KERTAS KERJA SOSIOLOGI PENDIDIKAN

(MTT 3303)

 

 

PENDIDIKAN DAN SOSIAL REMAJA

SATU PENDEKATAN HOLISTIK

1.0 Pendahuluan

Pendidikan di Malaysia sedang menuju ke era penggunaan teknologi multimedia secara menyeluruh dan ia merupakan topik perbualan yang sering hangat diperkatakan. Belum sempat kita merealisasikan impian melahirkan generasi yang mampu mencerna dan mengisi keperluan cabaran negara, sebahagian besar remaja kita telah jelas kelihatan tenggelam dalam arus perkembangan era teknologi ini. Pembabitan bilangan remaja dalam gejala sosial turut meningkat secara mendadak. Revolusi sektor pendidikan negara kini bukan sahaja tidak berupaya menemui satu jalan penyelesaian dalam mengatasi masalah gejala sosial remaja. Kita berhendakkan kemajuan yang diasaskan kepada budaya Malaysia jati dan bukannya sebuah negara maju yang mengalami keruntuhan akhlak dan moral di kalangan remajanya.

Sistem pendidikan yang bersifat progresif dan dinamis bukan sahaja dapat berperanan sebagai agen perubahan dan reformasi sosial dalam masyarakat membangun tetapi juga dapat mewacanakan perkembangan budaya saintifik yang menjadi asas percambahan dan ledakan kepada kemajuan sains, teknologi dan budaya fikir. (Abd. Rahim Rashid, 19 April 1997). Atas dasar inilah, maka pendidikan memainkan peranan asas di dalam menangani isu-isu sosial remaja kerana saling berhubungkait di antara satu sama lain. Adunan kedua-dua elemen ini iaitu pendidikan dan sosial remaja mampu untuk menjana satu harapan baru jika pendekatan yang lebih holistik diperhalusi.

2.0 Definisi Golongan Remaja

Mengikut satu bancian terbaru, 20% daripada penduduk dunia terdiri daripada golongan remaja (Utusan Malaysia, 7 November 1997). Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberikan definisi golongan remaja sebagai "mereka yang berada dalam lingkungan usia 10 hingga 19 tahun". Di dalam lingkungan usia yang dinyatakan ini sepatutnya ialah satu peringkat umur di mana mereka berada di bangku sekolah untuk menimba ilmu pengetahuan.

Laporan terbaru mengenai nisbah bilangan penduduk berbanding umur oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan jumlah golongan yang berumur antara 1 hingga 19 mencapai 44.13% iaitu 10 juta daripada keseluruhan populasi negara. Daripada jumlah ini, peringkat umur mereka yang berada di antara 1 – 9 tahun adalah terdiri daripada 22.99% manakala untuk peringkat umur di antara 10 - 19 tahun (remaja) mencapai 21.14% (Nanyang Siang Pau, 2 Ogos 1998). Struktur sosial masyarakat di Malaysia kini adalah lebih tertumpu kepada golongan muda atau lebih tepat lagi golongan remaja. Golongan ini bergantung kepada keluarga dan sekolah atas pemberian perlindungan dan juga pendidikan supaya mereka mampu berdikari dan seterusnya dapat menyumbangkan tenaga kepada negara apabila dewasa kelak. Tahap pencapaian pendidikan mereka ini akan mencorakkan keadaan sosial sesebuah negara.

3.0 Keberkesanan Pendidikan Kini

Dalam keghairahan merancang dan merencana pelbagai projek raksasa (sebelum kegawatan ekonomi) agar negara kita seiring dengan era ledakan informasi dan pembangunan industrialisasi yang mantap, langkah berkesan untuk menangani pembabitan remaja dalam kegiatan jenayah masih tidak ditemui. Laporan daripada akhbar Cina tempatan tersebut juga menunjukkan terdapat 2409 kes jenayah remaja telah berlaku pada tahun 1994 dan jumlah ini hampir berlipat kali ganda pada tahun 1997 iaitu kepada 4626 kes kegiatan jenayah remaja. Kes-kes yang merebak kini adalah lebih serius berbanding dengan apa yang berlaku pada tahun 1980-an. Ianya bukan lagi kes seperti mencederakan orang dan berjudi tetapi kes pembunuhan, merompak, dan merogol. Pada tahun 1997, pihak polis telah menyarankan kepada Kabinet supaya memindahkan Akta 82 di mana peringkat umur yang boleh didakwa di mahkamah dikurangkan kepada usia 7 tahun berbanding 10 tahun pada sebelumnya. Perangkaan gejala sosial pada tahun 1996 telah ditunjukkan melalui carta pai (Sila rujuk kepada Lampiran 1). Di manakah letaknya kedudukan moral para remaja kita ? Apa yang akan terjadi kepada remaja yang bermasalah ini ? Adakah dengan berlatarbelakangkan keruntuhan akhlak dan moral ini, majikan-majikan akan mengambil mereka sebagai pekerja yakni sebagai produk negara dari segi penghasilan sumber manusia ?

Apa yang terlintas di fikiran kita semua sudah tentunya ialah keberkesanan pendidikan kita pada hari ini. Kalau berdasarkan Falsafah Pendidikan Negara (FPN), matlamat pendidikan adalah jelas iaitu melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani (JERI). Insan yang baik itu sekaligus akan menjadi rakyat dan juga warganegara yang baik. Agak malangnya, suatu unsur yang penting telah dipinggirkan iaitu elemen sosial. Dasar FPN seharusnya juga menyelitkan elemen sosial iaitu penambahan huruf "S" kepada akronim JERIS ke dalam pembentukan matlamatnya demi untuk menangani isu gejala sosial di kalangan remaja di negara kita. Oleh itu, barulah boleh ditakrifkan bahawa pendidikan sebagai asas kepada kesejahteraan sosial masyarakat.

Memang tidak dapat dinafikan, ibu bapa selalunya meletakkan harapan yang menggunung terhadap guru dan cuba mengelak daripada tanggungjawab memberikan didikan asas kepada para remaja serta meletakkan tanggungjawab tersebut kepada para pendidik atau pihak berwajib turut menyumbangkan masalah remaja hari ini walaupun telah terbukti sejak zaman-berzaman peranan ibu bapa amat penting dalam membentuk anak-anak remaja menjadi ahli masyarakat yang berguna.

Golongan remaja merupakan garisan pelapis yang bakal menakhodai tunjang pentadbiran negara. Para pendidik terpaksalah memikul tanggungjawab demi kecemerlangan akademik remaja walaupun sokongan penuh tidak diberikan oleh ibu bapa. Persoalannya di sini ialah, "Adakah faktor kecemerlangan akademik dan berpendidikan merupakan salah satu faktor yang mampu mencorakkan sistem sosial masyarakat remaja ?

4.0 Faktor Kecemerlangan Akademik dan Berpendidikan

Dalam dunia persaingan semasa, tahap pendidikan seseorang itulah yang dijadikan kayu pengukur untuk menentukan tahap kesesuaian pekerjaan yang mampu dilaksanakan. Setiap kerja dihubungkaitkan dengan setiap bidang ilmu yang tertentu. Untuk memohon jawatan guru, jawatan pentadbir, jawatan penyelia, jawatan kerani, pembantu pejabat sebagainya, mensyaratkan kelulusan akademik minima yang relevan dengan pekerjaan yang dipohon (Lihat Lampiran 2). Biasanya seseorang yang berjaya menyandang jawatan tinggi dan bergaji lumayan adalah terdiri daripada mereka yang memperolehi kelulusan yang lebih tinggi serta keputusan akademik yang lebih baik daripada pemohon-pemohon yang lain.

Seseorang remaja yang tamat persekolahannya, adalah berusia di lingkungan 17 tahun, biasanya tidak bercadang untuk melakukan sebarang pekerjaan sehingga dia berusia 20 atau 21 tahun. Dalam tempoh tiga atau empat tahun itu, remaja tersebut biasanya membazirkan masa dan tenaga sementara fitrah diri masing-masing dipersia-siakan. Oleh itu, sistem pendidikan yang lengkap dan utuh adalah diperlukan sebagai benteng untuk menangani gejala sosial remaja kita yang kian menular.

Apabila remaja tidak dididik di bawah satu sistem pendidikan yang berkesan ataupun kegagalan sekolah di dalam merealisasikan matlamat pendidikan negara, maka tidak hairanlah gejala sosial yang belum ditebaskan akar umbinya iaitu pada awal tahun 1980-an masih bermaharaja lagi.

Perbincangan seterusnya adalah kepada sistem pendidikan kita pada hari ini termasuklah penyediaan kurikulum, cara penilaian serta peranan guru dan seterusnya beberapa langkah yang sewajarnya dicadangkan demi untuk menjayakan tujuan pendidikan yang sebenarnya.

5.0 Perkembangan Sistem Pendidikan Di Malaysia

Kementerian Pendidikan bertanggungjawab menyediakan kurikulum bagi kedua-dua peringkat persekolahan, iaitu di peringkat rendah dan menengah. Di peringkat rendah, kurikulum yang dilaksanakan mulai 1982/1983 dikenali sebagai Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR). Di peringkat menengah pula ianya dikenali sebagai Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang dilaksanakan sepenuhnya mulai tahun 1988.

Pihak Jemaah Nazir semasa membuat kajian di sekolah-sekolah pada tahun yang lalu, mengakui KBSR dan KBSM berjaya meningkatkan sedikit semangat Esprit de Corp, ketatanegaraan serta jati diri di kalangan pelajar (Utusan Malaysia, 12 Februari 1997). Namun kesan sampingannya ialah peratusan pelajar yang menguasai matematik serta bidang-bidang sains yang lain kian merosot. Universiti-universiti awam (IPTA) turut merasai bahang daripada perlaksanaan sistem itu apabila prestasi generasi KBSM dan KBSR merosot sedikit berbanding sistem pendidikan sebelumnya.

Di sini, penulis hendaklah menekankan bahawa perlaksanaan sistem KBSM dan KBSR yang juga meletakkan asas pendidikan moral sebagai tunggak matlamatnya masih kabur lagi dari segi impaknya terhadap perkembangan gejala sosial remaja yang melibatkan para pelajar. Kelemahan dan ketidakmampuan pihak penggubal kurikulum untuk menyediakan satu peluang pendidikan yang berkualiti dan ketidakmampuan sekolah mencorakkan perkembangan tingkahlaku, sosial dan moral masyarakat menyebabkan kegagalan sistem yang dilaksanakan. Namun apakah kebenaran bahawa pendidikan merupakan landasan penyelesaian kepada pembentukan moral dan tingkahlaku generasi muda akan datang ? Di manakah cacat-cela dasar-dasar yang digubal demi untuk memartabatkan sistem pendidikan negara ?

5.1 Konsep Penekanan Kecerdasan Minda

Penulis berpendapat bahawa kesilapan yang sebenarnya adalah disebabkan oleh sistem pendidikan yang sedia ada di mana sistem pendidikan di Malaysia pada hari ini hanyalah menekankan perkembangan kecerdasan seseorang pelajar ( IQ ). Kurikulum pendidikan yang ada sekarang tidak lagi mampu untuk melahirkan pelajar yang mempunyai kriteria sebagaimana yang dikehendaki oleh Falsafah Pendidikan Negara (FPN) kerana ianya hanyalah menekankan perkembangan IQ seseorang pelajar.

Sistem pendidikan sekarang lebih menekankan maklumat penghafalan (memorization power) sekadar untuk tujuan lulus peperiksaan. Pelajar hanya berpendapat bahawa mereka belajar hanyalah untuk lulus tanpa mengetahui matlamat sebenarnya penyampaian ilmu pengetahuan. Situasi ini adalah tidak menyihatkan dan adalah tidak memadai untuk seseorang pelajar membentuk keperibadian sahsiah dirinya selagi dia tidak diasuh untuk berfikir secara kritis dan kreatif.

Peluang untuk mengembangkan kecerdasan emosi iaitu EQ (Emotional Quotient / Emotional Intelligence) adalah sangat terhad memandangkan pencapaian akademik memberi makna kepada segala-galanya dalam peperiksaan hari ini. Mengikut artikel yang ditulis oleh Kamarrudin Jusoh bertajuk "Keluhan Bekas Guru Disiplin" dalam keluaran MASSA (5 April 1997) ruangan Pendapat, beliau menyatakan pihak pentadbiran sekolah akan mendabik dada sekiranya sekolahnya terdapat ramai pelajar yang mendapat gred A di dalam peperiksaan formal. Sekolah juga tidak mengambil kira nilai-nilai yang ditonjolkan oleh setiap pelajarnya asalkan matlamatnya tercapai iaitu mendapatkan sebanyak mungkin pelajar-pelajar yang mendapat gred A. Menurutnya juga, ada sesetengah Pengetua dan Penolong Kanan ini hanya inginkan kecemerlangan tanpa mengambil kira aspek-aspek lain akibat sistem yang berorientasikan peperiksaan dan kepentingan IQ. Namun begitu, aspek EQ sebenarnya telah lama disedari tetapi tidak dipraktikkan. Kepentingan pengawalan emosi diri sekurang-kurangnya dapat membantu para pelajar di dalam menilai baik-buruknya sesuatu tingkahlaku yang dilakukan.

Sistem pendidikan sekarang perlu beralih kepada satu rekaan kurikulum baru yang menekankan peri-pentingnya perkembangan yang seimbang di antara IQ dan EQ yang sememangnya perlu di dalam membangunkan keperibadian seseorang individu. Kajian ke atas 306 orang pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam (PPKA), Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati bahawa keyakinan dan motivasi diri merupakan pendorong utama kepada aspek kecemerlangan akademia pelajarnya di fakulti tersebut. Hasil kajian ini juga menyenaraikan faktor-faktor pendorong kejayaan pelajar yang terlibat iaitu di antara faktor yang berkaitan dengan unsur EQ ialah bermotivasi, berkeyakinan diri, dapat menumpukan perhatian, mahu cemerlang (ijazah kelas pertama), mempunyai pendorong yang kuat, belajar secara berkumpulan dan kemahiran berkomunikasi.

Mengikut Dr. Tarcisius melalui artikelnya dalam Sunday Star (7 Jun 1998) iaitu ruangan Business bertajuk :- "Bringing up the ideal Malaysian", -Human development is the function of furthering the intellectual, emotional and spiritual of an individual, we refer to these as IQ, EQ and SQ". Beliau juga menyatakan bahawa British Wartime Prime Minister, Winston Churchill dan Perdana Menteri pertama Malaysia iaitu Tunku Abdul Rahman mempunyai IQ yang rendah tetapi memiliki EQ yang tinggi. Maka, daripada aspek ini, kecemerlangan dalam akademik (IQ yang tinggi) tidak semestinya diiringi dengan pemilikan EQ yang tinggi ataupun sebaliknya. Kedua-dua unsur ini seharusnya digabungkan dan dicanai di dalam pembentukan kurikulum baru pendidikan supaya penekanan bukanlah sekadar kepada pencapaian akademik tetapi juga pencapaian rohaniah dari segi emosi. Nescaya, ianya mampu untuk melahirkan satu sistem pendidikan ideal dengan mencorakkan nilai-nilai dan norma-norma hidup golongan remaja yang bebas daripada gejala sosial.

Mengikut Ketua Menteri Pulau Pinang pula, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, mengenai isu Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Tanjung Pagar, Singapura :- "Pemimpin Singapura mungkin mempunyai IQ yang tinggi tetapi masih kekurangan dalam EQ."(Sin Chew Jit Poh, 8 Ogos 1998). Contoh ini jelas menunjukkan kepentingan EQ bagi perkembangan seseorang manusia lebih-lebih lagi bagi remaja yang sering disifatkan sebagai peringkat "storm and stress", iaitu penuh dengan desakan, asakan, tekanan, ketegangan, dan kegemparan dalaman (emosi). Proses pengajaran dan pembelajaran hanya akan berjaya (jika sistem tidak bersalah) sekiranya para pelajar telah sedia terdedah kepada penguasaan EQ.

5.1.1 Kepentingan Penguasaan EQ

Untuk menilai pentingnya konsep kecerdasan ini dalam pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, kalangan ibu bapa, guru dan pelajar perlu melihatnya dari sudut yang berlainan iaitu :-

1. Seseorang perlu mengetahui emosi dirinya terlebih dahulu dan bagaimana mengendalikannya. Ini termasuklah kebijaksanaan dalam mengawal gerak hati, kesabaran dan tindakan rangsangan terhadap selok-belok suasana persekitaran.

2. Seseorang perlu bijaksana mengendalikan perhubungan (berkomunikasi) dengan orang lain.

3. Seseorang perlu berupaya memotivasikan diri secara tegas dan yakin dengan perasaan diri, pencapaian dan kebolehan pelajar yang mempunyai kecerdasan emosi akan berada pada jalan kecemerlangan yang lebih jelas.

EQ dapat memimpin pelajar berfikir dan memberi ketenangan dalam kehidupan harian. Pelajar yang cerdas emosi dapat membuat keputusan yang dapat memuaskan dirinya dan orang lain. Dengan demikian, laras pencapaian akademik mereka akan menjadi lebih tinggi. Pelajar yang cerdas emosi biasanya memperolehi markah yang lebih tinggi dalam mata pelajaran yang banyak menggunakan bahasa dan angka, seperti Matematik dan bacaan. Para pelajar yang terdiri di dalam golongan ini gemar dan bijak bergaul dengan rakan sebaya atau orang yang lebih dewasa. Mereka kurang bermasalah perilaku, malah sentiasa berbadan sihat. EQ ini dibuktikan sebagai benteng menahan stres atau ketegangan bukan sahaja di kalangan pelajar juga bagi guru dan ibu bapa. Kajian-kajian menunjukkan bahawa EQ memberi kesan positif terhadap penyesuaian seseorang dalam masyarakat berbanding dengan IQ. Pendidikan emosi dapat membebaskan pelajar daripada sikap negatif, rendah diri dan prasangka dan seterusnya membolehkan pelajar membesar dan matang sebagai individu yang sihat dan sedia menghormati diri dan idea orang lain. Ini menunjukkan satu petanda awal yang baik untuk mengatasi gejala sosial remaja di peringkat awalan lagi.

Penulis berpendapat bahawa sudah tiba masanya sistem pendidikan diubah ke arah melahirkan individu yang bukan hanya berintelek tinggi tetapi juga mampu menyesuaikan diri dengan keperluan dunia hari ini. Dalam keadaan perkembangan dunia dengan teknologi canggih serta persaingan hebat hari ini, IQ sahaja tidak mampu menjamin kejayaan seseorang individu tanpa EQ yang seimbang serta kemahiran-kemahiran yang lain.

5.2 Tahap Kekerapan Penilaian Pendidikan

Bagi remaja yang berada di dalam alam persekolahan, peperiksaan adalah dimestikan di dalam sistem pendidikan kita untuk menguji keupayaan akademiknya. Peperiksaan, sama ada pada tahap darjah enam (UPSR), tingkatan tiga (PMR), tingkatan lima (SPM), tingkatan enam (STPM) atau peringkat maktab, institut dan universiti, kesemuanya bakal menentukan masa depan seseorang remaja. Ianya dijadikan sebagai kayu pengukur di dalam memilih kerjaya yang dicita-citakan selama ini. Tidaklah keterlaluan untuk menyatakan bahawa keputusan sesuatu peperiksaan, terutama pada tahun akhir, tingkatan tiga, tingkatan lima, ataupun pada semester terakhir pengajian di universiti akan menentukan layar bahtera para pelajar seterusnya. Di dalam sistem penilaian yang sedia ada, pelajar hanyalah dinilai sekali sahaja, contohnya SPM, dan ini boleh menjejaskan keboleharapan (reliability) dan kesahan (validity) iaitu kekerapan penilaian dan bentuk soalan peperiksaan yang tidak menyeluruh disebabkan oleh faktor masa.

Aspek nasib memainkan unsur yang penting jika peperiksaan hanyalah dijalankan sekali. Jika pelajar tersebut bernasib baik iaitu soalan-soalan peperiksaan yang dikemukakan menyoal tepat apa yang kerap dibaca olehnya maka ia mempunyai kelebihan walaupun pada hal sebenarnya, dia mempunyai pengetahuan yang sungguh terhad. Jika dia tidak bernasib baik iaitu soalan yang diusulkan tidak menepati apa yang baca, maka dia akan menerima markah yang rendah. Jika inilah sebenarnya yang berlaku, maka kadar keciciran akan bertambah-tokok dan akhirnya mewujudkan satu golongan remaja yang tidak mampu untuk mengadaptasikan diri mereka dengan norma-norma masyarakat tempatan lantas dikecam sebagai sampah masyarakat.

5.2.1 Bentuk Peperiksaan dan Penilaian

Bentuk peperiksaan yang diamalkan untuk membina kecemerlangan seseorang pelajar pada masa kini ialah peperiksaan tanpa rujuk (closed-book examinations) dan tidak dinilai secara keseluruhan iaitu hanya tertumpu kepada satu peperiksaan sahaja. Peluang untuk melatih pelajar supaya berfikir lebih kritis dan kreatif, kebolehan mengaplikasi dan menganalisa amatlah terhad akibat bentuk peperiksaan yang terlalu formal. Apabila pelajar mempunyai persepsi peperiksaan perlukan penghafalan dan tidak berupaya untuk mengaplikasi apa yang dipelajari, mereka berkemungkinan besar akan menganggap pelajaran itu tidak penting dan hilang minat terhadap pelajaran. Maka, untuk meningkatkan tahap pencapaian akademik para pelajar di masa akan datang, diharapkan satu konsep peperiksaan yang lebih sistematik dapat diimplementasikan di sekolah-sekolah.

5.3 Kesinambungan Pendidikan Era Koridor Raya Multimedia (MSC)

Pendidikan di Malaysia sedang mengalami proses reformasi yang amat pesat. Penumpuan ke bidang sains dan teknik semakin menjadi keutamaan di setiap peringkat pendidikan. Adakah penerapan nilai-nilai murni berhasil dan berkesan ? Adakah pendidikan secara kuantitatifnya yang melahirkan jurutera, doktor, saintis atau seumpamanya meneliti sama ada disiplin keinsanan dipertahankan ? Disiplin keinsanan amat perlu di dalam negara yang sedang berkembang maju kerana pembangunan tidak hanya menumpu kepada aspek fizikal manusia dan negara tetapi lebih utama kualiti keinsanannya. Bukankah tahap kemajuan yang sedang dikecapi oleh Malaysia sebelum kegawatan ekonomi sudah cukup menjadikan kita gawat dan panik mengenai gejala sosial yang pantas melanda ? Pada masa yang sama, penulis juga risau gejala sosial yang bakal atau sudah diterima seperti merompak akibat keadaan ekonomi yang lembap. Kerisauan penulis memang benar jika kita merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Ong Ka Ting yang menyatakan kenaikan sebanyak 60 % kes jenayah dalam tempoh 6 bulan pertama tahun ini (Nanyang Siang Pau, 7 Ogos 1998). Walaupun peratus kenaikan ini tidak merujuk khas kepada golongan remaja, tetapi kualiti keinsanan atau nilai-nilai murni tetap sama di sanubari setiap orang.

5.4 Peranan dan Tanggungjawab Guru

Kebelakangan ini, tanggungjawab guru dibebankan bukan sekadar untuk menyalurkan ilmu pengetahuan tetapi dianggap menjadi bertambah penting terutamanya apabila kita memperkatakan soal gejala sosial. Guru dilihat sebagai ejen sosialis yang boleh membentuk masyarakat.

Mengikut Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berikutan penyakit sosial remaja, beliau menegaskan bahawa " sebenarnya, sistem pendidikan kita sudah cukup ramuan, cuma adunan dan cara memasak masih perlu diperbaiki." (Utusan Malaysia, 12 Februari 1997). Penulis berpendapat bahawa guru merupakan golongan yang penting untuk adunan dan cara memasak yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri kita.

Peranan guru sebenarnya dilihat sama pentingnya dengan ibu bapa dalam mempersiapkan satu angkatan yang boleh memikul tanggungjawab sebagai "Kyahra Ummah" sebagaimana yang dicadangkan oleh Allah s.w.t. dalam Al-Quran Surah Al-Karim. (Utusan Malaysia, 7 Mac 1997).

5.4.1 Sikap dan Tugas Seorang Guru

Dewasa ini, guru masih terkeliru dengan tanggungjawab mereka di sekolah dengan beranggapan bahawa tugas mereka ialah mengajar sesuatu mata pelajaran kepada pelajar sebagaimana yang telah diarahkan oleh pihak sekolah. Sedangkan tugas mereka sungguh bermakna dan mulia itu iaitu sebagai seorang pendidik yang akan mendidik pelajar menjadi insan yang berguna kepada masyarakat.

Justeru itu tugas guru tidak hanya terbatas sebagai seorang pengajar semata-mata yang mana apabila di luar waktu persekolahan ia sudah tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan para pelajarnya. Tanggapan yang salah seperti ini perlu dikikis oleh setiap guru demi melahirkan generasi yang memiliki kekuatan IQ, EQ dan SQ sebagai persediaan menghadapi cabaran menuju alaf baru.

Setiap guru perlu menganggap diri mereka sebagai teman, fasilitator dan kaunselor kepada pelajar. Justeru itu, sistem hubungan dua hala antara guru dan pelajar di mana penulis telah membincangkan sebelum ini haruslah diwujudkan di sekolah-sekolah iaitu bukan sekadar melibatkan masalah akademik tetapi juga masalah peribadi pelajar untuk membolehkan pihak sekolah mengesan gejala yang tidak sihat di peringkat awal sebelum mereka benar-benar terjebak dalam kes polis.

5.4.2 Kaedah Pengajaran

Kelemahan kaedah penyampaian sesuatu mata pelajaran boleh menghapuskan minat seseorang pelajar terhadap pelajaran. Sikap guru yang hanya sekadar menyampaikan maklumat mengenai mata pelajaran yang dipertanggunjawabkan ke atasnya sahaja, perlu diperbetulkan. Jikalau seseorang guru itu mengajar matapelajaran Sejarah, maka guru tersebut cuma akan menyuruh pelajarnya menghafal mengenai sejarah..… Soal apakah pengajaran yang boleh diperolehi daripada mempelajari sejarah itu tidak ditekankan. Situasi ini akan menyebabkan remaja kita hilang minat terhadap mata pelajaran yang dipelajarinya. Dalam apa juga mata pelajaran di sekolah, guru boleh menerangkan mengenai pengajaran dan iktibar yang boleh diambil daripada sesuatu perkara yang diajar. Bermacam peristiwa dalam sejarah boleh digunakan sebagai contoh atau di dalam mata pelajaran Geografi pula bagi guru berkenaan, kita boleh tunjukkan kaitan dengan nilai hidup dan bagaimana sebuah negara yang wujud dahulu boleh hilang sekarang.

Contoh-contoh berikut dipetik dalam Sunday Star (19 July 1998) ruangan Education – "What’s being taught in school?" oleh Very Worried Parent terhadap sikap guru yang dapat menghapuskan fikiran kreatif remaja.

1. In a year 2 Moral Education test paper, there was a picture of a blind man standing by the road.

Question : What should you do?

Teacher’s answer : Help him cross the road.

Child’s argument : How do I know he wants to cross the road ? May

be he just crossed the road.

2. In a Year 3 composition test, children were given a picture composition. The picture showed many children celebrating with some adults. There is a picture of a cake and a child being given a gift. The occasion for the celebration was not made known. One child wrote a composition about a prize-giving ceremony where one mother sends a cake to school for the children to celebrate.

Keputusan guru pertama ialah dia tidak menghiraukan pandangan pelajarnya untuk contoh pertama. Tetapi, lebih malang bagi pelajar contoh kedua kerana pelajar tersebut tidak mendapat sebarang markah atas alasan jawapan yang dikemukakan itu keluar tajuk kerana guru tersebut tidak menerima sebarang isi kandungan yang tidak merujuk kepada harijadi seseorang. Pendapat guru tersebut ialah "cake" mesti dikaitkan dengan harijadi. Guru tersebut tidak menimbangkan jalan bahasa, tatabahasa dan pembinaan ayat. Apakah kesan dalaman yang telah diserap oleh pelajar yang masih muda ini ?

6.0 Cadangan-cadangan Untuk Mempertingkatkan Kualiti Pendidikan

Setelah meneliti pembincangan di atas, penulis ingin mengemukakan beberapa langkah mengatasi masalah sedia ada melalui perubahan pada sistem pendidikan kita. Penulis juga menaruh harapan besar kepada pihak berkuasa seperti Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), Bahagian Sekolah dan Bahagian Pendidikan Guru agar sama-sama merangka satu kurikulum yang dapat merealisasikan matlamat FPN sejajar dengan impian negara untuk melahirkan sebuah generasi yang mampan di dalam mengatasi aspek-aspek yang berkaitan dengan gejala sosial remaja.

6.1 Mengutamakan Perkembangan EQ Sejajar Dengan IQ

Sistem pendidikan negara yang menekankan pembangunan seimbang antara IQ dan EQ seseorang yang sekaligus selari dengan keperluan dan perkembangan semasa, perlu diperkenalkan. Kurikulum yang menekankan pembinaan individu secara globalisasi serta perkembangan seimbang antara IQ dan EQ sememangnya perlu dalam membangunkan individu.

Kepentingan EQ telah pun dibincangkan dengan contoh-contoh relevan yang dikemukakan. Pendidikan emosi perlu dikenalpasti termasuklah cara perlaksanaannya. Penulis menyokong supaya ko-kurikulum diberi ruangan yang lebih untuk diperkembangkan. Penglibatan dalam persatuan atau kelab seperti Pengakap berupaya untuk melatih remaja bekerja di dalam kumpulan dan mendirikan espirit de corps, serta mempunyai ciri-ciri sebagai seorang pemimpin.

Badan-badan sukarelawan seperti Rotary (Rotary Youth Leadership Awards) dan MIM di Malaysia ada menawarkan program kepimpinan kepada remaja untuk mengembangkan EQ mereka. Jika Pendidikan Emosi yang khas tidak dicadangkan oleh Kementerian Pendidikan, pihak sekolah perlulah sedar akan kepentingannya dan mengenalpasti cara-cara untuk mengembangkan kemahiran EQ di kalangan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Daniel Goleman mencadangkan salah satu masa untuk memperkenalkan EQ ialah pada masa rehat hari sekolah selain melalui aktiviti-aktiviti ko-kurikulum. Aktiviti mungkin berbentuk penyelesaian konflik dalam permainan. Sistem pendidikan seperti yang diaplikasikan di Amerika Syarikat, mengambilkira aktiviti–aktiviti dalam ko-kurikulum termasuk sukan dan permainan untuk penilaian terakhir para pelajar.

6.2 Kekerapan Penilaian Dan Menyeluruh

Sistem peperiksaan di semua peringkat sekolah tetap perlu dilaksanakan untuk menilai kemampuan pelajar tetapi hendaklah dinilai secara keseluruhan dan sepanjang masa iaitu markah keseluruhan pelajar adalah merangkumi semua aktiviti kurikulum mahu pun ko-kurikulum dan bukanlah hanya sekadar peperiksaan di hujung tahun sahaja sejajar dengan perkembangan EQ.

Walaupun tugas guru mungkin bertambah, penilaian menyeluruh itu lebih berkesan untuk memastikan keseimbangan perkembangan IQ dan EQ seseorang pelajar. Sebagai contoh, untuk Penilaian Tahap Satu (PTS), guru-guru di sekolah juga perlu diberi kuasa menilai kerana dari satu sudut, mereka lebih arif sama ada pelajar di bawah seliaan mereka mampu atau tidak untuk melompat kelas.

Untuk mengatasi unsur nasib dalam peperiksaan, Ronald Turner dalam kertas kerjanya, TQM in the College Classroom, mencadangkan supaya :-

  1. Pelajar dibenarkan mengambil semula peperiksaan jika mereka beranggapan bahawa soalan peperiksaan berada di bawah pengetahuan sedia ada mereka. Keputusannya ialah terdapat 5% pelajar menjalani peperiksaan berulangan.
  2. Kekerapan peperiksaan diadakan sebanyak 10 – 12 kali di dalam satu semester. Unsur nasib tidak sejelas dahulu iaitu dapat mempengaruhi pencapaian seseorang.

Apabila keboleharapan dan kesahan dalam peperiksaan diperolehi, diiringi dengan penilaian dalam ko-kurikulum, penilaian terhadap pelajar akan menjadi lebih lengkap dan berkesan. Secara tidak langsung, kaedah perlaksanaan ini mampu untuk menanamkan sifat-sifat minat, tanggungjawab dan gigih terhadap mata pelajaran dan sekolah.

6.2.1 Peralihan Kepada Peperiksaan Boleh Rujuk

Penulis mencadangkan supaya pihak berkuasa memikirkan kemungkinan menjalankan sistem peperiksaan boleh rujuk (open-book examination). Tetapi, apakah kriteria yang seharusnya dinilai ? Adakah sudah memadai iaitu bakal pemimpin kita dengan hanya sekadar berupaya memiliki pemikiran peringkat rendah (low-order thinking skills) ? Kita perlu melatih mereka supaya berupaya untuk mengaplikasi, menganalisis, dan berfikiran kritis serta kreatif. Kejayaan seseorang dalam sistem peperiksaan sedia ada iaitu tanpa rujuk lebih bergantung kepada daya ingatan. Cuba kita renungkan sejenak tiga soalan di bawah :-

(S1) Pada tahun bilakah zaman kesultanan Melaka berakhir ?

(S2). Siapakah sultan terakhir pada zaman kesultanan Melaka ?

(S3). Jika pendekatan pemerintahan Sultan Mahmud Shah pada zaman kesultanan Melaka sama dengan Sultan sebelumnya, mampukah pihak Portugis menawan Melaka pada tahun 1511 ?

Soalan (1) dan (2) memerlukan pelajar untuk menghafal, menguji pemikiran peringkat rendah dan dijalankan melalui peperiksaan tanpa rujuk Manakala Soalan (3) boleh dijalankan melalui peperiksaan boleh rujuk di mana melibatkan ciri-ciri pemikiran peringkat tinggi. Pelajar akan dilatih cara mengumpul, menganalisa data dan sebagai rekaan terhadap idea baru selepas memahami fakta berkenaan, bukannya melalui penghafalan. Cuba kita melupakan gelagat yang ditunjukkan oleh remaja bermasalah, dan memikirkan tahap pemikiran mereka. Penulis percaya ada segelintir mereka yang boleh berfikir secara kreatif dan kritis. Sebagai contoh, mereka memerlukan idea-idea untuk merompak. Golongan inilah yang benci terhadap konsep pembelajaran yang berdasarkan kepada penghafalan fakta-fakta dan akhirnya mereka tercicir daripada persekolahan.

Format peperiksaan iaitu bentuk boleh rujuk mampu melatih pelajar dalam aspek komunikasi secara bertulis, dan berfikir secara kritis, kreatif, serta kemampuan aplikasi.

Jika peperiksaan boleh rujuk diperkenalkan, para pelajar yang diberhentikan sekolah atas alasan meniru sewaktu peperiksaan atau membawa cebisan nota kecil yang berkaitan dengan fakta yang berkenaan mungkin tidak akan berlaku lagi. Kita mengalu-alukan perubahan yang mampu melahirkan generasi pelajar yang bukan hanya mempunyai intelektual tetapi juga mahir berfikir, menganalisis serta mempunyai pengetahuan lain yang perlu untuk menjalani kehidupan. Nescaya, kadar penglibatan golongan remaja di dalam gejala sosial mampu diminimumkan.

Penerokaan kurikulum haruslah berdaya untuk memupuk atau melatih daya fikiran dan merangkumi penyediaan tugasan para pelajar secara berterusan termasuklah menyiapkan projek untuk dijadikan salah satu kriteria pengukuran di dalam penilaian pelajar dan bukannya semata-mata ujian bertulis sahaja.

Pengetahuan tentang kemahiran hidup juga perlu diberikan perhatian di dalam sistem pendidikan untuk melahirkan pelajar yang mudah menyesuaikan diri dengan dunia luar selain daripada persekitaran sekolah. Jika sejak kecil lagi, mereka diasuh tentang kemahiran hidup di samping ilmu pengetahuan yang lain, maka akan lahirlah generasi yang boleh berdikari dan keputusan cemerlang bukanlah satu-satunya penentu hidup masa depan mereka.

6.3 Pemupukan Nilai-Nilai Murni

Spiritual Quotient (SQ) merujuk kepada nilai dan kelakuan personal. Ia sebagai satu garisan pemisah terhadap baik dan buruk, betul dan salah. Melalui pendidikan, remaja perlu dilatih supaya menyedari tanggungjawab beragama dan berakhlak; mematuhi perintah Tuhan, menghormati ibu bapa, membenci rasuah dan dadah, menjadi orang yang berbudi pekerti mulia serta seterusnya menjadi warganegara yang taat dan setia.

Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral telah dilaksanakan di semua sekolah rendah pada tahun 1982 dan 1983 bertujuan untuk mendedahkan para pelajar kepada nilai-nilai murni. Pengajaran "fakta" memang berbeza daripada pengajaran "nilai". Ia mesti diperkukuhkan dengan kesedaran, keyakinan dan amalan.

Tetapi nampaknya kita perlu menyahut seruan Perdana Menteri berikutan gejala sosial yang masih menjadi-jadi. Beliau menyeru supaya kita memikirkan bagaimana unsur-unsur moraliti, jati diri, kejituan ilmu dan sebagainya itu dapat "dianyam" secara lunak ke dalam keseluruhan sistem pendidikan kita tanpa menamakan mana-mana mata pelajaran khusus sebagai kursus moral dan sebagainya (Utusan Malaysia, 11 Mac 1998).

Untuk memastikan penerapan nilai-nilai murni akan berhasil dan berkesan, penulis mencadang nilai-nilai murni disisipkan melalui semua mata pelajaran dan diperkukuhkan pula melalui kegiatan-kegiatan ko-kurikulum dan pembentukan budaya sekolah yang positif. Ringkasnya, untuk menjayakan penerapan nilai dalam KBSM, kurikulum formal perlu dilaksanakan secara bersepadu dengan kurikulum tidak formal.

6.3.1 Pendidikan Kesusasteraan

Pendidikan kesusasteraan yang semakin tersisih dalam sistem pendidikan sekarang ini perlu diberi penekanan semula dalam sistem yang sedang dikaji itu. Sastera sebenarnya boleh membantu para pelajar menghayati nilai-nilai murni seperti ketinggian moral, etika dan rasa kemanusiaan. Pengajian sastera, pendidikan sejarah, pendidikan sains, penguasaan bahasa, kajian Malaysia dan peradaban Islam mengandungi unsur-unsur yang dapat mengukuhkan binaan moraliti dalam diri seseorang selain pendidikan agama.

6.3.2 Sistem Pendidikan Mentor-Mentee

Sistem pendidikan mentor yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan perlu diperluaskan lagi ke kawasan-kawasan terutama di bandar. Ini adalah penting untuk mempertingkatkan pengetahuan pendidikan agama di kalangan remaja. Guru pada masa ini tidak mempunyai kesempatan secukupnya untuk mengawal masalah sosial di kalangan remaja dan peranan itu dapat dimainkan oleh seorang mentor. Sistem mentor itu adalah sistem pendidikan agama dan moral yang dikendalikan oleh Pusat Islam dengan melantik guru-guru agama khas di sesebuah kawasan. Sistem itu yang sebelum ini hanya dilaksanakan di kawasan luar bandar menunjukkan remaja mula berminat mempelajari agama di samping menghormati golongan yang lebih tua. (Utusan Malaysia, 20 Julai 1997).

Contohnya di Politeknik Shah Alam (PSA) sewaktu penulis menjalani latihan mengajar, didapati bahawa sistem mentor telah dilaksanakan di institusi tersebut. Seorang pensyarah (mentor) bertanggungjawab kepada beberapa orang pelajar (mentee) dari segi soal peribadi dan juga pelajaran demi menjayakan kecemerlangan akademik pelajar-pelajar berkenaan tanpa mengira etnik. Mengapa pula ia tidak diperluaskan ke sekolah-sekolah ? Idea ini perlu diserapkan ke semua peringkat sekolah. Mereka masih tidak matang dan perlu dibimbing dalam pelbagai aspek.

6.4 Penubuhan Kumpulan Peningkatan Kualiti

Perbincangan mengenai peranan dan tanggungjawab guru dan cadangan-cadangan telah dibincangkan dalam bahagian 5.4, 5.4.1 dan 5.4.2. Walau bagaimanapun, penulis ingin mencadangkan beberapa langkah yang dikenalpasti keperluannya dan perlu diaplikasikan oleh seorang guru. Langkah-langkah ini lebih bernas dan sistematik. Langkah-langkah ini telah diumumkan oleh Dr. Ahmad Farhan melalui hasil kajiannya di PPKA, USM. Satu kumpulan peningkatan kualiti yang terdiri daripada guru-guru perlu diadakan untuk mengaplikasikan langkah-langkah yang berikut :-

1. Menolong pelajar lemah;

2. Mempertingkat kecemerlangan pelajar;

3. Mengenalpasti punca masalah pelajar;

4. Mengenalpasti faktor kejayaan pelajar;

5. Menerangkan projek dan strategi yang dapat membantu; dan

6. Mengawasi kemajuan pelajar melalui proses pemantauan.

Untuk melaksanakan langkah-langkah di atas, seorang guru perlu dilengkapi dengan teknik pengurusan yang berkesan seperti perancangan strategik. Penulis mencadangkan pihak sekolah perlu memastikan yang setiap gurunya memahami Kualti Pengurusan Menyeluruh atau dikenali sebagai Total Quality Management (TQM) sebagai langkah ke arah menjayakan FPN.

7.0 Penerapan Falsafah TQM Seiring Dengan FPN

Sesebuah institusi pengajian mestilah mempunyai pengurusan yang cekap, terancang, dan mempunyai strategi dalam aspek pendidikan seperti dalam kualiti pelaksanaan kurikulum, kualiti pengajaran dan aktiviti pelajar, kualiti iklim dan budaya sekolah dan lain-lain lagi.

Di Malaysia, TQM merupakan salah satu pendekatan ke arah meninggikan kualiti di institusi pengajian yang menyeluruh dalam menangani isu, matlamat, dan kepentingan pendidikan, selaras dengan FPN untuk melahirkan generasi muda yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Pendekatan TQM merupakan satu-satunya alternatif yang dapat memperbaiki lagi prestasi serta komitmen terhadap kecemerlangan. Hal ini kerana TQM memerlukan semua yang terlibat menuju ke arah satu pemikiran yang baru, satu inisiatif yang jitu serta pengetahuan yang membina di kalangan anggota organisasi tersebut.

Konsep-konsep utama di dalam TQM boleh diaplikasikan dalam bidang pengajaran dan pembelajaran. Salah satu contoh yang diberi oleh Oblinger D. dalam kertas kerjanya, "A Continuous Improvement Process" ialah "One-minute essays". Ia diadakan pada setiap penghujung kelas iaitu pelajar menulis kefahaman dan kekeliruan terhadap apa yang telah belajar untuk sesi kelas tersebut. Ini memberi maklumbalas serta-merta terhadap kecekapan pengajaran dan pembelajaran. Tindakan seterus disusuli melalui e-mel atau pada kelas yang akan datang.

7.1 Melayan Pelajar Sebagai Pelanggan

Kualiti diertikan sebagai sesuatu yang memenuhi kehendak pelanggan iaitu apa-apa yang pelanggan (pelajar) mahu dari kita. Keperluan pelajar sepatutnya dipenuhi dan bagaimana keperluan pelajar dilihat faktor penting terhadap kejayaan. Seorang guru boleh bertanya kepada pelajar "Apa keperluan anda untuk mengecapi kejayaan ?" Jawapan dari pelajar mungkin berbunyi, "Terus beri saya A tanpa tugasan,". Jika ia menjadi jawapan, maka ia tidak boleh dikatakan sebagai pemenuhan keperluan pelajar. Sekolah yang terus memberi pelajarnya A bererti tidak mempunyai kualiti dan nilai. Melihat mereka sebagai pelanggan tidak bererti memberi mereka A terus dan abaikan kualiti. Kita harus mengukur kejayaan dengan sebaik mana pelajar tersebut belajar dan bagaimana mereka menghargai pengalaman di dalam bilik kelas.

Turner. R melalui kertas kerjanya bertajuk "TQM in the College Classroom" memberi kebebasan terhadap kedatangan kelas ke atas pelajar yang berumur antara 18 hingga 70 tahun di atas anggapan ini. Menurutnya, golongan yang berada dalam peringkat umur ini mampu memberitahu sesudah mempelajari sesuatu atau pembaziran masa dalam kelas-kelas tertentu. Akan tetapi, penulis lebih menyarankan pengaplikasian kedatangan kelas dilayan secara individu. Sebahagian pelajar yang hanya merujuk nota dari kawannya dan membaca bahan-bahan berkenaan tanpa datang kecuali hari ujian kebanyakan didapati mampu mendapat A dan B. Asalkan ini adalah keperluan pelajar di samping standard masih dapat dikekalkan, maka beliau menyokong kebebasan pelajar dari segi kedatangan kelas.

Keperluan-keperluan yang dimaksudkan di sini boleh terdiri dari perkhidmatan dan layanan yang ingin diterima oleh pelajar. Sebagai contoh, bersopan-santun, mesra, atau kestrategikan lokasi dan kemudahan fizikal yang mudah dikunjungi dan sebagainya. Oblinger D. telah mengaplikasikan konsep pelanggan ini di Universiti Oregon State. Pelajar telah ditanya mengenai cara pembelajaran yang mereka inginkan bagi satu kursus. Tujuan kursus telah dimaklumkan. Pelajar diarahkan untuk menulis tiga perkara yang mereka "sangat ingin" dan "kurang ingin" lakukan mengikut keutamaan. Maklumbalas dari pelajar sebagai input dan membolehkan beliau membuat pendirian terhadap kursus tersebut di mana beliau menyatukan kursus tersebut mengikut kehendak guru, sejajar dengan persepsi pelajar. Guru masih merangka cara perjalanan dan matlamat kursus kepada apa yang hendak diajar. Tetapi, cara pengajaran seseorang guru telah dipengaruhi atau lebih mirip kepada keperluan pelajar (pelanggan).

Kegagalan pelajar sebelum TQM disifat sebagai malas, tidak membuat ulangkaji atau persediaan yang tidak rapi. Apabila pelajar dianggap sebagai pelanggan, kegagalan akan disifatkan sebagai keperluan pelajar tidak dipenuhi. Jadi, pendekatan terhadap cara pengajaran akan diambil oleh guru supaya ia lebih berkesan kepada pelajar dan bukan lagi hanya memberitahu pelajar untuk "belajar dengan betul-betul".

7.1.2 Rakan Sekerja Adalah Pelanggan

Rakan sekerja dalam proses pengajaran dan pembelajaran ialah guru yang menerima kerja seterusnya (pelanggan) daripada seorang guru yang lain. Ini boleh diibaratkan kepada seorang guru kalkulus melihat guru kejuruteraan sebagai pelanggannya. Ini bertujuan menjayakan akademik setiap pelajar pada keseluruhannya. Sebelum mempelajari kejuruteraan, pelajar perlu menguasai kalkulus dahulu. Turner R. dalam kertas kerja "TQM in the College Classroom" telah mengaplikasikan konsep ini. Kegagalan pelajar sebanyak 25% hingga 30% dalam mata pelajarannya Pengenalan Kepada Ekonomi telah diketahui sebabnya selepas beliau cuba mengaplikasikan konsep ini. Kesimpulan kepada kegagalan ialah mereka kekurangan kemahiran matematik untuk membaca graf dan pengelolaan persamaan. Pada kelas minggu pertama, beliau telah menyoal soalan-soalan tentang algebra dan menasihatkan pelajar supaya tidak mengambil mata pelajarannya jika gagal menjawab semua soalan yang diberikan. Hasilnya ialah kegagalan pelajar dalam mata pelajaran Pengenalan Kepada Ekonomi telah dapat dikurangkan dari 25% ke 5%. Penglibatan pelajar dalam kursus algebra telah meningkat secara mendadak.

Setelah menyedari pentingnya konsep ini, beliau seterusnya membincang dengan guru yang mengajar mata pelajaran Pemasaran iaitu pelanggan beliau kepada mata pelajaran Ekonomi. Beliau dinasihatkan supaya menekankan kepada konsep Ekonomi tentang "demand" supaya pelajar akan lebih mudah menguasai "price theory". Pada masa yang sama, beliau menerima maklumbalas dari guru Pemasaran tentang apa yang masih pelajar ingat dalam Pengenalan Kepada Ekonomi.

7.2 Kerja Berpasukan (Team Work)

Bekerja secara berpasukan merupakan salah satu elemen penting TQM maka semasa menjalankan projek sama ada di dalam kuliah atau pengajian tahun akhir, pelajar seharusnya bekerja secara berpasukan dan bukan secara individu. Sekiranya projek ini diolah dengan sebegini rupa, secara tidak langsung pelajar akan menyedari yang matlamat berpasukan adalah lebih penting daripada matlamat peribadi. Sekaligus ini menggalakkan pelajar untuk saling bekerjasama demi kebaikan pasukan. Jika persekitaran ini didedahkan kepada pelajar dari awal lagi, budaya berpasukan ini boleh diterapkan sehingga ia menjadi sebati dengan jiwa pelajar. Banyak kajian menunjukkan sekiranya sesuatu itu dilakukan dengan berulang kali, lambat laun ia akan menjadi tabiat dalam budaya.

Turner R. mencadangkan supaya kunjung-mengunjungi di kalangan guru sesama sendiri. Saranan ini bukan sahaja mengaplikasikan kerja secara berpasukan, tetapi juga menolak pemikiran bukan TQM iaitu hanya guru senior sahaja yang perlu untuk melakukan pemantauan ke atas kelas guru baru demi menentukan kebolehannya. Motif di sebalik kunjungan kelas ini ialah mencari pengalaman mengajar dan bukan untuk mencari kesilapan seseorang guru. Proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih cekap akan dapat digunakan. Jadi, motif atas TQM ialah apa yang boleh dipelajari daripada mereka.

7.3 Kemajuan Berterusan (Continuous Improvement)

Salah satu aspek praktikal TQM ialah peningkatan kualiti secara berterusan dengan menggunakan beberapa kaedah atau teknik penyelesaian masalah secara saintifik untuk memahami masalah sebenar, menganalisis sebab dan punca, dan mencadangkan penambahbaikan. Teknik statistik dan empirikal boleh digunakan iaitu:-

  1. Carta Aliran

Untuk menunjukkan setiap langkah delam sesuatu proses bagi mengenalpasti duplikasi atau ketidakcekapan dalam proses tersebut.

2. Rajah Sebab Akibat Ishikawa

Untuk mengenalpasti hubungan antara sebab dan punca sesuatu masalah.

  1. Carta Semasa

Untuk menunjukkan arah aliran mengikut masa.

4. Carta Pareto

Untuk mengenalpasti dan membezakan sebab utama daripada sebab sampingan yang dipamerkan sebagai carta bar menegak.

5. Histogram

Untuk mengenalpasti dan mempamerkan maklumat menerusi carta bar yang menunjukkan taburan unit kategori atau ukuran.

  1. Carta Kawalan

Untuk mengenalpasti sama ada sesuatu proses itu stabil dan sebab berlakunya variasi.

7. Carta Pertaburan

Untuk menunjukkan kekuatan perhubungan antara dua faktor pembolehubah.

Teknik-teknik ini adalah sistematik dan saintifik, kerana kajian yang lebih berkesan dan teliti akan dijalankan. Lampiran 3 menunjukkan cara penggunaan teknik "Sebab Akibat Ishikawa" ke atas kekurangan kualiti di sekolah oleh Schargel F. Penulis menyokong penuh kegunaan teknik ini dalam menandatangani masalah disiplin pelajar. Adalah tidak menghairankan mengapa masalah disiplin masih terjadi-jadi kerana tindakan dari pihak sekolah adalah tidak menyeluruh dan tidak mendalam kajiannya. Biasanya, pelajar akan diberi amaran buat kali pertama dan kedua dan merotan bagi kali ketiga sebagai penghabisan tugas seorang guru disiplin sedangkan sebab di sebalik pelanggaran disiplin pelajar tidak dikaji.

Kajian oleh Turner R. juga mencadangkan supaya guru perlu memperuntukkan masa sebanyak 5% hingga 10% daripada masa kuliah untuk kemajuan berterusan iaitu seorang guru perlu mengambil 3 atau 5 minit jika masa kuliah ialah 50 minit. Pengumpulan maklumat daripada pelajar dan brainstorming merupakan dua cara yang boleh memajukan proses pembelajaran.

 

Beliau telah mengarahkan pelajar menjawab solan-soalan berikut untuk tiap-tiap minggu :-

a) Adakah pengajaran dan pembelajaran kelas hari ini mencukupi?

b) Berikan cadangan atau komen untuk memajukan kelas.

c) Adakah anda mengulangkaji dan membuat kerja rumah untuk kelas ini ?

d) Apakah soalan-soalan yang anda inginkan jawapan ?

e) Berapa lamakah anda memperuntukkan masa belajar untuk kelas ini sejak kelas terdahulu ?

Menurutnya, kerja tersebut tidak merugikan masa. Tetapi, maklumbalas atau cadangan-cadangan daripada pelajar telah menjimatkan masa berikutan peningkatan kecekapan pengajaran beliau. Masa untuk mengulangkaji kelas terdahulu telah dapat dikurangkan.

Pendek kata, TQM dapat dijadikan satu pendekatan yang praktikal untuk dilaksanakan dalam pengurusan bilik darjah yang membabitkan keseluruhan proses pengajaran dan pembelajaran. Kecekapan seseorang guru sebagai pengurus bergantung pada bagaimanakah beliau mengendalikan dan menjadikan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah menarik dan berkesan. Pendekatan TQM dalam pengurusan pengajaran dan pembelajaran di bilik kelas memerlukan seseorang guru memahami murid-muridnya dari segi perbezaan kebolehan, merancang pengajaran dan pembelajaran aktif yang melibatkan pelajar yang berbeza kebolehan, mengadakan gerak kerja susulan sama ada pengayaan atau pemulihan, dan menilai pencapaian murid sebagai gambaran kualiti pengajaran guru keseluruhannya. Pengurusan bilik darjah juga melibatkan penggunaan masa yang dapat memaksimumkan objektif pelajaran yang dirancang. Para pelajar dalam hal ini didapati terarah dan dapat diorientasikan kepada sesuatu pelajaran yang mengembangkan potensi intelek, emosi, dan rohani mereka.

8.0 Kesimpulan

Sejak berkurun lamanya, institusi pendidikan telah memainkan peranan dalam mencorakkan kualiti moral dan akhlak yang mulia seperti yang dituntut oleh masyarakat. Melalui sistem pendidikan, para pelajar akan melalui proses sosialisasi moral dan proses pembesaran yang diorientasikan dan diperkukuhkan dengan pelbagai tanggungjawab sosial. Pembangunan serta perubahan sosial dalam masyarakat memerlukan perubahan dalam sistem pendidikan di sekolah bagi memenuhi keperluan pelajar sesuai dengan keadaan sekeliling. Kita perlu memikirkan kembali sejauh manakah keberkesanan sistem pendidikan kita pada hari ini memandangkan isu gejala sosial remaja yang makin hari makin menular.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa menguasai kemahiran daya fikir (intelektual) merupakan kunci kejayaan setiap individu. Tetapi, perkembangan manusia yang sempurna perlu dilengkapkan dengan penguasaan emosi dan insaniah sejajar dengan kepentingan akademik. Kedua-dua bentuk kurikulum, (formal dan tidak formal), di dalam dan di luar bilik darjah, perlu digunakan sepenuhnya dan secara bersepadu untuk memastikan penerapan nilai-nilai murni berhasil dan berkesan. Adalah penting format peperiksaan memenuhi unsur keboleharapan dan kesahan. Penilaian terhadap pelajar perlulah menyeluruh. Falsafah seperti TQM perlulah diterapkan ke semua peringkat sekolah demi menjayakan akademik remaja.

Akhir sekali, diharapkan supaya kualiti pendidikan dapat ditegakkan dengan cara membina benteng ketahanan dalam diri seseorang pelajar (golongan remaja) melalui penggarapan nilai-nilai moral dan etika. Penggarapan nilai-nilai moral dan etika mampu untuk membebaskan masyarakat daripada sebarang gejala buruk dan menjadi asas kepada pembentukan masyarakat yang bebas dari gejala jenayah dan keruntuhan moral.

 

RUJUKAN

 

Al-Munsyi (1995). "TQM Dalam Pendidikan." Dewan Masyarakat. Disember; 23-25.

 

Kamarrudin Jusoh (1997). "Keluhan Bekas Guru Disiplin." MASSA. 5 April.

 

Marimuthu. T (1990). "Pengenalan Sosialogi Pendidikan." Petaling Jaya : Fajar Bakti Sdn. Bhd.

 

Mok Soon Sang (1996). "Pendidikan Di Malaysia." Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

 

Roger. G (1990). "Problems of Sociolagy In Education." London : Jessica Kingsley Pub.

 

Shahnon Ahmad (1997). "Information Malaysia 1997 Year Book." Berita Harian. 14 November.

 

Sharifah. A.A (1988). "Sosiology Pendidikan." Petaling Jaya : Longman.

 

Turner. R (1995). "TQM In The College Classroom." Quality Progress. 10 October.

 

Rujukan Internet

 

http://www.6seconds.org/research The Six EQ Fundamentals

http://www.connected.org/learn/school Emotional Intelligence In

Schools

http://www.e-cafe.com/aha4kids.com Emotional Intelligence

LAMPIRAN 1

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

LAMPIRAN 2

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

LAMPIRAN 3