KERTAS KERJA KAJIAN SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN (MTT2353)

KETERJAMINAN INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI DALAM NEGARA BERBANDING DENGAN LUAR NEGARA

1. Pengenalan

Apabila kita membicarakan mengenai pendidikan Tinggi di dalam dan luar negara maka persoalan-persoalan yang perlu kita jawab antaranya ialah: Apakah pendidikan tinggi? Apakah institusi pendidikan tinggi? Apakah yang dimaksudkan dengan tinggi? Pendidikan tinggi untuk siapa? Dan apakah tujuan pendidikan tinggi itu diwujudkan? Menurut Sufean Hussin, dalam bukunya Pendidikan di Malaysia: Sejarah, Sistem dan Falsafah terbitan dewan bahasa dan pustaka mentakrifkan pendidikan tinggi ialah peringkat pendidikan lepas menengah atas. Oleh itu, dalam konteks Malaysia, pendidikan tinggi ialah pendidikan di peringkat lepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM ) atau lepas peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia ( STPM ). Menurut laporan Khir Johari (1967) pendidikan tinggi ialah " pelajaran ikhtisas dan akademik", yang sekurang-kurangnya berkehendakkan kelayakan akademik Sijil Tinggi Persekolahan atau yang setaraf dengannya untuk masuk ke yayasan di peringkat universiti dan sijil pelajaran Malaysia atau setaraf dengannya di peringkat maktab".

Menurut Laporan Khir Johari (1967) institusi pendidikan tinggi ialah universiti, maktab teknik, maktab pertanian, maktab perguruan dan Institusi Teknologi Mara. Universiti menawarkan kursus peringkat lepasan ijazah, ijazah dan diploma sementara maktab, institut dan kolej menawarkan kursus pada peringkat diploma dan sijil. Menurut Laporan Khir Johari (1967) juga yang dimaksudkan dengan tinggi itu ialah bidang pengkhususan pelajaran, sama ada dari segi akademik ataupun dari segi vokasional. Dari segi akademik, pendidikan tinggi seperti di universiti mengadakan pelajaran yang amat khusus, luas dan mendalam dalam berbagai-bagai cabang disiplin. Dari segi vokasional, pelajaran teori dan amali adalah khusus dan mendalam untuk menyediakan kemahiran kerja sumber manusia pada peringkat ikhtisas dan separuh ikhtisas bagi sektor swasta dan kerajaan.

Manakala untuk menjawab persoalan mengenai pendidikan tinggi untuk siapa ianya boleh dijelaskan mengikut fahaman elitis, maka dasar meritokrasi mengutamakan pendidikan tinggi adalah untuk sebilangan kecil pelajar yang mempunyai kelayakan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM ), Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia(SPVM) dan Sijil Tinggi Tinggi Persekolahan Malaysia(STPM). Sebilangan kecil pelajar yang terpilih itu merupakan mereka yang ada kualiti, yang elit atau yang terbaik dalam pelajaran. Mereka yang elit ini mempunyai kemampuan yang tinggi dari aspek intelek dan kemahiran fizik untuk menanggung cabaran yang "rigorous’ bagi berjaya dalam pendidikan tinggi. Mereka yang elit ini di didik dan dilatih untuk menjadi para sarjana, teknokrat dan birokrat bagi memimpin dan mentadbir golongan "proletariat" dalam masyarakat. Mengikut fahaman egalitarian pula, pendidikan tinggi tidak seharusnya menjadi amat memilih lalu menguntungkan dan mengangkat darjat sebilangan kecil ahli masyarakat yang elit. Fahaman ini adalah berlandaskan tanggapan bahawa institusi pendidikan tinggi yang diwujudkan oleh masyarakat keseluruhannya harus membuka pintu mereka seluas-luasnya kepada sesiapa yang berkemampuan untuk mengalami pembelajaran dalam pendidikan tinggi. Sungguhpun fahaman egalitarian yang menekankan prinsip demokrasi mengambil kira aspek hak dan keutamaan, namun ia boleh mewujudkan kadar keciciran dan pembaziran yang tinggi pada peringkat pendidikan tinggi.

Seterusnya untuk menjawab tujuan pendidikan tinggi ianya boleh dijelaskan berdasarkan kepada Laporan Khir Johari (1967) yang menjelaskan bahawa tujuan utama pendidikan tinggi ialah untuk melahirkan para sarjanawan dan ilmuan yang mahir berfikir dan mengembangkan ilmu dalam berbagai-bagai disiplin ilmu. Selain daripada itu, dari aspek profesionalnya pendidikan tinggi adalah untuk melahirkan golongan teknokrat bagi melaksanakan rancangan pembangunan negara dan golongan birokrat bagi mentadbir organisasi dan masyarakat. Secara umum, pendidikan tinggi mempunyai dimensi pendidikan dan dimensi latihan. Dimensi pendidikan bertujuan untuk mengembangkan aspek intelek, rohani, emosi, pekerti, budaya, dan jasmani etika individu pada tahap maksimum dan tertinggi agar individu bukan sahaja menjadi manusia seimbang tetapi juga dapat membuat adaptasi yang sewajarnya terhadap pengaruh perkembangan masa kini. Dimensi latihan pula menyentuh peranan pendidikan tinggi dari segi pengeluaran dan perkhidmatannya terhadap pembangunan sosio-ekonomi masyarakat dalam mana universiti dan institusi-institusi yang lain menjadi sebahagian daripada ahlinya.

2. Peranan dan fungsi Institut Pengajian Tinggi Tempatan

Institut Pengajian Tinggi Tempatan samada awam (IPTA) atau swasta (IPTS) mempunyai beberapa peranan yang harus di titik beratkan. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan beberapa peranan yang dianggap penting bagi sesebuah universiti iaitu samada memenuhi tuntutan ideal sebuah institusi sejagat atau bersifat utilitarian dengan membekalkan maklumat kepada pelajar bagi pasaran kerja. Universiti yang terlalu tertumpu kepada tuntutan pasaran akan melahirkan graduan kaku seumpama robot yang hanya cekap bekerja kilang, tetapi gementar apabila masuk ke gelanggang masyarakat.

Dalam menentukan peranan yang harus dimainkan oleh sesebuah universiti, maka wujudnya tiga pendapat. Pertamanya, golongan idealis iaitu mereka yang percaya kewibawaan universiti akan tercapai jika universiti dapat mengekalkan peranannya seperti asal sejarah penubuhan sama ada mengikut mazhab Universiti Paris atau Al-Azhar, yakni untuk mencari kebenaran sejagat. Golongan kedua, ialah mereka yang tentunya berhubung rapat dengan pemerintah, percaya universiti perlu melahirkan pekerja berkemahiran tinggi sama ada dalam bidang sains atau sastera iktisas, manakala golongan ketiga hanya mengikut sahaja kehendak pemerintah.

"Universiti perlu berperanan untuk melahirkan ahli falsafah dan pemikir, bukan pekerja kilang" tegas Yang Dipertua Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (PKAUKM), Prof. Madya Dr. Wan Mokhtar Yusoff. Menurutnya, sebanyak 70% tumpuan universiti kini bersifat kepenggunaan (utilitarian) iaitu menghasilkan pekerja industri dan hanya 30% bersifat ideal. Yang sepatutnya, peratusan itu terbalik iaitu memberi tumpuan bagi menghasilkan seseorang pemikir.

"Tradisi kepenggunaan yang kita hasilkan melalui kilang universiti tidak akan melahirkan generasi pencipta, sebaliknya mewujudkan lebih ramai pengguna kepada teknologi semata-mata. Universiti sepatutnya tempat melahirkan pencetus idea baru dan oleh itu tumpuannya mesti kepada falsafah teknologi, bukan pengikut teknologi barat atau timur." Pandangan Dr. Wan Mokhtar itu selari dengan ideal wujudnya universiti seperti Oxford dan Cambridge pada kurun ke-13, kira-kira 200 tahun sebelum Melaka dibuka. Universiti, waktu itu, muncul apabila wujud dua pihak iaitu guru (master) dan pelajar (scholar) yang mahu bersama-sama memenuhi rasa ingin tahu terhadap kebenaran sejagat.

Universiti yang juga salah satu institusi masyarakat, seperti juga budaya, turut terpengaruh dengan perubahan. Golongan kedua di universiti adalah mereka yang berjuang bersungguh-sungguh supaya universiti menjadi ‘kilang’ menghasilkan graduan yang sesuai dengan pasaran kerja. Bagi menyelaraskan kedua-dua golongan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta universiti mencari jalan tengah untuk kekal sebagai pusat ilmu dalam masa sama memenuhi kehendak pasaran kerja.

"Amatlah penting bagi universiti mengimbangi antara fungsi idealistik dengan tuntutan utilitarian. Universiti yang terlalu menumpukan kepada keperluan pasaran akan bertukar menjadi kilang yang mengeluarkan pekerja industri. "Pemikir yang pasif dan tidak kritikal adalah musuh terbesar masyarakat membangun kerana ia akan menelan apa saja yang diberi. Pemikiran pasif akan melahirkan perasaan cepat puas hati dan menggalakkan sikap memuja diri. Kita hanya mendengar apa yang kita ingin dan membunuh pembawa berita yang buruk," tegas Anwar.

Stephan dan Roderick (1978) turut mengariskan beberapa usaha kurikulum pendidikan tinggi untuk mengubah identiti dan pekerti pelajar melalui cara asasi tertentu:

    1. Mengeluarkan pelajar yang mempunyai keupayaan intelektual pada tahap maksimum.
    2. Membentuk pelajar yang mempunyai kebolehan menyeluruh meliputi aspek intelektual, moral, estetika, sosial dan fizik.
    3. Memastikan pemikiran pelajar ditanamkan dengan idea-idea para sarjana agung dari pelbagai bidang.
    4. Membantu pelajar membina pemikiran positif dan kritis tentang diri mereka sendiri dan segala perkara dan kepercayaan.
    5. Membentuk ciri dalaman pelajar untuk membolehkan pelajar membuat pertimbangan moral dengan betul dan cekap.

Justeru itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berharap universiti di Malaysia tidak mengorbankan fungsinya sebagai suara hati masyarakat yang sentiasa berfikiran kritis. Hanya dengan mengimbangi kedua-dua fungsi ini, universiti kita akan kembali dihormati. Kehadiran masyarakat berilmu dan ekonomi berilmu memaksa universiti supaya memainkan peranan sebagai ejen pertumbuhan ekonomi yang penting. "Universiti tidak lagi dilihat sekadar tempat mencipta ilmu, mencanai pemikiran anak muda dan penyebar budaya, tetapi menjadi pusat ekonomi berilmu yang akan melahirkan model manusia untuk bersaing dalam ekonomi global.

Menurut Stephen dan Roderick (1978), fungsi-fungsi pelajar untuk memainkan peranan dalam masyarakat adalah untuk:

    1. Menyediakan pelajar dengan kemahiran khusus untuk kerjaya mereka.
    2. Menyediakan pelajar dengan kemahiran, sikap dan pengalaman yang dapat memaksimumkan kemungkinannya menduduki status hidup yang lebih baik dalam masyarakat dan juga untuk memimpin masyarakat.
    3. Melatih pelajar tentang kesarjanaan, penyelidikan saintifik, objektivisme pemikiran dan kreativiti dalam adaptasi.
    4. Membina pelajar menjadi pengguna yang bijaksana dan yang mementingkan kualiti dan nilai estetika.
    5. Membentuk pelajar yang memahami tentang peranan dan tanggungjawab sebagai warganegara dalam negara demokrasi.

Dr. Wan Mokhtar yang mempertahankan sifat ideal universiti berpendapat usaha melahirkan pekerja industri boleh dibuat melalui institusi vokasional seperti Institut Kemahiran Mara (IKM), politeknik atau institut penyelidikan, "Antara peranan universiti ialah menghasil, menghebah dan mentakrifkan ilmu dalam bahasa ibunda supaya jati diri bangsa tetap terpelihara," katanya, Timbalan Naib Canselor (Akademik) Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Osman Bakar pula melihat peranan universiti hampir sama dengan Anwar. Menurut Dr. Osman, universiti perlu meneruskan penyelidikan dalam bidang falsafah hidup, walaupun ia tidak berciri komersil.

Universiti harus pragmatis iaitu memainkan dua peranan serentak, penyesuaian tahun belajar di universiti akan lebih mudah ditetapkan; mungkin dua tahun mempelajari ilmu teknikal supaya bersesuaian dengan pasaran kerja dan selebihnya aspek falsafah, atau sebaliknya. Yang menjadi masalah ialah apabila perkara ini dibiarkan mengikut arus perubahan masa dan citra universiti diwarnai oleh elemen luaran semata-mata.

Seperti kata Presiden Persatuan Mahasiswa UM, Wan Jamisan Wan Deraman, tumpuan universiti kepada akademik menyebabkan pelajar tidak cukup masa berpesatuan dan aktiviti kemasyarakatan. "Sedangkan, matlamat kehadiran kami ke universiti bukan sekadar mendapatkan ijazah untuk membolehkan kami diterima di agensi kerajaan atau syarikat swasta tetapi menjadi tujuan kami juga untuk menghalusi moral dalam kehidupan bermasyarakat," katanya.

Dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat luar, telah menjadi tanggungjawab universiti supaya memainkan peranan dalam proses pembangunan memandangkan institusi pendidikan tinggi mempunyai kepakaran dan sumber yang lebih baik daripada institusi lain. Antara saranan Stephen dan Roderick (1978) ialah:

    1. Mengadakan perkhidmatan pendidikan lanjutan, pendidikan berterusan, pendidikan dewasa, kursus jangka pendek dan sebagainya.
    2. Menyediakan perkhidmatan perundingan dan bimbingan untuk masyarakat dalam program kebudayaan, pengurusan dan pembangunan sosioekonomi serta membantu golongan yang memerlukan pinjaman, infrastruktur atau khidmat sokongan.
    3. Menjadi pusat untuk penyebaran idea-idea baru dalam bidang sastera, kesenian, sains dan politik bagi membina masyarakat yang celik akal dan progresif.
    4. Menjadi pusat untuk memperkukuhkan warisan dan budaya bangsa.

Peranan universiti tidak harus terhad kepada dunia akademik iaitu kuliah dan perpustakaan sahaja. Proses epistemologi dan metamoforsis pelajar perlu melalui pelbagai ujian, cabaran dan tekanan. Kalau pelajar sekadar keluar kuliah masuk perpustakaan tanpa mengambil hirau apa yang berlaku di luar kampus, maka tidak ada bezanya mereka dengan pelajar sekolah. Kebebasan berkarya, berkreatif, berorganisasi dan berpolimik di kampus masih terpelihara. Sebagai pusat kegiatan ilmu, kampus sepatutnya sibuk dengan pelbagai aktiviti luar kuliah yang boleh mengasah bakat kepimpinan pelajar, menajamkan akidah dan membentuk minda yang kritis. Pelbagai isu dalam negara dan antarabangsa yang boleh dibahas dan dikupas secara kritikal tetapi kerana pemikiran kritis dan minat berpolimik di kampus sudah lesu, maka tidak siapa lagi yang berminat menganjurkan Perdebatan Agung Ekonomi walaupun negara sedang dilanda kegawatan ekonomi.

Negara memerlukan usahawan, jutawan, ahli sains dan teknokrat. Tetapi dalam masa yang sama negara memerlukan pemikir dan pengkritik sosial, ahli psikologi, ahli falsafah dan sebagainya. Universiti berperanan untuk melahirkan pemikir masyarakat, pengkritik sosial dan pemimpin masa depan yang bukan sahaja berilmu, tetapi berjiwa masyarakat, berhemah tinggi, mempunyai prinsip perjuangan yang tulen, bijaksana dan berani. Malah menurut Sufean Hussin (1996) dalam bukunya yang bertajuk Pendidikan di Malaysia menyatakan bahawa pendidikan tinggi yang merupakan sumber yang harus memainkan peranan yang relevan dan signifikan untuk menyelesaikan pelbagai masalah dalam masyarakat atau badan politik (body politic). Masalah pentadbiran kerajaan, industri, pertanian, perdagangan, pendidikan, kesihatan dan sebagainya pada masa kini memerlukan khidmat nasihat tenaga pakar dan terlatih di menara gading bagi membuat rumusan prosedur untuk menyelesaikan masalah sosioekonomi dan politik.

Universiti secara idealnya mestilah bebas, neutral dan objektif dalam penyelidikan, perbincangan mahupun pengajaran. Tujuannya ialah untuk menyebarkan kemahiran profesional, memperkayakan ilmu pengetahuan dan kebudayaan manusia, pengajaran dan penyebaran nilai-nilai tertentu tentang hal-hal saintifik dan kehidupan sosial termasuk juga menyebarkan nilai kebenaran dalam membuat keputusan, toleransi, kritikan, dan patuh pada peraturan yang logik serta menentang doktrinasi. Kita juga tidak mahu soal abstrak tentang pemikiran dan peradaban tinggi, agama serta idealisme sebagai pendukung ilmu, hilang dari dewan kuliah dan wacana intelektual di universiti. Malahan menurut Sufean Hussin fungsi penubuhan universiti bukanlah hanya untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar tetapi untuk menggabungkan pemikiran bagi mewujudkan suasana pembelajaran imaginatif. Suasana pembelajaran imaginatif membolehkan pemikiran diolah dalam berbagai-bagai hala untuk membuktikan kesahihan sesuatu ilmu fakta. Institut pendidikan tinggi tidak hanya berperanan sebagai institusi profesional tetapi juga sebagai institusi yang aktif mengembangkan kebudayaan, sosial, sains, sastera, ekonomi, politik dan kesarjanaan. Oleh itu institusi pendidikan tinggi ialah ‘communiversity’, iaitu institusi yang bekerjasama dengan komuniti.

3. Institut Pengajian Tinggi Tempatan

Institut pengajian tinggi tempatan (IPT) adalah merupakan sebuah pusat pengajian yang membentuk dan mengajar pelbagai jenis ilmu bagi menjamin mutu pendidikan sentiasa terpelihara. IPT juga merupakan pusat pengajian yang tertinggi yang terdapat di dalam negara selepas sekolah, di mana para pelajarnya akan mengikuti kursus-kursus tertentu mengikut kemahiran masing-masing. Terdapat pelbagai peringkat atau taraf pendidikan yang dikeluarkan oleh IPT ini seperti sijil, diploma, sarjana muda dan doktor falsafah.

Institut pengajian tinggi tempatan tidaklah terhad kepada universiti awam sahaja malah ianya merangkumi pelbagai institusi lain seperti Institut Teknologi MARA, universiti-universiti swasta, institusi-institusi pengajian awam dan juga institusi pengajian swasta yang lain bagi mengeluarkan graduan-graduan yang berkebolehan dalam bidang masing-masing untuk memenuhi tuntutan negara bagi mencapai wawasan 2020. Walau bagai manapun sistem pendidikan yang kita waris sekarang adalah menggunakan kebudayaan yang bercorakkan pembelajaran dan kurikulum yang ditiru bulat-bulat dari barat. Oleh itu kita perlu merubah dan mewarnakan corak sistem pendidikan yang ada sekarang ini agar selaras dan bersesuaian dengan kebudayaan masyarakat Malaysia kita sekarang.

Berbalik semula kepada IPT, memandangkan keadaan ekonomi Malaysia sekarang ini yang tidak stabil Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) telah bercadang untuk menubuhkan sebuah universiti dalam usaha untuk membantu kerajaan dari segi kos menghantar para pelajar keluar negara, yang mana ianya akan mengabungkan beberapa kolej swasta tempatan melalui sistem ‘collegiate’.

Sememangnya kerajaan sudah dan akan terus membuat pelaburan yang besar di dalam pembangunan sumber manusia. Dengan membenarkan sektor swasta melabur dalam pendidikan, kita kini mempunyai puluhan institusi pengajian tinggi swasta yang menawarkan program berkembar dengan pelbagai universiti luar. Kita mempunyai cukup banyak kemudahan tetapi apakah pelajar kita ini akan membesar sebagai individu yang matang, berwibawa dan mampu menyuburkan masyarakat berilmu yang kerap diperkatakan sekarang?

Semua ini terletak kepada kebijaksanaan kita mengadun pendidikan peringkat ketiga iaitu institut pengajian tinggi – universiti. Berdasarkan kebimbangan inilah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anuar Ibrahim mengajak universiti tempatan melihat kedalam diri sendiri bagi memulihkan kecemerlangan menara gading sebagai institusi yang di segani dan dihormati. Langkah pengkorporatan universiti seperti yang dijelaskan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak di forum Universiti Asia-Eropah baru-baru ini, bertujuan memberi kebebasan dan kuasa kepada universiti menentukan kecemerlangan masing-masing. Dengan kedudukan kewangan yang semakin kukuh, universiti boleh memperlawa profesor yang terran di dunia berkhidmat di universiti mereka.

Kita tidak boleh menyalahkan Akta Universiti dan Kolej semata-mata kerana akta itu tidak bertujuan menyekat pelajar daripada berkreatif. Barangkali semua pihak harus dipersalahkan dan tentulah pentadbir universiti yang patut menanggung tanggungjawab yang lebih besar mengapa kehidupan di kampus hari ini begitu muram dan lesu. Tumpuan kepada tuntutan utilitarian menyebabkan mahasiswa bersaing untuk mencapai kelulusan terbaik dengan harapan mendapat pekerjaan bergaji lumayan.

Kita tidak memerlukan sebarang perubahan struktural bagi merealisasikan perimbangan di antara fungsi idealistik dan tuntutan utilitarian universiti. Barangkali yang perlu diubah ialah keahlian Majlis Universiti supaya dianggotai oleh tokoh yang benar-benar memahami fungsi dan idealisme universiti.

Jika dilihat dari beberapa aspek, memang tidak dapat disangkalkan terdapatnya beberapa jurang perbezaan diantara institut pengajian tinggi tempatan dengan institut pengajian tinggi luar negara, ianya merangkumi aspek sosial, rohani, mental, fizikal, budaya dan sebagainya. Oleh itu pada dasarnya institut pengajian tinggi tempatan mempunyai beberapa langkah yang positif untuk mencorakkan pendidikan diperingkat tertinggi tempatan dalam acuan budaya Malaysia.

Jikalau sesebuah pertubuhan atau institusi itu ditubuhkan, sudah pasti ianya mempunyai faktor-faktor yang positif dan negatif, demikian halnya dengan institut pengajian tinggi tempatan jika dibandingkan dengan institut pengajian tinggi luar negara. Walaupun terdapat beberapa faktor yang positif dan negatif di IPT kita sebolehnya perlu mencorakkannya kepada nilai-nilai yang berteraskan acuan atau unsur budaya Malaysia. Faktor-faktor positif dan negatif yang terdapat di Institut Pengajian Tinggi Tempatan dan Institut Pengajian Tinggi Luar Negara adalah:-

Dengan adanya IPT tempatan, seperti yang dicadangkan oleh MARA untuk menubuhkan UNIMARA merupakan satu usaha yang baik untuk melahirkan lebih ramai golongan profesional dari kalangan Bumiputera, yang mana ianya merupakan peluang untuk pelajar Bumiputera meningkatkan persaingan dengan kaum lain. Persaingan yang sihat itu, negara berupaya melahirkan ramai golongan profesional dari kalangan Bumiputera, ia sekurang-kurangnya dapat membantu Malaysia muncul sebagai pusat pendidikan kerana pertambahan universiti. (berita harian 22 Jan 1998)

IPT tempatan juga membuka lebih banyak peluang pendidikan ketahap yang tertinggi kepada pelajar yang berminat terhadap bidang atau jurusan tertentu, dan pelajar tidak perlu memikirkan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negeri, kerana perbelanjaan pengajian di universiti tempatan lebih murah berbanding luar negara. Tetapi walau bagai manapun pelajar masih boleh ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran mereka jika kursus yang hendak diambil itu tidak terdapat di institusi tempatan.

Mara dapat menjimatkan kira-kira RM60 juta tahun ini berikutan pelajar yang ditaja untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara berkurangan lebih 60 peratus berikutan kejatuhan nilai ringgit. Mara hanya membelanjakan kira-kira RM40 juta daripada peruntukkan RM100 juta bagi membiayai kira-kira 1,000 pelajar ke luar negara.Ini berkurangan kira-kira 66 peratus berbanding 3,000 pelajar tahun lalu dan tahun sebelumnya. Tindakan Mara mengurangkan penghantaran pelajar ke luar negara bagai manapun tidak menjejaskan kualiti pelajaran kerana institusi pengajian tinggi tempatan juga setaraf, malah ada yang mengatasi bidang pendidikan di luar negara.( Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Mustapa Mohamed, berita harian 19 OKT 1998)

Institusi pendidikan Malaysia sama ada yang dikendalikan kerajaan atau swasta mampu menawarkan kualiti pendidikan kelas dunia, oleh itu ia mampu memperlawa rakyat Britain dan Eropah belajar di Malaysia, ini sedikit sebanyak dapat menggalakkan persefahaman silang budaya antara benua itu. Institusi pendidikan tinggi tempatan lain turut digalak mengadakan kerjasama dengan institusi pendidikan luar bagi membantu menjadikan Malaysia pusat kecemerlangan pendidikan serantau.

Selain itu IPT tempatan sekarang ini telah mempunyai bilangan tenaga pelajar yang profesional dan spara profesional yang mencukupi untuk menampung proses pendidikan yang terdapat di sini, selain dari itu IPT tempatan juga mampu menyediakan pasarana yang bersesuaian dengan suasana pembelajaran di tempat mereka dan ia juga mempunyai kepakaran dan jalinan komunikasi untuk menyediakan gabungan yang lebih mantap dengan IPT luar.

Bagi pelajar yang meneruskan pengajian mereka di IPT tempatan, kerajaan tidak perlu bimbang akan lahir graduan yang kacau bilau pemikirannya berikutan dengan pengaruh ideologi Barat. Ini adalah kerana persediaan yang baik dan tersusun telah pun diatur oleh IPT tempatan dan juga kerajaan dalam menangani masaalah ini. Graduan yang akan dilahir nanti akan beracuan Malaysia dari sudut bahasa, batas-batas susila, kebudayaan dam sosiologi dan tidak berideologikan Barat, seperti sesetengah golongan pelajar yang ke IPT luar.

Agenda baru pendidikan iaitu dengan melaksanakan PROGRAM 3 + 0, yang mana program 3 campur 0 ini adalah pengijazahan penuh masa yang di buat di dalam negara sahaja dan tidak melibatkan institusi dari luar negara, ianya dijalankan oleh kolej-kolej swasta. Jadi tidak perlu bimbang mengenai sumber kewangan yang banyak untuk keluar negara. Dengan adanya program ini, pengiktirafan Kementerian pendidikan kepada kolej swasta adalah dimensi baru pendidikan tempatan dan akan tercatat dalam lipatan sejarah pendidikan negara.

Mara mempunyai 4,713 pelajar yang sedang berada di beberapa kolej persediaan untuk ke luar negara tetapi akan diserap ke IPT tempatan selaras arahan kerajaan itu. Jumlah perbelanjaan yang dapat dijimatkan berikutan langkah tidak menghantar pelajar ke luar negara, boleh dilihat dalam dua keadaan. Pertama, kerajaan dapat menjimatkan tukaran wang asing yang mengalir keluar selama ini dan jika kita membelanjakan kira-kira RM150 juta selama ini, itulah jumlah yang dapat dijimatkan.

Satu lagi ialah pembiayaan kerajaan (secara total) yang mana penghantaran ke luar negara membabitkan kenaikan elaun pelajar dan sebagainya. Sekarang ini, kita dapat menjimatkan sekurang-kurangnya RM15,000 untuk setiap pelajar dengan mengandaikan mereka memasuki IPTS dan penjimatan adalah lebih tinggi jika mereka diterima ke IPTA. Walau bagai manapun terdapat sesetengah ibu bapa yang masih menghantar anak mereka ke luar negara untuk mendapatkan ijazah pertama walaupun Malaysia mempunyai kemudahan melahirkan graduan lebih berkualiti pada peringkat itu. (berita harian 10 November 1997)

Langkah yang diambil Malaysia untuk menjadikan negara pusat kecemerlangan pendidikan ialah dengan mengawal kualiti pendidikan dari segi kemudahan, jenis kursus dan tenaga pengajar yang ditawarkan IPT tempatan, selain itu kerajaan juga sudah menubuhkan Lembaga Akreditasi Negara bagi memastikan ijazah atau diploma yang dikeluarkan diterima dan diiktiraf di dalam dan di luar negara.

Selain dari itu kesan positif terhadap IPT tempatan adalah berkaitan dengan hubungan antara universiti dan industri yang rapat perlu bagi memastikan universiti menyediakan pendidikan yang dapat memenuhi keperluan pembangunan industri di dalam negara. Strategi ini akan memastikan graduan universiti tempatan dapat memenuhi tenaga kerja yang diperlukan industri akibat keperluan dan cabaran yang timbul dari persekitaran politik, ekonomi dan keadaan sosial.

Memang tidak dinafikan juga terdapatnya kesan negatif yang timbul terhadap IPT tempatan, diantaranya adalah berkaitan dengan penguasaan Bahasa Inggeris para pelajar IPT tempatan jika dibandingkan dengan IPT luar negara. Di mana diketahui penguasaan Bahasa Inggeris IPT tempatan agak kurang mahir jika dibandingkan dengan IPT tempatan, ini adalah disebabkan suasana atau persekitaran IPT tempatan itu sendiri yang mementingkan penggunaan Bahasa Malaysia di dalam sistem pendidikan mereka. Tetapi di IPT luar negara penguasaan Bahasa Inggeris memanglah begitu penting di sebabkan kawasan persekitaran dan suasana pembelajarannya adalah dengan menggunakan Bahasa Inggeris.

Memandangkan keadaan sekarang di mana langkah kerajaan telah menghentikan penghantaran pelajar keluar negara, masaalah utama yang dihadapi sekarang ialah kekurangan tempat dan kementerian akan berunding dengan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) serta Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) tempatan bagi memastikan semua pelajar mendapat tempat untuk belajar di IPT tempatan ini. Disebabkan masalah ini Mara akan tetap menghantar kira-kira 1,000 pelajar tajaannya ke luar negara setiap tahun berbanding 3,000 dua tahun lalu. Pelajar yang mengambil bidang kejuruteraan, perakaunan dan perubatan diberi keutamaan mendapatkan biasiswa Mara bagi melanjutkan pelajaran ke luar negara. Penghantaran pelajar ke luar negara tidak dapat dielakkan berikutan institusi pengajian tinggi tempatan tidak mampu menampung bilangan pelajar baru yang meningkat setiap tahun. (Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Mustapa Mohamed, berita harian 22 Okt 1997)

Sekarang ini dengan pengkorporatan universiti tempatan telah timbul kesangsian oleh sesetengah universiti itu sendiri, kerana nilai tradisinya telah dicemari di mana ianya mendulukan kedudukannya memperdagangkan ilmu. Universiti semakin dilihat sebagai institusi perniagaan yang memburu pendapatan dengan memperdagangkan ilmu sebagai komoditi. Oleh itu kedudukan universiti sebagai institusi berwibawa dalam masyarakat apabila ia mengorbankan nilai akademik yang luhur tidak akan berkekalan dari kaca mata masyarakat.

Bagai manapun, selepas menghantar ramai penuntut ke luar negara, kita seolah-olah beranggapan bahawa kolej asing adalah lebih baik daripada universiti tempatan. Perasaan prejudis ini, yang lahir daripada perasaan puas hati dan pemikiran yang malas, ternyata begitu mahal harganya sekarang, terutama ketika kemelesetan melanda dan kita terpaksa menjerut ketat perbelanjaan yang dikeluarkan. Ia adalah cabaran kepada universiti tempatan untuk meningkatkan tahap kecemerlangan mereka dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai pusat pendidikan cemerlang di rantau ini.

Dari segi transformasi teknologi barat, para pelajar yang mengikuti kursus-kursus di IPT tempatan mungkin tidak berpeluang untuk mendapat teknologi-teknologi baru terus dari barat jika dibandingkan dengan pelajar yang menuntut di luar negara, yang mana mereka ini lebih mudah untuk menerima terus teknologi dari barat. Transformasi teknologi bagi pelajar IPT tempatan adalah agak lembab disebabkan teknologi baru tersebut akan mengambil masa yang lama untuk diserapkan di negara ini, sebelum boleh digunakan dan difahami oleh pelajar di IPT tempatan.

Kita juga wajar mengharap beberapa realiti yang timbul akibat pengumuman terbaru kerajaan. Perkara yang paling penting ialah berakirnya satu era dalam sejarah pendidikan negara, iaitu pergantungan kepada IPT luar dalam melahirkan ramai graduan sejak dari 1970an lagi.

4.Institusi Pengajian Tinggi Luar Negara.

Sememangnya diakui proses penghantaran pelajar-pelajar ke institusi pengajian tinggi (IPT) di luar negara mempunyai implikasi jangka pendek dan jangka panjang. Implikasi dan kesannya terhadap proses pembangunan negara adalah besar seiring dengan pembangunan secara globalisasi di serata dunia. Dan memang diakui dalam merintis sesuatu yang positif dan baik terdapat juga kesan yang negatif dan keburukannya. Di sini akan dibincangkan faktor kebaikan dan keburukan institusi pengajian luar negara terhadap negara mahupun terdapat masyarakat pelajarnya sendiri.

Sepertimana yang diketahui dengan penghantaran pelajar-pelajar keluar negara untuk menyambungkan pelajaran dalam pelbagai bidang dan jurusan samada bagi ijazah pertama, ijazah kedua atau doktor falsafah, ianya akan memberikan implikasi baik buruknya terhadap negara.

Apabila kita memperkatakan akan kebaikan IPT luar negara, apa yang dapat digambarkan ialah berkaitan falsafah ilmunya dan kecanggihan teknologi yang tinggi berbanding dengan keadaan di negara ini. Kemajuan di pelbagai bidang yang mendahului dari segenap segi menjadikan sistem pembelajaran di IPT luar negara dianggap "lebih berdarjat" dari sistem pengajian dalam negara ini.

Sekiranya di pandang daripada satu sudut yang positif, langkah kerajaan menghantar pelajar-pelajar terbaik ke IPT luar negara adalah amat wajar sekali. Ini kerana pelajar-pelajar ini dapat menimba ilmu yang bermanafaat yang tidak ditawarkan di IPT tempatan untuk membangunkan negara di masa hadapan kelak. Contohnya kursus-kursus dan jurusan-jurusan seperti dalam bidang teknologi angkasa lepas, penyelidikan persenjataan dan sebagainya. Ilmu-ilmu yang bermanafaat ini amat diperlukan untuk pembangunan negara kerana terbukti ianya perlukan dalam memastikan negara tidak terus ketinggalan dalam bidang dan teknologi baru. Umpamanya pada dekad 70’an lalu pelajar-pelajar negara dihantar menjalani pengajian dalam kursus komputer yang mana kesan penggunaannya dapat digunakan pada masa sekarang. Menurut Menteri Pembangunan dan Keusahawanan, Datuk Mustapha Mohamed, kesan pulangan daripada penghantaran pelajar-pelajar ke IPT luar negara bukannya dapat dinikmati dalam tempoh yang singkat kerana kerajaan terpaksa mengambil masa yang agak panjang untuk memastikan tenaga mahir mencukupi sebelum menceburi bidang-bidang dan teknologi yang baru.

Memang diakui sebahagian IPT luar negara menawarkan kursus yang terbaik dan menyediakan sistem pembelajaran yang berguna untuk kemajuan dalam negara kelak. Oleh yang demikian tidak hairanlah kerajaan terus menghantar pelajar-pelajar ke "universiti terkenal" ini. Ini kerana kerajaan amat menitikberatkan kualiti pendidikan bagi mendapatkan pulangan ilmu yang berguna. Dan adalah amat wajar sekali dengan bilangan penduduk negara yang berumur 25 tahun ke bawah yang meliputi 60 peratus penduduk Malaysia, golongan pelajar ini memerlukan pendidikan terbaik untuk menjadi dasar kepada suatu generasi pekerja terlatih. Dan dalam membincangkan kesan kegawatan ekonomi yang melanda negara sekarang ini, kementerian dan kerajaan masih beranggapan pelajar-pelajar yang sedang menyambungkan pelajaran di IPT luar negara tidak perlu di panggil pulang. Menurut Menteri pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak, keputusan ini walaupun membawa banyak implikasi terutamanya terhadap ekonomi negara, namun ianya menunjukkan kerajaan amat bersungguh-sungguh dalam menunaikan tanggungjawabnya dalam meneruskan pembangunan negara seiring dengan pembangunan negara maju dengan menggunakan perkembangan ilmu.

Selain daripada itu, dengan adanya IPT luar negara yang dianggap terbaik seperti Universiti Oxford dan Cambridge (di England) dan Universiti Ivy League (di Amerika Syarikat) ianya dapat mengurangkan tumpuan pelajar yang melimpah di dalam IPT tempatan. Ini kerana diakibatkan bilangan tempat yang terhad di IPTA dan tidak teriktirafnya beberapa IPTS di dalam negara, penghantaran pelajar ke IPT luar negara dapat memastikan pelajar terbaik dapat menyumbangkan ilmu dan pengetahuan di peringkat yang tertinggi. Buktinya dalam menghadapi kegawatan ekonomi sekarang, kerajaan masih mengeluarkan peruntukan sebanyak RM 500 juta bagi memastikan seramai 12000 pelajar negara pulang membawa segulung ijazah.

Sekiranya diperhatikan pada sudut yang lain pula, IPT luar negara berperanan untuk memberikan pendedahan kepada pelajar agar lebih yakin dan berani dalam menjalankan tugas kelak. Ini kerana melalui pengalaman di luar negara, samada melalui pergaulan dengan rakan-rakan ketika belajar akan memberikan lebih banyak panduan dan tunjuk ajar untuk digunakan setelah memasuki alam pekerjaan. Contohnya yang paling ketara ialah pendedahan dengan soal bahasa. Menurut pendapat Hambali Abdul Latiff dalam Dewan Masyarakat (April 1997), pelajar yang belajar di luar negara dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik berbanding dengan pelajar di IPT tempatan yang berbeza sekali suasana persekitarannya. Penguasaan bahasa Inggeris yang mantap menjadikan peluang pelajar-pelajar tersebut untuk mendapat pekerjaan amat terbuka luas terutamanya di sektor swasta yang mementingkan penggunaan bahasa ini. Berbanding dengan situasi penguasaan bahasa pelajar lepasan IPT tempatan yang mana mereka banyak menggunakan Bahasa Malaysia dalam suasana pembelajaran seharian. Ini mengakibatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris mereka adalah lemah dan menyukarkan mereka mendapat tempat dan pekerjaan di sektor-sektor swasta kelak. Di luar negara juga, pelajar-pelajar mungkin boleh menguasai bahasa asing seperti bahasa Jepun, Jerman, Perancis dan lain-lain yang penting untuk akademik dan teknikal. Ini sedikit sebanyak membantu meningkatkan pencapaian akademik dan kemahiran dalam diri sendiri dan seterusnya memberikan banyak kelebihan pada mereka.

Selain daripada itu juga kebanyakkan sistem pembelajaran IPT luar negara tidak mengamalkan sikap bias atau pilih kasih dari segi peperiksaan atau penganugerahan sesuatu keistimewaan kepada pelajar terutamanya pelajar-pelajar tempatan.. Graduan di IPT tempatan sering dikaitkan dengan soal pilih kasih, kerana kebumiputeran dan sikap-sikap yang menjurus kepada neopotisme dan kronisme. Berbanding dengan kebanyakkan pelajar negara yang mengikut pelajaran di IPT luar negara, mereka tidak terdedah kepada faktor pilih kasih dari segi bangsa dan kedudukan ini. Keadaan sebegini akan menggalakkan pertandingan "terbuka" dan sikap berlumba-lumba dalam pelajaran bertambah sengit dan pelajar-pelajar ini akan belajar dengan lebih tekun. Masa untuk mereka di luar negara selama tiga atau empat tahun bukan untuk bersuka-suka sebaliknya untuk mereka belajar bersungguh-sungguh bagi membawa pulang keputusan yang cemerlang.

Masa yang lebih singkat dalam menamatkan sesuatu program di IPT luar negara merupakan salah satu faktor kebaikan IPT luar negara ini. Tempoh pengajian sesuatu program yang memakan masa dua hingga tiga tahun di IPT tempatan hanya boleh disiapkan di IPT luar negara dalam tempoh sesingkat satu setengah hingga dua tahun. Sealiran dengan ini, dalam peringkat ijazah sarjana masalah untuk mendapatkan penyelia dalam kajian dan penyelidikan yang sesuai dan berpengetahuan luas kurang dihadapi pada peringkat pengajian di IPT luar negara, Berbanding dengan IPT tempatan, ramainya penyelia yang kurang pengalaman, kurang kemampuan dan sering bertukar-tukar menjadikan kajian dan penyelidikan sering terbantut.

Sekiranya kita menilai kembali tentang cadangan dan langkah kerajaan mengurangkan penghantaran pelajar ke luar negara di tengah kegawatan ekonomi negara, sudah tentulah ada sebab musababnya. Yang paling nyata ialah kerajaan ingin mengurangkan perbelanjaan negara kerana belanja untuk seorang pelajar menyambungkan pelajaran di luar negara adalah amat tinggi. Contohnya pengajian IPT di Amerika Syarikat bagi kos perseorangan setahun untuk jurusan sastera dan sains menjangkau US$ 9,930 dan perubatan US$24,140. Sementara itu di Australia pula jumlah kos untuk jurusan perubatan, pergigian dan sains veteriner ialah A$4,340 sementara A$3,500 untuk kursus-kursus lain. Sementara itu pula sekiranya diperhatikan bagi kos perbelanjaan kerajaan ianya juga melibatkan kos yang amat tinggi. Menurut Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokthar Ahmad, kerajaan negeri Terengganu membelanjakan RM1.5 juta setahun bagi membiayai hanya seramai 137 orang pelajar ke Asia Barat, United Kingdom dan Ireland. Sementara jumlah perbelanjaan menanggung pelajar bagi negara ini ialah sejumlah RM2.5 billion setahun. Jumlah ini nyata cukup besar bagi seorang pelajar jika dibandingkan dengan "pulangan sebenar:" yang akan diperolehi oleh negara hasil program pendidikan luar negara ini. Ini kerana secara rasionalnya kerajaan tidak dapat mengagak apakah pulangan yang akan dibayar balik oleh para pelajar yang ditajanya adalah setimpal atau cuma bagaikan "melepaskan batuk ditangga".

Persoalannya sekarang, sejauh manakah "pulangan sebenar" dapat dinikmati pula oleh kerajaan hasil sumbangan pelajar-pelajar yang di taja oleh kerajaan ini. Ini kerana hasil daripada pendedahan daripada sistem pembelajaran di IPT luar negara, kebanyakkan pelajar yang telah mempunyai taraf profesional lebih cenderung untuk berkhidmat di luar negara serta di sektor-sektor swasta di dalam negara. Contoh yang paling ketara ialah dengan sikap graduan dari universiti luar negara yang kurang berminat menjadi pensyarah atau pegawai penyelidik di universiti tempatan. Sebaliknya mereka cenderung memikirkan imbuhan gaji dari sektor-sektor swasta ini. Dengan tidak tertampungnya IPT tempatan dengan golongan profesional dan teknokrat ini, sistem pendidikan negara masih berada di takuk lama. Keadaan yang berlarutan ini akan menjadikan hasrat kerajaan untuk menghapuskan status "universiti kelas kedua" di IPT tempatan tidak mungkin terlaksana. Kebimbangan ini seringkali disuarakan oleh pemimpin di peringkat nasional terutamanya disimposium-simposium yang dianjurkan oleh IPT tempatan.

Selain daripada itu juga antara keburukan IPT luar negara ialah tidak semua institusi di luar negara ini mempunyai taraf dan sistem pendidikan yang terbaik. Sistem pembelajaran dan kredibilitinya diragui sama sekali. Ianya seperti "indah khabar dari rupa" kerana ada sebahagian universiti di luar negara ini mempunyai taraf yang lebih rendah lagi dari universiti tempatan. Seperti yang disuarakan oleh Tan Sri Najib dalam ulasan akhbar Berita Harian (27 April 1998) yang menyatakan bahawa sebahagian universiti di United Kingdom adalah lebih rendah tarafnya berbanding dengan universiti tempatan dan hanya "mimpi main salji" sahaja yang menjadi tarikan pelajar kita menduyuni IPT luar negara tersebut. Namun begitu demi mementingkan pendidikan yang dianggap "lebih berdarjat" pelajar sanggup membelakangkan falsafah pendidikannya untuk belajar di IPT luar ini. Seperti yang disarankan oleh menteri pendidikan baru-baru ini juga, bahawa pelajar dan golongan ibu bapa seharusnya perlu mengubah paradigma terhadap sikap melekehkan pengajian di IPT tempatan.

Menurut Shahnon Ahmad (Tamadun April 1998) pula, beliau menyatakan di barat persoalan kualiti pusat pengajian tinggi, persoalan ijazah yang mudah diperolehi dan persoalan kekurangan prasarana untuk memenuhi setiap aspek tuntutan pusat pengajian tinggi memang sudah lama menjadi isu sehinggakan menyukarkan kita memilih yang mana universiti sebenar dan palsu. Dalam tahun 1985, pihak IOI Holdings Sdn Bhd. yang berpusat di Kuala Lumpur menerbitkan sebuah risalah setebal 113 halaman bertajuk "Degree Mills of The World" yang mana ianya telah menyenaraikan lebih 500 buah universiti dari 50 buah negara yang menjalankan pengajian tinggi yang palsu. Ianya membuktikan pada kita bahawa ketinggian "darjat" semua IPT luar negara tidak semuanya tepat dan tanggapan kelekehan universiti tempatan tidak boleh di gembar-gemburkan tanpa sebarang kajian dan pemerhatian yang sebenar-benarnya.

Dalam itu juga, terdapat beberapa IPT luar negara yang memperdagangkan status kesarjanaannya untuk mendapatkan keuntungan dari segi pelaburan berupa kemasukan pelajar-pelajar luar. Buktinya terdapat laporan daripada akhbar tempatan yang mengatakan bahawa sesetengah universiti baru di England memperniagakan ijazah kehormat dengan menganugerahkannya kepada tokoh di Malaysia yang membawa banyak penuntut kepada mereka. Ini kerana banyak IPT luar negara semakin bergantung pada kemasukan pelajar terutama dari benua Asia. Di United Kingdom contohnya, setelah parti pemerintah (Parti Buruh) di negara tersebut mengurangkan saluran dan belanjawan ke IPT mereka, menyebabkan banyak IPT di sana membuka pintu seluas-luasnya kepada pelajar-pelajar luar. Dasar mementingkan keuntungan semata-mata ini menjadikan penggadaian ilmu yang disalurkan pada pelajar berlaku. Ini kerana kemasukan pelajar yang ramai akan meninggalkan kesan yang paling ketara terutamanya dari segi nisbah pensyarah yang tidak selari dengan pertambahan pelajar. Dan sealiran dengan itu mutu pendidikan di universiti berkenaan akan jauh lebih rendah dari sebelumnya.

Dengan penghantaran beramai-ramai pelajar keluar negara juga, ianya akan meninggalkan kesan pada pembangunan negara dari segi perkembangan politik dan sosial. Contoh yang paling ketara ialah banyak lulusan dan graduan dari luar tidak "maklum" dan "tidak arif" dengan aspirasi negara. Mereka ini gagal menghayati kehendak yang perlu di laksanakan di dalam negara dan lebih mementingkan diri sendiri. Keadaan ini akan merugikan negara kerana golongan inilah yang bakal mengambil alih dalam memajukan negara. Kebimbangan ini dirasai sendiri oleh Perdana Menteri kita, Dr. Mahathir Mohammad yang mengingatkan pelajar semasa kunjungannya ke Britian dan Republik Ireland supaya tidak melupakan aspirasi negara kerana perjuangan mengisi kemerdekaan masih belum selesai di negara sendiri.

Selain daripada itu pengaruh budaya luar negara yang kurang sihat juga terdedah dengan seluas-luasnya pada pelajar-pelajar yang menuntut di sana. Ada sesetengah pelajar terikut-ikut dengan budaya asing sehingga menerapkan budaya itu dalam kehidupan mereka. Fenomena ini sedikit sebanyak menyebabkan budaya tempatan kian bercampur aduk dengan budaya asing sehingga masyarakat mengalami "krisis budaya" yang berleluasa.

Disamping faktor yang dinyatakan tadi juga, kebiasaan yang berlaku pada pelajar yang menyambung pelajaran diperingkat ijazah kedua yang menekankan aspek penyelidikan dan pembangunan negara memberi kesan yang tidak seiringan dengan persekitaran di negara kita. Melalui penyelidikan di luar negara dan penyeliaan dari ilmuan barat, pelajar kita dapat membawa balik pengetahuan penyelidikan ke Malaysia untuk tujuan pembangunan. Namun demikian yang menjadi persoalannya sekarang ialah dengan keserasian dengan keadaan yang wujud di negara hasil penyelidikan itu. Ini bermaksud, akan bermaknakah penyelidikan tersebut sekiranya apa yang di selidiki dan di buat kajian hanya dapat digunakan di negara luar sahaja dan tidak dapat di lakukan sepenuhnya untuk kepentingan negara.

Secara kesimpulannya proses penghantaran pelajar mempunyai implikasi yang besar pada negara. Negara sebenarnya mampu menyediakan tempat pada pelajar-pelajarnya dengan syarat sistem pendidikan kita dikemaskinikan bagi menutup "lompang-lompang" kosong yang bakal menggugat sistem pendidikan kebangsaan dan negara.

5. Cadangan

Dalam kita mengejar perkembangan pertumbuhan institusi pendidikan tinggi hari ini sama ada kerajaan mahupun swasta beberapa perkara yang kita perlu ambil berat dan diberi perhatian ialah kualiti pelajar yang layak atau masuk ke institut pengajian tinggi harus kita ambil kira. Ini adalah bertujuan supaya golongan pendidik yang kita hasilkan nanti adalah betul-betul berwibawa dan berkelayakan. Ini boleh dilakukan dengan mengetatkan syarat kemasukan ke IPT supaya hanya pelajar-pelajar yang betul-betul berkualiti dan berkelayakan sahaja diterima masuk supaya mereka ini dapat menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam bidang akademik.

Cadangan seterusnya ialah Universiti perlu mengambil langkah konkrit mempertahankan taraf kesarjanaan pensyarah-pensyarah. Seorang pensyarah perlu menunjukkan kecemerlangannya dalam ilmu pengetahuan yang merupakan bidang pengkhususannya. Kualiti kesarjanaan pensyarah universiti juga harus dipertahankan melalui pendidikan, penulisan dan penerbitan, penyeliaan kepakaran rujukan, pembentangan kertas kerja dan seminar, kerja-kerja konsultansi, penyeliaan dan bimbingan graduan. Meningkatkan taraf kesarjanaan seseorang pensyarah universiti juga boleh dilakukan dengan menonjolkan kepimpinan akademik melalui pelbagai cara. Ahli sarjana dalam sesuatu bidang bukanlah pengikut yang taksub dengan pandangan ‘school of thought’ dalam sesuatu bidang tetapi mempunyai kualiti unggul yang dimilikinya dari segi kewibawaan intelektualnya untuk mengkritik dan menganalisis pandangan orang lain atau sesuatu yang boleh mempengaruhi aliran bidang keilmuan, teori dan gagasan keilmuan. Kesemuanya ini adalah menyentuh soal standard universiti dan soal bagaimana kita boleh mengangkat pendidikan universiti menjadi pendidikan bertaraf dunia.

Seterusnya untuk melahirkan pendidik yang betul-betul berkualiti dan berpandangan luas maka usaha-usaha seperti melatih pensyarah dan tenaga pengajar yang lain berkenaan bagaimana untuk mengajar dengan berkesan adalah selaras dengan matlamat untuk meningkatkan kualiti pengajaran di institusi pengajian tinggi. Cadangan lain ialah mencadangkan supaya pensyarah-pensyarah di universiti dikehendaki memiliki sekurang-kurangnya diploma pendidikan bagi membolehkan mereka dapat menyampaikan pengajaran dengan lebih berkesan dan lebih menarik untuk melahirkan para ilmuan yang betul-betul berilmu pengetahuan. Selain itu adalah bertujuan untuk memastikan pensyarah dan profesor universiti mempunyai pengetahuan pedagogi dan asas kaedah pengajaran yang baik dan kukuh supaya apabila mengendalikan kelas mereka dapat menarik minat pelajar untuk terus mengikuti kuliah tanpa rasa bosan.

Sejajar dengan perkembangan teknologi masa kini, maka negara kita juga tidak terkecuali dalam merebut teknologi terkini. Oleh itu adalah wajar melatih semula pensyarah dan profesor dalam bidang-bidang baru seperti teknologi maklumat dan teknologi komputer adalah antara langkah penting dan dianggap sebagai satu program perkembangan staf yang perlu dilaksanakan oleh institusi pengajian tinggi yang ingin berkembang secara progresif dan dinamis. Memandangkan ramai pelajar yang kini lebih berminat dengan pendidikan yang ditawarkan oleh institusi pendidikan tinggi swasta maka kerajaan patut mengadakan satu peraturan kurikulum yang khusus supaya setiap IPTS yang beroperasi dapat memberi pendidikan dengan cara yang betul dan berkesan supaya mereka tidak melanggar akta pelajaran dan tidak beroperasi dengan tujuan dan matlamat semata-mata untuk mencari keuntungan dari kemasukan pelajar ke institusi yang mereka kendalikan.

Demikian juga dengan program penghantaran pelajar ke luar negara adalah bertujuan untuk mengikuti kursus-kursus yang tidak terdapat dalam negara. Maka sudah sampai masanya kerajaan mengkaji kembali penghantaran pelajar-pelajar ke luar negara supaya pengaliran keluar wang negara dapat disekat dan dibendung. Ini dapat dilakukan dengan cara kerajaan hanya memilih kursus-kursus yang tidak dapat dijalankan di dalam negara barulah menghantar pelajar kita keluar negara. Oleh yang demikian sebagai langkah penyelesaiannya ialah kerajaan boleh mengadakan program berkembar antara universiti luar negara dengan universiti tempatan supaya ianya dapat menyelamatkan daripada berlaku pengaliran keluar wang keluar negara dan juga dapat membendung kejadian sosial yang tidak diingini daripada menimpa pelajar kita di luar negara.

Berhubung dengan penghantaran pelajar keluar negara untuk mengikuti pengajian di sana adalah dicadangkan supaya kerajaan memilih dan menyenaraikan terlebih dahulu universiti yang betul-betul berkualiti dan diiktiraf supaya pelajar kita mendapat pendidikan dan pengajaran yang betul-betul standard dan bermutu. Ini adalah kerana jika tahun-tahun sebelum ini pelajar kita tidak didedahkan dengan senarai hitam putih nama-nama universiti di luar negara yang boleh memberi pendidikan yang terbaik bersesuaian dengan kos yang mereka keluarkan. Demikian juga dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan negara sebagai sebuah negara perindustrian suatu hari nanti maka kerajaan sepatutnya menyediakan peralatan yang lebih baik dan berteknologi di IPT supaya ianya adalah teknologi yang terkini dan tidak ketinggalan dari arus pembangunan. Oleh itu adalah dicadangkan supaya kerajaan menukarkan peralatan yang kuno yang terdapat di IPT hari ini dengan peralatan moden supaya ilmu yang di sampaikan di IPT adalah setanding dengan pengajaran yang disampai seperti di universiti luar negara.

Cadangan seterusnya ialah sudah sampai masanya kerajaan mewujudkan satu unit di kementerian pendidikan yang menjalankan penyelidikan dan pembangunan yang akan mengkaji keperluan negara sama ada dari segi keperluan tenaga kerja mahupun dari segi keperluan tenaga pengajar serta keperluan mewujudkan kursus tertentu bagi menampung bilangan pelajar yang semakin hari semakin bertambah serta menampung keperluan oleh sektor swasta mahupun sektor kerajaan bagi menjayakan hasrat wawasan 2020 yang ingin menjadikan institusi pendidikan satu bidang yang boleh menampung pengeluaran tenaga kerja sektor industri. Adalah dicadangkan juga, sudah sampai masanya kerajaan memberi peluang kepada sektor swasta untuk turut sama mengembangkan bidang pendidikan hari ini. Umpamanya kerajaan mengadakan program bersama dengan syarikat-syarikat besar dalam menyediakan keperluan tenaga kerja yang di perlukan hari ini. Sebagai contoh kerjasama diantara Politeknik Shah Alam dengan Syarikat Matshushita AirCon Sdn Bhd di Shah Alam, dalam menjalankan program melatih pekerja Matshusita diperingkat sijil dan diploma di Politeknik Shah Alam dengan menggunakan kurikulum dan tenaga pengajar yang terdapat di Politeknik Shah Alam. Sementara pihak syarikat akan menanggung sepenuh perbelanjaan pembelajaran dan kos tenaga pengajar dari Politeknik Shah Alam. Ini menunjukkan adalah perlu ada kerjasama diantara pihak kerajaan dengan Syarikat-syarikat besar yang beroperasi di negara ini dalam membangun negara ini.

6. Kesimpulan

Sebagai kesimpulan bagi institusi pendidikan tinggi dalam dan luar negara boleh dikatakan bahawa, keterjaminan institusi pendidikan di dalam negara adalah lebih terjamin jika dibandingkan dengan institusi pendidikan tinggi di luar negara. Ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor yang telah dibincangkan sebelum ini. Penghantaran pelajar kita ke luar negara juga boleh mendatangkan kesan yang kurang baik, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang ini yang mana Malaysia sedang di landa masalah kegawatan ekonomi. Kesan yang kurang baik yang di maksudkan ini adalah seperti masalah ekonomi, sosiol, budaya, dan aspirasi negara. Jika pelajar ini diberi pendidikan di dalam negara, ia mudah untuk dibentuk dengan acuan berasaskan Malaysia.

 

7. Rujukan

Dilema Universiti Tempatan. ((1998, Januari 8). Berita Harian, pp. 10.

Dr. Abd. Rahim Abd. Rashid. (1997, Jun 21). Melonggarkan Sistem Pendidikan Negara. MASSA, pp. 43-44.

Dr. Abd. Rahman. Abd. Rashid. (1997, April 26). Membaiki Kualiti dan Peranan IPT. MASSA, pp. 44-45.

Hambali Abdul Latiff. (1986, April 21). Pendidikan Luar Negeri: Mahal Tetapi Terjamin. Dewan Masyarakat, pp. 44-46.

IPT UK Dilanda Masalah Kewangan. (1996, November 26). Berita Harian, pp.5.

Mara Tidak Panggil Pelajar Pulang. (1997, Januari 24). Berita Harian, pp.3.

Negara Perlu Pelajar Berilmu dan Berjiwa Masyarakat. (1998, Mac 22). Berita Harian, pp. 5.

Suffean Hussin. (1996). Pendidikan Di Malaysia: Sejarah, Sistem, dan Falsafah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 368-394.

Universiti Suara Hati Masyarakat: Anwar. (1998, MAC 22). Berita Harian, pp. 8.

Zaini Ujang. (1994, Ogos 21). Universiti Tidak Lagi Penting Di Britain. Dewan Masyarakat, pp. 28-29.

Zaman IPT Asing Berakhir. (1998, April 27). Berita Harian, pp.9.