemudahan, maka sudah tentulah akan lebih memudahkan lagi sekolah-sekolah agama untuk menyediakan seasana pembelajaran yang selesa kepada pelajar-pelajarnya.


PERANAN GURU
Golongan guru hanya dapat berperanan secara berkesan setelah mereka memahami persoalan yang terdapat dalam masyarakat serta setelah konsep pendidikan Islam itu jelas dalam pemikiran mereka. Menurut Ghazali Basri, 1986, dalam usaha  untuk mengembalikan atau menerapkan nilai identiti Islam dalam sistem pendidikan ia dapat dilakukan dalam dua cara yang berjalan serentak iaitu :
Peringkat memberi keyakinan tentang falsafah, skop dan matlamat pendidikan Islam kepada pihak yang berkuasa serta para perancang dan pelaksana dasar pendidikan. Tugas ini dapat dilakukan oleh golongan pendidik di pusat-pusat pengajian tinggi kerana mereka berkemampuan untuk memberikan penerangan yang meyakinkan dari segi theoretical concept dan theoretikal framework.
Peringkat bawahan di mana-mana guru-guru yang terlibat secara langsung dalam proses pengajaran di sekolah-sekolah cuba menerapkan nilai-nilai Islam dalam setiap mata pelajaran yang diajarnya.










KESIMPULAN

Sambutan yang ditunjukkan terhadap sekolah-sekolah agama menunjukkan bahawa sememangnya ibubapa sekarang perihatin dengan bentuk pendidikan yang hendak diberikan kepada anak-anak mereka. Setiap tahun bilangan permohonan ke sekolah agama samada di peringkat rendah atau menengah yang terpaksa di tolak semakin bertambah kerana kekurangan tempat. Sebahagian besar sekolah agama juga mula memperlihatkan kecermelangan akademik. Kami berpendapat bahawa sudah sampai masanya pihak Kementerian Pendidikan melihat Pendidikan Islam bulan lagi sebagai mata pelajaran yang hanya di kesampingkan sahaja kewujudannya. 













RUJUKAN : 
Abdul Halim El Muhammady (Prof. Madya Dr.) (1987), Pendidikan Di Malaysia : Ke Arah Keberkesanan Pendidikan Melalui Pendidikan Sepadu, Jurnal Pendidikan Islam, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Dilema Pengajian Islam, (5 Mac 1997), Rencana Utusan Malaysia.

Ghazali Basri (1986), Pendidikan Islam : Cabaran dan Peranan Guru, Jurnal Pendidikan Islam, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Hassan Langgulung (Prof. Dr.) (1995), Pendidikan Islam Dan Peralihan Paradigma, HIZBI Press.

Kurikulum Pendidikan Islam Kebangsaan 1998, ( 3 Mac 1997), Utusan Malaysia.

Norizan Sharif (1994), Pendidikan Islam Di Malaysia, UMMI.

Sistem Pendidikan Aliran Agama Diperluas, (20 Mei 1998), Utusan Malysia.

Sistem Pendidikan Memang Wajar Diubah, (2 Mac 1998), Utusan Malaysia.

Tajul Ariffin Nordin (1986), Beberapa Aspek Pendidikan Liberal Dalam Konteks Pendidikan Negara, Jurnal Pendidikan Islam, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Wan Hishamudin Wan Jusoh (1998), Memartabatkan Pendidikan Islam, Dewan Masyarakat.

Zawawi Hj. Ahmad (1987), Teras dan Falsafah Pendidikan Islam, Jurnal Pendidikan Islam, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

 



return to main