KERTAS KERJA KAJIAN SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN (MTT2353)

SEKOLAH BERKESAN

SUMBANGAN : CIK ZULAIDA MOHAMAD (MT971205)

CIK SITI MASLIZA MOHD NAWI (MT971183)

1.0 PENDAHULUAN

Kesedaran masyarakat tentang pentingnya pendidikan dapat dilihat melalui keperihatinan ibu bapa yang mahu mendaftarkan anak mereka sama ada sekolah rendah atau menengah. Jelasnya ibu bapa akan memilih sekolah yang berkesan kerana beranggapan jika anaknya belajar di sekolah yang baik maka adalah mungkin anak mereka mendapat keputusan yang cemerlang. Blau dan Scot (1952) berpendapat sebagai sebuah organisasi pendidikan, sekolah merupakan sistem sosial yang amat peka dengan hasrat dan cita-cita masyarakat.

Senario pengurusan sekolah telah banyak berubah kebalakangan ini. Kami percaya bahawa segala perubahan dan pembaharuan yang dirancang dan dilaksanakan adalah bertujuan untuk meningkatkan keupayaan dan keberkesanan sekolah. Ini adalah sebagai cabaran dalam pendidikan bagi mencapai Falsafah Pendidikan Negara bagi melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, rohani, emosi dan intelek sebagai asas kepada insan kamil.

Untuk itu sistem pengurusan sekolah perlu dijalankan sebaik mungkin bagi mempastikan segala aset yang ada di sekolah seperti guru, pelajar, pusat sumber, PIBG dan masyarakat dapat mencapai matlamat kecemerlangan melalui pengurusan dan strategi-strategi yang sesuai. Ini secara tidak langsung menjadi faktor kepada pengwujudan pengurusan yang berkesan dan seterusnya membentuk sekolah yang berkesan.

  1. RASIONAL PEMILIHAN TAJUK

Rasional pemilihan tajuk ini ialah bagi menjelaskan mengenai perkara yang membantu kepada pembentukan sekolah berkesan. Sekolah berkesan perlu bagi memastikan wawasan pendidikan tercapai. Jika kita perhatikan, contohnya pelaksanaan Sekolah Bestari, Sekolah Sukan, Sekolah Multimedia dan lain-lain lagi tidak akan tercapai matlamatnya sekiranya tidak diuruskan dengan cekap. Pengurusan yang cekap akan membawa kepada pencapaian tahap sekolah berkesan. Namun begitu amat kurang sekali sekolah yang dikatakan berkesan kerana terdapat kekangan-kekangan yang terpaksa dihadapi dalam proses membentuk sekolah sempurna atau berkesan. Oleh itu, di akhir kertas penyelidikan ini diberikan beberapa saranan antara sebagai bagi membantu pentadbir sekolah atau pengetua membentuk sekolah mereka sebagai sekolah berkesan.

3.0 DEFINISI

Dalam sistem pendidikan kita sememangnya terdapat sekolah-sekolah yang dianggap lebih baik apabila dibandingkan dengan sekolah yang lain. Sekolah-sekolah yang terpilih ini disifatkan sebagai sekolah-sekolah yang berkesan. Definisi-definisi sekolah berkesan termasuklah :

  1. Sekolah-sekolah yang mengadakan satu sistem pengajaran yang berpandu dan berkesan ( Rowen et. al. 1983 )
  2. Sekolah-sekolah yang efektif dalam pengajaran kanak-kanak miskin atau dari kaum minoriti. ( Bickel 1983 )
  3. Sekolah-sekolah yang efektif dari segi mengurangkan kesan SES pelajar ke atas pencapaian prestasi akademiknya. ( Mann 1985 )

Namun begitu definisi yang paling biasa digunakan dalam kajian-kajian tentang keberkesanan sekolah ialah :

Sekolah yang mana sebahagian besar daripada pelajar-pelajarnya

mencapai tahap yang tinggi dalam prestasi akademik apabila

dibandingkan dengan sekolah-sekolah yang lain. ( Cuttance 1985 ).

Mengikut Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan, Kementerian Pendidikan Malaysia, sekolah berkesan adalah berdasarkan pendapat Edmonds (1979) iaitu mempunyai fokus pengajaran yang dinyatakan dengan jelas dan menggunakan penilaian serta penaksiran yang sistematik. Terdapat harapan dalam sekolah cemerlang bahawa pelajar-pelajarnya akan belajar dengan baik. Sekolah berkesan juga mempunyai iklim yang teratur dan selamat bagi menggalakkan pengajaran dan pembelajaran serta mempunyai pendidik yang kukuh sebagai pengetua.

 

4.0 KONSEP SEKOLAH BERKESAN

Konsep keberkesanan sekolah tidak seharusnya mencakupi kejayaan akademik semata-mata. Astin (1985) berpendapat konsep keberkesanan itu harus mencakupi perkembangan intelektual dan kendiri para pelajar serta kerelevanan sajian kurikulum itu dengan keperluan pelajar. Dalam hubungan ini sekolah harus dapat menjamin perkembangan intelektual dan sahsiah pelajar serta dapat pula menyediakan peluang pendidikan untuk semua pelajar. Konsep keberkesanan ini bermakna sekolah perlu memastikan bahawa semua pelajarnya mendapat pendidikan sewajarnya dan tidak ada pelajar yang gagal atau berhenti sekolah semata-mata kerana tidak berjaya dalam pelajaran. Mengikut konsep keberkesanan ini, sekolah yang berjaya adalah sekolah yang kadar kecicirannya kosong, tidak ada pelajar yang tidak tahu membaca, menulis atau mengira. Begitu juga tidak ada sistem diskriminasi, sebaliknya setiap pelajar mendapat layanan yang adil saksama dari pihak sekolah dan guru.

Astin (1985) juga mengaitkan konsep keberkesanan sekolah dengan konsep pendidikan yang relevan, yang baginya bermaksud bahawa pendidikan yang diberi oleh sekolah harus dapat menyuburkan kreativiti dan perkembangan bakat, kebolehan berfikir dan power of expression para pelajar.

Sebagai rumusannya sekolah berkesan adalah sekolah yang menitik beratkan kecemerlangan dalam pencapaian akademik, penguasaan kemahiran asas, keberkesanan pengajaran guru, iklim sekolah yang dapat membangkitkan suasana belajar, mengurangkan masalah disiplin pelajar serta kepimpinan yang cekap atau dengan kata lain keberkesanan sekolah adalah sama dengan kecermelangan sekolah.

 

5.0 PEMBENTUKAN SEKOLAH BERKESAN

Keberkesanan sekolah lazimnya diukur dan dinilai dari segi kejayaan atau pencapaian sekolah dalam peperiksaan disamping mewujudkan rasa kepuasan bekerja dalam sesebuah sekolah itu ( Husin Mahmud ). Untuk membentuk atau menjustifikasikan sesebuah sekolah samada berkesan atau tidak bolehlah dirujuk kepada beberapa ciri penting seperti di bawah.

5.1 Kepimpinan Pengetua

Pengetua merupakan pengurus utama kepada sesebuah organisasi persekolahan. Sekiranya pengurusan dapat dilaksanakan dengan efektif dan cekap secara tidak langsung masalah di sekolah dapat diselesaikan dan ini membantu ke arah pembentukan sekolah berkesan. Daripada kajian-kajian yang telah dilakukan mengenai sekolah berkesan dapatlah dirumuskan bahawa apa yang membezakan keberkesanan sesebuah sekolah dengan sebuah sekolah yang lain adalah kepimpinan pengetua.

Menurut Edmond (1979), telah menegaskan bahawa pengetua yang berkesan ialah pengetua yang memainkan peranannya sebagai pemimpin pengajaran dan pemimpin yang tegas. Sergiovanni (1984) mengkonsepsikan keberkesanan itu pula ialah dari segi kuasa dan kemudahan yang ada padanya bagi melaksanakan sesuatu perubahan. Oleh itu jika ingin mencapai kecermerlangan sekolah, seseorang pengetua itu mestilah memainkan peranan sebagai pemimpin yang berketrampilan. Sergiovanni telah membahagikan kepada lima kelompok peranan yang perlu dimainkan oleh pengetua sebagai syarat untuk mencapai kecermerlangan sekolah.

Tetapi wujud persoalan dari dari segi kepimpinan pengetua. Sekiranya semua pengetua dapat berperanan seperti yang dinyatakan, maka salah satu dari ciri sekolah berkesan telah dapat dipenuhi. Namun bagitu, ianya amat jelas pada pemerhatian bahawa tidak semua pengetua yang ada pada hari ini dapat berperanan sedemikian rupa dan hasrat untuk mencapai tahap sekolah berkesan adalah terbantut.

5.2 Iklim Sekolah

Sekolah yang berkesan perlu mempunyai budaya dan iklim pengurusan yang baik. Setiap sekolah perlu membina iklim yang bersesuaian dengan matlamat dan persekitaran sekolah tersebut.

Merujuk kepada Zulkifli Dan Rahimah berkaitan dengan iklim sekolah bagi mewujudkan sekolah yang berkesan boleh dibahagikan kepada 4 faktor :

Perhubungan Interpersonal

Berdasarkan instrumen profil iklim sekolah, di sekolah yang berkesan , guru-guru dan pelajar mempunyai hubungan interpersonal yang lebih positif. Guru mempunyai semangat kekitaan terhadap sekolah dan bangga menjadi guru di sekolah tersebut. Mereka sentiasa memandang ke hadapan dalam usaha mereka dalam meningkatkan profesionalisme mereka. Pelajar-pelajar pula merasa seronok menjadi pelajar di sekolah itu.

Pengajaran dan Pembelajaran

Di sekolah yang berkesan pengajaran dan pembelajaran dianggap sangat penting oleh guru dan juga pelajar. Walaupun mereka mengamalkan panduan kurikulum yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan, guru dibenarkan menggunakan kreativiti semasa mengajar. Pelajar mengikuti aktiviti pengayaan mengikut keupayaan masing-masing. Guru di sekolah berkesan adalah inovatif dalam pengajaran dan amalan penilaian mereka.

Kepimpinan Pentadbiran

Pengetua di sekolah berkenaan mempunyai polisi pintu terbuka di mana idea daripada guru dan juga pelajar di ambil kira untuk dipraktikkan. Pengetua melibatkan staf dalam pembuatan keputusan. Pengetua juga sentiasa memberi sokongan kepada guru terhadap amalan penghajaran mereka dan menggalakkan mereka menggunakan inovasi dalam kerja seharian mereka. Pihak pentadbiran mempunyai program pembangunan staf untuk menggalakkan perkembangan profesional dikalangan mereka. Pelajar di sekolah berkesan digalakkan bekerjasama dalam aktiviti pembelajaran mereka..

Kemudahan Fizikal

Pelajar dan guru disekolah yang berkesan merasa sangat selesa ketika berada di perkarangan sekolah. Persekitaran sekolah sentiasa berada dalam keadaan bersih dan teratur. Sekolah yang berkesan mempunyai ruang yang mencukupi untuk pengajaran dan pembelajaran. Pelajar dan guru berbangga dengan kemudahan fizikal yang mereka ada dan sentiasa menolong untuk mengekalkan keadaan kemudahan tersebut dalam keadaan yang sehabis baik.

Konsep mengenai iklim sekolah telah ditakrifkan dengan pelbagai cara, tetapi pada keseluruhannya adalah dipersetujui umum bahawa iklim sesebuah sekolah itu merupakan perasaan atau gambaran suasana yang seolah-olah dapat dirasakan ketika seseorang itu berada di sekolah tersebut. Menurut Halpin dan Croft (1962), di sekolah yang dapat memberikan rasa suasana yang selesa, dari segi iklim sekolahnya, perkara berikut akan dapat diperhatikan :

    1. Guru merasa selesa, yakin dan puas.
    2. Guru tidak merasa tertekan atau bercelaru.
    3. Pengetua mempamirkan keyakinan diri, bijaksana dan berlaku adil.
    4. Pengetua mudah dibawa berbincang dan mempunyai fikiran yang terbuka.
    5. Pengetua merupakan seorang pemimpin yang baik, mampu membimbing kakitangannya serta memperkembang potensi mereka.
    6. Pelajar merasa bangga terhadap hasil kerja mereka dan terhadap sekolah mereka.

Faktor-faktor iklim sekolah di atas membantu mewujudkan sekolah berkesan. Namun begitu untuk mempastikan iklim yang bersesuaian adalah memerlukan gambaran yang lebih lengkap mengenai sekolah tersebut dan juga pemerhatian jangka panjang serta pemantauan yang kerap terhadap iklim sekolah. Ini adalah kerana faktor yang menentukan iklim yang sesuai adalah perkara yang tidak tetap dan berubah-ubah bergantung kepada keadaan semasa.

5.3 Pencapaian Pelajar

Sekolah yang berkesan mengesan kemajuan murid secara sistematik melalui pengesanan yang teratur iaitu setiap pengetua dan guru mengawasi kemajuan murid berpandukan kepada kehendak dan objektif pengajaran. Di sekolah berkesan murid digalakkan bertanggung jawab sepenuhnya menguruskan kegiatan seharian mereka seperti menjaga alat-alat kemudahan sekolah dan buku mereka. Sementara kerja rumah dan latihan diperbanyakkan dan diperiksa oleh guru. Keutamaan adalah terhadap prestasi akademik yang tinggi dan murid digalakkan belajar dengan bersungguh-sungguh untuk berjaya. Murid yang berjaya akan diberi penghargaan setrta maklum balas yang cepat dan berterusan terhadap prestasi murid berkenaan.

Di sekolah yang berkesan murid juga memainkan peranan penting berbanding guru. Oleh itu, sekolah perlu beri keyakinan kepada murid bahawa mereka bertanggung jawab sepenuhnya terhadap pelajaran mereka. Dalam kajian yang telah dibuat oleh Zulkifli dan Rahimah, mereka telah menjawab persoalan apakah yang telah digunakan sebagai ukuran kepada keberkesanan sekolah. Berdasarkan hasil kajian, mereka berpendapat bahawa keberkesanan sekolah selalunya diukur dari segi output atau hasil persekolahan yang lazimnya dikaitkan dengan pencapaian akademik pelajar.

5.4 Disiplin Sekolah

Pelaksanaan disiplin atau peraturan sekolah adalah penting untuk mewujudkan persekitaran sekolah yang selesa dan harmonis. Sekolah yang berkesan mempunyai suasana disiplin yang teratur tanpa perlu membina peraturan ketat, tenang tanpa penindasan yang secara amnya adalah selesa untuk suasana proses pembelajaran.

Untuk membentuk sekolah berkesan, pelajar-pelajar di sekolah berkenaan perlulah diterapkan dengan nilai-nilai murni. Nilai murni akan membentuk membentuk peribadi dan sahsiah pelajar yang cemerlang dan seterusnya masalah disiplin di sekolah dapat diatasi. Ini kerana ada juga sesetengah pihak yang mengukur disiplin pelajar sebagai ukuran output sesuatu sekolah itu (Zulkifli Dan Rahimah )

Menurut kajian Rutter, sekolah yang berkesan adalah sekolah yang kurang mengalami masalah disiplin dan ponteng sekolah di samping pencapaian akademik yang baik serta konsisten.

Seperti yang kita sedia maklum, selalunya jika sesebuah sekolah mengalami masalah disiplin, ini akan menjejaskan reputasi pengetua, guru-guru, pelajar dan sekolah itu sndiri. Kadang kala masalah disiplin yang di alami disekolah inmi disusuli pula dengan prestasi pencapaian pelajar yang teruk terutamanya dalam peperiksaan utama seperti SPM dan PMR. Keadaan ini akan menjejaskan imej dan kepercayaan masyarakat terhadap sekolah berkenaan.

5.5 Proses Pengajaran Dan Pembelajaran

Sekolah yang berkesan memberi keutamaan kepada proses pengajaran. Sekolah sanggup mengorbankan tenaga dan perhatian yang lebih untuk memastikan matlamat pengajaran dilaksanakan secara teratur dan memberi faedah.

Edmond dengan tegasnya mengatakan bahawa keupayaan murid menguasai kemahiran akademik sangat perlu diberi keutamaan dibandingkan kemahiran lain pengurusan sekolah.

Zulkifli dan Rahimah dalam artikelnya yang bertajuk Kajian Iklim Sekolah ada mengatakan bahawa, di sekolah yang berkesan, guru-guru mempunyai peranan yang penting dalam membuat keputusan. Oleh itu, dalam membuat keputusan atau melaksanakan sesuatu tugas, guru perlu bekerja atau merancang secara berkumpulan melalui satu sistem penyeliaan dan penyelarasan oleh guru kanan. Ini memastikan bahawa setiap keputusan yang dibuat adalah hasil kerjasama atau komitmen semua pihak di sekolah.

Dalam situasi kepelbagaian fungsi dan tugas, setiap guru perlu bertindak secara bersepaduan terhadap matlamat sekolah. Sekolah yang berkesan ialah pengurusannya dibina berasaskan tindakan guru secara menyeluruh serta bersepadu dan tidak secara beraingan. Garibaldi (1993) kemudiannya menyatakan bahawa guru-guru di sekolah berkesan mempunyai sikap positif terhadap pembelajaran dan sosial di sekolah mereka.

Walaupun guru mempunyai banyak tanggung jawab lain selain daripada mengajar, tetapi memang tidak dapat dinafikan bahawa tugas mengajar merupakan tugas utama guru. Oleh itu, di samping melaksanakan tugas-tugas lain, guru juga perlu menekankan kepada pengajaran dan pembelajaran yang efektif untuk menjamin keputusan pencapaian pelajar yang cemerlang dan seterusnya mencapai tahap sekolah berkesan.

6.0 KEKANGAN SEKOLAH BERKESAN

Untuk mencapai tahap yang dikatakan sekolah berkesan bukanlah mudah. Mencapai tahap yang betul-betul sempurna dan ideal adalah sesuatu yang sukar kerana dalam proses mencapai sesuatu objektif, terdapat beberapa masalah atau kekangan yang perlu dihadapi. Dalam isu ke arah mewujudkan sekolah berkesan, kumpulan kami telah mengenalpasti beberapa faktor yang dipetik daripada Seminar Pengurusan Pendidikan di Institut Aminuddin Baki telah menjadi halangan dalam mencapai sekolah berkesan.

Salah satu faktor yang menghalang pengurusan yang cekap bagi membentuk sekolah berkesan ialah proses birokrasi.. Tidak dapat dinafikan bahawa kawalan dari bahagian bahagian seperti Kementerian Pendidikan dan juga Jabatan Pendidikan Daerah adalah diperlukan untuk meningkatkan keupayaan sekolah. Masalahnya ialah peraturan dan prosedur yang berlebihan dipaksakan terhadap sekolah sehingga menghimpit kemungkinan pengurusan sekolah untuk bertindak atau respon dengan caranya yang tersendiri. Pengetua, untuk memenuhi kehendak dan arahan atasan, mencipta atau melakukan peraturan dan kawalannya seperti peraturan pengajaran, jadual waktu, pengisian borang yang berlebihan, penulisan rekod mengajar, dan sebagainya lagi. Akibat yang nyata daripada proses birokrasi ini ialah wujudnya pengurusan, iklim dan proses yang berbentuk keseragaman di semua sekolah sehingga menjejaskan kemungkinan lahirnya bentuk pengurusan sekolah yang tersendiri dan unik dan menepati keperluan setempat serta berusaha mencapai tahap sekolah berkesan.

Proses pembirokrasian di atas memberi kesan kepada kedudukan sekolah sebagai unit pengurusan setempat. Pengurusan setempat dengan peranan pengetua sebagai site manager adalah isu yang harus diketengahkan juga untuk melahirkan pengurusan sekolah yang berkesan. Pengurusan setempat bermakna pengetua diberi kuasa membuat keputusan dan fleksibiliti dalam pilihan berkenaan kaedah mengurus sekolahnya berdasarkan kepada situasi setempat tanpa sistem kawalan dari pusat (Abdul Syukor Abdullah, 1993). Sistem pengurusan setempat bukanlah amalan yang baru dalam pengurusan sekolah di negara kita. Malangnya amalan pengurusan setempat telah mula hilang dengan berlakunya pemusatan kuasa dan kawalan melalui Akta Pendidikan 1991 dan peraturan yang dikeluarkan selepas itu. Pemusatan pengurusan ada kebaikannya tetapi apabila diamalkan berlebihan daripada yang sepatutnya, ia akan mengancam kedudukan pengetua sebagai site manager.

Apabila pembirokrasian melebihi daripada yang sepatutnya dan site management telah berkurangan, maka kedua-duanya akan memberi kesan kepada empowerment. Deempowerment berlaku terhadap guru dalam mana kuasa untuk membuat dan memilih keputusan telah berkurangan di samping guru dan pengetua terjerut dengan arahan dan panduan dari pusat. Maka kebolehan pengetua dan guru untuk membuat keputusan secara bersendirian telah berkurangan. Oleh itu akan lahir kumpulan pengurus dan guru sekolah yang kaku dan tidak proaktif yang sentiasa bergantung kepada arahan dan panduan urtuk bertindak. Sedangkan merekalah sebagai pelaksana yang lebih memahami keadaan setempat yang perlu diberi kuasa untuk membuat keputusan.

Bagaimanapun, empowerment dan pengurusan setempat bukanlah jawapan yang boleh melahirkan pengurusan yang cekap di sekolah. Sebaliknya kedua-dua faktor ini adalah bergantung kepada kepimpinan sekolah itu sendiri. Walau bagaimanapun, sesetengah pengetua menyedari tugas penting mereka adalah untuk meningkatkan mutu pengajaran di sekolah masing-masing, namun mereka terpaksa menerima tekanan dari luar dan dalam organisasi sekolah itu sendiri. Walcott 91973) dan Sarason (1971) telah mendapati pengetua menerima tekanan yang banyak daripada ketua-ketua dalam hierarki sistem persekolahan dalam bentuk arahan dan peraturan.. Mereka dibebankan dengan tugas pentadbiran dan urusan surat-menyurat dari pelbagai peringkat dan kesemuanya memerlukan tindakan segera. Tekanan sedemikian mengakibatkan bukan sahaja kekangan terhadap pemgetua tetapi juga memberi kesan kepada pembentukan sekolah berkesan.

7.0 CADANGAN PEMBAIKAN KE ARAH SEKOLAH BERKESAN

Bagi meningkatkan keberkesanan sekolah, pelbagai strategi boleh diambil. Beberapa reformasi perlu dilaksanakan di sekolah bagi meningkatkan keberkesanan sekolah. Berikut adalah cadangan-cadangan yang diharapkan dapat membantu kepada pembentukan sekolah berkesan.

7.1 Perpaduan Di Dalam Organisasi Birokrasi Sekolah

Perpaduan diletakkan di dalam agenda utama kerana umum menyedari betapa pentingnya unsur ini bagi mengemblengkan tenaga yang beraneka ragam di sekolah. Lebih ramai ahlinya maka lebih kritikal bagi seseorang memastikan wujudnya semangat bekerja sebagai satu pasukan, apatah lagi sebagai satu keluarga.

Seluruh ahli dalam masyarakat harus diajak bekerja sebagai satu pasukan dan satu keluarga yang mempunyai hubungan yang akrab demi menuju cita-cita yang didokong bersama. Persefahaman harus terbina dan terjalin di antara ahl-ahli daripada pelbagai peringkat dalam organisasi sekolah.

Mengikut Morphet, John dan Reller (1982), matlamat sesebuah organisasi bukan untuk mengadakan keadaan yang dapat mempetingkatkan kecekapan pengurusan dan pentadbiran tetapi mengadakan keadaan yang dapat mempertingkatkan kecekapan organisasi bagi mencapai matlamatnya.

Oleh sebab itu, sudah tiba masanya bagi semua pengetua sekolah mengaplikasikan kematangan fikiran dan melakukan mindshift dengan berganjak daripada zaman birokrasi kepada zaman pasca birokrasi. Di dalam pasca birokrasi matlamat semua ahli bukanlah untuk menunjukan kebesaran tetapi adalah untuk mencapai kecemerlangan.

7.2 Pemaufakatan

Di dalam pemaufakatan iaitu tidak ada beza di antara Ketua Pengarah dengan Pengarah, Pengarah dengan Pengetua, Pengetua dengan guru dan guru dengan pelajar. Kesemuanya adalah di dalam satu pasukan dan satu keluarga yang mempunyai ikatan yang kukuh. Ini adalah penganjakan pemikiran yang perlu dan mesti dilakukan di peringkat sekolah bagi mewujudkan sekolah berkesan.

Omardin Ashaari dalam bukunya Pengurusan Sekolah ada mengatakan bahawa akademik pelajar akan meningkat sekiranya hubungan yang terjalin antara mereka dengan guru adalah baik.

Sememangnya diharapkan hubungan yang lebih kukuh akan terjelma pada masa-masa akan datang dan sudah pasti ia memberi sumbangan yang lebih bermakna dalam menyelesaikan masalah-masalah meruncing di sekolah seperti penyalahgunaan dadah, bohsia, lepak dan seumpamanya. Sekiranya pihak sekolah dapat membina hubungan dan persepakatan dalam bentuk kekeluargaan, maka akan rasa keyakinan untuk menyelesaikan sebarang masalah walaupun masalah berat sekali pun. Oleh yang demikian, pihak sekolah perlu meneruskan membina perpaduan dan permaufakatan ini dengan lebih giat agar seluruh organisasi sekolah dapat berfungsi dan beroperasi dan seterusnya membentuk sekolah berkesan.

7.3 Pengupayaan

Pengupayaan adalah sebaik-baik cara untuk diamalkan oleh setiap pengetua sekolah sebagai usaha untuk menggalakkan dan mencetus inovasi dan kreativiti bagi mewujudkan kecemerlangan di peringkat sekolah. Melaui pengupayaan guru akan bertindak lebih profesional kerana ini akan melahirkan sikap akauntabiliti dan sepunya. (Abdul Syukor Abdullah, 1993).

Contohnya beberapa sekolah di Perak telah keluar daripada pemikiran rutin dan mempelopori konsep jadual waktu dua minggu. Hasilnya amat menggalakkan yang mana sekolah tersebut telah melaporkan prestasi pelajar meningkat, kadar ponteng sekolah menurun dan beg sekolah pelajar semakin ringan.

Banyak lagi inovasi dan kreativiti yang boleh dihasilkan daripada pelaksanaan konsep pengupayaan. Walaupun terdapat inovasi dan kreativiti yang mengkagumkan, namun kejayaan ini tidak berlaku di semua sekolah kerana pada peringkat ini inovasi merupakan usaha sekolah secara bersendirian. Sekolah yang tidak mencuba inovasi memperolehi hasil yang sama dengan apa yang diperolehi seperti tahun-tahun sebelumnya.

7.4 Kepimpinan Sekolah

Edmond (1979) menyatakan bahawa pemimpin sekolah boleh menjadikan sekolah itu berjaya atau cemerlang. Oleh sebab itu, kajian telah membuktikan bahawa penentu utama bagi kejayaan atau keberkesanan sesebuah sekolah adalah aspek kepimpinan . Kepimpinan oleh pengetua sebenarnya adalah faktor penentu dalam melahirkan keberkesanan sekolah kerana beliau mengendalikan pengurusan setempat dan melaksanakan aktiviti pengupayaan.

Ramai pengetua sukar bertindak kerana terjebak dengan bebanan administratif yang memerlukan pematuhan syarat dan peraturan kerja. Pengetua pada masa kini dibebani dengan pelbagai tugas sehingga pengetua lupa akan tugas sebenar mereka. Abdul Syukor Abdullah (1990), pengetua lupa bahawa tugas utama mereka ialah kepemimpinan pedagogi dan tidak berkemampuan membuat pembaharuan kerana terlampau tertumpu kepada perkara bercorak pentadbiran.

Oleh itu untuk menjamin keberkesanan sekolah, pengetua seharusnya memberi perhatian yang lebih kepada tugas sebagai pemimpin pengajaran. Sizer (1984), sewajarnya pengetua memberikan tumpuan masa, tenaga dan kuasa terhadap misi utama sekolah iaitu pedagogi.

8.0 KESIMPULAN

Dunia yang semakin kompetetif sesungguhnya memerlukan keberkesanan diperingkat sekolah disebabkan Malaysia akan bertaraf antarabangsa dan memerlukan kepemimpinan yang berwibawa, teknologi bertambah canggih serta ragam manusia yang berbagai-bagai. Sememangnya Kementerian Pendidikan bertekad untuk melahirkan manusia insan kamil yang seimang pembangunan rohani, emosi, jasmani dan intelek sebagaimana yang dituntut oleh Falsafah Pendidikan Negara. Manusia beginilah yang nantinya berupaya mendokong Wawasan 2020.

Akhirnya dalam usaha membina keberkesanan sekolah, reformasi atau program pembaikan sekolah haruslah merupakan tindakan pembangunan dalaman sekolah. Sememangnya dalam pelaksanaan reformasi di sekolah, penglibatan setiap masyarakat sekolah amat penting, sungguhpun tugas utama guru berkaitan dengan pengajaran dan pelaksanaan kurikulum, namun usaha meningkatkan kemajuan sekolah perlu dihayati dan ditangani bersama demi membentuk sekolah berkesan.