KERTAS KERJA KAJIAN SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN (MTT2353)

PENGKORPORATAN

1.0 PENDAHULUAN

Isu pengkorporatan Institusi Pengajian Tinggi Awam bukanlah suatu cerita baru dalam dunia pendidikan di negara kita. Ianya telah lama berlegar dalam pemikiran para pelaksana dasar pendidikan. Idea ini mula dibangkitkan pada tahun 1994 apabila semua institusi pengajian tinggi awam diarah membuat kajian kemungkinan mengkorporatkan institusi pengajian tinggi awam. Banyak faktor yang mendorong usaha pengkorporatan institusi pengajian tinggi awam ini dilaksanakan. Antara lainnya ialah dasar jelas kerajaan terhadap penswastaan dan persyarikatan, pertumbuhan pusat pendidikan tinggi swasta yang seumpama cendawan tumbuh selepas hujan, serta aspirasi kerajaan untuk meningkatkan imej dan mutu pendidikan negara ke arah bertaraf dunia (world class education) dan sekaligus menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau (center of academic excellence).

Walaupun pada dasarnya idea ini dilihat sebagai sesuatu yang wajar dilaksanakan dalam usaha untuk membawa negara ke arah kecemerlangan pendidikan dan menongkah arus perubahan, keputusan untuk melaksanakannya dicapai tidak sebegitu mudah berbanding ketika idea ini dikemukakan. Banyak aspek dan faktor yang bersangkutan perlu diberi perhatian dan juga pertimbangan. Sebelum keputusan akhir pengkorporatan institusi pengajian tinggi awam dicapai, pihak kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan perlu menghalusi dan menimbangkan buruk baik kesan yang akan timbul. Hasrat dan cita-cita murni kerajaan untuk mempertingkatkan kualiti pendidikan negara sejajar dengan tempo pembangunan sejagat perlu disokong tetapi dalam masa yang sama terdapat beberapa pihak yang seakan-akan berada di dalam dilema.

2.0 DEFINISI

Sebelum membincangkan topik ini dengan lebih jauh lagi, adalah lebih baik untuk kita memahami maksud institusi pengajian tinggi awam dan pengkorporatan supaya mesej yang ingin disampaikan akan lebih jelas dan mudah difahami.

2.1 Institusi Pengajian Tinggi Awam

Institusi pengajian tinggi awam adalah merupakan institusi pengajian tinggi yang dinaungi oleh pihak kerajaan bagi "memenuhi suatu keperluan sosial yang amat penting dalam bidang ilmu serta penyelidikan, pendidikan dan pelajaran tinggi" (A.R Zahari, 1997, m. 16).

2.2 Pengkorporatan

Menurut Anwar Ridhwan (1995) " pengkorporatan institusi pengajian tinggi dalam pengertiannya yang luas dapatlah dikatakan meliputi dua bidang iaitu penswastaan universiti-universiti tempatan dan penubuhan universiti-universiti swasta tempatan dan cawangan universiti luar negeri di negara kita" (m. 52).

Terdapat perbezaan antara penswastaan dan pengkorporatan dalam konteks institusi pengajian tinggi. Penswastaan adalah membabitkan pemindahan milik kerajaan kepada swasta secara keseluruhannya, tetapi pengkorporatan lebih bererti penyerahan, tetapi tidak sepenuhnya pengurusan satu-satu badan atau perusahaan milik pemerintah kepada syarikat (korporat) yang mengendalikannya atas asas perdagangan ("Menghalusi," 1997).

Bagi tujuan penyelidikan kertas kerja ini, tafsiran maksud pengkorporatan adalah pemindahan milik samada dari segi kepentingan mahupun aspek pengurusan sesebuah institusi pengajian tinggi dari pihak kerajaan kepada pihak pentadbir institusi berkenaan. Walaubagaimanapun, selepas institusi pengajian tinggi awam dikorporatkan, "ianya akan terus dan tetap dimiliki oleh kerajaan dan tidak akan diswastakan. Kerajaan akan terus mengenakan kawalan ke atas perjalanan serta pentadbiran universiti itu" (A.R Zahari, 1995, m. 16). Ini bermakna pengkorporatan dalam konteks penyelidikan ini adalah berbeza dari konsep penswastaan institusi pengajian tinggi. Dan satu prinsip penting yang perlu difahami apabila kita memperkatakan tentang isu pengkorporatan ialah ianya lebih menjurus kepada kebebasan kaedah pengurusan yang lebih fleksibel dan lebih banyak autonomi. Selepas dikorporatkan, ianya tetap merupakan badan berkanun yang tidak bermotifkan keuntungan.

3.0 PERANAN PENGKORPORATAN

Isu mengkorporatkan institusi pengajian tinggi awam telah lama digembar-gemburkan. Banyak pihak yang bercakap tentangnya samada orang awam yang tidak ada kaitan langsung dengan institusi pengajian tinggi awam, apatah lagi pihak-pihak yang terlibat secara langsung dengannya seperti pentadbir institusi pengajian tinggi awam mahupun para pelajar. Tetapi adakah mereka memahami maksud yang tersirat di sebalik idea ini? Mungkin ya dan mungkin juga tidak. Maka tidak hairanlah banyak pro dan kontra yang ditimbulkan ekoran dari cadangan mengkorporatkan institusi pengajian tinggi awam.

Universiti Malaya yang telah dipilih sebagai perintis kepada idea ini telah mengemukakan kertas cadangan yang mana antara lainnya membentangkan tiga tujuan besar pengkorporatan iaitu :

3.1 Bagi mewujudkan satu bentuk pendidikan tinggi yang progresif melalui pertumbuhan yang sistematik dan perkembangan kualiti yang berterusan.

Pengkorporatan institusi pengajian tinggi awam akan memberi lebih banyak ruang untuk melaksanakan pelbagai program pengembangan ilmu dan peningkatan kualiti pendidikan negara. Peluang-peluang untuk membuat penyelidikan, menjalin perkongsian bestari (smart partnership) serta penswastaan sektor masa (time sector privatisation) dengan pihak industri sekaligus menjadi penghubung antara menara gading dengan masyarakat di luar tembok menara gading semakin menyemarakkan lagi inisiatif dan dorongan untuk memperkembang dan mempertingkatkan kualiti pendidikan negara.

 

 

3.2 Mempertingkatkan mutu pengurusan institusi pengajian tinggi awam dengan penggunaan maksimum sumber-sumber fizikal, manusia dan cendekiawan.

Jika sebelum ini terlalu banyak kerenah birokrasi yang mengekang perjalanan institusi pengajian tinggi awam, diharapkan dengan terlaksananya dasar pengkorporatan ini nanti dapat mengurangkan kerenah ‘red tape’ yang tidak relevan dalam pengurusan institusi pengajian tinggi awam. Selaras dengan pengkorporatan juga, adalah diharapkan agar konsep serta model-model persyarikatan dan penswastaan dapat diterapkan di dalam pengurusan institusi pengajian tinggi awam. Pengkorporatan bukan bermakna sewenang-wenangnya para pentadbir boleh mengaut keuntungan tetapi lebih kepada mendorong mereka ke arah mengamalkan konsep pengurusan yang cekap dan berkesan. Dengan ini, sumber-sumber yang ada akan digunakan secara optimum. Datuk Seri Najib berkata pengkorporatan akan mewujudkan satu peningkatan dalam kaedah pengurusan universiti tempatan di mana mereka diberi autonomi yang lebih untuk bertindak dengan lebih pantas, membuat keputusan sendiri dalam banyak perkara dan mampu mengurus dengan lebih dinamik ("Pengkorporatan," 1998).

3.3 Meminimakan tanggungan kewangan dan pentadbiran institusi pengajian tinggi awam oleh pihak kerajaan.

Cadangan untuk mengkorporatkan institusi pengajian tinggi awam juga dibuat bagi mengurangkan tanggungan kewangan pihak kerajaan terhadap kos membiayai operasi universiti. Mungkin ada rahmat di sebaliknya. Walaupun sumber kewangan yang ‘tetap’ dari pihak kerajaan sudah berkurangan, institusi pengajian tinggi awam dibolehkan untuk mencari dan mengurus sumber dananya sendiri. Ini bermakna selaras dengan pengkorporatan, institusi pengajian tinggi awam akan mempunyai autonomi kewangan. Berautonomi kewangan bermaksud " sesebuah badan atau institusi berkenaan mempunyai kuasa undang-undang untuk menubuhkan dana sendiri, untuk menambah kewangan dalam dana yang berasaskan sumber-sumber yang dibenarkan serta mempunyai kuasa untuk mengendalikan tabung itu mengikut keperluan yang ditentukan oleh badan atau institusi tersebut" (A.R Zahari, 1995, m.17). Sebelum IPTA dikorporatkan, semua dana yang diperolehi akan dimasukkan ke dalam Perbendaharaan. Tetapi selepas pengkorporatannya nanti, pihak pentadbir dibolehkan untuk menyimpan dan mengurus dananya sendiri. Secara tersirat, pengkorporatan akan menjadikan para pentadbir institusi pengajian tinggi awam mengamalkan perbelanjaan berhemah dan pengurusan yang cekap dan berkesan terutamanya dalam hal-hal kewangan setelah mereka memahami bagaimana susahnya untuk mendapatkan sumber kewangan bagi membiayai perjalanan kos operasi universiti tersebut.

4.0 DILEMA DI SEBALIK IDEA PENGKORPORATAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI AWAM

 

Ekoran dari pengumuman pihak kerajaan untuk mengkorporatkan institusi pengajian tinggi awam secara berperingkat-peringkat, beberapa kebimbangan dan kegusaran disuarakan oleh banyak pihak. Di antaranya ialah :

4.1 Peningkatan kos pengajian

Kebimbangan ini mendapat tempat dan liputan yang meluas sejak idea pengkorporatan ini dibangkitkan. Dan pihak yang paling gusar tentang isu ini sudah tentu pasti adalah para pelajar sendiri, kerana mereka merupakan golongan yang paling terhimpit dan menerima kesan langsung darinya. Umumnya, seseorang pelajar menjejakkan kaki ke menara gading dengan tujuan dan matlamat untuk menimba pengetahuan dan meningkat serta memperkembangkan potensi diri dari pelbagai aspek. Sebelum tahun 1994, matlamat murni ini tidak diganggu gugat oleh faktor kewangan ataupun ekonomi.

Tetapi kini, apabila cadangan mengkorporatkan institusi pengajian tinggi awam ini dilaksanakan, faktor kos pengajian yang meliputi yuran pengajian, bayaran asrama, sewa rumah (bagi pelajar yang tinggal di luar) serta lain-lain perbelanjaan menjadi permasalahan utama dan faktor penentu bagi seseorang pelajar untuk melanjutkan pengajian . Sebagai contoh, di Universiti Malaya, "yuran pengajian di peringkat ijazah pertama secara puratanya adalah sebanyak RM1100 setahun, tetapi apabila ianya dikorporatkan, kos pengajian ini meningkatkan sebanyak lebih kurang 700% menjadikannya RM7000 setahun" (Sabri , 1997, m. 19). Peningkatan ini dianggap terlalu tinggi dan dikhuatiri akan menjejaskan peluang-peluang pembelajaran tinggi kepada sesetengah pihak terutamanya golongan yang berpendapatan rendah.

4.2 Pengkorporatan mengancam kedaulatan Bahasa Malaysia

Banyak pihak terutamanya ahli-ahli bahasa dan budaya menyatakan kebimbangan mereka terhadap kesan pengkorporatan ke atas penggunaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di institusi pengajian tinggi awam. Pengkorporatan institusi pengajian tinggi awam bermakna "berlakunya perubahan dasar terhadap bahasa dan pendidikan negara" (Anwar, 1995, m. 53). Menurut mereka, apabila institusi pengajian tinggi dikorporatkan, tidak dapat tidak akan wujud satu kelonggaran yang mana sebelum pengkorporatan pun seakan-akan telah wujud satu dasar yang liberal terhadap penggunaan Bahasa Inggeris dalam sesetengah bidang pengajian . Menurut Anwar (1995) lagi, "perkembangan ini pastilah akan mendatangkan kesan negatif terhadap martabat dan status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu" (m. 53).

Kebimbangan ini wajar disuarakan kerana kita telah lama memperjuangkan kedaulatan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dalam sistem pendidikan negara selepas negara mencapai kemerdekaan. Tetapi kita perlu memandang jauh ke hadapan dan kita juga perlu menjiwai aspirasi negara dalam membawa mutu pendidikan kita kepada bertaraf dunia. Banyak bidang ilmu yang masih belum kita selami kerana kurangnya sumber rujukan di dalam Bahasa Malaysia. Apatah lagi bagi kebanyakan kursus-kursus sains dan teknologi, sumber rujukannya adalah berbahasa Inggeris. Jadi, jika kita menolak penggunaan Bahasa Inggeris di dalam pengajaran dan pembelajaran secara melulu dikhuatiri kita yang akan rugi.

Hal ini diperkuatkan lagi dengan hasrat dan cita-cita murni kerajaan yang ingin membawa pendidikan negara ke persada antarabangsa atau dalam kata lain, mengekspot pendidikan kita ke luar negara. Mengekspot pendidikan ke luar negara dilihat dalam konteks keupayaan sistem pendidikan kita dalam menarik pelajar asing dari luar negara untuk belajar di negara kita dan ini memerlukan perubahan bahasa pengantar dalam pengajaran ("Menghalusi," 1997).

Jika kita masih ingin mempertahan dan mengekalkan penggunaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di dalam semua bidang dan disiplin ilmu, apakah aspirasi ini dapat dicapai? Sudah tentu tidak kerana sistem pendidikan di negara kita masih belum mencapai suatu tahap di mana kita boleh ‘memaksa’ pelajar dari luar negara yang ingin belajar di negara kita mempelajari Bahasa Malaysia terlebih dahulu sebagaimana yang berlaku di negara Jepun dan Jerman. Kerana apa ? Kerana kita masih kekurangan sumber-sumber rujukan ilmu di dalam Bahasa Malaysia. Memanglah benar jika ada pendapat yang mengatakan bahawa pihak Dewan Bahasa dan Pustaka sedang giat menjalankan usaha menerbit dan menterjemahkan buku-buku dari bahasa asing ke Bahasa Malaysia. Tetapi apakah ianya sudah cukup tersedia untuk membolehkan kita mengorak langkah memaju dan meningkatkan imej serta kualiti pendidikan kita sejajar dengan arus perubahan yang begitu cepat melanda dunia kini?

Untuk berdepan dengan ledakan maklumat dan menongkah arus perubahan yang akhir-akhir ini begitu kuat melanda dunia, "kita perlu memperlengkapkan generasi pelapis negara ini dengan kekuatan keilmuan yang tinggi" (Sabri, 1997, m. 19). Malahan kepentingan menuntut ilmu juga ditekankan dalam tradisi Islam walaupun jika kita terpaksa pergi ke negeri China. Jadi, adakah wajar untuk kita menolak sesuatu ilmu hanya kerana ianya terpaksa dipelajari di dalam Bahasa Inggeris ?

Penggunaan Bahasa Inggeris di dalam pengajaran dan pembelajaran tidak bermakna kita menganaktirikan peranan serta meminggirkan kedudukan Bahasa Malaysia sebagai jiwa bangsa kita. Malahan akhir-akhir ini juga wujud satu cadangan untuk menjadikan Bahasa Malaysia sebagai satu cabang ilmu sebagaimana disiplin-disiplin ilmu yang lain. Kita perlu bersikap dan berfikiran terbuka dalam isu penggunaan Bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan negara. Memberi ruang kepada penggunaan Bahasa Inggeris perlu dilihat sebagai satu mekanisme yang dapat membantu kita memperdalam dan memperlengkapkan kekuatan keilmuan kita.

4.3 Pengkorporatan akan menjejaskan falsafah sistem pendidikan negara

Institusi pengajian tinggi awam telah lama mengamalkan sistem input-proses-output dalam operasinya. Mahasiswa dilihat sebagai input. Dalam usaha menghasilkan output, mahasiswa ini akan diajar dan dilatih sehingga mahir dalam pelbagai disiplin ilmu. Hasil daripada proses ini terlahirlah output yang akan terjun ke kancah masyarakat untuk menyumbangkan ilmu yang telah dipelajari dalam mencorakkan pembangunan dan masa hadapan masyarakat dan negara. Dasar sistem pendidikan di institusi pengajian tinggi awam juga menekankan aspek kesepaduan ilmu dalam pengajian mahasiswa, di mana pengajian ilmu kehidupan dan kemanusiaan diberi penekanan di samping para mahasiswa mendalami ilmu-ilmu dalam pelbagai disiplin yang diceburi.

Kesepaduan ilmu dalam pendidikan dianggap sebagai sesuatu yang penting agar mahasiswa tidak terpesong dan terpisah dari norma-norma kehidupan manusia dan masyarakat. Menurut Sabri (1997) penekanan ilmu-ilmu akhirat di samping ilmu duniawi bertujuan untuk mengajak mahasiswa menginsafi keagungan Tuhan dan sentiasa beriman denganNya (m. 19). Ini sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara yang bertunjangkan kepada usaha mewujudkan insan yang harmoni dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan.

Namun apabila ura-ura untuk mengkorporatkan institusi pengajian tinggi awam timbul, kebimbangan yang bermain di sanubari para pelaksana dasar sistem pendidikan ialah, apakah falsafah dan paradigma murni pendidikan negara ini masih boleh dipertahankan kewujudan atau perlaksanaannya? Rasional kebimbangan ini ialah ekoran dari pengkorporatan ini nanti akan menyebabkan institusi pengajian tinggi awam "lebih condong dan cenderung ke arah menjadikan universiti sebagai pusat ilmu dan gedung perniagaan yang menguntungkan serta berorientasikan pasaran" (Sabri, 1997, m. 19).

Dakwaan ini adalah meleset sama sekali. Walaupun mungkin institusi pengajian tinggi awam akan lebih condong memberikan penekanan ke arah menghasilkan graduan dari bidang sains dan teknologi, aspek pengajian ilmu kemanusiaan tidak mungkin terpinggir atau terpisah langsung dari pengajian disiplin-disiplin ilmu tertentu yang diceburi oleh mahasiswa. Ini adalah kerana apabila institusi pengajian tinggi awam dikorporatkan tidak bermakna fakulti-fakulti sastera, pengajian Islam, sains kemanusiaan dan kemasyarakatan dan lain-lain lagi akan berkubur. Malahan dalam sesetengah disiplin pengajian, para pelajar adalah diwajibkan untuk mengambil kursus-kursus wajib universiti yang berteraskan ilmu kemanusiaan seperti kursus Falsafah Sains dan Pembangunan Sosial sebagai sebahagian dari syarat untuk mendapatkan ijazah.

Dan satu perkara yang kita juga perlu ingat ialah pengkorporatan institusi pengajian tinggi awam tidak bermakna pihak kerajaan terutamanya Kementerian Pendidikan akan bersikap lepas tangan dalam perancangan dan penyediaan kurikulum pengajian di institusi pengajian tinggi awam. Pihak kerajaan masih mempunyai pengaruh dalam hal-hal yang bersangkutan dengan kurikulum pengajian di institusi pengajian tinggi awam bagi memastikan agar ianya selari dengan Falsafah Pendidikan Negara. Dan sebagaimana yang telah disebutkan terdahulu, walaupun selepas institusi pengajian tinggi awam dikorporatkan kerajaan akan terus mengenakan kawalan ke atas perjalanan serta pentadbiran universiti tersebut.

4.4 Kemerosotan tradisi intelektualisme mahasiswa

Kebimbangan sesetengah pihak tentang kesan pengkorporatan terhadap tradisi intelektualisme mahasiswa disandarkan kepada rasional bahawa apabila institusi pengajian tinggi awam dikorporatkan, segala aktiviti ko-kurikulum perlu dibayar dan dicari penaja sendiri tanpa sokongan daripada pihak universiti. Hal ini secara tidak langsung akan membantutkan aktiviti ko-kurikulum pelajar dan tradisi intelektual mereka kerana "ketidakmampuan mereka untuk membeli buku dan bahan rujukan di samping sara hidup harian yang akan meningkat dan juga terpaksa membelanjakan wang yang lebih untuk tujuan penyelidikan" (Sabri, 1997, m. 19). Maka dikhuatiri kecintaan pelajar untuk mendalami ilmu akan semakin malap dan akan semakin jauhlah para pelajar kita dengan dunia keilmuan yang sememangnya kita maklumi telah sedia jauh.

Isu berkurangnya minat dan kecintaan pelajar terhadap budaya mencari ilmu disebabkan oleh ketidakupayaan mereka berdepan dengan masalah kos pengajian sepatutnya tidak timbul. Ilmu tidak hanya boleh dicari dan ditimba melalui buku. Ilmu juga tidak hanya tersirat di dalam buku. Banyak cara lain bagaimana ilmu boleh dicari. Apatah lagi dalam zaman sains dan teknologi yang setiap saat mengalami perubahan dan pembaharuan, ilmu boleh diperolehi hanya di hujung jari ! Kemudahan yang ada disediakan oleh pihak universiti seperti komputer sepatutnya dipergunakan oleh para pelajar dengan sepenuhnya. Pencarian ilmu melalui kemudahan internet yang disediakan tidak menimbulkan masalah kewangan kepada pelajar. Tetapi yang menjadi masalah yang sebenarnya ialah sikap sebahagian dari para pelajar itu sendiri.

5.0 RAHMAT DI SEBALIK PENGKORPORATAN

INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI AWAM

Selepas membincangkan beberapa isu berhubung pengkorporatan institusi pengajian tinggi awam yang seolah-olah menimbulkan satu dilema samada idea ini perlu dilaksanakan atau tidak, kelihatannya seperti tujuan dan matlamat pengkorporatan tidak menjanjikan sesuatu yang indah kerana banyak implikasi yang perlu ditanggung oleh masyarakat amnya. Tetapi sesuatu yang pahit itu selalunya merupakan ubat yang mujarab kepada sesuatu penyakit.

5.1 Skim perkhidmatan yang lebih baik

Sejajar dengan pengkorporatan, skim perkhidmatan tenaga pengajar institusi pengajian tinggi awam telah dikaji semula dan mereka mendapat imbuhan yang cukup besar daripadanya. Kakitangan akademik Universiti Malaya selaku perintis dasar pengkorporatan institusi pengajian tinggi awam ditawarkan dengan skim gaji yang lebih baik. Datuk Seri Najib ketika mengumumkan tarikh pengkorporatan Universiti Malaya berkata kakitangan universiti itu akan menikmati gaji yang lebih menarik di bawah skim baru yang melibatkan kenaikan di antara 20 hingga 22.8 peratus ("UM," 1997). Sila rujuk Lampiran A.

Tetapi dari mana dana untuk menampung kenaikan gaji kakitangan ini diperolehi sedangkan pihak kerajaan telah ‘melepaskan’ tanggungan kewangan pengurusan institusi pengajian tinggi awam untuk diurus sendiri oleh pihak universiti. Maka tidaklah keterlaluan jika ada pihak yang mengaitkannya dengan peningkatan kos pengajian yang terpaksa ditanggung oleh para pelajar. Dan pada mereka adalah amat tidak adil untuk meletakkan beban kewangan bagi menampung kenaikan gaji kakitangan ke atas bahu para pelajar.

Masyarakat kita sebenarnya terlalu cepat melatah. Walaupun isu kenaikan kos pengajian seperti yuran pengajian ini mungkin tidak dapat dielakkan apabila institusi pengajian tinggi awam dikorporatkan kelak, tetapi ianya bukanlah disebabkan oleh pengkorporatan kerana dasar pengkorporatan hanya melibatkan urusan pentadbiran dan pengurusan melalui sistem governan. Malahan Menteri Pendidikan sendiri telah memberi amaran kepada empat universiti tempatan supaya tidak menaikkan yuran pengajian walaupun perlembagaan baru berhubung pengkorporatan institusi pengajian tinggi awam berkenaan dikuatkuasakan. Beliau juga memberi jaminan bahawa walaupun kos pengajian mungkin akan meningkat selepas institusi pengajian tinggi awam dikorporatkan, namun ianya tidak akan dilaksanakan tanpa kelulusan pihak Kementerian Pendidikan ("UKM," 1998).

Perubahan yuran pengajian dilihat sebagai sesuatu yang perlu dilakukan sesuai dengan aspirasi negara untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pendidikan tinggi yang boleh menarik pelajar luar negara datang belajar dan ini memerlukan perubahan bahasa pengantar dan kadar yuran, yang pasti lebih mudah dikendalikan sekiranya institusi pengajian tinggi tidak terikat dengan pemerintah ("Menghalusi," 1997).

Jika dilihat dengan mata kasar, memanglah para pelajar tidak seharusnya dibebankan dengan masalah ini. Tetapi penawaran skim perkhidmatan yang lebih baik kepada tenaga akademik institusi pengajian tinggi awam selepas dikorporatkan bukanlah dibuat secara suka-suka sahaja. Ada hajat dan hasrat yang tersirat di sebaliknya. Dengan adanya penawaran skim perkhidmatan yang lebih baik dan kompetitif ini, secara tidak langsung akan dapat mengurangkan masalah ‘brain drain’ di kalangan pensyarah institusi pengajian tinggi awam ke sektor swasta samada sektor korporat mahupun sektor pendidikan swasta. Dengan cara ini pihak universiti akan dapat mengekalkan tenaga pengajar yang berkualiti dan berkaliber di samping berupaya menarik masuk tenaga pengajar yang berpotensi dari luar ("UM," 1997). Hasilnya, kualiti pendidikan yang lebih baik akan disumbangkan dan dirasai oleh para pelajar tanpa mereka sedari.

5.2 Pengkorporatan menggiatkan lagi usaha penterjemahan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pengkorporatan institusi pengajian tinggi awam dikhuatiri akan mengancam kedaulatan Bahasa Malaysia apabila wujudnya kelonggaran untuk menggunakan Bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran. Ini adalah tidak benar. Sebaliknya, pengkorporatan institusi pengajian tinggi awam akan merancakkan lagi usaha-usaha untuk menghasilkan sumber ilmu yang disediakan dalam Bahasa Malaysia kerana pengkorporatan merupakan satu mekanisme ke arah meningkatkan imej pendidikan negara sehingga kita akan berupaya mengekspot pendidikan kita ke luar negara. Ini juga adalah selari dengan cadangan untuk menjadikan Bahasa Malaysia sebagai satu cabang ilmu. Pengkorporatan akan menjadikan pendidikan negara bergerak secara beriringan dengan usaha penterjemahan yang sedang giat dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka kerana sedia dimaklumi bahawa kita masih kekurangan buku-buku ilmu di dalam Bahasa Malaysia. Untuk mengimbangi kekhuatiran terancamnya kedaulatan dan kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu apabila institusi pengajian tinggi awam dikorporatkan, secara tidak langsung akan ‘memaksa’ pihak Dewan Bahasa dan Pustaka menggiatkan usaha-usaha penterjemahan sumber-sumber ilmu dari bahasa asing ke Bahasa Malaysia. Dan apabila kita telah cukup bersedia dalam aspek sumber-sumber ilmu di dalam Bahasa Malaysia, pada masa itu diharap sistem pendidikan negara mampu menarik pelajar asing belajar di negara ini dengan menggunakan bahasa pengantar Bahasa Malaysia.

 

5.3 Pengurusan yang lebih fleksibel, inovatif dan kreatif

Sejajar dengan pengkorporatan, institusi pengajian tinggi awam akan mempunyai kuasa autonomi yang lebih untuk "membolehkan universiti mendapat faedah fleksibiliti dalam hal-hal pengurusannya, bersesuaian dengan fungsinya untuk menguruskan hal-hal pelajaran tinggi" (A.R Zahari, 1995, m. 17). Selama ini pengurusan universiti berjalan dalam satu tempo yang agak kebelakang dari institusi pendidikan tinggi swasta, apatah lagi jika dibandingkan dengan sektor korporat, kerana terlalu banyak kerenah birokrasi yang tidak relevan.

Tetapi apabila ianya dikorporatkan, pengurusan universiti akan menjadi lebih proaktif , agresif dan pragmatik dalam perlaksanaan operasinya. Keputusan berhubung hal-hal pelajaran tinggi dan pengurusan universiti akan dapat dibuat dengan lebih cepat. Pengkorporatan akan menjadikan institusi pengajian tinggi awam lebih inovatif dan kreatif dalam menangani cabaran dan rintangan. Contohnya dalam hal mencari sumber dananya sendiri. Tradisi usang institusi pengajian tinggi awam yang hanya berpaksikan kepada pengajaran semata-mata akan berubah sejajar dengan tanggungjawab kewangan yang perlu dipikul kini. Peranan tenaga pengajar kini tidak lagi hanya bertumpu kepada mengajar sahaja. Mereka sebagai sebahagian daripada institusi tersebut perlu sama-sama berganding bahu dalam mengemudi bahtera mereka agar ianya tidak tenggelam dilanda ombak yang ganas. Tenaga pengajar akan digerakkan untuk menjadi lebih aktif, agresif , inovatif dan kreatif dalam merebut peluang-peluang yang ada dalam usaha mengurus dan mentadbir institusi mereka.

Oleh kerana selepas dikorporatkan institusi pengajian tinggi awam tidak lagi akan dinaungi oleh pihak kerajaan dalam aspek kewangan, tidak dapat tidak akan memaksa mereka berusaha mencari sumber dana mereka sendiri. Ini akan mendorong mereka untuk menjalin hubungan dengan masyarakat di luar tembok menara gading melalui konsep perkongsian bijak dengan pihak korporat mahupun industri yang boleh menghasilkan sumber kewangan. Ianya boleh dilakukan melalui sumbangan ilmu, penganjuran program-program latihan dan pembangunan serta penyelidikan-penyelidikan yang dilakukan bagi pihak korporat ataupun industri . Secara tidak langsung, ianya juga dapat mengimarahkan dan memasyarakatkan universiti. Tidaklah lagi individu di dalam lingkungan tembok menara gading itu terasing daripada masyarakat luar dan ketinggalan daripada perkembangan semasa.

6.0 RUMUSAN

Idea pengkorporatan institusi pengajian tinggi awam wajar disokong berasaskan kepada matlamat yang telah digariskan. Untuk bergerak seiring dengan perubahan masa dan dalam usaha untuk melahirkan satu generasi pelapis yang berkeupayaan, berketrampilan serta brekemampuan menangani cabaran masa hadapan, sesuatu perlu dilakukan. Dan jalan yang paling hampir dengan mereka ialah melalui pendidikan. Dengan itu, kita tidak seharusnya takut atau khuatir untuk melakukan perubahan kerana ianya hanya akan menyebabkan kita ketinggalan daripada orang lain. Tetapi untuk melakukan sesuatu perubahan, ianya tidak boleh berlaku dalam sekelip mata dan secara drastik. Walaupun idea pengkorporatan ini telah ditimbulkan sejak tahun 1994, hanya pada tahun 1998 baharu ianya dilaksanakan. Ini bermakna pihak yang berkenaan telah menghalusi banyak aspek sebelum memberi kata putus. Walaupun begitu, masih ada perkara yang boleh kita hayati dan halusi untuk memastikan institusi pengajian tinggi awam boleh bergerak sebagai suatu badan berkanun korporat dengan jayanya, kerana kesan daripada pengkorporatan hanya akan kita ketahui apabila lahirnya graduan sulung dari institusi pengajian tinggi awam yang dikorporatkan dalam tempoh dua atau tiga tahun yang akan datang.