KERTAS KERJA SEMINAR PEMBANGUNAN & ISU-ISU GLOBAL (MTP 3012)

 

WUJUDNYA KONSEP NEGARA KAYA DAN NEGARA

MISKIN SELEPAS BERLAKU ERA PENJAJAHAN


 

 

1.0 PENDAHULUAN

Negara-negara dunia ketiga merupakan satu kelompok negara yang terbesar dalam dunia. Pengiktirafan negara-negara dunia ketiga ini adalah berdasarkan kepada konsep pembangunan dalam negara-negara berkenaan. Dilihat dari sudut sejarah, boleh dikatakan hampir keseluruhan negara dunia ketiga ini mempunyai perkaitan yang rapat dengan negara-negara barat, terutamanya negara kuasa barat yang suatu masa dahulu menjajah negara dunia ketiga.

Negara-negara barat yang datang ke negara dunia ketiga ini mempunyai sebab-sebab yang tertentu dan akhirnya mereka akan menguasai dan menakluk negara tersebut. Negara imperialisme ini mengamalkan dasar-dasar negara mereka dan memperkenalkan sistem ekonomi kapitalis mereka di negara jajahan mereka. Pada asalnya negara-negara dunia ketiga ini merupakan negara yang kaya dengan kegiatan ekonomi seperti perlombongan, pertanian, hasil-hasil hutan dan aktiviti perdagangan dengan struktur sosial-politik yang stabil dan bebas daripada kawalan dan cengkaman negara asing.

Keadaan ini berubah selepas kedatangan pihak barat yang menjajah negara mereka dan telah menyebabkan negara dunia ketiga ini mengalami krisis ekonomi kerana segala khazanah alam dan hasil bumi yang lumayan talah dimiliki dan diambil oleh pihak penjajah. Dengan itu juga maka bermulalah satu proses pembangunan semula di negara-negara dunia ketiga. Akibat daripada proses pembangunan yang tidak seimbang di negara dunia ketiga ini telah mewujudkan negara yang dikenali sebagai negara miskin dan negara barat yang menjajah itu dikenali sebagai negara kaya.

2.0 DEFINISI NEGARA DUNIA KETIGA

Negara-negara dunia ketiga ataupun juga dikenali sebagai negara sedang membangun ini dikelasifikasikan sebagai negara yang tidak mempunyai sebarang industri yang sofistikated dan mempunyai pendapatan perkapita yang rendah. Negara ini meliputi hampir keseluruhan di benua Afrika, Asia dan negara-negara Amerika Selatan.

Sebarang ekonomi di negara dunia ketiga dikategorikan sebagai murahan dan mempunyai tenaga kerja yang tidak berskil langsung.Terdapat hampir 70% daripada penduduk dunia ketiga terlibat dalam aktiviti pertanian yang serba kekurangan (tradisional) . Mereka juga merupakan golongan yang tidak sihat, berpenyakit dan sesetengah negara mengalami masalah kebuluran. Kegiatan ekonomi banyak bergantung pada hasil pertanian utama yang tidak komersial dan berbentuk sara diri, rendah harga pasaran dan tidak begitu berkualiti.

3.0 PROSES PENJAJAHAN DI NEGARA DUNIA KETIGA

Sebenarnya ditinjau dari segi sejarah, penjajahan adalah proses yang sudah lama berlaku. Ia bermula atau berasal sejak apa yang dikenali sebagai ‘voyages of discovery’, apabila Christopher Columbus mencari ‘new world’ atau tanah baru untuk raja mereka dan pelayaran Vasco da Gama mengelilingi dunia mencari kekayaan bagi raja mereka.

Ertinya ia bermula dengan munculnya perkembangan kapatalisme di Eropah kira-kira 500 tahun dahulu. Perkembangan selanjutnya dalam bentuk sistem penjajahan dan imperialisme. Ciri-ciri utama sistem ini ialah penindasan dan perompakan ekonomi (kekayaan sumber alam) ke atas wilayah atau bangsa yang dijajah atau dikuasai bagi mendapatkan keuntungan dan untuk memastikan penimbunan modal.

Pada zaman awal penjajahan yang lampau kita dapati bahawa kuasa ketenteraan/militer sering digunakan bagi melaksanakan penaklukan atau penguasaan ekonomi dan politik ke atas negara dunia ketiga.

Pada era penjajahan negara barat ke atas negara dunia ketiga terdapat beberapa sebab yang mempengaruhi barat menjajah negara tersebut, antaranya ialah :

  1. Mendapatkan sumber bahan mentah. Negara barat yang sememangnya kekurangan bahan mentah telah memaksa mereka menjelajah mencari kawasan yang kaya dengan sumber alam ini seperti bahan galian dan hasil perhutanan. Ini telah mendorong negara kuasa barat ini menjajah negara dunia ketiga yang kaya dengan sumber bahan mentah. Revolusi perusahaan yang berlaku di negara barat telah mendorong negara barat ini mengambil kesempatan memperluaskan penguasaan ke atas negara dunia ketiga.
  2. Negara kuasa barat ini melakukan penjajahan di negara dunia ketiga adalah untuk melengkapi agenda bagi meluaskan empayar dan jajahan takluk mereka. Negara kuasa barat ini berlumba-lumba menguasai negara dunia ketiga kerana ia merupakan kawasan yang kaya dengan bahan mentah dan strategik untuk dijadikan pengkalan tentera. Conrohnya negara di Asia Tenggara pada masa tersebut adalah amat strategik untuk dijadikan pengkalan tentera dan pelabuhan kerana ia menjadi laluan utama kapal dagang kerana kawasan ini terlindung dari pengaruh tiupan angin monsun
  3. Satu lagi faktor yang menyebabkan barat menjajah negara dunia ketiga ialah bagi mengembangkan agama dan ideologi. Tumpuan mereka ialah negara yang penduduknya beragama Islam. Selepas zaman renaissen, pihak kristian negara di barat secara yang agresif cuba mengembang agama mereka kesetiap pelusuk dunia. Mereka mempunyai hasrat unutk mengkristiankan umat Islam terutamanya tetapi masih tidak tercapai. Adalah dipercayai bahawa kedatangan barat di Tanah melayu berdasarkan kepada 3G iaitu God, Glory dan Gold (tuhan, kegemilangan dan emas). Namum begitu pihak barat ini hanya mencapai 2G sahaja iaitu Glory dan Gold (kegemilangan dan emas) kerana tidak berjaya mengkristiankan orang melayu yang beragama islam.

Penjajahan bentuk baru dalam era globalisasi masa kini adalah lebih berhemah, iaitu penjajahan dalam bentuk penguasaan ekonomi yang sekaligus merangkumi aspek politik dan sosial sesebuah negara mengikut sistem kapatalisme.

4.0 TERMA-TERMA PENTING

 

 

Terdapat beberapa terma penting yang perlu dijelaskan di sini dalam usaha memberi pemahaman yang tepat terhadap topik kajian yang dibuat ini. Antara terma tersebut ialah :

4.1 Status-quo

Perkataan ini adalah berasal dari bahasa Latin.

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (1993), status-quo bermaksud :

"Sebagaimana keadaan sebelumnya atau sebagaimana keadaannya sekarang".

Manakala Oxford Advanced Learner’s Dictionary (1990) pula menyatakan bahawa status-quo ditakrifkan sebagai :

"The situation or state of affairs as it is now, or as it was before a recent change".

 

Pada masa penjajahan, kuasa ketenteraan sering digunakan dalam usaha menakluk dan menguasai ekonomi dan politik negara lain. Hal ini tidak lagi berlaku sekarang di mana kuasa ketenteraan digunakan kecuali dalam kes Perang Teluk. Kalau kita lihat antara tujuan utama penjajahan itu sendiri adalah untuk menindas dan mengeksploitasi sumber ekonomi dan kekayaan negara yang dikuasai mereka.

Selepas Perang Dunia Kedua, pihak penjajah termasuk British, Belanda, Amerika Syarikat, Sepanyol, Jerman dan sebagainya terpaksa memulangkan kembali sedikit demi sedikit tanah jajahan mereka akibat daripada kebangkitan perjuangan kemerdekaan di negara jajahan takluk mereka. Secara tak langsung hal ini akan mengakibatkan sumber kekayaan dari hasil yang di bolot di negara jajahan akan hilang.

Maka oleh kerana itulah selepas penjajahan baru wujud konsep negara kaya dan juga negara miskin. Faktor penjajahan dan penindasan inilah seterusnya menyebabkan negara kaya menjadi bertambah kaya manakala negara miskin akan terus-terusan miskin.

Oleh kerana corak pentadbiran dunia menjadi semakin ‘beretika’ melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (walaupun ianya tidak mempunyai kuasa yang total) maka kaedah penjajahan bentuk baru telah diwujudkan oleh bekas kolonial dengan kelihatan lebih ‘berhemah’. Ini adalah supaya mereka (negara kaya) dapat mengekalkan status-quo mereka di bidang ekonomi (kekayaan) dan termasuk juga bidang politik.

 

 

 

 

 

 

 

 

4.2 Teori Kebergantungan

 

Menurut Dos Santos (1971), Teori Kebergantungan bermaksud :

"....... an historical condition which shapes a certain structure of the world economy such that it favors some countries to the detriment of others and limits the development possibilities of the subordinate economics..... a situation in which the economy of a certain group of countries is conditioned by the development and expansion of another economy, to which their own is subjected ".

 

Teori Kebergantungan ini diwujudkan supaya pihak negara kaya terus-terusan mendapat faedah keatas sumber kekayaan negara miskin seperti bahan mentah, hasil bumi dan sebagainya. Pihak negara kaya sebagai metropolis dengan beberapa kelebihan yang ada dari segi teknologi dan kepakaran ditonjolkan sebagai menguasai ekonomi dan maju. Manakala negara miskin (satelit) hanyalah bertindak sebagai menyediakan keperluan bahan mentah dan sumber alam yang ada untuk disalurkan kepada metropolis tadi untuk menghasilkan produk akhir ataupun barangan siap yang kemudiannya dijual kembali kepada negara satelit tersebut.

 

Selain daripada ekonomi pergantungan ini, kesan-kesan dari penjajahan juga turut mengujudkan ekonomi dualisme, pengabaian ekonomi sara diri, perubahan pemilikan dan juga ketidakstabilan politik negara yang di jajah.

Teori Kebergantungan ini sangat berkait rapat dengan terma ‘Neokolonialisme’ di mana sesebuah negara miskin bekas jajahan akan bergantung kepada negara kaya di dalam membangunkan ekonomi mereka. Aliran perdagangan mereka akan melibatkan pelaburan asing, pinjaman asing, bantuan asing dan juga hutang asing

 

4.3 Globalisasi

Menurut Ruud Lubbers dalam artikelnya yang bertajuk "The Globalization of Economy and Society" terma Globalisasi merujuk kepada maksud :

"the becoming and making worldwide of various phenomena has accelerated at such a pace that it is giving rise to a variety of new phenomena. Globalization entails a quantitative shift of several autonomous national economies to a global marketplace for production, distribution, and technology. All this has resulted in the emergence of a worldwide confrontation of political, societal, and ethical insights...........".

 

 

 

4.4 Kapitalisme

Kapitalisme dalam laissez faire bermaksud pengasingan yang menyeluruh di antara aspek ekonomi dan negara (pemerintahan) serta juga hal-hal keagamaan. Ianya adalah satu sistem sosial berdasarkan kepada pemilikan individu dalam konteks pengeluaran dengan tiada kawalan sepenuhnya daripada pihak kerajaan serta terpisah daripada sapek keagamaan. Kapitalisme menganggap bahawa setiap individu adalah pemilik (berhak) keatas dirinya sendiri dan boleh menentukan sendiri cara untuk bertindak atau membuat keputusan selagi individu tersebut tidak menganggu hak individu lain.

Terma Globalisasi dan Kapitalisme sangat berkait rapat antara satu sama lain. Proses globalisasi ini terjelma dalam hubungan serta interaksi ekonomi seluruh dunia. Namun ianya lebih didominasi oleh pihak barat (negara kaya). Penguasaan ekonomi oleh beberapa negara kapitalis global membawa juga pengaruh yang kuat dalam bidang politik ke atas negara miskin.

Dr. Syed Husin Ali (1998) dalam artikel bertajuk "Kesan Buruk Globalisasi" menyatakan bahawa :

"Ciri utama sistem penjajahan ialah penindasan atau perompakan ekonomi ke atas wilayah atau bangsa yang di jajah atau dikuasai untuk memastikan penimbunan modal atau kekayaan oleh negara penjajah atau imperialis itu."

Salah satu contoh yang jelas ialah pihak kapitalis Syarikat Hindia Timur yang menjajah Indonesia.

Antara institusi dalam bidang ekonomi yang boleh digunakan oleh pusat kapitalis dunia, khususnya Amerika Syarikat untuk menguasai negara Dunia Ketiga (miskin) ialah Bank Dunia dan Tabung Matawang Antarabangsa (IMF) yang ditubuhkan pada tahun 1945. Amerika Syarikat sebagai penyumbang modal terbesar di dalam kedua-dua institusi itu beserta negara-negara kapitalis dunia yang lain mempunyai kuasa membuat keputusan bagi institusi tersebut Maka dengan itulah Bank Dunia dan IMF telah dijadikan sebagai salah satu alat negara kapitalis (kaya) berkenaan untuk menekan dan menindas negara miskin yang mungkin dapat menyaingi mereka kelak dari segi ekonomi.

Pemberian pinjaman oleh IMF kepada negara yang sangat memerlukannya misalnya kepada Indonesia akibat kegawatan ekonomi sekarang dikatakan telah menindas negara tersebut dari segi pengenaan pelbagai syarat ketat yang merugikan Indonesia itu sendiri. Antara syarat tersebut ialah penyusunan semula dalam bidang ekonomi dan politik negara peminjam, pembukaan pasaran, penarikan balik subsidi ke atas barangan utama dan sebagainya. Semua syarat tersebut akan menguntungkan negara kapitalis yang telah sedia kaya.

Seterusnya negara miskin yang meminjam daripada Bank Dunia atau IMF akan berada di bawah telunjuk dan pengaruh negara kapitalis tersebut. Pengalaman di beberapa negara (seperti Mexico dan Filipina) menunjukkan pinjaman dari Bank Dunia dan IMF boleh mengakibatkan mereka terletak di bawah telunjuk Amerika melalui badan itu. (Dr. Syed Husin Ali, 1998).

Bagaimanapun mereka bersikap "double standard" apabila negara kolonial dan dikatakan ‘kaya’ seperti mereka memohon bantuan pinjaman melalui institusi tersebut. Sikap itu tergambar apabila mereka bertindak cepat memberi pinjaman kepada Russia berjumlah RM68.4 bilion manakala Indonesia yang menghadapi masalah ekonomi lebih teruk dan sudah lama mengemukakan permohonan, tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. (Berita Harian, 22 Julai 1998).

 

 

 

5.0 KONSEP-KONSEP YANG MUNCUL SELEPAS ERA PENJAJAHAN

5.1 Negara Maju dan Kaya

Pada hakikatnya sesebuah negara yang kaya atau maju adalah didasarkan kepada pembangunan yang terdapat dalam sesebuah negara tersebut. Akan tetapi dalam tahun-tahun kebelakangan, pembangunan sesebuah negara pada asasnya dirujuk kepada pertumbuhan ekonomi dari segi Keluaran Negara Kasar [ KNK ]. Keluaran Negara Kasar yang tinggi dianggap sebagai ukuran kejayaan dalam pembangunan. Namun begitu, ianya telah mula berubah, faktor pembangunan pada masa ini adalah lebih menyeluruh meliputi objektif sosial dan dianggap bahawa jika kemajuan masyarakat hendak diperolehi, pertumbuhan ekonomi sahaja tidak memadai walaupun ia diperlukan. Menurut Adiseshian, pembangunan adalah pertumbuhan ekonomi berserta dengan perubahan sosial dalam sesebuah negara tersebut. Di dalam pembangunan ini, pelajaran dan sains adalah merupakan tekanan-tekanan yang paling kuat dan paling sukar untuk diatasi. Pembangunan juga merujuk kepada modenisasi di mana institusi negara dan sistem nilai ubah untuk memenuhi revolusi jangkaan yang bertambah.

Menurut Profesor Simon Kuznets [1971], dalam pembangunan ekonomi, terdapat tiga komponen untuk mendefinasikannya iaitu :

    1. Mempertahankan kenaikan keluaran nasional.
    2. Penggunaan teknologi terkini.
    3. Kawalan ideologi dan institusi.

Beliau juga menyenaraikan enam kriteria yang boleh menggalakkan pertumbuhan yang membolehkan sesebuah negara beralih kepada negara maju dan kaya iaitu :

    1. Tinggi kadar pertumbuhan per kapita.
    2. Produktiviti meningkat
    3. Tinggi kadar transformasi struktur.
    4. Tinggi kadar perubahan sosial dan ideologi.
    5. Kemampuan mengeluarkan bahan mentah dan memasarkannya.
    6. Mampu untk mengahkan pertumbuhan ekonomi untuk 1/3 penduduk dunia.

5.2 Kemiskinan dan Kemunduran

 

Soal kemiskinan memang sudah lama dan banyak diperkatakan orang. Telah beberapa dekad yang lalu, melalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu terdapat badan-badan di antaranya FAO, UNESCO, ESCAP dan sebagainya cuba menampilkan kajian terhadap tahap kemunduran dan kemiskinan sesebuah negara. Pelbagai istilah yang digunakan bagi melabelkan negara tidak maju di antaranya ialah, negara miskin, negara mundur, negara membanguan, negara kurang membangun dan sebagainya. Persoalan yang timbul, apakah yang dimaksudkan dengan kemiskinan itu? Bagaimana hendak mengukurnya? Apakah pula punca yang khusus?

 

 

 

Kirkpatrik, Lee dan Nixson (1984) membahagikan negara membangun kepada tiga kategori berdasarkan Keluaran Negara Kasar (KNK) iaitu:

  1. Ekonomi berpendapatan rendah (KNK perkapita tidak melebihi US$400.00)
  2. Cth: Malawi, India dan Sudan
  3. Juga dikenali sebagai negara Kurang membangun atau negara mundur
  4. Ekonomi berpendapatan sederhana (KNK perkapita ialan antara US$400.00 hingga US$1700.00) Cth: Kenya, Zambia dan Indonesia
  5. Ekonomi berpendapatan sederhana tinggi (KNK perkapita ialah antara US$1700.00 hingga US$6000) Cth: Malaysia, Brazil dan Hong Kong

Bank Dunia (1992), membahagikan negara membangun mengikut Keluaran Negara Kasar.

  1. Ekonomi berpendapatan rendah (negara miskin)( KNK tidak melebihi US$600.00)
  2. Terdapat 42 buah negara miskin
  3. Ekonomi pendapatan sederhana (KNK perkapita tidak melebihi US$600.00 hingga US$2490)
  4. Ekonomi pendapatan sederhana tinggi (KNK perkapita tidak melebihiUS$2490.00 hingga US$7050.00)

Mathur mengklasifikasikan negara membangun kepada lima mengikut ciri-ciri ekonomi yang banyak mempengaruhi keupayaan pembangunan negara tersebut iaitu:

Kekangan buruh dalam ekonomi tradisional yang sudah menghampiri ekonomi secukup hidup. Negara-negara yang berada dalam kumpulan ini lazimnya mengalami masalah tenaga kerja. Ekonomi negara-negara dalam kelompok ini adalah ekonomi tradisional yang sudah menghampiri ekonomi cukup hidup. Tenaga buruh kebanyakannya tertumpu dalam sektor tradisional pertanian. Lazimnya pendapatan dalam sektor pertanian tradisional ini adalah relatif rendah.

  1. Kekangan tanah dalam ekonomi tradisional yang menghampiri ekonomi secukup hidup. Negara-negara yang berada dalam kelompok ini tidak mengalami masalah kekurangan buruh sebaliknya mereka menghadapi kekurangan tanah. Lebihan buruh ini pula tidak dapat diserapkan dalam sektor-sektor formal kerana negara-negara dalam kelompok ini gagal untuk mengembangkan sektor formal disebabkan oleh masalah-masalah ekonomi dalaman negara masing-masing. Contoh negara yang mempunyai sifat-sifat ini ialah India dan Mesir.
  2. Ekonomi yang dikekang oleh pertukaran luar: kebergantungan pada perdagangan antarabangsa. Negara-negara yang berada dalam kumpulan ini sebenarnya adalah negara-negara yang pernah dijajah oleh kuasa Barat. Oleh itu, sektor ekonominya juga dipengaruhi oleh Barat. Negara-negara dalam kelompok ini menjalankan kegiatan dwi-ekonomi iaitu pertanian secara ladang dan sektor perindustrian. Kedua-dua sektor ini mempunyai hubungan dengan kepentingnan negara-negara Barat. Oleh itu kebanyakan input untuk kedua-dua sektor terutamanya barangan peringkat pertengahan diimport daripada negara-negara Barat Keadaan ini menyebabkan pembangunan banyak dipengaruhi oleh kadar nilai tukaran wang asing.
  3. Negara-negara yang mempunyai pusat kepentingan negara luar; pusat perkhidmatan dan penempatan firma-firma pemasangan luar pantai. Negara-negara ini menjadi pusat lokasi industri pembuatan luar pantai yang dimiliki oleh syarikat-syarikat gergasi antarabangsa. Syarikat berbagai bangsa bertapak di negara-negara membangun kerana negara-negara membangun kerana negara ini mempunyai persediaan tenaga buruh yang murah dan peluang pemasaran yang luas dan mudah. Penduduk atau pekerja lama kelamaan akan terdedah kepada teknologi luar dan memberi kesan positif kepada negara-negara membangun untuk mengembangkan sektor perindustriannya sendiri yang akhirnya dapat megenepikan kepentingan syarikat-syarikat daripada luar.
  4. Negara-negara pengeksport minyak. Negara-negara dalam kumpulan ini adalah negara yang kaya dengan minyak dan dalam aspek pendapatan perkapita mereka adalah adalah antara yang tinggi di dunia.

5.3 Erti Kemiskinan

Secara umumnya kemiskinan boleh diterjemahkan dengan kekurangan segala aspek keperluan asasi. Ini merangkumi di dalam keperluan seperti makanan, perlindungan dan pakaian. Selain itu kemudahan sosial seperti hospital, sekolah, sistem perhubungan dan sebagainya.

Dari segi perspektif ekonomi, ia boleh ditafsirkan dengan alasan ketiadaan atau kekurangan kemampuan di sebabkan oleh tingkatan pendapatan atau pendapatan per kapita, pemilikan dan pekerjaan yang rendah.

Ahli-ahli sosiologi melihat kemiskinan bukan semata-mata berdasarkan pendapatan yang diterima seseorang. Mereka berpendapat bahawa faktor-faktor lain seperti seperti pengagihan pendapatan, peluang sosial dan ekonomi juga perlu dilihat dalam menghuraikan tentang kemiskinan (Mohd Taib, 1993) .

6.0 AGENDA-AGENDA NEGARA BARAT (KAYA)

6.1 Mengapa negara-negara barat melabelkan negara miskin di dunia ketiga.

Sesuatu teori dan dasar pembangunan yang lengkap bagi majoriti penduduk dunia yang kemunduran tidak dapat di bentuk secara tepat tanpa merujuk terlebih dahulu bagaimana keadaan sejarah ekonomi dan sosial masa lampau negara-negara miskin tersebut. Sebelum ini kebanyakan ahli-ahli sejarah cuma mengkaji sejarah negara-negara metropolitan yang telah maju dan jarang menumpukan perhatian kepada negara-negara yang pernah dijajah dan mundur.

Kebanyakan kajian tentang pembangunan dan kemunduran gagal untuk mengambil kira perhubungan ekonomi dan perhubungan-perhubungan yang lain antara negara metropolitan dengan tanah-tanah jajahannya yang menggunakan sistem perdagangan kapitalisme. Akhirnya teori tersebut telah gagal untuk menerangkan struktur dan pembangunan sistem kapitalis itu secara keseluruhannya, tanpa mengambil kira tentang wujudnya kemunduran yang serentak dengan pembangunan di seluruh dunia.

Melalui pengetahuan sejarah yang lengkap akan dapat menunjukkan bahawa kemunduran bukanlah berlaku secara semula jadi atau sedia ada. Jelas di sini bahawa keadaan masa silam negara-negara mundur sama sekali tidak sama dalam semua aspek sekali pun berbanding dengan masa silam negara-negara maju.

6.2 Sebab-sebab Pengkelasan oleh Negara Kaya

 

6.2.1 Hasil Penyelidikan Sejarah

Hasil penyelidikan sejarah telah menampakkan bahawa kemunduran pada masa ini adalah hasil dari hubungan berterusan antara negara-negara satelit yang miskin dengan negara-negara metropolitan yang telah maju. Hubungan ini juga dipanggil sebagai Teori Kebergantungan. Hubungan-hubungan ini merupakan bahagian yang diperlukan bagi struktur dan pembangunan sistem kapitalis di peringkat seluruh dunia. Melalui hubungan ini negara maju akan memastikan dan merangsangkan bantuan modal, pembentukan instutusi dan ideologi-ideologi kepada negara-negara miskin tersebut. Hubungan yang diwujudkan ini antara lain adalah bertujuan untuk memperlengkapkan pengaruh sektor ekonominya yang selamanya ingin di lihat sebagai negara maju. Pendapat ini disokong lagi oleh Setiausaha Agung bagi Pusat Penyelidikan Amerika Latin di bidang sains Kemasyarakatan menulis dalam jurnal Pusat tersebut:

"Keberuntungan kedudukan sesebuah bandaraya itu bermula sejak dari zaman kolonial. Ia diasaskan oleh penjajah untuk memenuhi matlamat-matlamat yang sama dengan apa yang ia sedanag penuhi sekarang ini iaitu dari segi ekonominya: untuk menarik masuk penduduk peribumi ke dalam bidang ekonomi yang di bawa dan dimajukan oleh penjajah tersebut dan keturunan-keturunannya. Bandaraya Wilayah yang dijajah itu telah menjadi alat bagi penjajah untuk kepentingan ekonominya dan masih lagi merupakan sebagai alat kekuasaannya. The Instituto Nacional Indigenesita (National Indian Institute) di Mexico mengesahkan pemerhatian ini apabila ia mencatatkan bahawa pada hakikatnya penduduk mestizo, selamanya tinggal di bandaraya, iaitu satu pusat bagi wilayah antara-budaya yang bertindak sebagai metropolis(ibu kota) bagi sesuatu zon penduduk peribumi dan yang mengekalkan satu hubungan yang baik dengan komuniti-komuniti mundur dengan menghubungkan pusat itu dengan komuniti-komuniti satelit (yang bergantung kepada komuniti yang lebih besar dan kukuh)."

(Amir Hussein dan Baharuddin, Pembangunan Ekonomi Dunia Ketiga, 1990 m.s. 205)

Hubungan metropolis-satelit ini bukanlah hanya terhad di peringkat imperial atau antarabangsa, malah menembusi dan menstrukturkan kehidupan dari segi ekonomi, politik dan sosial.

Setiap negara metropolis ini akan bertindak untuk mengekalkan struktur monopolistik dan hubungan eksploitatif sistem ini, selagi ia memenuhi kepentingan-kepentingan untuk menggalakkan pembangunan dan memperkayakan golongan pemerintah mereka sendiri.

Samada tindakan penindasan ini disengajakan ataupun tidak disengajakan, kewujudan kedua-dua negara miskin dan negara maju dalam satu sistem antarabangsa dikuasai oleh satu hubungan kuasa yang tidak seimbang di antara negara pusat dengan negara pinggir. Ini menyebabkan usaha-usaha negara miskin dalam pembangunan untuk berdikari dan tidak mahu bergantung kepada negara kaya menjadi bertambah rumit dan adakalanya mustahil.

6.2.2 Faktor Penjajahan

Jikalau dikaji dari faktor sejarah, bahawa negara-negara yang miskin itu adalah dari negara-negara yang pernah dijajah oleh negara-negara kaya atau maju. Penjajahan ini antara lain yang bertujuan unutk kepentingan ekonomi negara tersebut dan secara keseluruhannya mempengaruhi sosio-budaya dan politik negara yang dijajah itu untuk meluaskan lagi pengaruhnya sebagai sebuah negara yang kuat dan mempunyai teknologi yang sering berkembang. Kesan dari penjajahan ini menyebabkan mereka melebelkan negara mereka sebagai sebuah negara yang mesti dihormati kerana kekuatan yang mereka miliki dan dipakai idea-idea mereka di dalam aspek ekonomi untuk keselamatan penduduk di negara yang dijajah. Negara-negara kaya ini akan seterusnya mengekalkan status-quo mereka untuk kepentingan peribadi selagi dunia mengamalkan teori kapitalisme di dalam aspek ekonomi dan teknologi untuk mengelarkan negara mereka sebagai salah sebuah negara kaya. Penguasan negara-negara kaya terhadap negara-negara miskin seterusnya akan berlaku selama negara miskin tersebut bergantung kepada daya pengeluaran yang berasaskan perindustrian.

Antara strategi negara-negara kaya ini untuk mengekalkan status-quo mereka adalah dengan cara melakukan sekatan modal yang bertujuan untuk mempercepatkan lagi pengaruh mereka dalam pertumbuhan dan pembangunan yang dilakukan oleh para cerdik pandai (dalam bentuk perang dingin) dan golongan oportunis mereka ke atas negara-negara kurang maju. Pertumbuhan dan pembangunan yang mereka lakukan adalah dalam menentukan modal dan teknik secara besar-besaran daripada negara maju kepada negara kurang maju. Seterusnya pengekalan kemiskinan yang berlaku di sebahagian dunia ketiga adalah disebebkan oleh kewujudan negara-negara kapitalis dan pengekalan kuasa mereka berlaku melalui golongan-golongan elit di negara-negara maju.

6.3 Bagaimana mereka melakukan proses ini.

Prose ini berlaku sejak era penjajahan keatas negara-negara dunia ketiga lagi iaitu setelah berlakunya "Revolusi Perindustrian".

Kesan "back-wash" antarabangsa yang menghalang perubahan pembangunan di negara-negara dunia ketiga yang menyebabkan berlakunya proses ini antaranya seperti:

  1. Negara-negara yang berkuasa akan mengawal dan menggunakan bahan-bahan mentah dan pasaran barangan untuk kepentingan mereka.
  2. Penyebaran kuasa-kuasa kapitalis antarabangsa ke atas ekonomi negara-negara miskin melalui aktiviti-aktiviti pelaburan asing pertubuhan perbadanan antarabangsa (MNC).
  3. Eksport sains dan teknologi oleh negara-negara maju yang tidak sesuai.
  4. Pemindahan sistem pendidikan yang sudah lapuk dan tidak sesuai digunakan ke atas negara-negara miskin.
  5. Mewujudkan teori-teori dan dasar-dasar perdagangan antarabangsa yang kurang baik sehingga menyebabkan negara miskin hanya mengeksport hasil barangan utama sahaja.
  6. Negara maju menghapuskan usaha-usaha perindustrian negara miskin dengan mencurahkan keluaran mereka yang murah kepada pasaran yang dikawal oleh negara maju.
  7. Pemberian bantuan yang kurang baik menyebabkan pewujudan ekonomi dualisme di dalam peringkat negeri.
  8. Merosakkan moral individu-individu yang kaya melalui "kesan domentrasi" (demonstration sffect) berkaitan dengan penggunaan barang mewah. Contohnya ialah iklan-iklan di dalam majalah dan juga filem yang diimport dari luar.

Negara moden juga akan ditenggelami sekiranya tidak memberikan tumpuan terhadap asas perindustrian dan pengeluaran yang cukup besar. Imperialis British, Leo Amery mengingatkan, ‘kuasa yang akan berjaya adalah negara yang mempunyai asas perindustrian yang paling besar’. ‘Bangsa yang mempunyai kekuatan perindustrian dan kuasa mencipta serta sains akan mampu menewaskan bangsa lain.’

Salah satu muslihat utama pembangunan oleh negara kaya untuk membolehkan pelancaran berlaku ialah dengan mengadakan mobiliti tabungan dalam dan luar negara supaya dapat mewujudkan pelaburan yang cukup untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara mereka. Mekanisme ekonomi menyatakan bahawa lebih banyak pelaburan akan membawa kepada kedudukan pertumbuhan yang memberangsangkan (teori ekonomi makro).

 

7.0 KESIMPULAN

Setelah meninjau daripada pelbagai aspek dan permasalahan yang timbul dalam dunia sekarang ini, wujudlah persoalan dalam diri kita bertapa kuatnya pengaruh dan dominasi pihak ‘Negara Kaya’ dalam mempengaruhi kehidupan dan arah tuju negara miskin.

Semuanya ini diperlakukan sedemikian rupa bagi mengekalkan cengkaman pemerintahan, dengan kata lain mengekalkan penjajahan walaupun dengan cara yang lebih berhemah iaitu cara ekonomi. Ini terbukti daripada cara mereka mendominasikan kekuatan, kalau dulunya mereka lebih cenderung menggunakan kekuatan ketenteraan tetapi sekarang ini penjajahan mereka lebih kepada kuasa ekonomi dengan menguasai pasaran, penguasaan harga bahan mentah, penakrifan harga hasil bumi dan lain-lain lagi.

Kalau dilihat interaksi antara ekonomi dan strategi, kerana setiap negara maju (kaya) dalam sistem antarabangsa senantiasa sahaja berusaha sedaya-upaya untuk menambah kekayaan dan kuasa masing-masing, agar menjadi (atau kekal) kaya dan kuat. Jadi menjadi suatu tanggungjawab bagi kita sebagai pihak tertindas mengkaji daripada pelbagai aspek kekuatan dan kelemahan mereka bagi mencari jalan meloloskan diri daripada kongkongan negara maju (kaya).

Mereka mempunyai pelbagai kuasa kuasa bagi mengekalkan kuasa mereka yang paling utama dan terperinci diperbincangkan dalam laporan ini ialah ‘Teori Kebergantungan’ dan ‘Status-Quo’ itu sendiri. Jelaslah dari teori ini wujudnya kongkongan dominasi mereka (negara maju) yang sebegitu rupa bagi mengongkong kebangkitan negara-negara miskin. Kesalahan ini tidak hanya boleh diletakkan di pihak mereka sebetulnya, kerana negara miskin juga terlibat dalam membiarkan keadaan ini berleluasa dan berkembang sebegitu rupa. Jadi ‘Dosa’ ini terpalit kepada kita jua akhirnya apabila dikaji dengan lebih teliti lagi.

Negara-negara miskin walaupun menyedari keadaan ini berlaku tetapi tidak cuba lari daripada keadaan ini malah terus menongkah teori kebergantungan dan status-quo ini berkembang, yang mana ianya akan terus menerus mencengkam negara-negara miskin. Keadaan ini sedikit sebanyak boleh dikurangkan dengan bersatunya kelompok negara-negara miskin itu sendiri. Jadi dengan bersatu bersama kelompok tertindas ini akan boleh menangkis serangan negara-negara maju ke atas ekonomi kelompok ini, sebagaimana yang berlaku kepada negara tercinta kita Malaysia dan negara selatan yang lain.

Jadi jelaslah pelbagai ‘Teori Kesatuan’ yang dicadangkan oleh pemimpin kita sebagai suatu alternatif yang cukup berguna bagi meleraikan walaupun tidak banyak, cengkaman pihak negara maju. Di antara cadangan berguna daripada pemimpin kita ialah ‘Pengkongsian Bijak’. Ini kerana kita boleh berkongsi teknologi, kepandaian dan ekspolitasi bahan mentah sesama kita kerana tidak semua yang diistilah mundur (atau miskin) itu miskin daripada pelbagai segi kerana kadangkala negara itu juga mempunyai pelbagai hasil bumi, teknologi dan bijak pandai boleh dipergunakan ke arah kemajuan sejagat amnya atau negara-negara miskin ini khasnya.

Ini bertepatan dengan konsep ‘Kesatuan Ummah’ dalam Islam yang boleh dipraktikkan di antara negara-negara miskin untuk menyatukan umat manusia ke arah kebaikan bagi meleraikan dominasi negara maju bagi membina kekuatan sesama negara-negara miskin menuju kemajuan bersama.