Koleksi Kertas KajiSelidik Pelajar Sarjana Pendidikan Seksyen Tiga ITTHO

Koleksi Kertas Kerja Kajian Sistem Pendidikan Kebangsaan (MTT2353)



Pendidikan Pra Sekolah



PENDIDIKAN PRASEKOLAH  :     PENYUBUR KREATIVITI PELAJAR

1.0   Pendahuluan
	Di Malaysia,  pendidikan prasekolah dalam bentuk tadika mula dikenali oleh pihak British sejak 1950-an lagi. Tumpuan utamanya adalah kepada anak-anak golongan pertengahan dan tinggi sahaja.  Pada 1970-an,  pihak Kementerian Pendidikan mula berusaha untuk memperkembangkannya. Ekoran dari penangguhan kementerian untuk memperkenalkan matlamat dan pelaksanaan program tersebut, peruntukan berkaitan prasekolah dimasukkan ke dalam Akta Pendidikan.   (Ahmad Awang , 1995).
	Pada 1960-an, terdapat beberapa agensi kerajaan seperti FELDA (Federal Land Development Authority) dan KEMAS (Kemajuan Masyarakat) mula menubuhkan pusat-pusat Tadika di kawasan luar bandar (Sulaiman et. al 1990).  Sehingga kini pengelolaan prasekolah di Malaysia selain daripada di bawah anjuran Kementerian Pendidikan adalah di bawah anjuran agensi-agensi kerajaan dan badan berkanun, badan-badan agama, badan -badan sukarela, pihak swasta dan individu.  Terdapat juga taman prasekolah yang di bawah anjuran badan politik.  Program yang disediakan, matlamat, kurikulum dan program latihan ada yang sama dan ada yang berlainan mengikut agensi kelolaan masing-masing. (Kamaruddin Sulaiman, 1996).
	Mulai 5 dan 6 Januari 1992, kelas prasekolah di bawah anjuran Kementerian Pendidikan mula diperkenalkan keseluruh negara. Tujuannya untuk membantu ibubapa yang tidak berkemampuan menghantar anak-anak mereka ke tadika-tadika kelolaan agensi lain (Ahmad Awang , 1995).
	Pendidikan yang diberikan di kelas-kelas prasekolah bukan sahaja memberi kesediaan untuk pelajar menghadapi sekolah rendah tetapi ia juga bertujuan untuk menghadapi kehidupan seterusnya.  Perkembangan kanak-kanak diperingkat ini iaitu antara 4 - 6 tahun memberi kesan yang mendalam dalam pembentukan sahsiah dan kreativiti mereka. (Ainon Mohd. 1996).
	Konsep asas pembentukan prasekolah ialah  "belajar sambil bermain".  Kanak-kanak pada peringkat ini didorong oleh naluri semangat ingin tahu yang menyebabkan mereka suka untuk menjelajah untuk mendapatkan pengalaman, pengetahuan dan ilmu.  Penjelajahan yang dimaksudkan ialah mereka menimba pengalaman melalui aktiviti-aktiviti yang berbentuk permainan yang dirancang. Menjadi tanggungjawab guru-guru tadika tersebut menyediakan aktiviti yang boleh menarik minat kanak-kanak tersebut yang dapat menjawab persoalan yang wujud dalam dirinya ( Rohaty Mohd Majzub, 1982).
	Di sekolah kanak-kanak hanya didedahkan kepada pengaruh prasekolah hanya tiga (3) jam sehari.  Dalam jumlah masa yang tidak begitu banyak itu sajalah untuk gurunya menyempurnakan kurikulumnya secara menyeluruh. Ada tiga punca utama perlu di selaras dan digabungjalinkan iaitu prasekolah, rumahtangga dan masyarakat.  Dalam lingkungan prasekolah ini adalah wajar jika kaedah dan pendedahan yang tidak formal dititikberatkan. (Rohaty Mohd. Majzub, 1982).
	Pengembelingan usaha untuk suburkan kreativiti sepatutnya ditujukan daripada peringkat awal dalam perkembangan kanak-kanak.  Beberapa orang ahli psikologi seperti Piaget (Mc Nally, 1977)< Bloom (1964) dan Spodek (!982) menunjukkan bahawa perkembangan yang awal adalah amat penting dari kesan dan pengaruhnya sebab peringkat ini merupakan landasan dan akar umbi kepada peringkat susulan. Mc Carthy (1981) menyatakan bahawa hemisfera otak sebelah kanan adalah terlibat dengan perkembangan kreativiti.  Peribahasa "melentur buluh biarlah dari rebungnya" harus diberi perhatian kerana kemahiran mempunyai kaitan yang rapat dengan kreativiti. (Ling Chu Poh, 1990).

2.0   Rasional Pemilihan Tajuk
	Tajuk perkembangan kreativiti pelajar di peringkat prasekolah di pilih kerana konsep ini tidak boleh diasingkan daripada stail kehidupan dan personaliti seseorang. Kreatif atau kurang kreatifnya adalah dicerminkan dalam semua aspek kehidupan dan personalitinya. Kreativiti yang dimaksudkan adalah berdasarkan kepada unsur-unsur konsep daya cipta, keaslian, mudah lentur, imaginatif dan suka meneroka dan membawa kawasan fikiran yang berlainan dan baru. (Ling Chu Poh, 1990).
	Memandangkan corak pembelajaran prasekolah yang digunakan ialah "belajar sambil bermain",  maka agak sesuai jika kita lihat kepada kreativiti yang bakal dihasilkan oleh kanak-kanak tersebut.  Ia memainkan peranan yang penting dalam memupuk dan memperkembangkan penyuburan ke arah individu yang kreatif secara menyeluruh, seimbang dan berkesan.  Buku Garis Panduan Kurikulum Pendidikan PraSekolah Malaysia (1993.p.3) membincangkan bahawa: " Dalam program pendidikan pra sekolah, proses pelajaran dijalankan secara tidak formal melalui bermain sambil belajar." Program ini menekankan kepada aktiviti yang  boleh merangsang naluri ingin tahu, mengukuhkan kordinasi motor kasar dan motor halus, menggunakan dan menguatkan daya kreativiti.....(KPPM, 1993).   Contohnya, melalui permainan, minda kanak-kanak boleh di bina, mereka boleh menyaisat, mencipta, meruntuh dan membina. Ia juga dapat mengembangkan sifat-sifat tekun dan gigih.
	"Bermain sambil belajar" adalah merupakan proses pembelajaran yang berlaku secara tidak formal tetapi berstruktur dan tidak terancang.  Mengikut pendapat Awang Had Salleh, pendidikan seperti ini menggalakkan kanak-kanak bebas memilih aktiviti yang digemari ataupun dipanggil  "mudahubah".   Rasionalnya pemilihan tajuk ini antara lainnya ialah kanak-kanak pada peringkat ini sangat sensitif kepada alam sekelilingnya. Guru mestilah mengenal kanak-kanak dan menghormati mereka sebagai individu yang mempunyai kemampuan, kebolehan dan minat mereka tersendiri.  Keberkesanan sesuatu aktiviti prasekolah terletak pada kebijaksanaan dan daya kreativiti serta usaha guru tersebut. ( Rohaty Mohd Majzub, 1992).


3.0 Definisi
	Kami akan mendefinasikan beberapa aspek tertentu dalam tajuk ini yang merupakan kata kunci untuk perbincangan dalam kertas penyelidikan ini seterusnya.

Pendidikan Prasekolah :-  		 Mengikut Kamus Dewan (1996) telah mendefinasikan sebagai pendidikan sebelum memasuki sekolah.  Dikenali sebagai pendidikan Tabika atau Tadika.
                                     Manakala Azizah Lebai Nordin (1995) pula mentakrifkan sebagai pendidikan asas yang merupakan pendidikan awal dalam perkembangan hidup seseorang individu selepas pendidikan di rumah.
	     Pendidikan Prasekolah dimaksudkan sebagai pendidikan tidak  atau  bukan formal yang diperuntukan kepada kanak-kanak yang berumur antara 4 hingga 6 tahun. (Kamaruddin Sulaiman,1996).

Kreativiti         :		Kebolehan atau kemampuan mencipta, menghasilkan dan mengembangkan sesuatu idea baru dan asli, daya kreatif (Kamus Dewan, 1996).
         :		Konsep kreativiti berdasarkan kepada unsur-unsur konsep  daya cipta, keaslian, mudah lentur, imaginatif dan suka meneroka dan menggembara kawasan fikiran yang berlainan dan baru. (Ling Chu Poh, 1990).

4.0  Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Penyuburan Kreativiti Pelajar.
	Kami telah mengenalpasti dan mengklasifikasikan beberapa faktor penting yang dapat membantu kearah menyuburkan kreativiti di kalangan pelajar di peringkat pendidikan prasekolah.
	4.1 Guru
	Guru prasekolah memainkan peranan yang penting untuk beri rangsangan kepada pembelajaran kanak-kanak. Guru hendaklah mengenalpasti tanda-tanda kreativiti di kalangan kanak-kanak,  samada kreativiti  tersebut di kesan dalam situasi formal atau tidak formal.  Salah satu cara untuk meningkatkan perhatian guru kepada aspek kreativiti pelajar tersebut ialah guru hendaklah mencatat dan merekodkan setiap peristiwa kreativiti yang berlaku. (Ling Chu Poh, 1990).
	Guru juga perlu mencipta situasi dan bahan yang boleh mencetuskan fikiran dan usaha yang kreatif, berdasarkan kepada perkembangan pelajarnya sebagai rangsangan untuk menyesuai dan menyuburkan kreativiti mereka. Guru hendaklah menggunakan inisiatif mereka sendiri untuk mengubahsuai aktiviti, situasi dan bahan yang digunakan. Mereka merupakan pendorong utama kepada perkembangan menyeluruh kanak-kanak. Mereka juga perlu menggunakan daya kreatif apabila merancang aktiviti untuk melahirkan pelajar yang kreatif.   (Ahmad Awang, 1995).
	Sikap guru dalam membimbing dan melayang kerenah kanak-kanak juga mempengaruhi dalam meyuburkan kreativiti di kalangan pelajarnya.   Bagaimana sikap guru melayan perbualan, soalan, mencungkil pendapat mereka dan berinteraksi dengan pelajar adalah penting.  Sikap dan tingkahlaku guru yang menghargai hasil ciptaan dan usaha pelajarnya, boleh bertindak sebagai pendorong dalam menyuburkan kreativiti mereka.  (Ling Chu Poh, 1990).
	Dalam usaha untuk melahirkan, mencungkil dan menyuburkan kreativiti dikalangan pelajar, guru tadika juga perlu diberikan bimbingan, latihan dan kursus yang mencukupi. Mereka perlu dilatih untuk peka terhadap kebolehan pelajar.  Pada guru yang telah lama berkhidmat, mungkin pengalamannya boleh membantu untuk mereka bertindak.  Saya tidak menafikan bahawa sebelum diambil untuk berkhidmat,  mereka telah menjalani latihan terlebih dahulu tapi persoalannya, sejauh manakah latihan yang diberikan kepada guru itu dapat diaplikasi semula semasa dalam pengajarannya?
	Mengikut Rohaty Mohd Majzub (1982), latihan untuk guru-guru tadika anjuran kerajaan seperti FELDA, RISDA, KEMAS dan LEMBAGA PERPADUAN, latihan kepada mereka dilaksanakan oleh KEMAS. Ini menunjukkan adanya penyelarasan dalam memberikan latihan kepada guru tersebut. Tetapi berbeza dengan guru tadika anjuran agensi swasta atau individu di mana kebanyakan mereka di latih oleh badan penganjur mereka sendiri.   Misalnya, guru TASKI  (ABIM), mereka perlu menjalani latihan sebanyak 3 kali sebelum diiktiraf sebagai guru iaitu sekali di Kelantan, seterusnya di Pahang dan akhir sekali di Ibu Pejabat ABIM Kuala Lumpur.

	4.2 Ibu bapa
	Kanak-kanak pada peringkat awal sangat memerlukan bimbingan yang boleh merangsangkan buah fikiran mereka.  Ibubapa harus peka terhadap perkembangan kanak-kanak.  Mereka perlu meluangkan masa yang secukupnya untuk bersama anak-anak dan cuba berbincnag dan kenalpasti arah kecenderungan minat anak-anak itu. Kemahiran dan kematangan ibubapa dalam memberikan pendedahan, ransangan dan bimbingan yang sesuai dan serasi adalah amat penting dalam membentuk penyuburan kreativiti anak-anak. (Rohaty Mohd Majzub, 1982).
	Berikan kebebasan kepada anak-anak untuk melakukan sesuatu yang diinginkan asalkan tidak bercanggah dengan ajaran dan tidak merbahayakan mereka. Berikan penghargaan dan ganjaran sebagai pendorong dan perangsang apabila mereka mempersembahkan hasil yang dilakukan.  Proses memberikan ganjaran, peneguhan dan motivasi akan menceburkan mereka untuk bertindak lebih kreatif dan menyuburkan daya cipta yang telah tumbuh dalam jiwa mereka. (Ling Chu Poh, 1990).
	Ibubapa juga perlu jalinkan hubungan yang rapat dengan pihak sekolah sebagai menyokong dan membantu pihak sekolah dalam memajukan prestasi anak mereka  (Tan Juat Ngoh, 1994).  Contohnya, ibubapa boleh menyumbangkan sesuatu samada dalam bentuk kewangan, peralatan dan sebagainya sebab adakalanya sekolah tidak dapat membekalkan peralatan dan bahan yang mencukupi untuk kanak-kanak lantaran kekurangan sumber kewangan. Kanak-kanak terpaksa berkongsi atau bergilir-gilir  menggunakan bahan tersebut. Di sini usaha untuk mengembangkan idea dan daya kreatif mereka akan gagal mungkin disebabkan oleh kanak-kanak telah hilang minat ataupun telah berlakunya konflik dan gangguan emosi.

	4.3 Konsep "belajar sambil bermain"
	Hampir kesemua pendidikan di peringkat prasekolah mengamalkan konsep ini kerana ia merupakan kunci  pembelajaran dan pengajaran di peringkat prasekolah.  Buku Garis Panduan Kurikulum Pendidikan Prasekolah Malaysia (1993, p. 3 dan 5) menyebutkan bahawa "Dalam Program pendidikan  prasekolah, proses pembelajaran dijalankan secara tidak formal melalui bermain sambil belajar.  Program ini menekankan kepada aktiviti yang boleh merangsang naluri ingin tahu, mengukuhkan kordinasi motor kasar dan motor halus, menggunakan daya kreatif dan ......".   Seterusnya, "Pendekatan bermain sambil belajar merupakan pendedahan yang dirancang. Mereka diberi peluang mencuba idea sendiri secara bebas dalam masa tertentu".   Kanak-kanak mempunyai cara belajar yang tersendiri.  Bermain sambil belajar, memainkan peranan penting dalam memupuk perkembangan dan menyuburkan daya  kreativiti individu secara menyeluruh dan seimbang.   Menerusi permainan, kanak-kanak dapat memusatkan perhatiannya dan menggunakan daya kreatifnya untuk melakukan sesuatu benda.   (Azizah Lebai Nordin, 1995).
	Proses pembelajaran melalui permainan bukanlah bermakna kanak-kanak dibiarkan bermain tanpa di rancang dan di kawal.   Guru prasekolah  hendaklah merancang segala aktiviti dengan teliti agar sesuai dengan tahap perkembangan dan keperluan pelajarnya. Menerusi permainan biasanya kanak-kanak dapat menyiasat benda-benda, mencipta, meruntuh dan membina sesuatu itu dengan  menggunakan daya kreatif mereka sendiri. Dengan ini kreativiti mereka dapat disuburkan.
	Montessori menganggap permainan adalah pekerjaan kanak-kanak dan kanak-kanak suka belajar melalui bermain.   Kanak-kanak merasa terhibur apabila mereka bermain. Bermain adalah satu bentuk kesenian kepada kanak-kanak.

	4.4   Kurikulum
	Di peringkat prasekolah,  kurikulum yang ada amat fleksible dan senang diubahsuai. Kurikulum prasekolah lebih menitikberatkan pengalaman melalui aktiviti. Misalnya, pengalaman melalui aktiviti mainan. Walaupun pada asasnya garispanduan kurikulum prasekolah lebih memberikan penekanan kepada pendidikan ke arah kemahiran 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) namun mereka tidak mengabaikan aspek memupuk daya kreatif kanak-kanak.
	Semua prasekolah perlu menggunakan kurikulum pendidikan  prasekolah yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.  Pengubahsuaian boleh dibuat berdasarkan kepada objektif dan tujuan pendidikan tersebut. Sebagai contoh, Tadika ABIM (TASKI) misalnya, kurikulum yang digubal oleh pihak ABIM masih berdasarkan kepada kurikulum yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, mereka sekadar membuat perubahan dengan memberikan lebih penekanan kepada mata pelajaran yang bersifat keagamaan di samping mempelajari yang lainnya seperti Bahasa Melayu, Pendidikan Seni, Matematik dan sebagainya.  Namun begitu, mereka masih juga tidak mengenepikan ke arah memupuk dan menyuburkan daya kreatif pelajar. Sebagai contohnya, saya dimaklumkan oleh Setiausaha Biro Pendidikan ABIM Besut, bahawa pada bulan Jun lepas TASKI ABIM di Besut telah mengadakan pertandingan menulis Tulisan Jawi (Seni Khat) kepada kanak-kanak TASKI di daerah tersebut kepada mereka yang berumur 6 tahun. Dan pemenangnya akan dipertandingkan ke peringkat daerah dan seterusnya peringkat negeri.  Di  samping itu diadakan juga peraduan melukis.   Ini merupakan satu galakan dan penyubur untuk kanak-kanak tersebut melahirkan idea yang kritis dan kreatif.   Pada hakikatnya kurikulum prasekolah dipenuhi dengan peluang untuk mendokong kegiatan yang mampu memupuk kreativiti pelajar.

	4.5 Pelaksanaan Aktiviti
	Berdasarkan kepada kurikulum yang fleksible dan senang di ubah, dan kurikulum yang menitikberatkan pengalaman melalui aktiviti, maka dapat disimpulkan bahawa aktiviti merupakan "pengangkutan" utama yang berupaya membawa dan merangsangkan usaha kreatif.
	Aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan oleh pembimbing prasekolah baik yang dianjurkan oleh kerajaan, badan berkanun, swasta atau individu melaksanakan aktiviti yang hampir sama. (Ahmad Awang, 1995). Antaranya ialah, mereka melahirkan perasaan melalui lukisan, kerjatangan, muzik dan gerakan serta pergerakan kreatif seperti menconteng, melukis, melenggokkan badan mengikut rentak irama, menganyam, mengecat, bermain muzik dan sebagainya.   Membuat bentuk dengan menggunakan bahan-bahan tertentu seperti plastisin, membentuk dan menyusun bahan untuk melambangkan bentuk  yang kreatif seperti permainan "LEGO", menyusun bentuk-bentuk yang sesuai mengikut ruang-ruang yang disediakan seperti permainan "jingsaw-puzzle" dan sebagainya.
	Kaedah dan teknik belajar yang digunakan oleh guru seperti secara individu, berkumpulan, bercerita dan sebagainya juga merupakan faktor bagaimana kreativiti seseorang individu dapat disuburkan.   Aktiviti seperti mengadakan lawatan ke  tempat-tempat tertentu misalnya ke tempat-tempat yang menarik dapat memberikan pendedahan dan gambaran  serta mereka didedahkan melalui idea dan hasil usaha yang kreatif daripada buku ataupun pameran.   (Ling Chu Poh, 1990).
	Dalam pendidikan moden terdapat berbagai jenis aktiviti yang boleh digunakan dalam sekolah.   Diantaranya ialah aktiviti membaca, melukis, mengira, membuat model, menyanyi, bermain dan sebagainya.   Penggunaan pelbagai aktiviti dalam pengajaran dan pembelajaran akan dapat menarik minat dan meningkatkan daya kreativiti dan estetika pelajar.  (Mok Soon Sang, 1993).

	4.6 Kemudahan di Sekolah
	Kemudahan yang dimaksudkan yang dapat membantu menyuburkan kreativiti pelajar adalah kemudahan-kemudahan peralatan yang disediakan dan digunakan oleh guru seperti buku-buku, alat-alat permainan 'indoor' , peralatan di taman dan alat dan bahan bantu mengajar  (ABBM)  yang terdapat dalam sesebuah kelas itu seperti bahan bergambar dan sebagainya.   Bahan bergambar misalnya boleh digunakan untuk menggalakkan kanak-kanak berinteraksi dengan bahan tersebut samada secara bersendirian atau dengan rakan sebaya.
	Berdasarkan pendidikan prasekolah yang dianjurkan oleh kerajaan, mereka menggunakan 2 buah buku aktiviti iaitu yang merangkumi buku mewarna, menggunting, menyambung titik dan garisan, menampal, mengukur dan mengira.   Sebalikyna di tadika KEMAS mereka menyediakan 3 buah buku untuk aktiviti kanak-kanak iaitu Bahasa Melayu, Matematik dan Tulisan Jawi.   Ini menunjukkan pelbagai kemahiran diajarkan kepada kanak-kanak dengan disediakan ruangan latihan untuk mereka membuktikan yang mereka mampu menghasilkan apa yang telah diajar.

	4.7 Alam Persekitaran
	Penyuburan kreativiti pada tahap yang tinggi bergantung kepada kualiti dan sumbangan alam persekitaran kanak-kanak  samada diperingkat prasekolah atau dalam 0kehidupan rumahtangga.
	Rangsangan yang beraneka jenis dan mencabar adalah ramuan utama dalam pengalaman dan pendedahan yang sejajar  dengan perkembangan kreativiti.  Kemudahan seperti alat permainan dan bahan rujukan adalah rangsangan yang efektif.  Begitu juga dengan guru, rakan sebaya, ibubapa, adik beradik dan kaum keluarga yang lain juga merupakan sebahagian daripada alam persekitaran kanak-kanak. Pengaruh dan bimbingan yang diberikan akan menjadikan alam  persekitaran menjadi lebih bermakna semasa mereka membesar.  Mengikut Ling Chu Poh (1990)  bimbingan yang rapi akan mengalakkan interaksi, fikiran dan cubaan yang harus diutamakan.  Jika bimbingan tidak mencukupi, mungkin pengaruh alam persekitaran akan jadi terpendam dan tidak dinamik dalam penyuburan kreativiti mereka.	 Alam persekitaran kanak-kanak di rumah dan di pusat prasekolah seharusnya mencabar dan boleh mengkayakan pengalaman mereka.

5.0  Cadangan
	Beberapa cadangan yang lebih merupakan saranan diutarakan untuk meningkatkan lagi pemupukan dan peyuburan kreativiti pelajar diperingkat pendidikan prasekolah samada pendidikan anjuran kerajaan, badan berkanun, swasta  ataupun  anjuran individu sendiri. Antaranya ialah:
	5.1 Latihan Dan Kursus Yang Sama Kepada Semua Guru Prasekolah 
	Guru-guru perlu diberikan latihan dan kursus pengajaran yang sama untuk semua sekolah prasekolah.   Maksudnya, semua guru prasekolah perlu  dilatih oleh satu badan khas sebelum ataupun semasa sedang bertugas.   Sebabnya, tugas untuk mendidik anak-anak  bukanlah satu tugas yang mudah.  Walau siapapun penganjurnya, namun matlamat, objektif dan tugas guru adalah hampir sama.  Mungkin hanya kurikulum dan pendekatannya sahaja yang sedikit berbeza misalnya TASKI (ABIM) ataupun PASTI (anjuran Parti Politik PAS)  lebih menumpukan kepada kurikulum dan pendekatan yang bercirikan  Islamiah.
	Dalam usaha memotivasikan pembelajaran kanak-kanak, sifat-sifat kreatif bukan sahaja perlu dikesan di kalangan pelajar itu sendiri malah perlu ada pada diri seseorang guru tadika (Rohaty Mohd Majzub et. al 1989).   Apalah salahnya guru diberikan latihan dan kursus pada satu tempat yang sama seperti cara latihan untuk guru-guru peringkat sekolah rendah dan menengah cuma dibezakan pada bidangnya sahaja, samada Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, China, India ataupun Arab.

	5.2 Pelbagaikan Bahan Yang Boleh Membantu Menyuburkan Kreativiti.
	Semua sekolah tadika patut mempelbagaikan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran yang boleh membantu menyuburkan kreativiti pelajar.  Tidak hanya menfokuskan kepada satu bahan sahaja.  Di sini, guru perlu memainkan peranan dalam menyediakan bahan-bahan pengajaran yang boleh melahirkan dan menyuburkan kemahiran ke arah yang lebih kreatif.  Tujuannya untuk mewujudkan suasana kegembiraan, keriangan, kesediaan, kekecewaan dan sebagainya yang tidak dapat dinyatakan melalui kata-kata.  (Rohaty Mohd Majzub et.al. 1989).
	Bahan-bahan yang dimaksudkannya seperti bahan-bahan yang boleh melahirkan gerakan badan, nyanyian dan muzik, lukisan atau penggunaan bahan-bahan seperti tanah liat, blok, plastisin dan sebagainya.
	Saranan ini dikemukakan memandangkan masih ada tadika yang tidak cukup bahan-bahan seperti ini.  Mungkin disebabkan oleh masalah kewangan untuk mendapatkan bekalan atau tidak ada kesedaran dan inisiatif dari guru itu sendiri.

	5.3  Ibubapa dan Masyarakat
	Saranan ke arah ini membantu menyuburkan kreativiti pelajar ini melihat kepada aspek ibubapa dan masyarakat  sebagai agen pembantu atau penyumbang kepada pihak tadika baik dari segi sumbangan kewangan, tenaga  mahupun barangan.  Maksudnya ibubapa dan masyarakat sama-sama seiring dengan pihak sekolah dalam apa-apa usaha untuk melaksanakan sesuatu cadangan atau program yang akan dianjurkan.  Sebagai contoh, mungkin ibubapa dan masyarakat setempat boleh membantu pihak sekolah membuat persiapan untuk membantu merayakan sambutan Hari Maulud Nabi yamg dianjurkan atau dilibatkan oleh sekolah tadika, seperti membantu anak-anak menyiapkan spanduk-spanduk untuk perarakan ataupun  keperluan-keperluan lain.  Ataupun mungkin ibubapa dan masyarakat boleh bertindak sebagai penyumbang (sponsorer) untuk aktiviti-aktiviti tadika.
	Saranan ini diajukan memandangkan masih ada ibubapa yang gagal melibatkan diri di sekolah anak-anak mereka mungkin disebabkan oleh:
· ibubapa tidak ada masa lantaran kesibukan dengan tugas di rumah atau di tempat kerja.
· wujud perasaan rendah diri di kalangan ibubapa mungkin disebabkan oleh status sosioekonomi, kelulusan akademik dan budaya di antara ibubapa yang lain di tadika.
· ibubapa yang berpendidikan tinggi menanggap aktiviti di tadika adalah bukan perkara baru dan mugkin pada tanggapan mereka agak membosankan.								                              (Rohaty Mohd Majzub et. al.  1989)

	5.4  Ganjaran, Peneguhan Dan Motivasi
	Untuk melahirkan usaha dan tingkah laku  yang kreatif  sepatutnya dipupuk dengan ganjaran yang pelbagai rupa.  Ganjaran boleh diberikan samada oleh guru, rakan sebaya, ibubapa ataupun oleh pihak-pihak tertentu.  Misalnya untuk menanam dan menyuburkan kreativiti pelajar di peringkat prasekolah, diadakan peraduan-peraduan yang boleh mereka menunjukan kemahiran dan daya cipta yang kreatif, hasilnya mereka diberikan dengan ganjaran.  Di sini, ganjaran tersebut disifatkan sebagai  peneguhan dan  sebagai motivasi untuk kanak-kanak tersebut menjadi lebih kreatif dan berinovatif.
	Menurut Ling Chu Poh (1990), ganjaran, peneguhan dan motivasi kepada kanak-kanak akan mengembangkan dan mengukuhkan kecenderungan mereka untuk bertindak secara kreatif atau berfikir dengan penuh daya cipta dan akan diadaptasikan dalam alam persekitaran.

	5.5  Guru perlu didedahkan dengan kursus-kursus Psikologi.
	Memandangkan tugas guru tadika yang mencakupi pelbagai tugas dari tukang kebun hinggalah sebagai pentadbir sekolah tersebut, adalah wajar diberikan kursus-kursus motivasi dan psikologi  kepada mereka.  Contohnya, kursus psikologi perkembangan kanak-kanak dari segi penekanan kepada berfikir secara kreatif dan kritis.
	Jika kita lihat isi keseluruhan latihan kursus prasekolah  yang dikendalikan oleh pihak KEMAS, biasanya topik-topik kuliah atau syarahan yang diberikan meliputi (a)   perkembangan kanak-kanak     (b)  pengelolaan dan pentadbiran kanak-kanak (c) falsafah pentadbiran prasekolah (d)  perkembangan bahasa (e) sains dan matematik  (f)  muzik dan pergerakan (g) lukisan dan kerjatangan (h) permainan  dan gerakkerja luar dan (i) kesihatan.    (Rohaty  Mohd Majzub,  1982).
	Sepatutnya, tugas mereka yang agak  mencabar dan perlukan kesabaran seseorang individu itu ketika berhadapan dengan pelbagai kerenah kanak-kanak memerlukan mereka diberikan dan didedahkan dengan kursus yang berbentuk kursus  psikologi ataupun motivasi.  Bagaimana untuk duduk bersama kanak-kanak dan bagaimana untuk kenalpasti kemahiran dan daya kreatif seseorang kanak-kanak itu.


6.0  Kesimpulan
	Penyuburan aktiviti di peringkat prasekolah harus di pandang dalam konteks perkembangan yang menyeluruh dan seimbang.  Ia melibatkan perkembangan personaliti dan cara gaya hidup kanak-kanak.  Walaupun pengetahuan,  kemahiran dan kecekapan yang sepatutnya diberikan tumpuan yang wajar, aspek sikap, nilai dan emosi juga tidak  boleh diabaikan.  Semua aspek tersebut harus digabungjalinkan dengan erat.  Dengan itu penyuburan kraetiviti akan bertapak menjadi  akar umbi yang kukuh dan mendalam.
	Menurut Ling Chu Poh (1990), untuk menyuburkan kreativiti seseorang kanak-kanak itu memerlukan pelaburan masa dan usaha yang setimpal dan banyak.  Semua pembimbing (seperti guru dan ibubapa) seharusnya  bersifat sabar dan cekal.
	Secara umumnya, dapat dirumuskan bahawa untuk menyuburkan kreativiti di kalangan pelajar di peringkat pelajar prasekolah memerlukan pengorbanan dan pelaburan daripada semua pihak baik guru, ibubapa mahupun masyarakat. 
     


	




 



return to main