KERTAS KERJA KAJIAN SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN (MTT2353)

PENDIDIKAN JARAK JAUH

 

PENGENALAN

Pada zaman teknologi moden yang semakin mencabar ini, manusia perlu melengkapkan diri dengan berbagai-bagai ilmu pengetahuan untuk meningkatkan mutu kehidupan . Di negara maju, istilah Pendidikan Jaraj Jauh (PJJ) bukan lagi merupakan istilah baru . Sistem PJJ telah diterima di seluruh dunia sebagai pendidikan yang sah dan diakui setanding dengan bentuk pendidikan yang lain .

Kalau kita renungkan kembali sejarah permulaan perkembangan dan keagungan Islam, kaedah penyampaian maklumat atau pengetahuan atau apa sahaja yang ingin disampaikan secara jarak jauh kepada seseorang atau kumpulan yang berjauhan telah digunakan secara meluas pada masa itu . Rasulullah S.A.W menyampaikan berita tentang kebenaran dan kejituan Islam kepada Maharaja Habshi di Benua Afrika yang ketika itu menganut agama Kristian. Perutusan Rasulullah S.A.W menerusi salah seorang panglima baginda telah menyedarkan Maharaja Habshi tentang kewujudan agama daripada Allah S.W.T yang diturunkan kepada Rasul pilihan-Nya .

Maka dari sini kita dapat lihat bahawa sejak dahulu lagi ilmu atau agama Islam dapat disebarkan menerusi surat, manusia, kenderaan dan sebagainya . Jelaslah bahawa penyampaian maklumat atau penyampaian ilmu pengetahuan secara jarak jauh ternyata berkesan .

Apakah yang dimaksudkan dengan Pendidikan Jarak Jauh ?

Istilah Pendidikan Jarak Jauh sebenarnya menimbulkan beberapa perbalahan pendapat mengenainya. Ada yang berpendapat ia merupakan kaedah pembelajaran yang mengasingkan pelajar dengan institusi yang menawarkannya. Bagaimanapun pendapat itu tidak begitu tepat kerana kaedah penawaran telah mengalami banyak evolusi, iaitu daripada kaedah yang paling daif kepada kaedah yang paling canggih .

Di dalam satu ruangan Dewan Masyarakat (Mac 1995) ada dinyatakan bahawa PJJ merupakan satu sistem pendidikan yang menekankan konsep belajar sendiri (self directed learning) . PJJ meminimumkan interaksi antara pelajar dengan pelajar dan antara pelajar dengan pensyarah .

Dari segi kebiasaan kaedah ini membenarkan penggunaan bahan-bahan cetak dan bahab-bahan pelbagai media (multimedia) pendidikan sebagai bahan penyampaian daripada institusi kepada pelajar . Para pelajar perlu belajar sendiri dan institusi hanya menyediakan bantuan yang paling minimum sama ada bantuan dari segi kemudahan akademik atau kemudahan pasarana (infrastruktur) yang lain .

Objektif

Beberapa objektif ditekankan oleh PJJ, antaranya :

Terdapat beberapa aspek yang telah menyumbang ke arah pertumbuhan dan perkembangan PJJ . Antaranya ialah :

 

 

PERKEMBANGAN SISTEM PENDIDIKAN JARAK JAUH DI MALAYSIA

Memaklumi sejarah sistem pendidikan negara kita yang masih muda dan berlatarbelakangkan sejarah yang berbeza daripada apa yang berlaku di negara lain, maka perkembangan pendidikan jarak jauh di negara kita tidaklah begitu pesat sebagaimana yang berlaku di Eropah atau negara maju yang lain.

Walaupun ada setengah-setengah pendapat yang menyatakan bahawa sebelum tahun 1970 belum ada lagi sistem pendidikan jarak jauh secara rasmi di Malaysia. Tetapi sebenarnya bibit gagasan untuk merancang ke arah melaksanakan sistem jarak jauh telah mula difikirkan oleh Kementerian Pelajaran masa itu, iaitu apabila mereka merangka Program Pelajaran Sambilan dan Lanjutan sebagaimana yang tersurat dalam Penyata Jawatankuasa Perancangan Pelajaran Tinggi 1964. Kalau kita bandingkan pula perancangan dasar pelajaran kita tentang pendidikan jarak jauh dengan apa yang berlaku di negara-negara lain seperti Jepun, Thailand dan Indonesia maka sebenarnya negara kita telah maju ke hadapan lebih awal lagi dalam perancangan, tetapi tertinggal dari segi perlaksanaannya.

Universiti Malaya telah dicadangkan oleh Jawatankuasa Perancangan Pelajaran Tinggi 1964 supaya mengwujudkan Jabatan Pengajian Sambilan dan Lanjutan tetapi kerana masalah dalaman khususnya permasalahan kakitangan maka penubuhan jabatan tersebut tidak terlaksana. Universiti Sains Malaysia dan Universiti Pertanian Malaysia yang telah menyahut cadangan Penyata Perancangan Pelajaran Tinggi Kementerian Pelajaran 1964 dengan masing-masingnya mewujudkan Rancangan Pengajian Luar Kampus (RPLK) yang benar-benar merealisasikan konsep pendidikan jarak jauh di negara ini dan merupakan program formal Universiti Sains Malaysia, dan Pusat Pengembangan dan Pendidikan Lanjutan (PPPL) yang menawarkan program-program tak formal Universiti Pertanian Malaysia.

Di negara ini, Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan pusat pengajian tinggi yang pertama mengorak langkah ke arah PJJ sejak sepuluh tahun yang lalu . Pencapaian dan kejayaannya amatlah membanggakan .

Selain itu, Institut Teknologi MARA (ITM) yang juga merupakan salah satu lagi pusat pengajian tinggi mempunyai tanggungjawab untuk mendidik bumiputera menjadi profesional yang berkaliber, berdikari dan berilmu bagi mencapai pembangunan-sosioekonomi negara .

Sesuai dengan falsafah dan matlamatnya, ITM telah memperkenalkan program PJJ dengan tujuan melahirkan lebih ramai kaum bumiputera yang berilmu dan berkelayakan . Program itu dilaksanakan oleh Pusat Pendidikan Luar institut tersebut .

Oleh kerana keberkesanan program PJJ ini maka pada tahun 1996, Universisti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah memulakan pengambilan baru program ini . Ianya mendapat sambutan yang menggalakkan dengan pengambilan seramai 2300 orang . Sehingga kini PJJ UKM mempunyai 12 pusat wilayah termasuk di Sabah dan Sarawak .

Begitu juga di Universiti Utara Malaysia, di mana seramai 303 orang mahasiswa perintis program Pendidikan Jarak Jauh telah mendaftar di universiti tersebut . Program PJJ UUM yang pertama itu menawarkan kursus ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dengan kepujian (BBA Hons.) .

Seperti di universiti-universiti yang lain, Universiti Malaya juga telah mengadakan program PJJ yang tersendiri . PJJ UM memberi penekanan kepada sains dan teknologi dan meneruskan penekanan sepenuhnya kepada kursus profesional dan separa profesional seperti kejuruteraan dan pengurusan .

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

KEPERLUAN AKADEMIK

Syarat Kemasukan

Salah satu cara untuk mencapai matlamat bagi menghasilkan keluaran yang bermutu ialah dengan menentukan bahawa faktor kemasukan juga mestilah bermutu. Dalam konteks institusi maka kelayakan pelajar yang diterima masuk mestilah baik dan layak. Sebagai contoh syarat kemasukan yang telah digunakan oleh USM, memandangkan ia adalah salah sebuah universiti lazim maka syarat kemasukan yang dikenakan kepada pelajar dalam kampus juga dikenakan kepada pelajar yang mengikuti secara luar kampus walaupun ada pertimbangan lain diberikan.

Syarat-syarat asas kemasukan di atas memanglah setara sebagaimana syarat kemasukan ke program penuh masa universiti-universiti tempatan yang lain .

Program Pengajian

Ijazah yang dianugerahkan kepada pelajar yang mengikuti bidang Sains Kemasyarakatan. Pengkhususan yang boleh diikuti oleh pelajar dalam program ijazah ini ialah bidang Ekonomi, Sains Politik dan Antroplogi/Sosiologi . Semua pelajar diperlukan mengambil kursus-kursus asas dalam Sains Kemasyarakatan sebelum membuat pengkhususan dalam salah satu bidang di atas . Sebenarnya perancangan juga dibuat untuk menawarkan bidang-bidang lain seperti bidang Pembangunan dan Pengurusan, tetapi oleh sebab permasalahan kekurangan kakitangan usaha tersebut ditangguhkan .

Ijazah yang dianugerahkan kepada pelajar yang mengikuti program Ilmu Kemanusiaan. Pengkhususan yang boleh diikuti oleh pelajar terdiri daripada bidang Sejarah, Kesusasteraan dan Geografi . Rancangan untuk menambahkan bidang pengkhususan seperti bidang Komunikasi dan Bahasa Melayu juga telah difikirkan . Sebagai syarat tambahan kepada pelajar-pelajar yang mengikuti bidang Sains Kemasyarakatan/Ilmu Kemanusiaan, mereka juga dikehendaki mengambil pengkhususan kecil yang dikenali dengan Minor dalam satu bidang lain yang boleh dipilih daripada pusat pengajian atau daripada Pusat Pengajian aliran Sastera yang lain .

Ijazah yang dianugerahkan kepada pelajar-pelajar yang mengikuti program pengajian dalam bidang Sains Tulen . Empat bidang pengkhususan yang ditawarkan ialah bidang Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik .

Kursus bidang Sains yang setaraf dengan peringkat Sijil Tinggi Pelajaran atau peringkat Matrikulasi . Program ini dikhususkan kepada pelajar bumiputera yang tidak dapat memenuhi syarat-syarat kemasukan untuk mengikuti RPLK Sains . Matlamatnya ialah untuk melengkapkan dan mengukuhkan kelayakan akademik asas pelajar supaya mereka mampu bertanding apabila memasuki ijazah kelak .

TEKNOLOGI PENDIDIKAN JARAK JAUH

Pada akhir-akhir ini teknologi maklumat berkembang begitu pesat sekali, seiring dengan itu teknologi pendidikan jarak jauh juga bergerak cepat mengikut rentak perubahan teknologi maklumat. Pendek kata jikalau dilihat dari segi kecanggihan teknologi perhubungan yang wujud sekarang, maka tidak ada satu tempat pun yang boleh dianggap jauh di dunia ini. Demikian juga takrifan yang memberatkan pada pengasingan antara institusi dengan pelajar yang menjadi faktor pembeza antara pembelajaran bersemuka dengan jarak jauh juga mungkin perlu difikirkan kembali.

1. Penghasilan Modul Terancang

Modul ialah bahan cetak yang menjadi pilihan utama kebanyakkan institusi jarak jauh di dunia sebagai alat pengajaran yang dapat mengantikan tempat pensyarahan. Oleh kerana ia berfungsi sebagai penganti pensyarah maka penghasilannya mestilah memasukkan unsur sentuhan kemanusiaan (human touch) seperti gaya penulisan yang menarik contohnya, lucu tetapi membimbing. Mencipta ungkapan yang mewakili benda-benda yang boleh disentuh atau boleh didengar dan sebagainya. Memang terdapat had-had kemampuan pengajaran melalui bahan cetak ini. Bagaimanapun jikalau penulisannya memasukkan unsur-unsur interaktif maka matlamat untuk menjadi modul terancang sebagai alat pengajaran yang berkesan akan tercapai. Semua kelemahan dan kekurangan akibat ketidakmampuan bahan cetak boleh sahaja diatasi dengan menggunakan bahan pengajaran bentuk lain.

Seperti pernah disentuh dalam bahagian perlaksanaan organisasi, pada mulanya RPLK hanya mengirimkan rangka kuliah dan nota kasar kuliah dalam kampus serta senarai bacaan sahaja kepada pelajar di pusat-pusat Wilayah. Tetapi setelah hampir dua dekad berpengalaman mengendalikan sistem jarak jauh maka banyak kelemahan yang telah diatasi dan banyak pembaharuan yang telah diketengahkan, semuanya demi untuk memperbaiki dan meningkatkan keberkesanan bahan cetak untuk kegunaan pelajar yang bersendirian.

Pembaharuan teknik penghasilan bahan cetak PPLK mula terserlah apabila status berubah dari Unit ke Pusat Pengajian. Penghasilan modul terancang PPLK sebenarnya telah melalui beberapa tahap seperti yang berikut: tahap perancangan; tahap pembagunan; tahap pengeluaran; dan tahap penilaian.

2. Penghasilan Bahan Media

Bahan media bukan cetak merupakan komponen penting dalam sistem pendidikan jarak jauh. Terdapat beberapa institusi jarak jauh yang lebih menekankan penggunaan bahan berbagai-bagai media sebagai alat penyampai utama dibandingkan dengan bahan cetak. PPLK (USM) sendiri sebenarnya telah menetapkan matlamat supaya 30% bahan berbagai-bagai media perlu disediakan sebagai tambahan alat penyampai pembelajaran kepada pelajar yang belajar secara bersendirian. Bagaimanapun dalam melaksanakan matlamat tersebut PPLK perlu prihatin kerana kita maklum penggunaan bahan multimedia yang berlebihan akan mengurangkan keberkesanan kos rancangan yang ditawarkan.

Beberapa kursus Sains, Sastera dan juga Sains Kemasyarakatan memang memerlukan bahan audio berserta bahan grafik untuk membantu pemahaman konsep yang abstrak. Konsep kuantum yang abstrak dalam Fizik Moden umpamanya lebih mudah difahami dengan bantuan audio kaset dan grafik.

Mutu penghasilan bahan audio juga telah meningkat kerana adanya input daripada pihak pereka pengajaran dan pihak pemangkin yang terdiri daripada kakitangan teras PPLK yang berwibawa untuk memasukkan unsur-unsur pedagogi ke dalam penghasilan dan juga sebagai penggalak penghasilan bahan media.

PPLK juga tidak ketinggalan dalam usaha menerapkan kemudahan video sebagai salah satu komponen penyampai sistem jarak jauh. Bagi PPLK projek penghasilan video mula giat diramcang dan dilakukan mulai tahun 1988 kerana adanya sumbangan peruntukan penyelidikan strategik, khusus untuk menghasilkan video yang berkualiti tinggi.

Video berkemampuan memainkan peranan membantu pengajaran pelajar dirumah dan sebagai alat penyebar pengetahuan. Maka menjadi matlamat PPLK untuk menghasilkan video yang berkait rapat dengan kursusu yang ditawarkan dan sedapat-dapatnya sesuai juga sebagai video dokumentasi untuk tontonan masyarakat dalam bahasa Melayu.

Sebagaimana dengan penghasilan audio kaset, penghasilan video juga menggunakan pendekatan yang sama, iaitu input pereka pengajaran dan pemangkin amat diperlukan, supaya video yang dihasilkan akan menepati matlamat penghasilan video yang bermutu tinggi dengan persembahannya yang interaktif bukan talking head sebagaimana video yang dihasilkan oleh kebanyakkan institusi jarak jauh yang lain.

3. Teknologi Komunikasi

Seperti dibincangkan PPLK sangat prihatin dalam menerapkan peralatan teknologi tinggi sebagai alat penyampai. Seberapa boleh PPLK akan mengoptimumkan kemampuan modul terancang sebagai alat pembelajaran yang berkesan. Memang menjadi strategik pentadbiran untuk menggunakan segala kemudahan dan alat asas pembelajaran yang sedia ada semaksimum mungkin, sebelum mengorak langkah menimbangkan penggunaan kemudahan dan alat yang lebih canggih dan mahal.

Sejajar dengan gagasan Penyata Jawatankuasa Perancang Pelajaran Tinggi 1964 yang mengcadangkan penggunaan siaran radio sebagai alat penyampai pendidikan, maka melalui sidang 1979/1980 RPLK telah mendapat kerjasama daripada pihak RTM untuk menyiarkan rancangan luar kampus di radio selama setengah jam melalui Rangkaian Nasional, rakaman dan suntingan pada masa itu dilakukan di Stesyen RTM Pulau Pinang.

Perkataan siaran digunakan disini, kerana walaupun pada asasnya kemudahan ini hanya menggunakan talian telefon biasa, tetapi pada setengah cawangan pula ada yang terhubung dengan menggunakan kemudahan mikro gelombang. PPLK sebenarnya telah merancang sejak awal 1984 lagi untuk menerapkan teknologi satelite conferencing.

Bagaimanapun apabila dibincangkan dengan pihak Telekom di Kuala Lumpur pada awal 1985 nyatanya rancangan tersebut sukar untuk dilaksanakan. Antara masalah yang merencatkan pelaksanaan ialah kerumitan untuk mendapatkan persetujuan antarabangsa tentang "frekuensi satelit" yang hendak digunakan dan masalah sewaan kemudahan satelit yang sangat mahal.

Komputer sidang merupakan media yang digunakan oleh PJJ negara maju. Pelajar boleh menyertai "persidangan" tersebut dengan syarat mereka memiliki sebuah komputer, talian telefon, dan modem. Banyak pelajar, pensyarah, dan kakitangan institusiboleh berkomunikasi dengan cara ini. Media ini membolehkan penyelengara dibuat serentak untuk tujuan pentadbiran, memberi panduan, dan arahan serta mewujudkan hubungan komunikasi antara pelajar dengan pensyarah.

Selari dengan penggunaan komputer sebagai salah satu alat komunikasi terkini, ianya boleh digunakan untuk penghantaraan maklumat atau pesanan secara individu dengan menggunakan E-mail, perbualan dalam bentuk kecil, penghantaraan pesanan atau berita, bahan syarahan kuliah atau maklumat lain. Maklumat ini dimasukkan ke dalam komputer supaya pengguna boleh membaca dan menerima maklumat, menyertai kuiz, membuat latihan serta membuat kajian kes. Pengguna tidak dipaksa untuk menjawab pada masa yang ditetapkan, malah pengguna mempunyai masa untuk memikirkan dan menyusun jawapan serta menaip semula ke dalam komputer.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

IMPLIKASI PENDIDIKAN JARAK JAUH

Pembangunan sosial dan ekonomi penting demi memastikan taraf hidup yang senang bagi rakyat sesebuah negara. Dengan kemajuan yang dicapai sekarang, didapati pelabur asing amat gemar melabur di negara ini. Hal ini demikian kerana tenaga kerja di Malaysia kebanyakannya terlatih, bertanggungjawab, dan berpengetahuan. Maka dengan itu pelabur asing tidak perlu menghabiskan wang melatih semula pekerjanya. Keadaan ini merupakan satu galakan untuk menarik pelabur datang ke negara ini.

Dengan adanya program PJJ, mereka yang bekerja boleh meningkatkan kelayakan, kemahiran, dan pengetahuan. Matlamat Dasar Ekonomi Baru sudah tercapai. Kini kita bergerak ke arah mencapai matlamat Dasar Pembagunan Negara dan Wawasan 2020. PJJ penting untuk Malaysia kerana program ini akan memperbanyak lagi rakyat yang berpengetahuan dan ilmu. Sesungguhnya pendidikan itu penting dan harus dijadikan sebagai satu kegiatan yang berterusan dalam kehidupan manusia.

Menurut keterangan yang telah diberikan oleh Pengarah Pusat PJJ, UM, Dr. Nasrudin Abdul Rahim di dalam ruangan Wawancara di Berita Harian (Isnin, 2 Mac 1998) adalah seperti berikut :

" Ini juga sehaluan dengan hasrat Kementerian Pendidikan yang meletakkan sasaran untuk mencapai tahap 40 peratus rakyat Malaysia berusia 25 hingga 40 tahun mendapat pendidikan tinggi pada 2005. Ini disebabkan selain saluran biasa mengambil terus pelajar ke kampus, PJJ menjadi satu alternatif dari segi menambah peluang pendidikan tinggi. "

Sektor awam dan sektor swasta semakin besar dan kompleks tanggungjawabnya. Sektor ini memerlukan mereka yang berkaliber, berdedikasi, dan berpengetahuan untuk memastikan mutu kerja dan perkhidmatan terus meningkat ke tahap keberkesanan yang optimum. Walau bagaimanapun, untuk mengembangkan PJJ, pelajar, pensyarah, masyarakat umum, dan ahli akademik harus memainkan peranan yang lebih aktif dan agresif.

Penempatan pelajar di institusi pengajian tinggi awam amat terhad di masa kini, kerana penghantaran pelajar belajar di luar negeri telah dikurangkan akibat daripada krisis ekonomi yang melanda negara . Fenomena ini juga disebabkan oleh peningkatan prestasi pelajar di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia . PJJ merupakan salah satu alternatif pelajar-pelajar tersebut menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi awam .

Menurut keterangan Timbalan Pengarah PJJ UKM, Prof. Madya Dr. Yahaya Mahamood di dalam ruangan Wawancara di Berita Harian (Isnin, 18 Mei 1998) yang menyatakan bahawa :

" Selain itu, ia juga meningkatkan peluang pengajian di peringkat tertinggi secara lebih ekonomikal dan efisien seperti yang terkandung dalam tujuan program-program berkenaan yang ditaja oleh setiap fakulti di UKM ."

Menurut beliau lagi, " Secara umumnya PJJ UKM ini ialah untuk menyediakan lebih banyak tempat di peringkat pendidikan ijazah . Secara khususnya ia memberi peluang kepada individu berkelayakan mengikuti program secara sambilan selain mewujudkan peluang pengajian kepada mereka yang bertugas di luar bandar. "

Menurut keterangan yang diberikan oleh Pengarah Pusat PJJ, UM, DR. Nasrudin Abdul Rahim di dalam ruangan Wawancara di Berita Harian (Isnin, 2 Mac 1998) yang menyatakan bahawa :

" Kita memang berharap perkara ini berlaku, tetapi kita tidak optimistik sangat . Namun kita berharap dapat menampung sebahagian pelajar yang tidak dapat melanjutkan pengajian di luar negara tetapi dalam masa yang sama di negara kita terdapat banyak universiti swasta yang menyediakan tempat untuk pelajar-pelajar ini ."

Kos dan yuran bagi PJJ tertakluk kepada pengurusan universiti yang menyediakan program tersebut . Yuran dan kos operasi atau pengendalian perlu dilihat dari semua aspek . PJJ tertakluk kepada ketetapan universiti . Sebagai contoh, universiti-universiti sidang video memerlukan kos yang lebih tinggi berbanding dengan teknologi lain yang digunakan sebagai media perantaraan . Yuran pula bergantung kepada kursus yang ditawarkan dan jumlah pelajar yang mengikutinya .

Kawalan kualiti adalah penting di dalam program PJJ ini . Inisiatif diambil oleh pusat-pusat yang dibuka oleh universiti untuk mengambil kedatangan pelajar, memastikan pelajar mengikuti kelas, menerima nota kuliah dan sebagainya . Penilaian yang dibuat semasa program mengambil kira kerja kursus dan lain-lain lagi . Selain itu kualiti graduan adalah terjamin kerana mereka diawasi dari berbagai aspek sepanjang program tersebut . Sebagai contoh, sekiranya peperiksaan yang dijalankan di luar Kuala Lumpur akan ditempatkan di unversiti atau pusat pengajian tinggi yang mempunyai kerja sama atau persefahaman dengan universiti .

Dari segi pengajaran pula, kualiti tidak akan merosot kerana jam kredit yang ditawarkan adalah sedikit kepada pelajar. Oleh itu, mereka boleh memberi perhatian sepenuhnya kepada pengajian masing-masing.

Bagi memastikan kualiti graduan PJJ adalah setaraf dengan graduan saluran biasa, kursus-kursus yang ditawarkan melalui modul ini bukan sahaja dipastikan terlebih dahulu sama dengan keperluan pelajar saluran biasa, malah keperluan lain turut diseragamkan. Modul kursus misalnya, sebelum dihantar kepada pelajar, terlebih dahulu ditaksir oleh tenaga berpengalaman dalam bidang berkenaan.

 

 

 

 

 

 

KESIMPULAN

Program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) yang menggunakan konsep bilik darjah maya merupakan alternatif terbaik kepada para pelajar di negara ini untuk mendapatkan ilmu pengetahuan secara formal, tanpa perlu berulang-alik ke sekolah.

Maklumat tentang sistem PJJ disebar luas untuk pengetahuan orang awam supaya keraguan terhadap sistem tersebut dapat dihapuskan. Sistem universiti terbuka di England merupakan satu contoh yang terbaik. Ribuan pelajar PJJ telah lulus dan berjaya dalam kerjaya mereka melalui sistem ini.

PJJ membuka peluang luas bagi mereka yang bekerja untuk menimba ilmu pengetahuan. Walaupun mereka bekerja dan mempunyai tanggungjawab kepada keluarga, mereka masih boleh belajar. PJJ mempunyai berbagai kaedah. Kaedah menyampaikan maklumat dengan menggunakan teknologi seperti video sidang akan membolehkan latihan diikuti oleh pekerja di tempat kerja. Hal ini penting kerana pekerja dapat meningkatkan kemahiran dan pengetahuannya. Di samping itu mereka tidak perlu keluar dari pejabat ke destinasi lain untuk diberi latihan.

Sesungguhnya tenaga kerja yang mahir, terlatih dan berilmu akan menguntungkan setiap negara. Kemahiran ini penting untuk menjamin pertumbuhan sosial dan ekonomi yang sihat.

 

 

 

BIBILIOGRAFI

Dr. Karsono Ahmad Dasuki,1993. Konsep dan Sistem Pendidikan Jarak Jauh. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Shireen Haron, 1995. Pendidikan Jarak Jauh (Bahagian 1). Dewan Masyarakat, Januari 1995.

Shireen Haron, 1995. PJJ: Meningkatkan Lagi Golongan yang Berilmu (Bahagian 2). Dewan Masyarakat, Februari 1995.

Shireen Haron, 1995. PJJ: Penggunaan Komputer Penting (Bahagian 3). Dewan Masyarakat, Mac 1995.

PJJ UKM Sedia Lebih Banyak Peluang Belajar. Berita Harian, 18 Mei 1998.

PJJ UM Tekankan Sains, Teknologi. Berita Harian, 2 Mac 1998.

303 Pelajar PJJ UUM Mendaftar. Berita Harian, 15 Jun 1998.

Program PJJ UKM Dapat Sambutan. Berita Harian, 29 Jun 1998.

 

 

 

 

 

 

 

ISI KANDUNGAN

BIL.

TAJUK

MUKA SURAT

     

1

Pengenalan

1

     

2

Perkembangan Sistem Pendidikan Jarak Jauh di Malaysia

4

     

3

Keperluan Akademik

7

     

4

Teknologi Pendidikan Jarak Jauh

10

     

5

Implikasi Pendidikan Jarak Jauh

16

     

6

Kesimpulan

20

     

7

Bibiliografi

21

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

INSTITUT TEKNOLOGI TUN HUSSEIN ONN

JABATAN PENDIDIKAN DAN KEMANUSIAAN

KAJIAN SISTEM PENDIDIKAN NEGARA

MTT2353

TAJUK:

KONSEP DAN SISTEM PENDIDIKAN JARAK JAUH

SERTA IMPLIKASINYA

PENSYARAH:

TUAN HAJI SAPON BIN IBRAHIM

AHLI KUMPULAN:

AZLILAWATI BT. ABU BAKAR (MT971031)

HALIZAH BT. ALI (MT971240)

JULIAH BT. SULAIMAN (MT971068)

ISMAIL BIN HJ. SAMSUDIN (MT971210)