Koleksi Kertas KajiSelidik Pelajar Sarjana Pendidikan Seksyen Tiga ITTHO

Koleksi Kertas Kerja Seminar Pembangunan & Isu-isu Global (MTP3303)



Kapitalisme



APA YANG ANDA FAHAM TENTANG KAPITALISME, TERANGKAN PERSAMAAN DAN PERBEZAANNYA DENGAN SOSIALISME. HURAIKAN SEJAUH MANA KEDUANYA 
MAMPU MENYELESAIKAN MASALAH SEJAGAT.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

1.0 PENDAHULUAN

Kita hidup di dalam dunia yang semakin cepat berubah. Zaman teknologi maklumat 
sudah tiba dan dengan itu peluang baru ini boleh menjadikan kehidupan kita 
lebih bahagia.  Tetapi peluang untuk merosak masyarakat kita juga menjelma 
bersama. Isu yang bakal diperkatakan ini adalah isu yang hangat diperbincangkan 
dewasa kini iaitu isu ekonomi dan masalah sejagat  yang patut diselesaikan 
bersama. Isu ini bukan sahaja menjadi isu di negara kita Malaysia, malah di 
negara-negara dunia  ketiga. Fahaman kapitalis mutlak yang kini mula muncul 
sebagai ideologi baru yang kuat sehinggakan ia boleh menggulingkan kerajaan 
dan mencetuskan bencana ekonomi. Kesan dari pengaruh orientalis terhadap ilmu 
pengetahuan  moden, terlahirlah berbagai 'isma' yang bertopengkan ideologi moden, 
seperti Sistem Nasionalisme, Sosialisme, Sekularisme dan Kapitalisme  yang 
kononnya sebagai suatu ketrampilan ke arah penyelesaian pelbagai masalah hidup.  
Suatu idealisme yang cukup besar pengaruhnya di dunia adalah Kapitalisme dan 
Sosialisme. Dunia menjadi tidak aman dan selalu terjadi peperangan kerana kedua 
golongan yang ekstrim ini selalu berebut pengaruh, di mana negara yang sedang 
membangun dijadikan alat permainan mereka. 


DEFINISI DAN CIRI-CIRI

Definisi Kapitalis
Sistem kapitalis telah diasaskan oleh Adam Smith yang juga dikenali sebagai 
'Bapa Kapitalisme'. Ideologi tentang kapitalis ini telah diutarakan oleh beliau 
di dalam bukunya  yang bertajuk "An Inquiry into the Nature and Causes of the 
Wealth of Nation"  pada tahun 1976. Antara intipati yang disebut ialah 
"dengan memberi kebebasan kepada manusia untuk menggunakan sepenuhnya harta, 
pendapatan dan kebolehan masing-masing, maka akan dapatlah membina suatu 
perlumbaan ekonomi seterusnya memberi kemakmuran kepada masyarakat." 
(Wan Baharuddin Wan Mamat, 1995).

Secara umumnya definisi kapitalis boleh dilihat daripada tiga bahagian iaitu 
definisi kapitalis secara umum, Kapitalis Barat Moden dan Neo Kapitalis. 
(Baharudin Yatim, 1995).

Kapitalis secara umum 
Ia merupakan suatu sistem yang mempunyai unsur-unsur kebebasan kepada individu 
untuk mempunyai harta dan alat perusahaan atau perkembangan penuh untuk institusi-
institusi kewangan. Pada umumnya sistem ini digambarkan sebagai merangkumi konsep-
konsep kebebasan bagi inisiatif, persaingan dan pendorong keuntungan.

Kapitalis Barat Moden
Ianya satu fahaman dalam sistem ekonomi yang telah tumbuh di Eropah semenjak 
kurun pertengahan. Ia telah berkembang dengan lebih pesat lagi selepas zaman 
Renaissance Eropah pada abad ke 14 hingga ke 17 masehi dan sezaman dengan :
Kelahiran ideologi-ideologi palsu ciptaan Yahudi. Kemusnahan kuasa gereja Kristian 
dan sistem milik tanah oleh Bangsawan. Kelahiran fahaman sekularisme dan liberalisme 
di mana agama dipisahkan dari aktiviti-aktiviti duniawi. Pertumbuhan dan 
perkembangan kilang-kilang perusahaan di Peranchis selepas revolusi Peranchis 
1789M.

Neo Kapitalis
Ia merupakan satu aliran kapitalis baru di masa kini, yang telah didefinisikan 
oleh Dato Seri Mahathir Mohamad dalam  Berita Harian, 5 Jun 1998 sebagai 
penggabungan syarikat-syarikat besar untuk melahirkan syarikat gergasi yang akan 
berusaha untuk menguasai dan memiliki syarikat-syarikat kecil. Menurut Dato 
Seri Dr Mahathir Mohamad apa yang sedang berlaku  sekarang ialah penggabungan 
syarikat-syarikat besar di Barat yang sedang rancak berjalan untuk melahirkan 
syarikat gergasi yang akan berusaha menguasai dan memiliki syarikat di Asia. 
Ekonomi Asia akan dikuasai dan ditadbir keseluruhannya oleh orang bukan Asia. 
Asia Tenggara akan menjadi pengkalan pengeluaran barangan kos rendah untuk 
menyaingi barangan beberapa ekonomi Asia yang gagal dikuasai oleh syarikat asing 
tetapi negara itu juga akan menyerah kalah. Kesannya ialah kerajaan sukar untuk 
menahan gelombang baru ini kerana arus alirannya yang cukup kuat. Maka dengan 
itu akan wujudlah syarikat-syarikat Nasional yang bukan lagi milik kerajaan. 
Rakyat akan mula memberontak kerana tidak puas hati dengan pengambilalihan ini. 
Berdasarkan ketiga-tiga definisi di atas, bolehlah dikatakan bahawa kapitalisme 
bermaksud pemisahan secara total di antara ekonomi dan tampuk pemerintahan. Ia 
adalah sistem sosial yang berasaskan hak persendirian (private ownership) 
di mana  hak individu tidak boleh diganggu gugat oleh orang lain. 

Menurut kapitalis juga, pengasingan hanyalah berasaskan premis kapitalis,  yang 
bermaksud mengakui tentang hak individu (individual right). Dari segi  politik 
dan sistem ekonominya pula ia berasaskan doktrin hak individu. Ini bermakna bahawa 
kapitalis mengakui setiap individu mempunyai "diri sendiri", iaitu tiada kawalan 
dari orang lain serta mempunyai hak untuk menjalani kehidupan mengikut cara pilihan 
mereka selama mana ia tidak mengganggu hak orang lain. Kapitalis juga mendakwa  
bahawa ia boleh mewujudkan keharmonian sosial melalui usaha-usaha untuk memenuhi 
kepentingan diri sendiri.  Di bawah kapitalisme usaha-usaha untuk memenuhi kestabilan
ekonomi seseorang individu itu diyakini boleh memberi manafaat kepada keseluruhan  
masyarakat.

Di dalam membolehkan seseorang individu itu bertindak tanpa melanggar peraturan 
kerajaan, secara tidak langsung kapitalisme juga telah menyebabkan kekayaan 
tercipta dengan cara yang paling efektif, dimana ianya  meningkatkan taraf hidup, 
peluang-peluang ekonomi dan pengagihan barangan kepada setiap individu.  Pasaran 
bebas beroperasi dengan sebegini cara supaya setiap individu boleh mencipta 
kekayaan untuk diri sendiri.  Dengan ini tanpa disedari ia juga telah mencipta 
kekayaan untuk orang lain , yang bermaksud "yang kaya bertambah kaya dan yang 
miskin bertambah miskin".  Fahamilah bahawa  kapitalisme telah menyumbang kepada 
kepentingan ekonomi untuk semua termasuk kepada bukan kapitalis. 

Bertentangan  dengan kepercayaan umum, kapitalisme bukanlah satu sistem yang 
mengekploitasikan masyarakat untuk kepentingan golongan kaya yang merupakan 
minoriti.  Bahkan sebenarnya  sosialisme yang menyebabkan pengekploitasian 
secara sistematik terhadap buruh. Oleh kerana kerajaan sosialis memegang 
monopoli  ke atas buruh dan produktiviti maka  tidak wujud insentif dalam 
ekonomi.  Masalah ini wujud kerana kerajaan sosialis hanya menyediakan 
keperluan minima kepada pekerja .  Ekploitasi merupakan nature kepada 
sosialis kerana individu tidak boleh hidup untuk kepentingan diri sendiri.         

 Definisi Sosialis
Pengasas sosialisme ialah Karl Marx atau nama asalnya Mordechai (1818-1885 M).  
Sosialisme adalah satu istilah umum yang digunakan bagi teori ekonomi dan 
politik yang memperjuangkan suatu sistem yang berasaskan kepada hak milik 
untuk kelompok atau pemerintah yang menguruskan semua sumber penghasilan dan 
pengagihan barang-barang. Istilah ini kadang-kadang telah digunakan untuk 
teori-teori ekonomi yang pelbagai daripada : teori yang memperjuangkan suatu 
sistem yang berasaskan kepada hak milik untuk kerajaan bagi agensi-agensi 
perkhidmatan masyarakat dan sumber-sumber penghasilan yang tertentu sahaja 
hinggalah kepada teori  sosialisme (Marxisme) yang memperjuangkan suatu sistem 
yang berasaskan kepada peguasaan secara total oleh pemerintah semua program 
ekonomi dan arahnya. (Baharuddin Yatim dan Sulaiman Nordin, 1993).

Sosialisme telah wujud sejak dari zaman Greek tua lagi. Plato adalah di antara 
tokoh yang membincangkan tentang fahaman ini di dalam bukunya yang bertajuk 
'Republica'. Beliau berusaha mencari jalan keluar kepada suatu bentuk hidup 
bersistem setelah berlaku huru hara dan kacau bilau. 

Jika dilihat kepada definisi sosialis sebenarnya memperjuangkan kebebasan dan 
keutamaan masyarakat serta mengambil kira kepentingan individu. Ia menafikan 
tentang pemilikan pemilikan khas (private property) di kalangan individu, 
tetapi memberi penekanan ke atas penyusunan pengeluaran dan pengedaran barangan 
atas dasar kolektif.

Ciri-ciri Kapitalis
a. 	Manusia diberi kebebasan mutlak dalam berfikir 
Manusia berhak mengamalkan sesuatu konsep keimanan mengikut sesuka hati mereka, 
kerana itu merupakan kehendak semulajadi manusia.  Menurut kapitalis juga 
pemerintah tidak mempunyai hak untuk campur tangan. 

 Kebebasan memberi pendapat
Setiap individu berhak serta bebas untuk memberikan pendapat didalam menentukan 
corak kehidupan masyarakat, merangka undang-undang dan menentukan kuasa 
pemerintahan.

Penentuan nilai hidup sosial
Didalam kapitalis nilai-nilai sosial manusia ditentukan oleh keupayaan mental, 
emosi, sentimen umum dan persekitaran.  Kesejahteraan total dapat dicapai 
dengan perlaksanaan konsep kebebasan sosial  serta memenuhi nikmat fizikal 
dan hawa nafsu dalam kehidupan.

Konsep ekonomi bebas
Sesiapa saja boleh menjalankan aktiviti ekonomi secara bebas didalam sesebuah 
negara.  Di dalam menjalankan perniagaan setiap individu itu bebas melakukan 
apa cara pun untuk mengumpul kekayaan walau pun ianya melanggar etika ( menipu, 
putar-belit, rasuah).  Undang-undang hanya bertindak sebagai pengawal sahaja.  
Tindakan hanya akan diambil jika ianya mengancam keselamatan negara.  

Ciri-ciri Sosialis  
Memperjuangkan untuk kesamatarafan yang hakiki. Menurut sosialis mereka lebih 
memperjuangkan kebebasan dan keutamaan masyarakat  berbanding keperluan individu.  
Isu utama sosialis ialah berjuang untuk mencapai hak kesamarataan yang hakiki.  

Penafian fahaman agama
Sosialis menganggap agama hanya merupakan satu penipuan lantaran itu mereka 
menafikan sebarang fahaman agama.   Frederick Engles salah seorang ahli sosialis 
menyatakan "bahawa setiap nilai-nilai moral yang juga dihubung rapat dengan 
konsep agama itu dicetuskan oleh suasana ekonomi yang berjalan":.  Atas alasan 
inilah maka sosialis menolak sebarang fahaman yang berkaitan dengan agama.

Kebebasan memberi pendapat
Menurut fahaman sosialis tidak wujud langsung kebebasan untuk memberi pendapat.  
Oleh yang demikian jika dilihat dari aspek politik tidak wujud sebarang parti 
pembangkang.  

Corak hidup 
Sosialis bertujuan untuk menghapuskan kewujudan kelas-kelas didalam masyarakat.   
Diperingkat awal, golongan marhain berjaya mengalahkan golongan kaya untuk 
mewujudkan kesamarataan taraf yang akhirnya dapat mencapai taraf hidup yang 
ideal. 

Tiada pemilikan
Individu-individu di dalam sistem sosialis tidak mempunyai hak untuk memiliki 
harta benda yang lebih daripada keperluannya.  Di sini kerajaan mempunyai hak 
keatas semua kekayaan termasuk sumber-sumber dan punca-punca pengeluaran.

PERSAMAAN DAN PERBEZAAN
2.1 	Persamaan Kapitalis dengan Sosialis
Kedua-dua fahaman ini membincangkan tentang isu-isu ekonomi.  Konsep yang 
diketengahkan oleh kedua-dua fahaman ini bertujuan untuk mencapai kesejahteraan 
masyarakat dari segi ekonomi, iaitu cara-cara untuk mengumpul kekayaan, pasaran 
didalam ekonomi dan pengagihan sumber.

Persamaan yang jelas antara keduanya ialah persamman dari segi matlamat di mana 
didapati bahawa matlamat terakhir kapitalisme dan sosialisme adalah sama iaitu 
pemusatan kuasa pemerintah kepada satu kumpulan politik yang mempunyai semua 
jentera-jentera penghasilan dan penguasaan matawang dan harta. Kedua-duanya 
menggunakan fahaman sekularisme untuk merosakkan nilai-nilai agama bagi tujuan 
menegakkan kuasa dan pengaruh mereka. Kedua-dua iaitu kapitalisme dan sosialisme 
adalah juga ideologi antarabangsa.
		
Perbezaan Kapitalis dengan Sosialis
Hak individu
Di dalam kapitalis setiap individu mempunyai hak keatas setiap sesuatu seperti 
kebebasan bersuara, pemilikan harta serta hak untuk menentukan pucuk pimpinan.  
Kapitalis menekankan konsep 'individual rights' didalam perlaksanaan sistem ini.  

Sementara itu sosialis pula percaya individual rights hanya akan melebarkan 
jurang strata di dalam masyarakat.  Oleh itu sosialis mengambil dasar menentukan 
hak kekayaan yang boleh dimiliki oleh rakyatnya .  Sebagai contoh negara China 
yang masih teguh mengamalkan fahaman sosialis dewasa kini, di negara ini kekayaan 
yang dimiliki oleh rakyat ditentukan oleh kerajaan bukannya berdasarkan jenis 
pekerjaan atau taraf pendidikan. 

Peranan pemerintah
Perbezaan peranan pemerintah bagi kedua-dua fahaman ini  amat ketara. Negara yang 
mengamalkan sosialis rakyat tidak berpeluang untuk memilih pemimpin di mana tidak 
ada pilihanraya. Ini bermakna pemerintah yang ada adalah hasil rampasan kuasa dan 
sistem pemerintahan hari ini diwarisi berdasarkan kekananan di dalam organisasi  
(parti). Negara kapitalis pula, pemerintah ditentukan melalui pilihanraya. 

Peranan pemerintah di dalam negara sosialis mengawal sepenuhnya hak pemilikan dan 
pengagihan sumber-sumber ekonomi negara. Sementara di dalam negara kapitalis, 
pemerintah menyediakan peraturan untuk mengawal keadaan sahaja tetapi rakyat bebas 
memilih untuk melakukan aktiviti yang ingin mereka lakukan. 

Pasaran
Di dalam negara kapitalis, mereka mengamalkan pasaran bebas iaitu sesiapa sahaja, 
dengan cara apa sekalipun boleh mengumpul kekayaan untuk diri sendiri. Berbanding 
dengan negara sosialis yang tidak membuka ruang pasaran yang luas kepada rakyat 
negara sendiri serta masyarakat luar. Ia mengadakan kawalan yang ketat ke atas 
aktiviti ekonominya. 

 Pemilikan dan pengagihan sumber-sumber pengeluaran
Dari segi pemilikan dan pengagihan sumber-sumber pengeluaran, negara kapitalis 
memberi kebebasan kepada rakyatnya. Ini berbeza dengan negara sosialis di mana 
pemerintah mengawal sepenuhnya pemilikan dan pengagihan sumber-sumber pengeluaran 
tertentu.

ISU MASALAH SEJAGAT
Di dalam kertas kerja ini kami hanya akan menyentuh mengenai masalah ekonomi dan 
politik dalam perbincangan isu-isu masalah sejagat. Ideologi ini diyakini tidak 
dapat memberi jalan keluar kepada permasalahan ekonomi dan politik yang wujud. 
Jika ada sekalipun, ianya adalah setakat satu penyelesaian sementara sahaja. 

Sistem kapitalisme yang berfahaman materialistik membawa konsep mencari kekayaan 
dan keuntungan peribadi di mana ini merupakan suatu nilai bagi kepuasaannya.  
Bagi mereka keutamaan untung yang maksima adalah sebagai matlamat, tanpa sebarang 
campurtangan dari pihak-pihak lain atau kerajaan dan begitu menggalakkkan pasaran 
bebas ke arah menunaikan strategi.

Ini menunjukkan sistem kapitalis memberikan kebebasan tanpa batasan kepada individu 
sehingga ia membenarkan apa cara sekalipun untuk mencapai matlamat tersebut selagi 
ianya tidak mengancam keselamatan negara.  Manakala sosialis pula mengekang hak 
individu secara keterlaluan dan hak sama rata kepada penduduk. 

3.1	 Isu Ekonomi
Menurut Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad apabila kapitalis mengamalkan sistem  
pasaran bebas, ekuiti syarikat-syarikat tempatan boleh dikuasai oleh 
syarikat-syarikat asing.  Oleh kerana syarikat-syarikat asing yang masuk 
adalah kukuh sokongan modalnya, keyakinan  pasaran akan pulih yang menyebabkan 
keyakinan dan pemulihan nilai matawang.  Walaupun rakyat akan kembali makmur  
tetapi bukan negaranya kerana dasar -dasar pembangunan negara  mengambil 
kira syarikat-syarikat gergasi ini kerana mereka adalah pendokong terbesar 
cukai negara.  Ramainya  pelabur mereka yang berminat untuk membeli syarikat-
syarikat di negara-negara yang menghadapi kegawatan ekonomi.  Mereka berkata 
ada "fire sale" di Asia Timur, iaitu jual murah barangan kedai terbakar.  
Menurut mereka syrikat-syarikat dan bank-bank di Asia sudah seperti ikan 
mati yang timbul dengan perut ke atas atau "belly-up".  Mereka hanya perlu 
pilih dan kutip.  Yang lainnya boleh di biar mati.

Demikianlah sikap mereka yang kononnya bertanggungjawab memelihara hak asasi 
manusia di seluruh dunia.  Lebih buruk lagi setelah pihak asing ini merosakkan 
ekonomi kita mereka mendakwa bahawa pembelian syarikat kita oleh mereka adalah 
bertujuan menyelamatkan kita dan memulihkan ekonomi kita.  Perbuatan mereka 
tidak banyak berbeza dengan penyamun  yang menyamun duit kita dan kemudian 
memberi balik separuh daripadanya sambil mendakwa mereka menolong kita.  Dengan 
itu orang asing bukan sahaja boleh memiliki 100 peratus syarikat dan bank kita 
tetapi mereka boleh masuk berniaga dalam negara kita tanpa perlu apa-apa 
penyertaan daripada kita.  Mungkin jawatan rendah  akan diberi kepada kita 
tetapi kerana kita dikatakan oleh mereka tidak pandai dan tidak cekap maka 
jawatan tinggi akan dipegang oleh mereka selama-lamanya.

Sosialis pula tidak begitu berjaya di dalam bidang ekonomi.  Idea yang dibawanya 
bahawa setiap orang menerima bayaran subsidi yang serupa akan tetap bekerja
keras dan gembira adalah meleset.  Pengeluaran dan kekayaan semakin merosot 
dan golongan pekerja mula memberontak dan tidak menghargai rejim diktator.  Ini 
dapat dilihat dengan berlakunya pemberontakan di MedanTiannamen

Adakah kapitalis baru dapat menyelesaikan masalah ekonomi.  Secara dasarnya 
kapitalis baru dapat membantu pertumbuhan ekonomi negara. Sistem pengurusan 
modal yang cekap dan sistem kadar pertukaran stabil yang di reka di Bretton 
Woods.  Pengamal kapitalis baru berjaya membina semula ekonomi menggunakn 
kombinasi pendekatan kapitalis dan sosialis tetapi sifat tamak yang berakar 
umbi dalam diri golongan kapitalis tidak pernah terhapus.  (Dato Seri Dr. 
Mahathir Mohamad, 1998)

3.2 	Isu Politik
Apabila kapitalis sudah dapat menekan negara , penguasaan mereka tidak terhad 
kepada ekonomi sahaja. Mereka juga berminat untuk menguasai politik dan menentukan 
siapakah yang memimpin.  Penguasaan media masa yang boleh mempengaruhi media 
tempatan telah menyebabkan tuduhan pemerintah yang tidak efisyen.   Ini menyebabkan 
gerakan anti kerajaan dicetuskan.  

Kapitalis dan sosialis tidak dapat menyelesaikan masalah politik yang berlaku kerana 
masalah politik yang wujud tersebut sebenarnya adalah gerakan mereka sendiri.  
Ini dapat dilihat melalui penerangan sebelum ini.  Dasar kapitalis yang meletakkan 
tanggungjawab pemerintah sebagai pengawal undang-undang adalah tidak bersesuaian 
dengan kesejahteraan masyarakat.  Ini kerana dasarnya sekadar mengubat bukan mencegah.

Bagi kapitalis, individu berhak melakukan apa sahaja untuk mengumpul kekayaan 
dengan harapan kekayaan itu dapat diberikan kepada orang lain.  Oleh itu individu 
boleh melakukan apa sahaja kerana pemerintah melaksanakan undang-undang agar 
cara yang digunakan tidak mengancam keselamatan negara.

Sebagai contoh ialah kegagalan aliran sosialis.  Bibit-bibit kejatuhan Russia 
sebagai lambang kuasa yang dibangunkan di atas ideologi komunisme (aliran Marxist) 
telah bermula sejak 40 tahun yang lalu.  Pada bulan September 1961 Harian Pravda 
yang menjadi lidah rasmi Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Russia telah menyebarkan 
program parti itu.  Rancangan itu ialah fikiran yang memansuhkan jalan atau cara 
revolusioner seprti yang ditegaskan oleh buku Materialisme Dialektika: " berikutnya 
peralihan daripada kapitalisme kepada sosialisme dan memerdekan kelas buruh 
(pekerja) daripada penindas kapitalis.  Ini boleh direalisasikan bukan dengan 
evolusi, bukan dengan memperbaikinya akan tedengan perubahan bentuk dan cara 
sistem kapitalisme iaitu dengan revolusi".

Harian tersebut juga mengaskan uasaha-usaha merealisasikan masyarakat komunisme 
seperi yang dirancangkan itu meliputi tempoh 20 tahun akan datang. Di samping itu 
ia menekankan kegagalan sistem komunis selama 40 tahun yang lalu dalam membentuk 
asas ideologi dan kehidupan duniawi yang lengkap bagi masyarakat komunisme.  

Ini menunjukkan komunisme sebagai satu ideologi telah hilang kekuatannya untuk 
melaksanakan apa yang dinamakan "kepastian sejarah peralihan daripada kapitalisme 
kepada sosialisme".  Kegagalan itu berlaku kerana teori komunisme tidak ditegakkan 
di atas usul dan kaedah am yang lengkap untuk membolehkan ideologi itu berkembang.          

Prinsip penghapusan hakmilik individu telah ditukar kepada satu penyelesaian yang 
lebih sederhana iaitu menguasai segenap industri, perniagan luar negara , bank-bank 
dan segala perkhidmnatan awam.  Antara bukti kegagalan perlaksanaan prinsip persamaan 
di dalam masyarakat komunisme di ungkapkan dalam buku tulisan Krine Brinton yang 
bertajuk Revolusi Komunisme: unsur, penyelesaian dan hasilnya : " sebagaimana yang 
diakui oleh para pendokong komunisme sendiri bahawa Russia kini hidup di dalam satu 
masyarakat yang berbeza-beza dalam pembahagian barang-barang keperluan dan perolehan 
individu dengan perbezaan yang besar.  Seorang ahli politik berkedudukan tinggi, 
Pengarah Perusahaan , penulis atau penari Ballet hidup bergelumang dengan kemewahan 
sedangkan rakyat biasa tidak sedemikian". 

Keadaan ini menjadikan masyarakat Russia satu masyarakat yang lebih tidak memiliki 
persamaan  dalam bidang ekonomi jika  dibandingkan dengan sebarang masyarakat 
kapitalis.  Fakta ini jelas membuktikan sosialisme pada zahirnya memperjuangkan 
prinsip persamaan dan keadilan secara teori tetapi gagal apabila dilaksanakan.  

PENYELESAIAN MASALAH
4.1 	Islam Sebagai Jalan Penyelesaian
Apabila dikaji, dua aliran materialisme tadi, maka dapatlah dibuat kesimpulan 
bahawa satu pihak terlalu ekstrim untuk mementingkan individu dengan mengorbankan 
hak orang lain sedangkan di satu pihak kepentingan individu dikorbankan untuk 
kepentingan masyarakat.

Islam tidak mengkehendaki kedua-duanya, Islam mahu adanya keseimbangan antara 
individu dan masyarakat. Setiap usaha untuk memenuhi tuntutan hidup dibenarkan 
oleh Islam asalkan tidak mengorbankan dan merugikan orang lain. Hubungan individu 
dan masyarakat umpama satu tubuh dan saling berkehendak serta tidak terpisah. 
Oleh itu individu bertanggungjawab atas perkembangan masyarakat (Imam  Munawir, 
1985).

Jika dilihat pelbagai aliran pemikiran, falsafah, peraturan, sistem politik, 
ekonomi dan sosial ciptaan manusia ditawarkan untuk menyelesaikan masalah hidup 
yang dihadapi manusia sejagat. Malangnya, semuanya tewas dan gagal apabila 
dilaksanakan. Hingga ke hari ini tidak ada satu aliran pun yang dapat memperlihatkan 
kemampuannya untuk menyesuaikan dengan realiti kehidupan. 

Setiap sistem mempunyai falsafah, matlamat, jalan, gagasan dan caranya yang 
tersendiri mengenai kehidupan. Setiap sistem juga mempunyai masalah dan cara 
penyelesaiaanmya apabila dilaksanakan. Oleh itu adalah tidak adil dan tidak 
rasional jika sistem tertentu diminta menyelesaikan masalah yang ditimbulkan 
oleh sistem lain. Logiknya jika kita ingin minta cara penyelesaian sesuatu sistem 
terhadap masalah kehidupan maka sistem itu perlu diberi peluang terlebih dahulu 
dilaksanakan dalam realiti kehidupan. Setelah itu barulah dapat dilihat samada 
masalah itu masih ada ata sudah selesai, berubah bentuk atau unsurnya. Pada 
masa itu barulah sistem berkenaan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap permasalahan 
yang timbul.

Islam adalah sistem hidup yang lengkap, bersifat sepadu, saling berkait dan 
menguatkan antara satu aspek denganaspek lain. Sistem ini berbeza daripada sistem 
lainnya dari segi watak, gagasannya tentang kehidupan dan cara perlaksanaannya. 
Perbezaan ini adalah perbezaan yang asasi dan menyeluruh. Oleh itu Islam tidak 
bertanggungjawab terhadap masalah yang timbul dalam masyarakat hari ini kerana 
masalah itu lahir akibat Islam dipisahkan daripada realiti kehidupan.

Konsep kapitalisme yang bermula dengan sifat mementingkan diri sendiri akhirnya 
akan mencapai kemuncaknya di mana sifat-sifat kemanusiaan akan di tekan dan 
terkubur. Ia akan menjurus kearah ketidak keseimbangan di dalam pembahagian 
harta kekayaan, dan juga akan ada sesetengah pihak memajukan kepentingan 
mereka sendiri yang bertentangan dengan kepentingan ramai. Sememangnya kaedah 
ini begitu bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam yang memandang ekonomi 
itu hanya sekadar memenuhi keperluan fitrah manusia seperti makan minum, pakai, 
perumahan dan pendidikan.

Sebenarnya untuk mengambil Islam sebagai penyelesai masalah, terlebih dahulu 
Islam perlu dijadikan pengatur seluruh kehidupan individu, keluarga, masyarakat, 
negara dan dunia ini. Setelah itu apabila timbul persoalan atau permasalahan 
barulah wajar untuk meminta pandangan Islam mengenai persoalan itu kerana 
masalah itu timbul dalam sistem Islam, bukan ditimbulkan oleh sistem bukan 
Islam. Allah S.W.T  berfirman yang bermaksud : "Wahai orang yang beriman 
masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu turut 
langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu". 
(Al Baqarah, ayat 208). Islam mendidik manusia dengan sistem tertentu, 
memerintah dengan hukum tertentu, menyelesai masalah mereka atas dasar 
tertentu serta mewujudkan sistem kemasyarakatan, ekonomi dan politik yang 
tertentu. Jadi perkara utamanya ialah melaksanakan Islam sebagai sistem 
yang menyeluruh dalam semua aspek kehidupan.


KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan boleh dikatakan bahawa sistem kapitalis dan sosialis 
mempunyai persamaan dan perbezaan yang tersendiri. Keduanya lebih mementingkan 
kaedah 'mengubati' daripada 'pencegahan'. Sebaliknya jika kita berbalik 
kepada sistem Islam, ia telah menunjukkan suatu jalan yang betul iaitu 
mementingkan 'pencegahan' daripada 'mengubati. Kita sepatutnya perlu membangunkan 
sebuah sistem yang tidak menolak pembangunan material malahan memnggunakan 
kekayaan material untuk membangunkan suatu kehidipan yang bermoral. Dengan 
lain perkataan, matlamat yang hendak dicapai ialah untuk mewujudkan suasana 
kehidupan yang aman dan harmoni.


RUJUKAN ;
A Nazri Abdullah (5 Jun 1998), Perang Kapitalis Baru, Berita Harian.

Baharuddin Yatim Dan Sulaiman Noordin (1993), Islam, Al Quran dan Ideologi Masa Kini, Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Hugh Stretton (1976), Capitalism, Socialism and The Environment, Cambridge University Press, Cambridge.

Imam Munawir (1985), Kebangkitan Islam dan Tentangan-tentangan Yang Dihadapi Dari Masa ke Semasa, Singapura : Pustaka Nasional.

Kassim Ahmad (16 Dec. 1997), Keruntuhan Sistem Pasaran Bebas, Utusan Malaysia.

Mahathir Mohamad (Dato Seri Dr.) ( 19 Jun 1998), Cabaran Kegawatan, Teks Ucapan Perhimpunan Agung UMNO, Utusan Malaysia.

Peter Saunders (1995), Capitalism : A Social Audit, Open University Press.

Rustam A Sani (10 Jun 1998), Kapitalis Baru Atau Sama, Utusan Malaysia.

Umar Azman Amir Hamzah (5 Jun 1998), Kekarutan Ekonomi Moden, Utusan Malaysia.

Wan Baharuddin Wan Mamat (1995), Sistem Kapitalisme Penyelesai Masalah Sosial ?,Tamadun, Januari 1995.




Laman Web ini masih dalam pembinaan. Segala komen dan nasihat anda adalah amat dialu-alukan di dalam menghasilkan Laman Web ini. Hubungi email yang tertera.
return to main