Koleksi Kertas KajiSelidik Pelajar Sarjana Pendidikan Seksyen Tiga ITTHO

Koleksi Kertas Kerja Kajian Sistem Pendidikan Kebangsaan (MTT2353)



Pendidikan Teknik Dan Vokasional



1.0  Latarbelakang Pendidikan Teknik Dan Vokasional

Rancangan Malaysia Keenam mengandungi  tahap pertama mengenai Rangka Kedua  Perancangan Prospektif  di mana ia menekankan kepada Pembangunan Sumber Manusia, di mana aspek ini amat penting di dalam  membantu Malaysia mencapai tahap negara perindustrian.  Ianya meliputi  pembangunan polisi untuk mempelbagaikan asas industri, menambahkan pembangunan sumber manusia, mempromosikan teknologi dan meningkatkan serta mengimbangi sektor-sektor yang ada di setiap negeri.  Perancangan tersebut juga memfokuskan kepada keperluan untuk mengembangkan pendidikan vokasional bagi menambahkah bekalan tenaga buruh yang mahir serta tenaga kerja  berkualiti  bagi memenuhi pembangunan ekonomi negara yang sedang pesat berkembang.     

	Dalam  tahun 1980-an, Malaysia  telah melabur dengan banyak ke atas pendidikan vokasinal samada berbentuk kualitatif mahupun kuantitatif.  Langkah ini juga  merupakan turutan daripada cadangan yang telah dikemukakan oleh Laporan  Jawatankuasa Kabinet mengenai pendidikan yang  juga dikenali sebagai  Laporan Mahathir (Kementerian Pendidikan, 1980).  Sebagai hasilnya, bilangan sekolah vokasional peringkat menengah telah meningkat daripada 29 buah pada tahun 1982 kepada 70 buah pada tahun 1993.    Sementara itu pada tahun 1987, kursus-kursus dan kurikulum bagi sekolah-sekolah ini telah diperbaharui.  Ini menjadikan sekolah vokasional sebagai sebuah tempat yang amat sesuai bagi para pelajar untuk meneruskan pendidikan peringkat tinggi mereka.  
	Dengan sokongan padu yang diberikan oleh kerajaan mengenai pendidikan vokasional ini, terdapat bukti yang menunjukkan bahawa pendidikan ini semakin penting.  Ia juga telah menjadi satu keperluan yang mendesak bagi melahirkan tenaga kerja yang benar-benar berkemahiran .  Ini secara tidak langsung dapat memenuhi sasaran Malaysia bagi menyediakan tenaga kerja ini menjelang Tahun 2020. (Mohamad, 1991).  Pada masa  yang sama  , Laporan Jawatankuasa Kabinet mengenai Latihan   (Unit Perancangan Ekonomi dan Kementerian Pendidikan , 1991) telah mencadangkan tentang keperluan  mengenai kawalan serta pengurusan pendidikan vokasional yang baik dan sistematik.  Langkah ini amat penting bagi mengurangkan pembaziran yang berlaku hasil daripada kecelaruan yang timbul akibat daripada ketidakseimbangan antara ouput pendidikan dan peluang-peluang pekerjaan. 

	Pembangunan mengenai pembuatan polisi serta mekanisme pengurusan yang mengawal sistem pendidikan vokasional merupakan sesuatu yang amat penting.  Semakan dari masa ke semasa adalah amat perlu  bagi membantu serta memberi fokus kepada proses untuk memastikan perancangan pendidikan vokasional sesuai dengan matlamat pembangunan negara; sistem tersebut dapat disesuaikan dengan keperluan terhadap pekerja dan majikan; sistem yang fleksibel dan bertanggungjawab; pembangunan yang berterusan dan mana-mana peningkatan atau pembaharuan terhadap sistem tersebut dapat berkekalan. Penyelidikan harus dilakukan untuk melihat pengaruh dan cabaran yang dihadapi oleh pendidikan vokasional di dalam konteks ekonomi baru dan persekitaran sosial yang wujud di Malaysia.

	Kertas kerja yang dikemukan oleh Bank Dunia mengenai pendidikan teknik dan vokasional serta latihan menegaskan bahawa salah satu langkah yang amat efektif bagi penggunaan sumber-sumber bagi meningkatkan produktiviti dan fleksibeliti  tenaga kerja adalah melalui pelaburan di dalam pendidikan am bagi peringkat rendah dan menengah.  Berkaitan dengan isu ini juga adalah keperluan terhadap pengkajian tentang skop dan polisi-polisi  mengenai pendidikan vokasional di Malaysia .  Sejak kebelakangan ini di dapati bahawa, permintaan pelajar terhadap pendidikan  vokasional semakin meningkat (TAVED , 1993).    Oleh yang demikian kajian ini penting bagi meningkatkan keberkesanan pendidikan vokasional yang sedia ada.

	Pada masa yang sama , di dapati bahawa hanya sedikit penyelidikan yang dibuat untuk melihat tentang keperluan terhadap pendidikan teknik dan vokasional yang mempunyai hubungan rapat di antara pendidikan, latihan dan keperluan pekerjaan.  Oleh kerana kekurangan ini, maka  Bahagian Pendidikan Teknikal dan Vokasional  (TAVED) , yang merupakan pusat kepada agensi pendidikan  vokasional di Malaysia tidak dapat membuat keputusan yang tepat mengenai aspek pendidikan vokasional ini.  Sebagai akibatnya pendidikan vokasional selalu di anggap oleh orang-orang di luar bidang pendidikan terutamanya ahli-ahli politik dan majikan sebagi sesuatu yang tidak efektif.  (Kementerian Pendidikan, 1992).  Bagi menangani masalah ini , pendidikan vokasional telah menjadi elemen penting untuk dijadikan bahan kajian dengan galakan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.   Pada awal tahun 1990-an beberapa kajian telah di jalankan terutamanya oleh konsultant bidang pendidikan , termasuk agensi-agensi Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia (Singh, 1984;Kerajaan Malaysia & UNIDO, 1985; Technint, 1991; Unit Perancang Ekonomi Dan Organisasi Buruh Antarabangsa, Universiti Teknologi Malaysia seperti yang dikemukakan oleh Laporan Konsultant 1992).  Kebanyakkan daripada kajian dan penilaian ini merupakan alat untuk mengembangkan sistem pendidikan vokasional yang sedia ada.      

1.1	Sejarah    
3.0 Masalah-masalah dalam pendidikan teknik.

	Dilihat dari segi masalah yang dihadapi dalam pendidikan teknik ini boleh dikatakan sinonim dengan perkembangan teknologi yang begitu pesat membangun dalam dunia IT. 
       

















4.0 Isu Penyediaan Guna Tenaga Dari Pendidikan Teknikal.
	
	Sekiranya kerajaan ingin menuju kearah negara perindustrian berteknologi tinggi, persediaan terhadap gunatenaga seharusnya diberikan penekanan yang serius. Lulusan dari pendidikan teknik dan vokasional seharusnya dipertingkatkan dimana bidang sains dan teknologi merupakan bidang besar yang diberikan penekanan dan dipertingkatkan kadar penyertaannya. (Ishak Yusuf & Rahmah Ismail 1997, 84)

	Maka wujudlah persoalan, adakah pendidikan vokasional dan teknik dapat menyediakan keperluan yang mencukupi dalam usaha negara menuju kearah negara perindustrian. Maka beberapa isu wujud di sini, antaranya jumlah enrolmen pelajar, infrastruktur sekolah dan kurikulum sekolah.

· 	Enrolmen Pelajar

	Aliran pendidikan vokasional masih dianggap sebagai pendidikan pilihan kedua. Langkah kerajaan menaikkan taraf sekolah vokasional ke sekolah teknik mungkin dapat menggurangkan tanggapan tersebut. Di kebanyakkan negara yang mencapai taraf negara perindustrian, enrolmen pelajar aliran vokasional melebihi 60 peratus sedangkan di Malaysia ia tidak sampai pun 10 peratus. Walaupun mutakhir ini usaha telah dijalankan untuk meningkatkan enrolmen pendidikan teknik dan vokasional ianya jauh lebih rendah berbanding dengan negara maju. Contohnya, nisbah enrolmen pendidikan vokasional di Jerman ialah 60 peratus, Jepun 28 peratus dan Taiwan 70 peratus. (Ishak Yusuf & Rahmah Ismail 1997, 85)
 
	Dari segi program pendidikan, kebanyakkan Negara Industri Baru (NIB) di Asia Timur memberikan penekanan yang lebih kepada pendidikan sains, teknikal dan vokasional. Di Taiwan contohnya nisbah pendidikan vokasional melintasi pendidikan am ialah 70:30 memihak kepada pendidikan vokasional dimana output sekolah vokasionalnya mendapat gaji yang lumayan. (Supian Ali, Ishak Yussof & Razak Dan 1997, 163)

	Jadual menunjukkan nisbah enrolmen pelajar teknik dan vokasional yang masih rendah. Senario ini ada kaitannya dengan 
· Persepsi masyarakat yang mengaitkan pendidkan teknik dan vokasional dengan pekerjaan kolar biru.
· Infrastruktur pendidikan teknik dan vokasional yang masih tidak mencukupi dari segi bilangan sekolah, peruntukan  kerajaan (8.3 peratus daripada peruntukan pendidikan dalam Rancangan Malaysia ke 5 dan 6.2 peratus dalam Rancangan Malaysia ke 6)
	1985	1990	1993	1995
Jumlah Pelajar Menegah Atas (% daripada keseluruhan Pelajar)	8.9%	9.0%	9.4%	10.5%
Jumlah Pelajar Teknik dan Vokasional.
(% daripada pelajar menengah atas)	6.1%	8.1%	9.6%	9.7%
(Ishak Yusuf & Rahmah Ismail 1997, 90)

	Permintaan terhadap pekerja profesional, teknik dan yang berkaitan  telah meningkat  dalam jangka masa 10 tahun. Pada tahun 1980 didapati  6.7% pekerja  adalah di dalam kategori ini. Pada tahun 1990, permintaan terhadap pekerja profesional  dan teknik  mengalami peningkatan kepada 7.8%. Peningkatan ini di jangka akan terus  berlaku dimasa hadapan  memandangkan  penglibatan negara di dalam industri  pembuatan yang kian berkembang dengan pesat menyebabkan pekerja profesional dan teknik diperlukan.- ( Laporan tahunan  Jabatan Tenaga Buruh, Kem. Sumber Manusia 1995 )
	Dengan perkembangan yang pesat sektor industri ini menyebabkan permintaan terhadap pekerja teknikal dalam beberapa tahun lepas jauh lebih tinggi berbanding tenaga kerja yang dapat dikeluarkan oleh di dua sektor awam dan swasta. Peningkatan ini akan terus bertambah sejajar dengan perubahan dari  segi teknologi, terutama sektor pembuatan dari penggunaan Automasi dan robot yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan fleksible -(Laporan status JPT;  Profiles of Technical and Vocational Education Malaysia June 1998)    


·  Infrastruktur sekolah

	Soo Wee Leng dan Juma'ayah Salleh (1997) menyatakan, kos untuk membiayai pendidikan teknik dan vokasional memanglah tinggi. Contohnya kos untuk pengurusan Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Semenanjung Malaysia ialah RM21,239,514 (1983) berbanding RM98,131,886 (1992). Cadangannya ialah supaya pendidikan vokasional seharusnya mempunyai tabung kewangan khas agar dapat menampung kos perbelanjaan yang semakin meningkat dan polisi kerajaan yang mewajibkan sektor swasta dan industri memperuntukkan latihan industri, menyumbangkan beberapa peratus pendapatan dalam latihan pekerja, pengecualian pembayaran cukai untuk latihan dan pendidikan vokasional dijalankan secara 'comercial enterprise' untuk mendapatkan wang.


· Kurikulum sekolah

	Satu perkara lagi yang dianggap penting ialah membincangkan kurikulum yang wujud di sekolah teknik dan vokasional. Persoalan seperti sejauhmana latihan teknikal harus diberi di sekolah, sejauhmana lepasan teknik dan vokasional mempunyai kemahiran yang mencukupi dan kerjasama dari pihak industri dengan pendidikan vokasional dibincangkan di sini.
	Menurut laporan yang dinyatakan didalam laporan Mahathir, beliau ada mencadangkan agar kurikulum sekolah teknik perlu diimbas balik agar bersesuaian dengan kehendak atau permintaan indutri.

	"the existing curriculum of the secondary vocational schools (SVSs) to be reviewed and revamped, appropriate to the pressing demand of rapid industrialisation. It is an appropriate measure to raise the image and the status of the schools."
            (Ministry of Education, 1980 para.209.1).

Didalam laporan Mahathir ini lagi melihat perlu adanya  latihan 'in-plant' atau industri berbanding latihan berasaskan sekolah. Beliau mencadangkan;
		
	"....vocational students to undergo on the job practical training in industry. This will significantly enable them to have more practical exposure and adaptability to industrial practices and procedures."
              (Ministry of Education, 1980 para.70)
Ini membolehkan pembentukan kurikulum baru yang lebih berteraskan kepada kehendak industri secara tak lansung  memberi pendedahan  kepada pelajar dunia pekerjaan yang sebenar dan juga kepada teknologi semasa. Namun perlaksanaan masih lagi di peringkat perancangan yang mana perlukan komitmen dari semua pihak kecuali di peringkat institut pengajian tinggi perlaksanaanya telah di jalankan.

	Kurikulum yang ditawarkan di sekolah vokasional dan teknik sekiranya tidak mengikut permintaan pasaran industri menyebabkan lepasan tidak memenuhi keperluan industri. Ini adalah kerana lepasan pelajar tidak dapat mengaplikasikan apa yang dipelajari dengan keperluan pekerjaan. Di Britain, pihak industri berpendapat sekolah perlu memasukkan unsur vokasional di dalam kurikulumnya tetapi tidaklan ditahap sehingga pelajar-pelajarnya boleh bekerja dengan kemahiran yang diperolehi tanpa sebarang latihan. Ini memandangkan, pihak industri lebih suka memberi latihan di tempat kerja dan pihak institusi vokasional memberikan latihan asas. Kurikulumnya meliputi pengetahuan asas, kemahiran komunikasi, kemahiran teknikal serta etika kerja. (Soo Wee Leng dan Juma'ayah Salleh 1997, 103)

	Namun begitu, wujud masalah dalam mencari pengusaha yang sanggup menyediakan program pengalaman kerja sedemikian rupa. Ini berdasarkan kajian yang dibuat oleh The Organization for Economic Cooperation and Development menunjukkan kurangnya penglibatan pengusaha industri dalam menyediakan program sedemikian rupa. Ini adalah persoalan yang berterusan ditujukan kepada penggubal kurikulum pendidikan teknik dan vokasional dalam memberi kepercayaan kepada perniagaan dan industri untuk menyumbangkan sumber bagi mereka menyediakan 'work-based learning experience'. (Prof. J. M David 1997, 22) 

Menurut Dato' Dr. Abdul  Shukor(Ketua Pengarah Pendidikan, KPM),  penglibatan industri di dalam pendidikan teknik khususnya adalah amat penting dan ia menentukan keberkesanan sistem pendidikan yang dijalankan . Kita sedia maklum PTV memerlukan input kewangan,alatan dan kepakaran yang tinggi dan konstan supaya wujud' relevency' antara pendidikan dan dunia pekerjaan.  (- Isu dan cabaran Pendidikan vokasional dan teknik di abad ke-21 )



Bibliografi
Ishak Yusuf & Rahmah Ismail. 1997. Pendidikan di Malaysia. Pembangunan Sumber Manusia di Malaysia. Bangi: UKM

Prof. J. M. David. (1997). Connecting Education and Careers: How Various Educational Systems Attempt to Prepare Youth for Work. Kertas Kerja dibentangkan di Seminar Kebangsaan Pendidikan Teknik dan Vokasional, UPM Serdang, 10-11 Mei.

Soo Wee Leng dan Juma'ayah Salleh. 1997. Hubungan Industri dan Pendidikan Vokasional: Isu dan Strategi. Kertas Kerja dibentangkan di Seminar Kebangsaan Pendidikan Teknik dan Vokasional, UPM Serdang, 10-11 Mei.

Supian Ali, Ishak Yussof & Razak Dan 1997. Perbandingan Pengalaman Perancangan Tenaga Manusia Antarabangsa. Pembangunan Sumber Manusia di Malaysia. Bangi: UKM




Laman Web ini masih dalam pembinaan. Segala komen dan nasihat anda adalah amat dialu-alukan di dalam menghasilkan Laman Web ini. Hubungi email yang tertera.
return to main