KERTAS KERJA SEMINAR PEMBANGUNAN & ISU-ISU GLOBAL (MTP 3012)

SISTEM PEREKONOMIAN BERLANDASKAN KAPITALISME : HAD-HAD PERANAN DAN MUSIBAH-MUSIBAH KE ATAS PEMBANGUNAN MAMPAN SESEBUAH NEGARA.

 

1.0 Pengenalan

Akhir-akhir ini ungkapan "kapitalisme" makin kerap diperkatakan oleh pelbagai pihak di mana-mana negara di Asia. Ini kerana perkataan tersebut seolah-olah sinonim dengan hakikat kegawatan ekonomi sekarang. Menurut Rich de Vos di dalam bukunya, "Compassionate Capitalism" (Kapitalisme Berkepedulian Sosial)(1995), kapitalisme boleh dibahagikan kepada 2 jenis. Yang pertama dipanggil kapitalisme rakus dan didefinisikan sebagai satu bentuk fahaman sistem sosio-ekonomi yang memberikan kebebasan mutlak pemilikan individu kepada aset-aset seperti perniagaan, gedung-gedung membeli-belah, kilang dan sebagainya di pasaran ekonomi bebas. Hasil daripada itu, ia menjurus kepada sistem perekonomian yang didasarkan kepada pemupukan modal atau kekayaan oleh hanya sekelompok kecil golongan peniaga atau pemodal yang dilakukan secara bebas selagi ada permintaan daripada pembeli. Ia berpendapat, di dalam usaha meraih keuntungan maksimum, kerajaan terutamanya, tidak patut masuk campur bagi melindungi hak-hak dan kebajikan pengguna. Ini kerana, fahaman ini percaya kuasa pasaran (market forces) itu sendiri sudah cukup mengawal-selia kebajikan pengguna (contoh : peniaga yang menawarkan harga terlalu tinggi akan dipulau pengguna dan memaksa peniaga tersebut menurunkan harga keparas yang asal). Oleh yang demikian, ia juga mengalu-alukan dasar "laissez faire" atau lepas tangan kerajaan di dalam hal-hal ekonomi.

Daripada segi sejarah, fahaman kapitalisme menurut seorang ahli ekonomi barat terkenal, Max Weber, bertunjangkan kepada beberapa fahaman dan salah satu daripadanya ialah "Protestant Ethic": Fahaman tersebut wujud akibat daripada perpecahan di dalam agama Kristian itu sendiri (Chodorow, 1994). Sebelum perpecahan berlaku, hanya wujud satu bentuk ajaran iaitu Catholicism. Anutan ini begitu mementingkan nilai kerohanian dan mengabaikan aspek materialistik hinggakan menganggap orang-orang Kristian yang sebenar adalah daripada mereka yang miskin. Kekayaan material dianggap sebagai petanda bahawa ada berlaku penyelewangan oleh seseorang individu tersebut. Walhal pada masa yang sama pihak gereja sibuk mengumpul harta. Akibatnya, golongan peniaga mula menjauhkan diri daripada institusi gereja. Pada awal abad ke 17, wujudlah secara rasmi agama serpihan daripada anutan Catholicism yang dikenali sebagai Protestant dan salah seorang pemimpinnya adalah John Calvin yang mencipta fahaman "Protestant Ethic". Melalui fahaman tersebut, buat pertama kalinya pengumpulan harta melalui perniagaan diiktiraf sebagai sesuatu yang positif, malah kemiskinan itu dianggap sebagai balasan Tuhan kepada dosa-dosa yang dilakukan dan petunjuk jelas ke neraka. Selain daripada itu, penganut Protestant digalakkan berusaha keras untuk mengubah status sosio-ekonomi kerana kejayaan dan kekayaan di dunia akan menentukan nasib mereka di akhirat. Di dalam erti kata yang lain, ia menganggap orang-orang yang kaya di dunia sememangnya ditakdirkan memasuki syurga kelak (konsep "Predestination"). Ajaran ini menarik minat ramai golongan peniaga dan menandakan kemunculan fahaman bahawa tiada salahnya pengumpulan modal dan kekayaan melalui perniagaan. Pada abad yang ke 17 juga, wujud satu lagi bentuk fahaman baru yang diberi nama individualisme itu sendiri. Menurut seorang ahli sosiologi barat, John Cocke, yang dipetik oleh Chodorow (1994), fahaman individualisme mempercayai bahawa setiap individu mempunyai kontrak sosial (social contract). Melalui kontrak tersebut, seseorang individu perlu menunaikan obligasi kepada dirinya sendiri, kemudian barulah kepada masyarakat dan yang terakhir sekali kepada negara. Melalui percantuman idea ini dengan fahaman kapitalisme, adalah dipercayai faham kapitalisme yang pada mulanya sekadar untuk mencari kekayaan bagi membuktikan yang seseorang itu direstui Tuhan (fahaman Protestant Ethics) telah melalui suatu proses evolusi dan telah berubah menjadi kepercayaan bahawa di dalam proses mencari kekayaan, kepentingan diri sendiri perlulah diutamakan kemudian barulah difikirkan kepentingan kepada masyarakat dan yang terakhir sekali kepentingan kepada negara. menjelang abad yang ke 19, kepercayaan tadi bertembung pula dengan proses perubahan sosio-ekonomi yang hebat akibat daripada peringkat kedua Revolusi Industri. Di dalam pertembungan tersebut, penganut-penganut fahaman kapitalisme-individualisme yang datangnya daripada golongan kelas menengah (peniaga, pengurus, doktor, peguam dan sebagainya) percaya bahawa walaupun mereka meletakkan kepentingan diri sendiri mengatasi segalanya, akan tetapi apabila setiap individu menjalankan tugas masing-masing dengan sempurna, maka kepentingan masyarakat secara keseluruhannya akan juga terjaga. Mereka mendakwa, kerana kapitalisme bentuk baru itulah, Revolusi Perindustrian berjaya membiayai serta memajukan sains dan teknologi serta menaikkan martabat ketamadunan barat seperti yang wujud hari ini. Malah melalui proses yang kompleks itulah dipercayai wujudnya fahaman kapitalisme rakus yang ada sekarang. Mungkin ada yang bertanya, jika benar kenyataan tersebut, mengapa fahaman tersebut tidak ditentang habis-habisan oleh golongan bawahan? Menurut Chodorow (1994), walaupun golongan bawahan dieksploitasi mereka masih tidak tahu menggunakan hak-hak mereka sebagai pekerja pada masa tersebut. Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan di dalam perbincangan yang mendatang, penggunaan ungkapan "kapitalisme" akan juga merujuk kepada ungkapan "kapitalisme rakus".

Jenis kapitalisme yang kedua pula dikenali sebagai kapitalisme berkepedulian sosial. Menurut Rich De Vos (1995), ia didefinisikan sebagai satu bentuk fahaman sistem sosio-ekonomi yang menganggap seseorang ahli korporat sekaligus sebagai pengusaha perniagaan dan pengusaha sosial (mempunyai tanggungjawab sosial). Ia juga menganggap tujuan sebenar seseorang berniaga adalah untuk memperolehi keuntungan tetapi ia perlu diimbangi oleh kepentingan sosial masyarakat. Bagi menunjukkan peri-pentingnya faktor menjaga kepentingan sosial masyarakat (kepedulian sosial) dan menyeimbanginya dengan faktor keuntungan (kesejahteraan material), berikut adalah rumusan yang diambil daripada Rich de Vos (1995) :-

 

KM = ( SA + TM X P ) X KS

 

di mana,

KM = Kesejahteraan Material

SA = Sumber Alam

TM = Tenaga Manusia

P = Peralatan

KS = Kepedulian Sosial

Jika diperhalusi, ia menunjukkan, Rich de Vos meletakkan faktor kepedulian sosial sebagai penentu kepada kesejahteraan material (keuntungan) sesuatu perniagaan. Ini kerana, andainya seseorang peniaga mempunyai SA, TM, dan P yang tidak terhad di dalam genggamannya (contohnya, setiap daripada tiga faktor tersebut nilainya berjuta), beliau tidak akan mendapat sebarang kesejahteraan material (keuntungan) jika aspek kepedulian sosial (nasib para pekerja dan masyarakat sekeliling) tidak diambil kira - iaitu nilainya kosong. Inilah yang berlaku di Indonesia di mana berpuluh-puluh ribu etnik Cina Indonesia (yang kebanyakannya daripada golongan peniaga) lari meninggalkan Indonesia akibat rusuhan kaum (Cordingley, 1998).

Jika diteliti fahaman kapitalisme kepedulian sosial ini, ada semacam persamaan konsep perniagaan di dalam Islam. Sebagai bukti berikut merupakan terjemahan daripada surah Al-Taubah ayat 34 :

"Dan orang-orang yang [hanya] menyimpan emas dan perak, tidak menafkahkan di jalan Allah [membayar zakat, membantu golongan miskin], maka beritahulah kepada mereka, (bahawa mereka akan) mendapat seksa yang pedih"

Berpandukan ayat tersebut, kita dapat lihat Islam menekankan keseimbangan bagi mendapatkan keuntungan dan menjalankan tanggungjawab sosial dalam menjalankan perniagaan. Mungkin kerana pegangan inilah, orientalis Barat melabel sistem ekonomi Islam sebagai condong kepada sistem yang tidak menggalakkan perniagaan dan pemilikan harta individu seperti yang diamalkan oleh negara-negara sosialis. Dakwaan ini ternyata meleset kerana ajaran Islam itu sendiri menganggap 9 daripada 10 pintu rezeki datangnya daripada bidang perniagaan. Apa yang ditekankan oleh Islam adalah aspek kebajikan sosial yang perlu dijaga dan dapat bergerak seiring dengan keuntungan perniagaan bagi menjamin pembangunan mental dan material yang seimbang. Satu lagi dalil yang menunjukkan Islam merupakan agama yang mendukung konsep "business friendly" adalah dengan cara merujuk konsep permodalan Islam. Melalui konsep ini, Islam tidak menggalakkan umatnya terlalu mengumpul emas, duit atau sebarang bentuk harta yang bernilai di dalam jumlah yang banyak tanpa melaburkannya kembali ke dalam sistem ekonomi. Disebabkan itulah, Islam mengira zakat harta daripada peratusan harta yang disimpan dan tidak diguna. Dengan cara ini, umat Islam lebih cenderung melaburkan harta mereka di dalam perniagaan (yang berbentuk halal) dan masyarakat jugalah yang akan mendapat faedah melalui peluang pekerjaan yang bertambah. Sistem permodalan Islam tersebut amat berbeza dengan sistem konvensional yang diamalkan Barat hari ini kerana cukai dikira daripada peratusan keuntungan lantas menggalakkan lagi peniaga atau pemodal mengumpulkan harta secara berlebihan tanpa melaburkannya balik ke dalam sistem ekonomi.

Selain daripada ungkapan "kapitalisme" yang menjadi pusat perbincangan bagi kertas kajian ini, satu lagi ungkapan penting ialah ‘pembangunan mapan’ yang boleh diertikan sebagai satu proses perubahan yang mantap ke arah suatu keadaan yang lebih baik. Pembangunan mapan juga seharusnya merupakan satu proses yang berterusan yang akan mewujudkan keadaan baru yang lebih utuh. Oleh yang demikian, proses pembangunan itu sendiri dan hasil yang dijana perlulah seimbang dan diseimbangkan antara aspek keperluan rohani dan material.

 

2.0 Had-had dan peranan-peranan kapitalisme dalam sistem perekonomian negara-negara Asia.

2.1 Pengalaman Malaysia.

Ramai yang beranggapan bahawa (terutama orientalis Barat) kapitalisme mampu mewujudkan pembangunan mapan bagi sesebuah negara. Salah satu daripada tanggapan mereka adalah melalui kemasukan modal asing (pelaburan). Sejauh manakah kebenaran kenyataan tersebut? Di dalam erti kata sebenarnya, kemasukan modal asing mahupun modal tempatan ke dalam sistem ekonomi adalah dibawa sama ada oleh pelabur-pelabur ataupun kaum kapitalis dalam dan luar negeri. Melalui suntikan modal ke dalam sistem ekonomi tempatan, tidak hairanlah negara kita Malaysia mengecapi pertumbuhan ekonomi memberangsangkan (Shemeen, 1997). Ini dicerminkan melalui pertumbuhan purata ekonomi sebanyak 8% di antara tahun 1989 hingga 1996 (Berita harian, 1998). Jika ditinjau daripada aspek "contingent effect" yang dibawa oleh sistem ekonomi kapitalis yang diamalkan di negara ini, fenomena suntikan modal oleh pemodal-pemodal kapitalis telahpun lama berlaku; dari zaman kewujudan East India Company (zaman kolonialisasi British sehinggalah ke hari ini di dalam bentuk syarikat gergasi multinasional). Apabila berlaku suntikan modal ke dalam mana-mana syarikat, maka syarikat tersebut akan dapat membiayai pembelian aset-aset baru yang seterusnya dapat meningkatkan hasil jualan lantas mendatangkan keuntungan. Bayangkan jika perkara yang sama juga berlaku kepada syarikat-syarikat lain. Faktor inilah yang membawa kesan positif kepada ekonomi negara terbabit. Inilah yang dimaksudkan dengan aspek "contigent effect". Apa yang lebih menarik lagi adalah apabila syarikat-syarikat tersebut mendapat keuntungan dan berkembang, maka kerajaan memperoleh sumber pendapatan hasil daripada cukai korporat yang bertambah (Menz, 1993). Daripada sumber pencukaian inilah, kerajaan membiayai sebahagian daripada kos pembangunan. Salah satu negara yang melalui pengalaman sebegini ialah negara kita sendiri - Malaysia. Secara ringkasnya, kerajaan mulai menunjukkan sikap lebih serius mengalu-alukan kemasukan modal secara besar-besaran daripada golongan kapitalis bermula dari awal tahun 80an lagi. Maka lahirlah Dasar Persyarikatan Malaysia yang menyuburkan kerjasama erat di antara pihak kerajaan dengan pihak swasta (kapitalis). Hasil daripada Dasar Persyarikatan Malaysia ini maka banyak badan-badan kerajaan diswastakan lantas wujudlah beberapa syarikat gergasi seperti Telekom Malaysia, Tenaga Nasional Berhad, Pos Malaysia dan sebagainya. Tidak dapat dinafikan, melalui penswastaan ini, pihak kapitalis tadi berjaya meniupkan satu nafas baru yang berjaya menggerakkan perkhidmatan-perkhidmatan seperti telekomunikasi, bekalan air, dan pos (yang sebelum ini kurang efisyen di bawah naungan kerajaan) ke satu tahap yang lebih produktif, berdaya saing dan progresif. Walaupun ramai pihak menganggap penswastaan sesetengah bahan-bahan kerajaan tersebut menyebabkan kos perkhidmatan yang ditawarkan meningkat lantas menghimpit rakyat, akan tetapi faedah yang lebih besar seperti perkhidmatan yang lebih pantas bermutu dan inovatif wujud. Malah, dalam banyak hal ia mampu meninggikan taraf hidup golongan miskin. Ini merupakan salah satu daripada kunci kepada pembangunan mapan ekonomi negara sebelum era kemelesetan yang di alami sekarang. Namun, disebalik kelunakan alunan merdu rentak pantas pembangunan ekonomi yang dicetuskan oleh sistem kapitalis tadi, terselit hakikat yang sepahit hempedu dan sukar ditelan. Apabila berlaku kegawatan ekonomi di Negara Thai dan Indonesia, ramai pelabur-pelabur jangka pendek (spekulator saham dan hartanah) menjual kepentingan saham mereka kerana tidak yakin dengan ekonomi Malayisa. Melihatkan penjualan balik saham yang sebegitu banyak, peniaga-peniaga mata wang di peringkat antarabangsa mulai menukar stok ringgit mereka ke dalam dolar Amerika. Bila ini terjadi, nilai ringgit jatuh dan natijahnya nilai import menjadi tinggi lantas melebarkan defisit akaun semasa. Tidak hairanlah jika pada akhir tahun lepas negara mencatatkan defisit akaun semasa sebanyak RM13 billion (antara yang tertinggi dalam sejarah) (Shameen, 1997). Akibatnya, banyak syarikat yang berorientasikan eksport (tetapi menggunakan bahan mentah yang diimport) gulung tikar. Ini mengurangkan sumber pendapatan cukai kerajaan dan merencatkan pertumbuhan cemerlang ekonomi negara selama lapan tahun berturut-turut. Nampaknya, tidak kemana sumbangan kaum kapitalis rakus terhadap pembangunan berterusan negara. Namun, bagi pelabur-pelabur jangka panjang (yang bukan spekulator tetapi melabur dengan membuka kilang dan sebagainya), mereka tetap setia dan tidak menarik balik pelaburan mereka. Adalah dipercayai, mereka inilah yang menjadi salah satu sebab kenapa negara kita masih dapat bertahan sehingga sekarang dan pelabur jenis inilah yang sepatutnya dibiarkan bercambah dan hidup segar di dalam kekalutan dunia kapitalis rakus.

 

2.2 Pengalaman Thailand

Seperti mana Malaysia, Negara Thai telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan, secara purata 7 ke 8 peratus setahun di antara 1989 hinggalah ke pertengahan 1996 (Morgan, 1997). Akan tetapi hakikat dunia politik Negara Thai yang tidak stabil membawa padah yang tidak terkira. Parti-parti politik bercakaran sesama sendiri dan kerajaan Negara Thai yang dibentuk oleh beberapa parti komponen mulai goyah. Keadaan tidak stabil ini dijelmakan dengan pertukaran bentuk kerajaan dan pucuk pimpinan yang terlalu kerap. Akibat daripada itu, maka dasar kerajaan pun berubah-ubah mengikut kehendak pihak yang mengepalai kerajaan. Natijah daripada itu, maka wujudlah dasar kewangan dan ekonomi Negara Thai yang bercelaru dan hilang arah tujuan. Perkembangan negatif ini bukan sahaja diperhatikan dengan penuh minat dan gusar oleh rakyat negara Thai dan jiran tetangga ASEAN, bahkan juga pengurus-pengurus dana asing. Sebagai ahli kapitalis yang membuat pelaburan bernilai berbilion-bilion dolar Amerika di dalam ekonomi negara Thai, mereka mulai khuatir akan wujud keadaan huru-hara yang lebih buruk hasil daripada politik yang semakin tidak stabil lantas kehilangan sebahagian besar pelaburan mereka. Pada mulanya, hanya segelintir pengurus dana atau ahli kapitalis yang menarik keluar pelaburan mereka. Oleh kerana kerajaan Thai amat percaya kepada salah satu aspek yang mendasari sistem kapitalis iaitu kuasa pasaran itu sendiri yang akan memperbetulkan keadaan dan kerajaan tidak boleh campurtangan - laissez faire attitude - (di mana politik negara Thai akan pulih di dalam masa terdekat lantas memulihkan keyakinan dan sekali lagi menjadikan Negara Thai sebagai syurga pelaburan) dan kerajaan tidak boleh campurtangan (laissez faire) tetapi dengan tidak disangka-sangka politik Thailand menjadi bertambah buruk lalu mengheret bersamanya keyakinan pengurus-pengurus dana. Apa yang bermula dengar kecelaruan sistem politik, bertukar menjadi krisis hilang keyakinan bukan sahaja kepada masa depan sistem kerajaan demokrasi negara Thai bahkan juga masa depan ekonomi negara itu sendiri (Crowell, 1997). Maka berlakulah pengeluaran modal oleh pengurus-pengurus dana (kapitalis) daripada sistem ekonomi negara Thai secara besar-besaran. Lebih memburukkan lagi keadaan, natijah daripada kecelaruan sistem politik Negara Thai, yang mengizinkan silih-bergantinya portfolio Menteri Kewangan, maka sistem perbankan negara tersebut manjadi tidak tulus kerana kurangnya kawalan birokrat kerajaan.Disebabkan kurangnya kawal-selia oleh pihak kerajaan, institusi-institusi kewangan bebas memberikan pinjaman kepada mana-mana pihak yang akrab dan difikirkan boleh mendatangkan keuntungan maksimum kepada pihak bank. Malang sekali, sebahagian besar pihak-pihak yang diberikan pinjaman tersebut adalah daripada kalangan spekulator-spekulator yang selama ini diulik oleh mimpi fahaman kapitalisme melampau. Melalui sistem ekonomi bebas, mereka inilah membuat spekulasi taksub terhadap nilai sesuatu hartanah dan bebas menentukan harga jualan berdasarkan kepada nafsu serakah bagi mencapai keuntungan maksimum. Dalam masa yang sama, ketidaktulusan di dalam sistem perbankan negara Thai mengizinkan juga kewujudan spekulator-spekulator saham yang membiayai sebahagian besar urusniaga saham mereka melalui pinjaman bank (Crowell, 1997). Apabila pengurus dana mengeluarkan modal secara besar-besaran dan sistem ekonomi negara Thai (kerana kegawatan politik tempatan) spekulator-spekulator saham yang lebih berpengalaman di Bangkok membuat andaian bahawa trend tersebut merupakan petunjuk negatif kepada arah tuju masa depan ekonomi negara Thai. Tanpa berlengah lagi, individu tersebut menjual saham mereka bagi mengelakkan kerugian. Ini secara langsung menjatuhkan harga saham di pasaran saham Bangkok dan memerangkap mana-mana golongan spekulator saham yang kurang berpengalaman dan masih lagi membuat spekulasi serta membeli dan menjual saham pada harga yang melambung tinggi. Seperti yang telah diperkatakan, golongan spekulator yang masih baru dan kurang berpengalaman ini kebanyakannya membiayai urusan jual-beli saham melalui pinjaman bank. Disebabkan sikap tamak dan terlalu taksub dengan fahaman ekstrim kapitalisme, yang ber‘nabi’kan keuntungan dan bertuhankan wang ringgit, mereka rugi besar. Tambah menyedihkan, perkara ini tidak berhenti di situ sahaja. Inilah yang dipanggil kesan domina ekonomi kerana apabila spekulator-spekulator saham tadi rugi besar, mereka gagal membayar balik hutang bank. Apabila berlakunya terlalu banyak hutang lapuk, keutuhan perbankan negara Thai menjadi rapuh lalu berlakulah bankrupsi. Apabila bankrupsi berlaku, aset bank tersebut dicairkan atau dimudahtunaikan bagi membayar balik wang pelaburan pelabur-pelabur di institusi bank tetapi malangnya meminggirkan kepentingan pendeposit-pendeposit yang tertanya-tanya kenapa sebahagian besar wang simpanan mereka tidak dikembalikan. Apabila ini berlaku, kesan kegawatan ekonomi benar-benar memberi impak buruk di peringkat akar umbi ataupun "man on the street". Tidak dapat dinafikan bahawa ini memporak-perandakan agenda pembangunan mapan negara gajah putih tersebut. Pengalaman pahit sistem prebankan Thailand memperjelaskan lagi betapa terbatasnya keupayaan sistem kapitalis memberikan sumbangan bererti terhadap sistem kewangan Thailand. Akibatnya, hingga ke hari ini negara tersebut masih mengimpikan sistem kewangan tulus dan berupaya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang berterusan kerana dikawal-selia bukan hanya oleh kerajaan tetapi oleh kesedaran moral tinggi yang meletakkan kepentingan masyarakat (bukannya kelompok kecil pemodal) di tempat paling atas. Mungkin di peringkat awalnya, lakonan hebat pendokong-pendokong kapitalisme sebagai pemangkin pertumbuhan ekonmi Thailand (melalui pembinaan bangunan-bangunan pencakar langit dan kondominium mewah) berjaya mengaburi mata rakyat. Namun, lama-kelamaan pentas lakonan itu sendiri roboh kerana asasnya hanya berlandaskan nilai-nilai moral rendah yang mementingkan keuntungan jangka pendek semata-mata.

Dalam masa yang sama kaum pemodal terutama golongan kapitalis asing yang begitu gusar dan hilang keyakinan terhadap masa depan ekonomi, terus menjauhkan diri daripada aktiviti ekonomi. Ini dibuktikan apabila mereka menjual sebahagian besar kepentingan yang berbentuk saham di dalam syarikat-syarikat negara Thai. Hasil daripada jualan saham-saham tersebut yang sememangnya di dalam bentuk Bhat Thailand, kemudiannya ditukarkan ke dalam bentuk dollar US. Natijah daripada fenomena ini, maka lambakan Bhat Thailand di pasaran wang antarabangsa meningkat secara ketara dalam jangka masa yang pendek. Seperti barangan dagangan komoditi yang lain, apabila berlaku lambakan mata wang Bhat di pasaran antarabangsa, nilainya akan turun. Semasa penurunan ketara nilai Bhat, kecelaruan politik Thailand gagal mengawal nilai import yang sememangnya menjadi semakin mahal dan para pemborong yang mengimport barangan tersebut terpaksa memindahkan peningkatan kos import kepada para pengguna dalam bentuk kenaikan harga barangan. Bertambah malang apabila wujud segelintir pengimport, pemborong dan peruncit (berfahaman kapitalis) mengambil kesempatan memperkenalkan harga yang tidak munasabah bukan sahaja bagi barangan yang diimport, malah barangan tempatan. Ini menyebabkan kenaikan harga. Walau bagaimanapun, kenaikan harga tersebut sememangnya tidak wajar kerana ia tidak berlandaskan kenaikan yang seiring dan peningkatan produktiviti lantas gagal untuk menyumbang kepada pembangunan negara yang berterusan. Pendek kata ia hanya dicetuskan oleh spekulator-spekulator yang menurunkan nilai mata wang Bhat itu dan sikap tamak untuk mengaut keuntungan oleh pemborong serta peruncit yang boleh dianggap sebagai kapitalis lintah darat. Melalui peningkatan harga yang mendadak, ia mengundang peningkatan kadar inflasi. Peningkatan kadar inflasi itu secara langsung mencantas cita-cita luhur pembangunan mapan kerana kos sara hidup meningkat dengan ketara.

 

2.3 Pengalaman Indonesia

Jika Thailand dilihat sebagai "orang sakit Asia" agak adil jika dikatakan, Indonesia pula sebagai "orang sakit tenat Asia". Nasib agak malang bagi negara pulau yang mempunyai hampir suku bilion manusia ini, kerana walaupun Thailand yang dikatakan pencetus krisis ekonomi, ia pula yang menerima padah paling buruk (Reyes, 1998). Bagaimana semua ini boleh berlaku sedangkan Indonesia, seperti negara-negara anggota ASEAN lain mempunyai agenda pembangunan yang padu bagi faedah rakyatnya. Bagi memendekkan cerita, memang diketahui, Indonesia mempunyai beberapa faktor dalaman yang mendedahkannya kepada risiko ketidaktentuan ekonomi akibat sistem politik dan perhubungan kaum yang tidak utuh. Jika ditinjau daripada segi politik, Presiden Suharto telah memegang tampuk pemerintahan Indonesia lebih daripada 36 tahun (Loveard, 1998). Ini berbeza dengan Thailand yang silih-berganti tampuk pemerintahannya. Sepanjang pemerintahan, memang tidak dinafikan Indonesia telah banyak mencapai kemajuan. Sebagai bukti ekonominya tumbuh secara purata lebih daripada 5 peratus sepanjang 7 tahun lepas. Jadi di mana silapnya? Sebahagian daripada jawapan kepada persoalan tersebut rupa-rupanya boleh disusur-galurkan kepada seorang individu iaitu Presiden Indonesia itu sendiri - Suharto. Beliau memang diketahui mengamalkan neopotisme dan kronisme, kerana dunia politik Indonesia itu sendiri selama 3 dekad hanya bertumpu kepadanya. Segala perintahnya dipatuhi dan keengganannya membayangkan penggantinya menjadikan beliau pemimpin mutlak. Disebabkan faktor-faktor tersebut, maka sudah tentu cengkaman Suharto sememangnya kuat ke atas masyarakat Indonesia. Menurut pendapat Asiaweek, kerana kekuatan pengaruh serta barisan parti pembangkang yang lemah, Suharto bebas memberikan pelbagai bentuk "habuan" kewangan dan kontrak perniagaan kepada kaum kerabat dan ahli korporat (ahli kapitalis) yang seterusnya menyokong dan mengukuhkan kedudukannya (Loveard, 1998). Maka, bukanlah sesuatu yang luar biasa apabila anak Suharto sendiri, Hutomo Mandala Putra, diberikan lesen bagi mengeluarkan kereta nasional pertama Indonesia - Timor. Selain itu ramai ahli korporat yang berkiblatkan fahaman kapitalisme barat kebetulan menjadi golongan yang rapat dengan Presiden. Individu seperti pemilik Bulog Agency’s Foodstuff sebagai contoh memonopoli industri makanan runcit secara pukal di Indonesia. Akibat daripada hubungan rapat dengan pemerintah, Bulog’s Agency’s Foodstuff cukup berani memusnahkan sebarang pesaing dengan cara menurunkan sesetengah harga makanan pada kadar yang tidak dapat ditawarkan oleh pesaingnya. Dengan sekelip mata pesaing kehilangan pelanggan lantas gulung tikar. Disebabkan mengejar keuntungan, tanpa menghiraukan tanggungjawab sosial, Bulog Agency Foodstuff menaikkan kembali harga makanan ke tahap maksimum yang baru lantas memerangkap rakyat Indonesia (Loveard, 1998). Menurut pandangan Menz (1993), seorang pakar ekonomi, kegiatan ekonomi yang bercorak monopolistik [sebegini] dan dibenarkan bermaharaja oleh kerajaan (kerana wujud hubungan istimewa), menjadi tidak efisyen dan seterusnya membebankan ekonomi dan rakyat Indonesia itu sendiri. Keadaan ini bukanlah sesuatu yang aneh kerana menurut beliau lagi pemonopoli biasanya tidak mahu beroperasi secara efisyen (kos operasi dan pengeluaran pada tahap optimum manakala pembaziran terlalu kecil atau tiada langsung) kerana tiadanya tekanan saingan daripada syarikat-syarikat lain. Akibatnya, kos pengeluaran yang tidak dapat dikawal, meningkat dan seolah-olah dijadikan alasan oleh syarikat (diterajui oleh golongan kapitalis rakus) untuk meningkatkan harga jualan lantas membebankan rakyat. Tidak cukup dengan itu, pembaziran berterusan semasa proses pengeluaran pula akan membebankan ekonomi kerana kos buruh, bahan mentah dan ‘overhead’ terbuang begitu sahaja bersama dengan pembaziran tadi.

Seperti mana yang berlaku di Thailand, sebahagian daripada ahli kapitalis Indonesia juga terlibat di dalam bidang pembangunan hartanah. Siapapun tidak menafikan, sektor hartanah yang berlandaskan sistem kapitalisme berkepedulian sosial dapat memberi sumbangan kepada pembangunan mapan sesebuah negara melalui keselesaan hidup rakyat yang dapat berlindung daripada hujan dan panas melalui pemilikan rumah, pembinaan rumah ibadat yang selesa dan lebih besar serta dapat menjadi pusat kerohanian dan pembinaan gedung-gedung perniagaan yang kemudiannya menjadi tempat rakyat jelata mencari rezeki halal. Akan tetapi, selama beberapa tahun berada di dalam kerancakan ekonomi dan suasana permintaan bagi hartanah yang meningkat, golongan pemodal (kapitalis) yang pada mulanya amanah bertukar menjadi tamak lantas meminjam di dalam jumlah yang banyak daripada bank-bank saudagar atau lebih dikenali sebagai ‘Finance Companies’. Ini dilakukan bagi membiayai projek-projek hartanah yang kebanyakannya bukan lagi untuk kelas bawahan dan menengah tetapi "eksklusif" untuk kelas atasan (Sprague, 1998).

Disebabkan keputusan yang dibuat hanya berlandaskan nafsu , maka hartanah-hartanah "eksklusif" tersebut hanya membazirkan modal kerana sejumlah besar wang digunakan untuk aspek-aspek estetika yang langsung tidak produktif daripada sudut enonomi. Padahal, mereka sedar (kerana kebanyakannya berpendidikan) modal tersebut sepatutnya disalurkan untuk aktiviti-aktiviti yang lebih produktif, menjamin keadilan sosial dan menjana sumber kewangan baru seperti melabur di dalam bidang pendidikan (pinjaman pendidikan, penubuhan universiti dan sebagainya), bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan bidang perkilangan yang berorientasikan eksport. Namun sebaliknya yang berlaku. Maka kegiatan golongan kapitalis tersebut bolehlah disamakan dengan perbuatan terkutuk lanun-lanun dahulu-kala yang "merompak di " modal lantas menafikan hak-hak golongan daif ke atas sebahagian daripada modal tersebut. Tambah memburukkan lagi keadaan, seperti juga di Thailand, golongan kapitalis juga memainkan peranan penting sebagai spekulator hartanah. Sambil "bergoyang kaki" mereka membeli hartanah-hartanah pada harga minimum, dan membuat spekulasi harga sebelum menjualnya pada harga yang berlipat kali ganda. Mereka mendapat untung tanpa mengeluarkan setitik peluh pun (Shameen, 1997). Kalau ditinjau daripada aspek ekonomi, Menz (1993), seorang ahli ekonomi, berpendapat:

"Something is terribly wrong with the economy when it becomes a norm to witness economic activities [real estate speculation] that create a lot of wealth in the form of profits, do not carry equal weight in terms of efforts [productivity] as required in a healthy economy."

Dalam erti kata yang lain, ia bermaksud, bagi menjana ekonomi yang sihat, sebarang keuntungan perlulah wujud hasil daripada aktiviti yang produktif, setimpal dengan keuntungan tersebut. Jika keadaan yang sedemikian berlaku, maka pemusatan kekayaan kepada golongan tertentu lebih sukar untuk berlaku kerana aktiviti ekonomi yang produktif setimpal dengan keuntungan akan membolehkan keuntungan dibahagi sama-rata dan dinikmati oleh lebih banyak pihak. Sebagai contoh, pembukaan sebuah ladang jagung merupakan satu kegiatan ekonomi yang produktif kerana ia memberi peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar, membekalkan sumber makanan yang berzat tanpa perlu diimport dan ini meningkatkan taraf kesihatan rakyat (faedah ekonomi yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar - "intangible"), serta seterusnya mengurangkan keperluan mengimport makanan ternakan. Ini kerana jagung tersebut boleh membekalkan makanan ternakan dengan harga yang berpatutan kepada penternak. Bahkan jika kita mahu pergi lebih jauh lagi, bila ditinjau daripada aspek "multiplier effect," yang diutarakan oleh Menz (1993), aktiviti ekonomi produktif melalui pembukaan ladang tersebut sebenarnya tidak berhenti di situ sahaja. Hasil daripadanya, para pekerja ladang yang mendapat gaji daripada titik peluh mereka akan membeli barang-barang keperluan seharian seperti makanan, pakaian dan keperluan-keperluan lain. Ini menimbulkan permintaan lantas mewujudkan peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan yang baru. Ini baru merupakan hasil aktiviti ekonomi produktif yang dicetuskan oleh sekelompok kecil komuniti. Bayangkan perkara yang hampir sama berlaku bukan sahaja di berpuluh bahkan di beribu-ribu komuniti di sesebuah negara. Tentunya ia menjana aktiviti ekonomi yang sihat dan inilah yang dimaksudkan dengan "multiplier effect," oleh Menz. Kenapakah kesan "multiple effect" tersebut tidak menyeluruh dan menyumbang kepada pembangunan di Indonesia? Jawapannya ada pada aspek-aspek negatif kapitalisme itu sendiri yang terhad keberkesanannya kerana hanya mementingkan keuntungan material lalu menyalurkan modal ke bidang-bidang yang tidak mendatangkan faedah jangka panjang lantas melupakan aspek kepedulian sosial.

Pekung-pekung ekonomi yang diceritakan tadi berterusan berlaku bukan sahaja di Indonesia dan Thailand, bahkan di sesetengah negara ASEAN yang lain. Walau bagaimanapun, kenapakah tiada sebarang suara sumbang yang ketara datang daripada rakyat jelata tatkala tangan-tangan rakus kapitalis sibuk "merompak" dan "menyamun" sistem ekonomi? Bagi mengupas persoalan ini, kita kembali semula ke era kegemilangan ekonomi Indonesia dan negara-negara ASEAN yang lain, di sekitar tahun 1991 hingga tahun 1995. Pendek kata pada ketika tersebut segalanya indah belaka bagaikan satu era "bulan madu" bagi merayakan perkahwinan di antara masyarakat negara ASEAN dengan pendokong-pendokong kapitalisme rakus. Suara-suara kerdil keluhan dan bantahan yang datangnya daripada celahan-celahan kemiskinan, iaitu mereka yang tersisi daripada arus perdana ekonomi yang bertunjangkan kapitalisme rakus, ditenggelamkan oleh suara-suara lantang dan ceria golongan kapitalis rakus. Pada masa yang sama, saku mereka semakin "tebal" hasil daripada aktiviti yang kebanyakannya tidak produktif seperti spekulasi saham dan hartanah serta penjualan kondominium mewah dengan keuntungan berlipat kali ganda dan lain-lain lagi. Lebih memburukkan lagi keadaan, golongan kelas pertengahan (seperti eksekutif korporat dan pengurus-pengurus kilang) yang menerima habuan masing-masing melalui kenaikan gaji yang melambung tinggi (selalunya tidak seiring dengan peningkatan produktiviti, tetapi tetap juga berlaku juga kerana tekanan pasaran pekerjaan bagi golongan pengurus yang terhad) hanya berdiam diri asalkan periuk nasi sendiri terjaga. Keadaan ini berterusan sehinggalah berlakunya hakikat pahit ekonomi, seperti yang dikemukakan oleh penulis ruangan ekonomi Shameem (1997) yang berkata:

"The misalignment [economic disparity due to unfair income distribution between the rich and poor as well as excessive speculative activities in the stock market and real estate sectors] was hidden for many years as the dollar fell steeply against the Japanese yen, German mark and other European currencies. But in the last two years, the dollar has rallied and exposed some weakness."

Akibat daripada pembongkaran kelemahan-kelemahan di dalam struktur ekonomi Indonesia dan negara-negara Asia Timur amnya, yang dicetuskan oleh peningkatan nilai dolar Ameriaka, maka pekung-pekung ekonomi tadi mulai kelihatan. Oleh kerana gentar kepada pekung-pekung tersebut, maka bermulalah penjualan besar-besaran saham-saham korporat oleh pengurus dana baik tempatan mahupun juga asing sebelum ditukarkan kepada dolar Amerika yang dipandang lebih utuh. Maka banyaklah syarikat-syarikat yang jatuh muflis kerana kehilangan daya saing akibat daripada pasaran modal yang kering-kontang. Maka berterbanglah spekulator-spekulator mata wang asing (satu lagi contoh kegiatan kapitalisme rakus) bagaikan burung nasar yang mengambil kesempatan daripada "bangkai" ekonomi melalui spekulasi mata wang tempatan (sepertimana berlaku kepada Thailand). Satu lagi pekung ekonomi yang tidak kurang "nanah serta bisanya," adalah melalui hakikat kelemahan sistem pengurusan ekonomi kerajaan itu sendiri. Mana tidaknya, di Malaysia sebagai contoh terbaik, banyak sumber buruh asing yang murah dan tidak terlatih dibawa masuk bagi memuaskan hati para pelabur (kebanyakannya kapitalis rakus) yang sememangnya mahu meminimakan kos buruh bagi memaksimumkan keuntungan. Namun, alasan tersebut disembunyikan jauh-jauh di dalam lipatan hati yang bolehlah dilabelkan sebagai kurang berperikemanusiaan. Alasan yang tersurat kononnya, selagi pasaran buruh sesebuah negara tidak cukup besar, maka selagi itulah negara tersebut tidak cukup kompetitif sebagai destinasi pelaburan. Maka beria-ialah kerajaan Malaysia membawa masuk buruh-buruh asing. Disebabkan itu, tiada tekanan kepada para pelabur untuk menaikkan gaji yang dibayar kepada buruh-buruh tempatan kerana pasaran buruh kurang mahir senantiasa mencukupi dek kebanjiran buruh-buruh daripada luar. Pada masa yang sama, pasaran buruh bagi golongan pengurus dan eksekutif korporat menyaksikan peningkatan skim gaji yang kadangkala sukar di terima akal dan kerap-kali tiada kena-mengena dengan peningkatan produktiviti individu-individu terbabit. Ia berlaku hanya kerana bekalan tenaga manusia bagi golongan tersebut amat terhad di negara ini (mungkin akibat daripada perancangan sistem pendidikan yang tidak selari dengan tuntutan semasa) lantas syarikat-syarikat berlumba-lumba menawarkan gaji yang "terlebih" lumayan. Di dalam hal ini, tidak pula kerajaan beria-ia membawa golongan profesional luar bekerja di dalam negara. Akibatnya, jurang ekonomi di antara golongan berada dan miskin menjadi semakin lebar.

Daripada fakta-fakta serta rentetan peristiwa kejatuhan ekonomi yang telah dibentangkan tadi, jelaslah bahawa pihak kerajaan boleh dipersalahkan tetapi bukanlah seratus-peratus. Perlu diingat pihak pendokong idea kapitalisme rakus tadilah yang sepatutnya lebih dipersalahkan. Ini bukanlah tuduhan membuta-tuli yang tidak bersandarkan fakta-fakta rasmi. Seperti apa yang dibentangkan oleh Reyes (1998), beliau memetik kata-kata Armando Jarque Uribe, seorang Konsul Jeneral Mexico di Hong Kong yang mengutarakan hakikat bahawa hutang-hutang serta permasalahan ekonomi negara-negara Asia Timur (terutama Malaysia) sebahagian besarnya disebabkan oleh hutang pihak swasta bukannya kerajaan. Ini terjadi kerana sesetengah kalangan syarikat swasta yang rakus dan hanya memikirkan keuntungan jangka pendek semasa era kemakmuran ekonomi. Maka terbinalah kondominium-kondominium mewah yang sebahagian besar komponennya diimport, terdapatnya pinjaman-pinjaman besar yang diguna bagi melakukan spekulasi harga di pasaran saham dan sebagainya.

Jika dipandang secara lebih terperinci, segala permasalahan ekonomi sekarang ini bolehlah dikaitkan dengan agenda lebih besar Barat iaitu neo-kolonialisme yang berbentuk penjajahan minda masyarakat dunia melalui kongkongan politik dan penjajahan ekonomi. Bagi menghalalkan ini, mereka menggunakan alasan kononnya Asia patut lebih terbuka baik dari segi sistem ekonomi mahupun politiknya (lebih demokratik) bagi mendapatkan hak dan berupaya untuk turut bersaing di dalam arus globalisasi. Merujuk kepada permintaan Barat yang menuntut lebih keterbukaan di dalam sistem ekonomi Asia dan dunia, mereka berani berkata sedemikian kerana mereka sebenarnya memonopoli lebih daripada separuh perdagangan dunia melalui syarikat-syarikat korporat gergasi seperti Shell, Microsoft, Merill Lynch (syarikat hartanah), IBM, Hyatt (bidang perhotelan), Citi Bank dan sebagainya. Ini menyebabkan syarikat-syarikat "gergasi" tempatan seperti Renong, MISC (bidang perkapalan), RHB (perbankan) dan sebagainya kelihatan begitu kerdil daripada aspek pengalaman, kepakaran, modal, dan lingkungan barangan yang ditawarkan (product line). Apabila pasaran sesebuah negara dibuka (selalunya secara paksa seperti yang berlaku di Indonesia - akibat menerima pelan pemulihan ekonomi IMF) maka berduyun-duyun syarikat-syarikat gergasi luar tersebut memasuki Indonesia. Tidak cukup hanya dengan bersaing dengan syarikat-syarikat tempatan, mereka cuba pula memonopoli terus pasaran tertentu melalui pembelian saham-saham syarikat tempatan tersebut dan seterusnya menjalankan usaha pengambilalihan (takeover). Jika cara tersebut gagal, mereka cuba pula menggunakan kekukuhan kewangan mereka untuk memulakan perang harga lantas memaksa syarikat-syarikat tempatan tersebut gulung tikar. Mereka tidak berhenti di situ sahaja, seperti mana Yang Amat Berhormat Dr. Mahathir Mohammad katakan di dalam salah-satu ucapannya yang disiarkan melalui Buletin Utama TV3, bertarikh 28 Mei, 1998. Beliau dipetik sebagai berkata jika mana-mana negara yang menghadapi kegawatan ekonomi ketika ini membenarkan diri mereka tertakluk di bawah telunjuk IMF (menerima pinjaman IMF) mereka akan hilang kawalan ke atas kedaulatan ekonomi mereka sendiri. Memang benar, kegiatan ekonomi kembali aktif dan rakyat jelata mendapat pekerjaan, akan tetapi kos kedaulatan ke atas ekonomi yang tergadai, amatlah tinggi dan tidak ternilai. Sebarang dasar ekonomi kerajaan yang mendatangkan faedah kepada rakyat, disekat dan tidak dapat dilaksanakan jika dasar tersebut memudaratkan syarikat-syarikat asing. Akhirnya, kuasa ekonomi yang tergadai akan juga turut menghakis kuasa politik. Oleh yang sedemikian, jika benarlah apa yang diperkatakan oleh Yang Amat Berhormat Dr. Mahathir Mohammad, maka termampukah kita mencipta model pembangunan mapan kita tersendiri yang bukan sahaja berterusan dan utuh malah berjaya menyeimbangkan pembangunan mental dan fizikal?

Mungkin ramai di kalangan kita yang menyanjung tinggi kredibiliti IMF sebagai penyelamat kepada ekonomi beberapa negara Asia. Walau bagaimanapun, kita perlu sedar bahawa negara-negara Barat merupakan penyumbang kewangan terbesar dan sudah tentunya mereka mempunyai keupayaan untuk menentukan hala-tuju dan polisi IMF (Hamilton, 1998). Oleh yang sedemikian, adalah wajar jika dikatakan IMF dijadikan "kuda tunggangan" agen-agen kapitalis. Di dalam erti kata yang lain, salah satu tujuan operasi serta campur tangannya di dalam sistem ekonomi sesebuah negara adalah bertujuan "mengutip" hutang bagi pihak negara-negara maju. Negara-negara maju seperti hilang kepercayaan kepada negara-negara yang berhutang akan kebolehan mereka mentadbirkan ekonomi sendiri dan sekaligus membayar balik hutang. Maka IMF "dipaksakan" kepada negara-negara malang tersebut dan proses "mengikat perut" pun bermula yang acapkali menimbulkan keperitan hidup yang jauh lebih buruk kepada golongan miskin daripada golongan berada. Ketika semua ini sedang berlaku, jelas sekali betapa IMF tidak langsung berminat menjaga kebajikan rakyat kebanyakan yang menjadi mangsa dasar-dasarnya apabila Pengurus Pengarah IMF (Michel Camdessu) sendiri pernah berkata:

"Don’t put the blame on the doctor [IMF] for the illnesses [riots]," he insisted. " The IMF is not the policeman of the world. The IMF is there to negotiate economic programs and to have them implemented. For human rights, to the UN" (Hamilton, 1998).

Tidakkah mereka sedar, dasar-dasar mereka yang dipaksakan ke atas kerajaan Suharto di Indonesia seperti memotong subsidi minyak, makanan dan sebagainya, secara mendadak telah menyebabkan beratus-ratus nyawa terkorban akibat rusuhan. Mungkin, pengurus IMF itu mahu menguji sejauh mana tahap kesabaran rakyat Indonesia. Jika sedemikian, wajarkah "ujian" tersebut dibayar dengan beratus-ratus nyawa yang tidak berdosa dan masyarakat Indonesia, seperti juga masyarakat-masyarakat lain bukanlah sebuah "tabung uji" yang tidak bernyawa di makmal sains IMF lantas boleh diisi dengan pelbagai campuran dasar dan dilihat hasilnya dan dibuang jika tidak menjadi. Selain daripada isu tersebut, jika dilihat dengan lebih mendalam lagi, IMF itu juga sebenarnya mempunyai karektor sebagai golongan kapitalis. Ini diakui sendiri oleh Hamilton (1998) yang berkata dalam diam-diam IMF menggunakan krisis kewangan sekarang sebagai alasan bagi mengumpul sejumlah besar sumber kewangan bagi faedahnya sendiri. Jika benar kenyataan ini, dunia harus berjaga-jaga kerana daripada tindak-tanduk IMF sebelum ini, ia langsung tidak berminat untuk menjadi kapitalis berkepedulian sosial yang membantu pembangunan mapan sesebuah negara, tetapi sebaliknya.

 

3.0 Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, bolehlah dikatakan segala permasalahan ekonomi yang dibentangkan sebenarnya bertitik-tolak daripada faktor-faktor dalaman dan luaran sesebuah negara itu sendiri. Pendapat ini kemudian dikukuhkan lagi oleh kenyataan Presiden Filipina, Fidel Ramos, yang berkata Asia agak malang bagi Asia kerana bagi faktor luaran (seperti spekulasi mata wang dan saham oleh pengurus dana asing) mereka tiada banyak pilihan selain daripada melihat ekonomi mereka dimusnahkan daripada luar negara (Shameen, 1997). Ini terjadi kerana dasar keterbukaan dan jalinan globalisasi ekonomi sekarang. Walau bagaimanapun, mereka masih mempunyai kuasa untuk mengawal faktor-faktor dalaman (seperti spekulasi hartanah, pendedahan kredit pelabur dan sebagainya) daripada turut sama memusnahkan ekonomi tempatan. Yang menjadi persoalannya sekarang ialah cukupkah dengan hanya mempunyai keupayaan mengawal faktor-faktor dalaman tadi, negara-negara tersebut dapat memastikan pisang tidak akan berbuah dua kali. Ini kerana, IMF tentu sedar, faktor-faktor luaran itu lebih besar kesannya kepada ekonomi sesebuah negara. Dalam erti kata yang lain, tiada gunanya segala usaha kerajaan yang cuba mengelak spekulasi ke atas ringgit oleh peniaga-peniaga mata wang asing yang jauh lebih besar modalnya bebas melakukan apa sahaja. Namun, hingga ke hari ini tiada siapa yang sanggup mengepalai usaha ke arah mengawal bentuk-bentuk kapitalisme rakus tersebut daripada menjejaskan usaha ke arah pengwujudan pembangunan mapan bagi negara-negara Asia Timur. Sudah tentu sama sekali bukannya IMF dan negara-negara Barat. Jadi siapakah? Dengan segala pekung-pekung ekonomi yang "dicipta" oleh golongan kapitalis rakus tadi, sudah tentu jelaslah kepada kita, sistem kapitalisme yang diamalkan oleh arus perdana ekonomi dunia sekarang sama-sekali tidak membawa kepada pembangunan mapan sesebuah negara. Jika adapun, sumbangannya amatlah terhad dan nikmatnya hanya dikecapi semasa saat-saat awal kemasukan modal asing. Dalam erti kata yang lain, pembangunan yang dibawanya bukanlah berterusan. Setelah segala keuntungan, hasil mahsul dan tenaga rakyat tempatan habis diperah, seribu macam alasan akan dicari untuk mereka pergi ke negara yang menjadi mangsa berikutnya. Ini tidak ubah seperti pepatah, "habis madu sepah dibuang." Oleh yang sedemikian, hanya mereka yang kurang waras sahaja sanggup bersekongkol lantas menganggap sistem kapitalisme yang wujud sekarang layak duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi serta tidur sebantal dengan pembangunan mapan sesebuah negara.

 

 

 

 

Rujukan

Chodorow, Stanley. (1994). The Mainstream of Civilization. (6th. Ed.). [Arus Perdana Ketamadunan]. Forth Worth : The Harcourt Press.

Cordingley, Peter. (1998, Mei 29). The Scapegoats. Asiaweek. ms. 32.

Croweld, Todd. (1997, Nov. 7). Surviving a Storm. Asiaweek. ms. 20-21.

Hamilton, Andrea. (1998, Mei 22). Still No Bottom in Sight. Asiaweek. ms. 16.

Hamilton, Andrea. (1998, Mei 29). Michel Camdessu. Asiaweek. ms. 54 and 60.

Langkah Tingkat Daya Tahan Negara. (1998, 14 Julai). Berita Harian, ms. 8.

Loveard, Dewi. (1998, Mei 29). The Endgame. Asiaweek. ms. 29.

Menz, Fredric C. (1993). Microeconomics. (10th. Ed.). New York : Harper.

Morgan, Peter. (1997, Nov. 7). Perils of Profligacy. Asiaweek. ms. 22.

Reyes, Alejandro. (1998, Mei 1). Latin Lessons for Asia. Asiaweek. ms. 58.

Shameen, Assif. (1997, Okt. 31). Two Thumbs Down. Asiaweek. ms. 50.

Shameen, Assif. (1997, Dis. 9). Mahathir Shifts into Reverse. Asiaweek. ms. 24.

Shameen, Assif. (1998, Okt. 31). Making Sense of a Crisis. Asiaweek. ms. 48-49.

Vos, Rich de. (1995). Compassionate Capitalism [Kapitalisme Dengan Kepedulian Sosial. Jakarta : PT Gramedia Pustaka Utama.