KERTAS KERJA SOSIOLOGI PENDIDIKAN (MTT 3303)

SEJARAH PENDIDIKAN DI MALAYSIA

Rasional Pemilihan Tajuk

Pendidikan memainkan peranan yang amat penting sebagai agen dan alat untuk memupuk, memelihara dan menjaga perpaduan dan keharmonian kaum dalam mana-mana negara dia alam jagat ini. Bertitik tolak daripada fakta inilah agenda perencanaan dan perlaksanaan dasar pendidikan sesebuah negara wajib mempunyai komponen dan eleman menyatupadukan rakyat khususnya bagi negara yang mempunyai masyarakat majmuk. Diatas kesedaran inilah timbul dikalangan tokoh-tokoh pendidikan tentang betapa significannya diadakan satu sistem pendidikan kebangsaan bagi menggantikan sistem pendidikan kolonial yang telah ditinggalkan oleh British. Maka reformasi pendidikan mula berlaku dan lahirlah Dasar Pendidikan (pelajaran) Kebangsaan melalui Penyata Razak 1956 dan termaktub dalam Ordinan Pelajaran 1957. Reformasi pendidikan berlaku pada tahun 1960 dan lahir Laporan Rahman Talib dan kemudiannya termaktub dalam Akta Pelajaran 1961. Reformasi pendidikan terus berlaku sehingga lahir Laporan Jawatankuasa 1979. Laungan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad menjadikan Malaysia sebuah negara maju menerusi aspirasi Wawasan 2020 nya dan cetusan idea Koridor Raya Multimedia (MSC) sudah barang tentunya merancakkan lagi reformasi pendidikan. Satu tinjauan dibuat dalam kertas penyelidikan ini mengenai reformasi-reformasi pendidikan menuju alaf baru sehingga apakah nanti pendidikan kita wajar digelar pendidikan bertaraf dunia bak kata pepatah "duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi" dengan pendidkan di Amerika, Britain dan lain-lain.

Pengenalan

Pendidikan di Malaysia sejak awal kewujudannya telah mengalami berbagai perubahan atau reformasi akibat daripada tinggalan sistem pendidikan kolonial yang kuat pegangan kepada sistem pecah-perintahnya. Perubahan-perubahan juga turut dibuat atas desakan etnik-etnik mengenai sistem pendidikan venakular mereka. Berbagai perubahan juga dibuat akibat daripada kehendak proses asimilasi daripada penduduknya yang berbilang bahasa sehingga terbentuknya masyarakat beridentitikan Malaysia.

Kini Malaysia terus mencorakkan sistem pendidikan agar kesinambungan terjalin bersama Wawasan 2020 dengan Koridor Raya Multi Media menuju alaf baru. Tinjauan merangkumi; masa depan pelajar aliran agama, penubuhan Universiti Perguruan dan isu perubahan sistem peperiksaan

Menyingkap Sejarah Pendidikan di Malaysia.

Sejarah awal pendidikan di Malaysia telah dikenal pasti kewujudannya. Masyarakat Melayu telah mendidik anak mereka merangkumi berbagai perkara mengenai kehidupan, alam mistik, membuat senjata atau seni mempertahankan diri melalui satu sistem pendidikan tidak formal. Sesebuah keluarga mempunyai pendekatan tersendiri dalam mendidik yang berbeza. Sehinggalah kedatangan para ulamak dari Tanah Arab & India dengan tujuan menyebarkan ajaran Islam telah membuka pondok-pondok untuk belajar tentang ajaran Islam. Para ulamak ini mungkin pada dasarnya telah berjaya mendekati masyarakat Melayu yang telah diketahui umum sebagai masyarakat yang kaya dengan pegangan kuat terhadap adat dan budaya nenek moyang mereka. Kepakaran sosiologi para ulamak ini telah berjaya membuka hati masyarakat untuk memeluk Islam. Para ulamak ini mempunyai corak pendidikan yang lebih sistematik iaitu pecahan kepada ajaran Islam iaitu pelajaran Al-Quran, Tauhid, Fekah, Fardu Ain, Fardu Kifayah dan lain-lain.

Penjajahan demi penjahan yang dialami sedikit sebanyak mempengaruhi kurikulum pendidikan Islam ini. Penjajah paling lama menjajah adalah British, kolonial inilah yang telah mewarnakan dunia pendidikan di Tanah Melayu dari mula mereka menjajah sehingga ke hari ini. Pada tahun 1816, berdiri megah Penang Free School diikuti tujuh tahun kemudiannya Raffles Institution, tiga tahun kemudiannya iaitu Malacca Free School dan pada tahun 1906, King Edward VII. Pada waktu itu sekolah-sekolah ini dianggap elit dan pada waktu yang sama masyarakat Melayu menganggap sekolah-sekolah yang ditubuhkan oleh kolonial ini sebagai tempat penyebaran agama Kristian sebagaimana yang telah diketahui, sekolah-sekolah ini ditadbir oleh paderi-paderi.

Pejabat-pejabat pentadbiran British mula berkembang dan keperluan buruh bagi mengisi jawatan-jawatan perlu diisi namun kadar buta huruf dikalangan masyarakat pada ketika itu adalah tinggi. Menyedari hakikat ini, perubahan dalam sistem pendidikan adalah langkah wajar dan sekitar tahun 1930’an British mula membenarkan orang Melayu bersekolah yang sebelum ini hanya dibuka kepada golongan elit Melayu.

Akibat kemasukkan masyarakat Melayu maka penstrukturan semula perlu dilakukan maka lahirlah Laporan Cheeseman. Antara isi yang terkandung di dalam laporan ini adalah menyusun semula sistem persekolahan, menghapuskan yuran peringkat rendah, semua murid boleh mempelajari bahasa Inggeris, pendidikan vokasional dijalankan namun ia menemui jalan buntu dan kegagalan serta tidak dapat dilaksanakan atas alasan dana yang besar diperlukan.

Barnes iaitu seorang Pengarah Fakulti Kemasyarakatan di Universiti Oxford telah memperbaiki Laporan Cheeseman dengan menghasilkan Laporan Barnes pada tahun 1949. Antara isi yang terkandung dalam laopran ini adalah untuk menyatukan semua sekolah venakular dan perpaduan, menjadikan bahasa Melayu dan Inggeris sebagai bahasa pengantar, bahasa Cina dan Tamil masih boleh digunakan namun ia cuba dihapuskan kerana ia akan melambatkan proses asimilasi, mewujudkan sekolah vokasional moden, maktab perguran berasrama penuh ditubuhkan untuk lulusan Senior Cambridge, penubuhan jemaah nazir, mewujudkan jemaah penguasa pelajaran tempatan serta tumpuan kurikulum kepada sains dan seni perusahaan.

Masyarakat Cina dan India yang telah dibawa oleh British juga telah membawa sama sistem pendidikan dari negara asal mereka telah menyuarakan rasa tidak puas hati kepada Laporan Barnes. Kedatangan Dr. W.P.Fenn dan Dr. Wu The You pada tahun 1951 bertujuan mengkaji potensi sekolah Cina di Tanah Melayu telah menghasilkan Laporan Fenn Wu 1951. Antara cadangan yang terkandung dalam laporan ini adalah mempertahankan kewujudan sekolah Cina, mempelajari tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan bahasa ibunda mereka, matlamat pendidikan beridentiti kebangsaan, membina maktab perguruan cina, menambah bantuan kewangan.

Akibat daripada pertembungan dua laporan ini maka terhasil Ordinan Pelajaran 1951 bagi mengkaji semula dan membuat perubahan-perubahan kepada Laporan Barnes dan Fenn Wu. Ordinan Pelajaran ini dihasilkan oleh Ahli Jawatankuasa Pendidikan Pelajaran dan dibentangkan di Majlis Perundangan Persekutuan dan diluluskan pada tahun 1951. Antara cadangan-cadangan dalam ordinan ini adalah Tanah Melayu mempunyai dua jenis sistem sekolah iaitu sekolah Melayu dan Inggeris, bahasa Cina dan Tamil boleh diajar atas permitaan ibubapa jika memenuhi syarat 15 murid/POL, bahasa Melayu daiajar di sekolah Inggeris dan begitu juga sebaliknya, sekolah venakular Tamil dan Cina tidak diterima sebagai sebahagian daripada pendidikan kebangsaan. Ordinan Pelajaran ini juga mempunyai halangan yang besar iaitu; kurang guru terlatih, Dana yang tidak mencukupi dan mendapat tentangan yang hebat daripada kalangan etnik Cina dan India.

Jawantankuasa Khas pula dicadangkan bagi memperbaiki Ordinan Pelajaran. Antara cadangan-cadanga yang terdapat dalam Jawatankuasa Khas adalah; menghadkan kemasukkan pelajar ke sekolah Inggeris, Penggunaan bahasa Inggeris dan Melayu secara beransur-ansur, pengunaan tiga bahasa di sekolah venakular Cina dan Tamil dan menubuhkan sekolah vokasional.

Zaman kolonial British ini telah memberikan imej yang tidak disenangi oleh etnik lain antara isu-isunya adalah penjajahan yang berterusan, eksploitasi ekonomi, menawarkan peluang tenaga buruh hanya pada peringkat rendah, kewujudan sekolah venakular dengan masalah kurikulum yang berbeza serta masalah bahasa pengantar serta lokasi yang terpinggir serta British juga cuba mengawal nasionalisme.

Zaman Selepas Kemerdekaan.

Selepas negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, pendidikan terus mengalami reformasi iaitu pada tahun 1960 satu laporan telah dihasilkan iaitu Laporan Rahman Talib bertujuan mengkaji semula Laporan Razak dan ia menjadi Akta Pendidkan 1961 iaitu akta pertama yang diluluskan diperundangan. Antara cadangan yang terkandung dalam Laporan Rahman Talib adalah; pelajaran sekolah rendah diberikan percuma dan hanya dua jenis sekolah sahaja iaitu, Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan; memperkenalkan pendidikan anika jurusan, sistem naik otomatik, peperiksaan am diperingkat sekolah menengah perlu menggunakan bahasa rasmi, pendidikan Islam bagi murid-murid beragama Islam lebih daripada 15 orang dan penekanan terhadap pendidkan akhlak.

Pada September 1974, reformasi terhadap pendidikan terus dicadangkan iaitu Jawatankuasa Kabinet telah mengkaji perlaksanaan Dasar Pelajaran. Isu yang dibahas adalah:

Mengkaji semula kesan sistem pelajaran dan kurikulum dalam rangka masa depan pelajaran untuk keperluan tenaga kerja ……Supaya sistem pendidikan negara dapat memenuhi matlamat negara untuk melahirkan masyarakat bersatu padu

(Jawatankuasa Kabinet, Sept 1974)

Antara cadangan Jawatankuasa Kabinet termaktub kepada sekolah rendah adalah; komunikasi, pendidikan alam sekitar, perkembangan diri, memperkenalkan sistem 3M dan memperkenalkan sistem Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) yang mana kemudiannya dilaksanakan pada tahun 1982.

Bagi sekolah menengah pula Jawatankuasa Kabinet telah mengutarakan cadangan pendidikan vokasional, perdagangan, matematik, sains, bahasa, ko-kurikulum meliputi sukan, kaunseling dan memperkenalkan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang kemudiannya dilaksanakan pada 1988.

Sistem pendidikan negara akan terus berkembang namun pelbagai isu timbul sebagai rencam reformasi pendidikan negara.

Pendidikan Negara Menuju Alaf Baru.

Pendidikan negara untuk satu dekat yang akan datang digerakkan dengan lebih dinamik untuk melahirkan lebih ramai golongan pekerja berilmu sebagai satu langkah dan strategi pembagunan sumber manusia yang penting untuk mempercepatkan proses pembangunan negara selaras dengan Wawasan 2020. Malaysia sedang menyusun dan merangka satu paradigma perubahan ekonomi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan membangun sepenuhnya dalam bidang perindustrian. Perubahan paradigma ini bagi memasuki alaf baru gelombang perubahan ekonomi dan pembangunan sumber tenaga manusia abad ke-21 amat bergantung kepada peranan serta dasar liberalisasi sistem pendidikan ke arah melahirkan lebih ramai pekerja berilmu, rajin, tekun dan produktif.(Dr. Abd. Rahim Bin Abd. Rashid; Massa;Bil 92; 21 jun 1997)

Perubahan serta reformasi pendidkan mesti bersifat ‘Systematic Change’, ia tidak boleh satu komponen sahaja dan semua komponen itu mesti diolah sedemikian rupa supaya perubahan kita bersepadu dan holistik serta komprehensif. (Datuk Seri Najib Tun Razak; Massa;Bil 91; 14 Jun 1997)

Isu Masa Depan Pelajar Aliran Agama.

Sekolah agama sekolah ‘second class’, pelajarnya ketinggalan zaman. Siapa yang masuk sekolah agama tidak ke mana perginya, paling tidak menjadi ustaz. Dalam konteks ini, apa yang jelas, penjajahan berperanan penting dalam mencorakkan sistem pendidikan di Malaysia. Corak sistem pendidikan berdasarkan kepentingan penjajah. Zaman pra-merdeka telah menyaksikan betapa sekolah-sekolah mubaligh mendapat tempat di hati masyarakat terutama golongan elit Melayu kerana kewujudannya dikatakan ‘established’. Manakala sekolah agama terus dipinggirkan oleh pihak pemerintah dan ia cuma popular di kalangan masyarakat Melayu yang mempertahankan nilai jati diri Melayu. (Razali Awang;Massa;Bil 95; 12 Julai 1997).

Datuk Seri Najib pernah berkata, dalam membuat perubahan, kita tidak dapat mengubah ‘trust’ kita, misalnya Falsafah Pendidikan Negara, soal bahasa, kepentingan pendidikan Islam. Jadi kemelayuan dalam pendidikan, kepentingan nasional dan citra bangsa kita tidak boleh ubah.

Datuk Najib, dalam cadangannya dalam tahun 1995 supaya mengkaji semula kurikulum sains sekolah rendah dan menengah bagi mencapai matlamat 60 peratus pelajar beraliran sains dan 40 peratus pelajar beraliran satera . (Datuk Seri Najib Tun Razak; Massa;Bil 91; 14 Jun 1997;28).

Penetapan kuota ini harus dilihat sebagai cabaran kepada sekolah aliran agama. Apakah peminggiran pelajar agama akan berulang kembali?

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Dr. Muhamad Nur Manuty berkata, dasar baru Kementerian Pendidikan ini harus dipandang serius dan ia perlu ditangani segera agar tidak mendatangkan kesan untuk jangka masa panjang. Dasar baru yang diperkenalkan ini boleh dianggap pembunuh impian pelajar yang berusaha dalam serba kekurangan untuk menjejakkan kaki ke IPT bagi memiliki segulung ijazah.

Tambah beliau lagi; peluang pelajar aliran agama yang ingin menyambung pelajaran peringkat ijazah di IPTA hanya terbuka kepada tiga buah universiti sahaja. Antaranya Akedemi Islam di Universiti Malaya, Fakulti Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Kulliyah Ilmu Wahyu di Universiti Islam Antarabangsa. (Dr. Muhamad Nur Manuty; Massa Bil 95; 12 Julai 1997; 28). Jadi mampukah ketiga-tiga IPTA tersebut menampung sejumlah 4,269 pelajar aliran agama yang memohon ke IPTA pada sesi akademik 1997/98?

Manakala Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Dr. Ismail Ibrahim menegaskan pelajar aliran agama berperanan besar dalam proses pembangunan negara. Tambah beliau lagi mereka memiliki latar belakang agama ternyata mempunyai personaliti dan kredibiliti yang tinggi serta mempunyai daya tahan di samping kecemerlangan mereka menceburi bidang profesional tidak dapat dinafikan.

Dr. Ismail Ibrahim membidas perlaksanaan kuota yang telah dicadangkan sebagai halangan yang perlu dihadapai oleh Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) yang ditubuhkan untuk memartabatkan sekolah rendah agama (SAR) yang bersungguh-sungguh mencanangkan kuota 30 peratus kepada pelajar aliran agama ke Tingkatan enam kemanusiaan, sains, dan ke IPT tempatan dan luar negara. (Dr. Ismail Ibrahim; Massa; Bil 95; 12 Julai 1997; 28).

Isu mengenai masa depan pelajar aliran agama ini turut mendapat liputan hangat sebuah akhbar tabloid iaitu akhbar Watan 11 Julai 1997.

Selang beberapa hari selepas isu ini dibangkitkan, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kenyataan akhbar adalam ucapan beliau bertarikh 16 Julai 1997 telah menjawab isu yang dibangkitkan. Antara kenyataannya, beliau mengakui pada masa kini dalam proses permohonan dan menyalurkan pelajar ke IPTA, pelajar hanya dibahagikan kepada DUA kategori sahaja iaitu aliran sains dan aliran sastera. Ini membawa implikasi peluang yang ada adalah sama untuk pelajar tidak kira sama ada pelajar daripada Sekolah Menengah Biasa, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama atau Sekolah Teknik. Yang menjadi penentu sama ada pelajar berjaya masuk ke IPTA adalah:

    1. Pencapaian akademik pemohon.
    2. Kombinasi mata pelajaran yang dimiliki oleh pemohon.
    3. Gred mata pelajaran untuk bidang pengkhususan tertentu.
    4. Pencapaian dalam ko-kurikulum.
    5. Lulus temuduga/ujian kelayakan yang ditetapkan untuk program pengajian tertentu.
    6. Bilangan tempat yang disediakan.

Beliau juga menasihatkan agar:

    1. Pelajar sekolah aliran agama tidak sepatutnya risau mengenai peluang melanjutkan pelajaran. Apa yang perlu dipastikan agar pelajar menganggap agama sebagai mata pelajaran yang mengukuhkan keimanan dan peribadi disamping mengambil mata pelajaran lain yang boleh membantu ke arah pencapaian kerjaya dalam bidang profesional.
    2. Bijak memilih kombinasi mata pelajaran untuk membantu ke arah kerjaya yang diingini.
    3. Di saran melihat peluang melihat peluang melanjutkan bukan melalui SPM/SPMV sahaja tetapi melalui ‘mode’ pensijilan yang lainyang masih boleh digunakan untuk melanjutkan pelajaran.
    4. Para pelajar aliran agama juga perlu sedar bahawa mereka tidak mempunyai saingan daripada pelaran aliran lain dan juga bangsa lain untuk mendapatkan tempat di IPTA dalam pengajian lain.

Sebagai mengubati kesempitan peluang melanjutkan pelajaran pelajar aliran agama maka pada tahun ini, Universiti Kolej Pengajian Islam akan mula beroperasi dengan pengambilan kumpulan pertama seramai 300 orang. Menjelang tahun 2000 pengambilan pelajar akan meningkat kepada 2500 orang. (Datuk Seri Najib Tun Razak, 16 julai 1997).

Persoalan yang terus bermain dan sering menerima kritikan yang hebat daripada sesetengah ulamak kerana sistem pendidikan aliran agama baik dari segi perlaksanaan sukatan pelajarannya mahu pun kurikulumnya dikatakan gagal melahirkan pelajar yang boleh mengusai bahasa Arab, sekaligus mewarisi tradisi keilmuan Islam. (Dr. Muhamad Nur Manuty; 12 Julai 1997)

 

Isu Penubuhan Universiti Perguruan (UP).

Pada masa ini negara kita telah mempunyai sejumlah sembilan buah universiti termasuk Universiti Malaysia Sabah. Penubuhan Universiti Perguruan merupakan strategi yang yang memenuhi keperluan jangkamasa panjang dalam bidang perguruan negara.

Menyingkap sejarah perguruan negara, latihan perguruan secara formal bermula dengan penubuhan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim, Perak pada tahun 1922. Sebanyak 155 guru pelatih menjadi kumpulan pertama di maktab tersebut. Kemudiannya disusuli pada tahun 1935, maktab perguruan untuk wanita telah di bina iaitu Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka (MPPM). (Wan Ab. Kadir Wan Dolllah; Mac 1996) Dalam Laporan Barnes (1949) yang mencadangkan penubuhan maktab perguruan berasrama penuh untuk lulusan Senior Cambridge juga sebagai membuktikan besarnya peranan guru dalam sistem penididikan negara.

Penubuhan sebuah universiti perguruan sememangnya telah dinanti-nantikan terutama oleh tokoh-tokoh pendidikan dan persatuan perguruan. Sejak pendita Za’ba yang pernah menyuarakan hasrat tersebut pada tahun 1930’an: "Sampailah sekarang tokoh-tokoh pendidikan telah menyuarakan pandangan murni mereka tentang pentingnya diwujudkan unversiti perguruan di negara kita". Presiden Persatuan Suluh Budiman , Tan Sri Awang Had Salleh misalnya dilaporkan amat gembira jika penubuhan universiti tersebut menjadi realiti (Utusan Malaysia, 21 September 1995).

Sehubungan dengan ini, bekas Ketua Pengarah pendidikan, Tan Sri Abdul Rahman Arshad semasa dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Pertanian Malaysia pada tahun 1993 pernah menyarankan supaya ditubuhkan sebuah universiti untuk guru. Beliau menjelaskan bahawa jika kita mempunyai universiti yang berkenaan, taraf pengajaran guru akan dapat ditingkatkan, disamping tahap kebolehan mengajar dapat disepadukan. (Wan Ab. Kadir Wan Dolllah; Mac 1996)

Dalam tahun 1996, dengan kapasiti 4.5 juta orang murid sejumlah 8000 buah sekolah dan dalam statistik tahun 1992, jumlah guru terlatih di Malaysia ialah sebanyak 189, 696, iaitu 82.1 peratus daripadanya adalah lulusan maktab manakala selebihnya ialah para guru siswazah (statistik Dewan Masyarakat; Mac 1996). Peningkatan terhadap guru-guru memang tidal dapat dielakkan. Sebagai strategi jangka pendek, guru-guru sambilan dan guru-guru bersara terpaksa diambil bagi mengatasi masalah ini.

Isu yang dibangkitkan adalah mengapakah Universiti Perguruan diwujudkan dan diperlukan dalam sistem pendidikan negara menuju alaf baru?

Universiti Perguruan yang mula beroperasi pada tahun 1997 dengan sejumlah peruntukkan yang besar dalam membiayai pasarananya dan keperluan tenaga pengajar dalam pelbagai bidang ilmu. UP boleh dianggap sebagai satu usaha pihak kerajaan untuk meningkatkan martabat dan kelayakkan guru. UP juga diharapkan dapat meningkatkan tahap pendidikan guru bagi menghadapi cabaran pendidikan masa depan. UP boleh memberikan peluang kepada para guru untuk mendapatkan tangga gaji serta skim perkhidmatan yang lebih baik disamping peningkatan dari segi profesionalisme mereka. (Wan Ab. Kadir Wan Dolllah; Mac 1996)

Seorang Pengarah Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan, Dr. Siti Hawa Ahmad telah memberi pendapat yang menyokong isu penubuhan UP ini. Jelas beliau; Bahagian Pendidikan Guru yang bertanggungjawab menghasilkan tenaga pengajar sudah mengorak langkah menggubal kurikulum baru bagi guru pelatih bersesuaian dengan cabaran serta tuntutan semasa. Universiti Perguruan juga menjadi medan yang dapat membantu guru ke arah menjayakan sasaran tersebut. (Berita Harian; Sabtu 16 Mei !998).

Reformasi dalam pendidikan melihat beberapa komponen yang begitu signifikan misalnya, jika kita mengubah kurikulum sekolah, kita mesti mengambil kira latihan guru, soal fizikal, soal kemasukkan teknologi baru, sistem penilaian, kebajikan guru, status guru, profesionalisme dan beberapa aspek lain. Kalau orang mengikuti apa yang telah dilakukan oleh Datuk Seri Najib adalah menyeluruh termasuklah Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) kepada Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) yang dijangka akan meningkatkan kewibawaan guru dalam melahirkan insan cemerlang. (Datuk Seri Najib Tun Razak; 14 Jun 1997).

Adalah dianggap kewujudan UP ini sebagai "orang mengantuk disorongkan bantal" kepada para guru yang mana kewujudan UP ini sebagai satu usaha untuk meningkatkan martabat dan kelayakkan guru. Seperti yang kita semua sedia maklum, pada masa sekarang ganjaran bagi para guru mungkin tidak setimpal dengan apa yang mereka sumbangkan. Kerapkali kita mendengar rintihan daripada guru yang tidak berpuas hati dengan tangga gaji serta skim perkhidmatan yang mereka perolehi berbanding dengan profesion yang lain. Kegemilangan profesion perguruan juga dikatakan semakin pudar dan kian tidak diminati, malah ada dikalangan guru yang berkhidmat meninggalkan profesion ini.

Datuk Seri Najib, bagaimana pun memberi hujah ada sesetengah negara macam Jepun, guru-guru dibayar lebih tinggi daripada profesion lain sebab guru penting untuk membentuk masa depan negara. Tapi di negara kita tidak sedemikian. Kalau kita ubah gaji guru, profesion lain pula akan menuntut. Jadi ini melibatkan banyak masalah kepada kita. (Datuk Seri Najib Tun Razak; 14 Jun 1997).

Namun Datuk Najib tetap akur dengan desakan para pendidik ditambah dengan kewujudan UP dan difahamkan Datuk Najib dalam sidang akhbar dengan pemberita selepas merasmikan Pameran Perdana dan Pelancaran Laman Web sempena sambutan perayaan jubli emas Sekolah Menengah Sultan Badlishah di Kulim beliau membuat kenyataan, "Semua guru bukan siswazah akan dinaikkan taraf dan gaji secara berperingkat melalui satu skim yang sedang dirancang". Tambah beliau lagi "Saya sendiri akan membuat pengumuman rasmi mengenai skim itu serta butir-butirnya tidak lama lagi". Difahamkan pelarasan gaji itu akan diumumkan awal tahun depan, tetapi akan berkuatkuasa pada 1 Julai 1999. (Berita Harian; Jumaat;12 Jun 1998).

Pengumuman yang dibuat ini seolah-olah memberi satu sinaran kepada kalangan pendidik yang selama ini semacam sudah lena dengan masalah tentang profesion mereka yang satu ketika dulu masyarakat menganggap guru adalah tugas yang amat mulia, memerlukan banyak pengorbanan, kesabaran dan masyarakat sering berkata "guru adalah segalanya". (Dr. Siti Hawa Ahmad; Sabtu 16 Mei !998).

Persoalan akan terus menghujani kita apakah dengan penubuhan Universiti Perguruan ini akan menghasilkan skim perkhidmatan yang jauh lebih baik disamping peningkatan dari segi profesionalisme dan mengangkat status perguruan? Apakah selepas ini profesion perguruan tidak lagi disebut sebagai "second class job"? Dan apakah dengan kewujudannya adalah puncak kepuasan dalam sektor perguruan dan pendidikan?

Isu Sistem Peperiksaan Dalam Reformasi Pendidikan.

Konsep baru yang akan diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan yang memberi peluang kepada para pelajar mengambil peperiksaan mengikut keupayaan, dikira akan memebri kesan yang luas kepada sistem penilaian dan sistem pembelajaran disekolah. Konsep yang dicadangkan oleh Menteri Pendidikan, Datul seri Najib Tun Abdul Razak ini sudah mempunyai implikasi sosial dan moral yang luas kepada perkembangan pelajar. (Dr. Abd. Rahim Bin Abd. Rashid; Massa;Bil 93; 21 jun 1997).

Memang tekah menjadi budaya kita yang lebih kepada "exam oriented". Ibu bapa menggesa anak mereka bukan sahaja untuk mendapat A tapi mendapat agreget 9 atau 6A. Memang sudah ditanam dalam masyarakat kita sejak dulu lagi. Ini bukan perkara baru. Sebab itu kita membuat perubahan asas dalam sistem pendidikan. Perubahan ini bukan kosmetik tetapi perubahan substansif, maknanya kurang berorientasikan peperiksaan. Antaranya kita membuat cadangan supaya tiga peperiksaan sekolah menegahdikurangkan kepada dua. Ini akan mengurangkan tekanan. Antara perubahan kita ialah membolehkan kegiatan kokurikulum diambil kira untk masuk ke universiti. Ketika ini sepuluh peratus dari nilai markah kemasukkan universiti datangnya daripada aktiviti kokurikulum. Bermakna kalau kita aktif dalam teater, pandu puteri, pengakap, penglibatan itu akan diambil kira. Bila kita berubah kepada sekolan bistari nanti kita akan tekankan kepada soal penguasaan ilmu dan kemampuan sendiri iaitu konsep kendiri. Peperiksaan akan dibuat bukan secara konvensional tetapi "examination on demand". (Datuk Seri Najib Tun Razak; Massa;Bil 91; 14 Jun 1997;25).

Isu yang berbangkit mengenai konsep peperiksaan yang kurang berorientasikan kepada peperiksaan nanti akan diragui melahirkan geraduan yang tidak berkualiti.

Datuk Seri Najib kemudiannya menjelaskan bahawa, kita mengatakan kita mahu mengubah sistem pendidikan supaya tidak "exam oriented", jadi kita mesti berpegang kepada keputusan itu. Yang penting ialah pengusaan ilmu dan kemampuan berfikir. Kalau kita hanya berorientasikan peperiksaan, kita akan hanya menghafal. Jadi kita tidak membentuk minda pelajar. (Massa;Bil 91; 14 Jun 1997;25).

Datuk Seri Najib telah mengumumkan perubahan dalam sistem peperiksaan sejak dari tahun 1996 iaitu; dengan mengutarakan cadangan untuk mengubah corak peperiksaan pada masa hadapan di mana pelajar dibenarkan membawa buku atau nota ke dalam dewan peperiksaan sebagai bahan rujukan dan pada tahun 1997 Datuk Seri Najib terus dengan reformasi sistem peperiksaan iaitu; melaksanakan Dasar Kementerian Pendidikan ke arah membekalkan tempoh pendidikan asas minimum 11 tahun di mana Penilaian Menengah Rendah (PMR) tidak lagi menjadi peperiksaan yang menggagalkan pelajar untuk ke tingkatan emapat dan cadangan beliau untuk memansuhkan beberapa peperiksaan penting iaitu PMR, SPM dan STPM. Ini memandangkan pendidikan berorientasikan peperiksaan sudah tidak sesuai untuk melahirkan generasi baru yang ilmuan, bermaklumat dan cemerlang. Sehubungan itu ia akan diganti dengan peperiksaan lain. (Datuk Seri Najib Tun Razak; Massa;Bil 91; 14 Jun 1997;25).

Penghapusan sistem peperiksaan sbagaimana yang telah diumumkan oleh Menteri Pendidikan menimbulakan banyak tanda tanya dan perbincangan terbuka dikalangan pendidik, khususnya di pusat-pusat pengajian tinggi dan masyarakat umum yang perihatin dengan hal-hal pendidikan negara ini. Idea penting yang mendasari reformasi sistem peperiksaan dan penilaian yang dicadangkan itu dikira bersesuaian dengan semangat dan budaya baru pembelajaran untuk melangkah perubahan abad ke 21. Sistem peperiksaan kita sememangnya perlu dirombak sebagai satu langkah penting merintiskan pembaharuan pendidikan negara.

Perubahan Dalam Sistem Pendidikan Peperiksaan Dan Sistem Persekolahan

Tahap

Sekarang

Perubahan Yang Dicadangkan

Pendidikan Rendah

6 tahun

5 - 6 tahun

Pendidikan Menegah

5 tahun

4 tahun

Pengajian Pra-Universiti

2 tahun

2 tahun

Pendidikan Tinggi

4 tahun

3 tahun

Umur Penggraduan

24 tahun

21 - 22 tahun

Cadangan pembaharuan sistem peperiksaan ini juga memberi keadaan penting kepada penghapusan program matrikulasi yang dikendalikan oleh universiti tempatan untuk meningkatkan bilangan pelajar bumiputera dalam bidang sains dan teknologi. Alasan untuk menjimatkan perbelanjaan pendidikan nampaknya banyak menutup peluang pelajar bumiputera ke pusat pengajian tinggi. (Dr. Abd. Rahim Bin Abd. Rashid; Massa;Bil 90; 7 Jun 1997).

Seminggu selepas isu ini dibangkitkan Datuk Seri Najib bagaimana pun mengulas, matrikulasi belum dimansuhkan dan kita bukan bercadang untuk memansuhkan matrikulasi. Cadangan supaya dapat melihat semula apakah sistem ini sistem yang terbaik bagi menghasilkan bilangan pelajar bumiputera yang kita perlukan terutama sekali bidang sains dan teknikal. Sebab sistem matrikulasi ada juga kelemahannya. Saya sedang mengkaji semula sistem ini supaya kita ada tiga "Option". Option pertama kita kekalkan matrikulasi dalam bentuk yang ada sekarang. Kedua, kita teruskan matrikulasi tetapi kita buat perubahan kepada kaedah matrikulasi itu dan yang ketiga, kita pindahkan matrikulasi itu tetapi dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan. Yang dikhuatiri dalam matrikulasi ini ialah pelajar bumiputera hanya bersaing dengan pelajar bumiputera sahaja, seolah-olah mereka berada dalam dunia yang tidak realistik. Tapi bila masuk tahun pertama, mereka bersaing dengan bukan bumiputera menyebabkan mereka agak ketinggalan dari segi output dan prestasi. Begitu juga dari segi kualiti keputusan, sedangkan bukan bumiputera bersaing hebat kerana mereka sedar peluang untuk mereka terhad, jadi mereka mesti mendapat keputusan yang lebih baik. Jadi saya juga mahu pelajar bumiputera mendapat keputusan yang lebih cemerlang. (Datuk Seri Najib Tun Razak; Massa;Bil 91; 14 Jun 1997;25).

Dilihat dari aspek sosiologi, konsep peperiksaan yang dicadangkan ini akan mendorong kepada satu corak "class struggle" yang lebih ketara yang mencerminkan realiti kepada persaingan dan pergelutan masyarakat di luar sekolah. Sistem peperiksaan harus mendorong kepada perkembangan yang sihat, berdaya maju dan cemerlang di samping memberi peluang kepada setiap orang untuk mencapai rasa kejayaan dan penghargaan diri. Keseluruhan falsafah, prinsip dan proses pendidikan akan terjejas sekiranya sistem pendidikan yang mendasari wawasan pendidikan itu menyimpang daripada matlama-matlamat unggul pendidikan untuk membentuk dan melahirkan insan yang seimbang dan sempurna yang perlu dilaksanakan melalui sistem dan persekolahan yang progresif dab dinamis. (Dr. Abd. Rahim Bin Abd. Rashid; 28 Jun 1997).

Kesimpulan

Reformasi dalam sistem pendidikan perlu berlaku agar ianya selaras dengan arus pembangunan di negara ini yang begitu pesat. Untuk menjadi sebuah negara maju dan masyarakat berteknologi tinggi seiring dengan mandat Wawasan 2020, pendidikan memainkan peranan yang sangat signifikan. Namun perubahan serta reformasi yang sangat drastik ini membawa kepada implikasi sosial yang sangat besar kepada struktur masyarakat di negara ini. Pendidikan di negara menjadi semakin liberal dan sudah setentunya masyarakat juga terpaksa mengubah cara hidup agar menjadi semakin liberal terhadap pendidikan di negara ini.

Bibliografi

  1. Dr. Abd. Rahim Bin Abd. Rashid; Massa; Melonggarkan Sistem Pendidikan Negara; Bil 92; (21 jun 1997).
  2. Datuk Seri Najib Tun Razak; Massa; Tanpa Perubahan Kita Ketinggalan;Bil 91; (14 Jun 1997).
  3. Razali Awang;Massa; Peluang Pelajar Aliran Agama ke IPT Terjejas;Bil 95; (12 Julai 1997).
  4. Dr. Muhamad Nur Manuty; Massa; ; Peluang Pelajar Aliran Agama ke IPT Terjejas Bil 95; (12 Julai 1997).
  5. Datuk Seri Najib Tun Razak, kenyataan akhbar ucapan (16 julai 1997; sumber-laman web Kem.Pendidikan).
  6. Wan Ab. Kadir Wan Dolllah; Universiti Perguruan:Antara Kenyataan Dan Harapan;Dewan Masyarakat; (Mac 1996).
  7. Dr. Siti Hawa Ahmad;Berita Harian; Guru adalah Segalanya; (Sabtu 16 Mei 1998).
  8. M.Thilinadan;Penyelarasan Gaji Secara Berperingkat;Berita Harian; (Jumaat;12 Jun 1998).
  9. Dr. Abd. Rahim Bin Abd. Rashid; Peperiksaan Mengikut Keupayaan: Implikasi Sosial Dan Moral; Massa; (28 Jun 1997).
  10. Dr. Abd. Rahim Bin Abd. Rashid; Reformasi Sistem Peperiksaan dan Pembaharuan Sistem Persekolahan: Kurikulum Sekolah Diubah Lagi; Massa; Bil 90; (7 Jun 1997).