KERTAS KERJA KAJIAN SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN (MTT2353)

TINJAUAN MENGENAI CABARAN-CABARAN

PENDIDIKAN VOKASIONAL DI MALAYSIA

Pengenalan

Perkembangan pesat dalam bidang sains dan teknologi, sosio ekonomi serta politik dunia adalah di antara faktor yang merubah bentuk dan tahap kemahiran yang diperlukan untuk sesuatu pekerjaan. Zaman Teknologi Maklumat ini bertambah sukar untuk diramalkan jenis dan bentuk pekerjaan yang akan wujud pada masa depan dengan tepat.

Adalah menjadi matlamat kerajaan Malaysia untuk mencapai status sebagai sebuah negara yang maju pada tahun 2020. Untuk ini, peningkatan dari teknologi berasaskan proses yang mudah kepada teknologi yang lebih canggih akan memerlukan kepakaran 153,000 jurutera dan pembantu teknik. Jumlah tenaga kepakaran dan pembantu teknik ini pernah dibincangkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Keperluan sumber manusia yang begitu banyak pasti memberi cabaran yang besar kepada pendidikan teknik dan vokasional. Semasa kegawatan ekonomi yang melanda negara kita sekarang. Mungkin ada soalan tentang keperluan tenaga kerja di saat kegawatan ini, kerana kita selalu dikhabarkan tentang pekerja-pekarja dibuang kerja.

Utusan Malaysia yang bertarikh 15 januari 1998, yang tajuk "Krisis ekonomi Graduan menganggur berulang kembali" menurut Yulpisman Asli, terdapat banyak pihak mengunjurkan bahawa situasi graduan menganggur akan berulang, kalau melihat kepada penurunan permintaan pihak swasta terhadap butiran diri atau resume'siswa tahun akhir di IPTA atau IPTS. Kursus-kursus tertentu sahaja yang banyak mendapat permintaan dari pihak swasta. misalnya di Institut Teknologi Mara (ITM), permintaan ketara adalah untuk kursus-kursus Teknologi Maklumat, sementara di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kepada kursus-kursus kejuruteraan. Keadaan ini juga diakui oleh Pengarah Unit Rundingan Pelajar UKM, Mohd.Tohir Hashim yang berkata, permintaan untuk mendapatkan lulusan UKM agak berkurangan berbanding tahun lepas.

Tantawi Jauhari sebagai ketua Unit Kaunseling & Kerjaya ITM, turut mengakui bahawa kemelesetan ekonomi sedikit sebanyak mempengaruhi peluang pekerjaan pelajar ITM secara keseluruhannya. Pelajar-pelajar ITM juga menerima tawaran peluang pekerjaan daripada syarikat-syarikat swasta tetapi jumlahnya agak kecil berbanding sebelum ini, dan kebanyakannya membabitkan bidang berkaitan denganTeknologi Maklumat. Kaunselor Jabatan Kaunseling dan Kerjaya Universiti Islam Antarabangsa (UIA), juga menjelaskan bahawa syarikat menawarkan jawatan kosong yang agak kecil dan berkurang dari tahun-tahun sebelumnya.. Manakala Pengerusi Koleh SAL, Abdul Rashid Abdul Ghani berkata, situasi ekonomi pada masa kini sudah pasti akan menjejaskan sedikit sebanyak peluang pekerjaan para graduan. Bagaimanapun menurut beliau, keadaan sekarang berbeza dengan apa yang dihadapi oleh negara pada tahun 80an. Ini kerana, pelajar bidang IT kurang merasai kesannya berbanding pelajar lain.

Agenda Koridor Raya Multimedia (MSC) negara sedikit sebanyak membantu pelajar bidang IT daripada menerima tamparan kejatuhan ekonomi. Tetapi kita tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya jika keadaan ini berlarutan. Dari apa yang telah dijelaskan ini, maka situasi di sekolah vokasional juga akan menghadapi satu cabaran yang genting. Pendidikan vokasional bukan lagi cuma mengikut apa yang telah dirancang dua tiga tahun yang lepas, pengubahsuaian perancangan perlulah demi memenuhi kehendak semasa. Pendidikan vokasional tidak ketinggalan dalam soal menghadapi situasi kegawatan ini. Pihak Kementerian Pendidikan Teknik dan vokasional perlu meneroka bidang-bidang baru yang dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang luas dan terjamin. Semua pelajar vokasional juga perlu mempersiapkan diri mulai sekarang untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Kegawatan ekonomi seperti yang dinyatakan di atas, merupakan cabaran yang besar kepada latihan vokasional. Pertumbuhan di dalam ekonomi dan industri negara adalah bergantung kepada keupayaan kita untuk mempertahankan kadar produktiviti yang tinggi dan daya saingan diperingkat antarabangsa. Daya saing dan produktiviti industri bergantung pula kepada adanya tenaga kerja yang berpendidikan, mahir dan bermotivasi tinggi.

Oleh itu, hasrat dan harapan negara terhadap pendidikan dalam bidang teknik dan vokasional adalah amat tinggi. Kepincangan di dalam sistem latihan ataupun pendidikan vokasional akan mengakibatkan kekurangan tenaga mahir yang seterusnya akan menyebabkan pertumbuhan industri menjadi lembab dan pengeluaran nasional menjadi rendah. Oleh itu juga kami cuba membuat kajian tentang cabaran-cabaran pendidikan vokasional di kala kegawatan ekonomi Malaysia.

Sejarah pendidikan di Malaysia

Sebelum kita membincangkan isu-isu cabaran pendidikan vokasional secara kritis, elok sekiranya kita menyingkap kembali sejarah pendidikan di Malaysia. Di awal tahun Malaysia menuju kemerdekaan, keutamaan pendidikan telah diberikan sepenuh perhatian dengan tertubuhnya satu Dasar Pendidikan (Pelajaran) Kebangsaan melalui Penyata Razak pada tahun 1956 dan dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran, 1957. Penyemakan semula Dasar Pendidikan telah dilakukan pada tahun 1960 dengan lahirnya Laporan Rahman Talib yang kemudian dimaktubkan dalam Akta Pelajaran, 1961. Kemudian, sebuah Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan dalam tahun 1974 untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan dengan tujuan untuk memperbaiki pelaksanaannya supaya matlamat untuk melahirkan satu masyarakat yang bersatupadu dan berdisiplin serta memenuhi keperluan tenaga rakyat yang terlatih bagi pembangunan negara dapat dicapai. Laporan Jawatankuasa ini telah diterbitkan dalam tahun 1979(Lampiran A)

Setelah melihat sejarah pendidikan di Malaysia cuba kita kaji sejarah Pendidikan vokasional pula. Pendidikan Vokasional telah di cadangkan lebih awal lagi, ini boleh dilihat dalam Laporan Cheeseman. Dari sini dapat kita lihat bahawa pendidikan Vokasional telah diutamakan dan dianggap penting bagi sesebuah negara. Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia telah ditubuhkan secara rasminya pada tahun 1964 . Sehingga tahun 1982, hanya terdapat 29 buah sekolah menengah vokasional diseluruh negara. Sistem baru pendidikan vokasional di sekolah menengah vokasional telah dimulakam dalam tahun 1987, dari perkembangan pendidikan ini telah bertambahnya 41 buah sekolah menengah vokasional dengan jumlah keseluruhan sebanyak 70 buah., bahagian ini bertanggungjawab untuk memperkembangkan pendidikan teknik dan vokasional. Dari kajian sejarah pendidikan vokasional, pendidikan vokasional telah hampir 40 tahun dilaksanakan dalam pendidikan kebangsaan kita. Tetapi akhir-akhir ini pendidikan vokasional telah mengalami perubahan yang ketara sekali. Kegawatan ekonomi juga sedikit sebanyak telah mendorong perubahan dilakukan demi mencapai pendidikan Wawasan 2020.

Pendidikan Vokasional perlu seiringan dengan kehendak alam pekerjaan semasa.

Pendidikan vokasional mempunyai peranan untuk memperkenalkan konsep dunia pekerjaan kepada pelajar-pelajar. Adalah tepat sekali bahawa pendidikan vokasional perlulah memberi pendedahan yang secukupnya kepada alam pekerjaan. Di samping itu, ramai lulusan sekolah vokasional telah dihantar ke luar negara, terutamanya ke Jepun untuk mendalami kemahiran masing-masing, tetapi sejak kita dikejutkan dengan kejatuhan nilai ringgit Malaysia pada penghujung tahun 1997. Kementerian Pendidikan telah membekukan penghantaran pelajar keluar negara, kesan dari kegawatan ekonomi ini juga telah memberi satu tamparan kepada pendidikan vokasional. Pendidikan vokasional akan menghadapi tugas yang lebih mencabar lagi berat untuk menyediakan tenaga manusia bagi membantu mencapai negara maju menjelang tahu 2020 di waktu ekonomi dunia tidak menentu ini.

Penggunaan tenaga pengajar dalam negara perlulah dapat memberi kemahiran-kemahiran yang diperlukan dalam melahirkan tenaga kerja yang diharapkan. Kemahiran membaca, mengira dan menulis (3M) adalah sesuatu yang perlu diperkukuhkan, dan pelajar hendaklah dimaklumkan betapa pentingnya kemahiran asas bagi semua corak pekerjaan.

Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar Encik Frederick Wong Kong Kuong berkata, pelajar hari ini adalah aset negara untuk merealisasikan matlamat Wawasan 2020 negara.Sehubungan itu, beliau menyeru golongan pelajar agar bersedia untuk bergerak ke hadapan serta meningkatkan pencapaian dalam bidang akademik untuk memenuhi tenaga kerja mahir negara pada masa akan datang.

"Negara memerlukan rakyat yang berpendidikan tinggi serta memiliki kemahiran dalam pelbagai bidang menjelang tahun 2020 apabila negara sudah mencapai status sebuah negara perindustrian yang maju," katanya ketika berucap pada majlis makan tengah hari dan penyampaian insentif Kesatuan Guru Sarawak Cawangan Sarikei di sini baru-baru ini.

Kurikulum di sekolah menengah vokasional seharusnya meliputi kemahiran asas untuk pekerjaan seperti kesedaran mengenai bidang pekerjaan yang ada, sikap positif terhadap kerja, berkerjasama dalam pasukan, sifat-sifat murni, kemahiran asas dalam sesuatu bidang, membuat keputusan, kemahiran menggunakan komputer, pengurusan sumber manusia dan model, teknologi maklumat dan lain-lain kemahiran yang diperlukan untuk sesuatu pekerjaan menggunakan kemampuan teknologi. Kemahiran berkomputer perlu didedahkan pada peringkat awal persekolahan secara menyeluruh. Pendidikan bertanggungjawab memenuhi keperluan dan harapan semua pelajar mengikut kebolehan dan kemampuan masing-masing.

Teknologi yang sentiasa berkembang dan banyak mempengaruhi kehidupan manusia. Sama ada di tempat kerja mahupun di rumah teknologi telah merubah suasana kerja, cara kerja, cara berfikir dan lain-lain lagi. Jadi pendidikan vokasional perlulah setiasa berubah dari masa ke semasa, supaya negara tidak akan ketinggalan dalan perkembangan teknologi. Ini jelas dapat dilihat dalam falsafah pendidikan negara yang mengutarakan sembilan cabaran kearah Wawasan 2020. Cabaran yang ke enam di dalam pendidikan ke arah 2020 telah ditekankan teknologi perlu diutamakan dalam pendidikan.

 

Membentuk sebuah masyarakat yang bersifat sains serta progresif berdaya cipta dan berpandangan jauh ke hari muka, yakni sebuah masyarakat yang bukan sahaja dapat `memanfaatkan teknologi kini tetapi turut menjadi penyumbang terhadap pembentukan peradaban sains dan teknologi pada masa hadapan. (lampiran B)

Cabaran yang ke enam ini penting di tahun-tahun kelesuan ekonomi negara. Pendidikan vokasional boleh menjadi salah satu pemangkin ekonomi negara. Pendidikan vokasional perlulah dapat merapatkan jurang antara kurikulum dengan alam pekerjaan. Terdapat empat bidang yang perlu diambil berat oleh pendidikan vokasional masa kini.

i. Sains dan Teknologi

Malaysia menjadi sebuah negara yang mempunyai teknologi tinggi dan berfungsi sebagai negara pengeluar. Pelbagai barangan dan perkakasan untuk keperluan kehidupan dikeluarkan dan dipasarkan ke peringkat antarabangsa. Untuk tujuan ini sudah pasti kita memerlukan ahli reka cipta yang mempunyai daya kreatif dan inovatif.

ii. Teknologi Maklumat

Keadaan dunia abad ke 21 akan semakin kecil dengan penemuan dan ciptaan baru serta maklumat yang sebegitu banyak ledakan maklumat atau prasarana maklumat menjadi paling hebat apabila high performance communication digabungkan dengan high performance computing. Melalui penggunaan pelbagai alat dan perkakasan hasil kemajuan teknologi seperti teknologi digital. World Wide Webs dan Internet. Kita dapat mencapai, menyimpan, mendapat balik dan menggunakan maklumat dengan cepat dalam masa yang singkat.

iii. Pasaran dan Industri

Pembangunan negara banyak bergantung kepada keteguhan ekonominya. Bidang perniagaan, perusahaan dan perdagangan akan berkembang dari bentuk pasaran secara kecil-kecilan kepada usaha yang luas di peringkat dunia. Pakar-pakar dalam bidang ekonomi dan keusahawanan memang menjadi satu keperluan yang sangat penting bagi mencapai produktiviti negara.

iv. Modenisasi

Proses modenisasi mempunyai koordinasi dan implikasi ke atas idea, pemikiran, sistem nilai, ‘world view’, dan budaya masyarakat. Masyarakat Malaysia akan menjadi bertambah kompleks dan terdedah kepada pelbagai masalah sosial. Keganasan, penganiayaan, jenayah intelektual dan jenayah kolar putih, masalah penyelewangan agama dan ketaatsetiaan negara. Negara memerlukan ahli fikir termasuk ahli-ahli fikir dalam bidang agama untuk membantu mengatasi masalah soasial dalam negara maju.

Pendidikan sekolah menengah vokasional perlulah sebagai jentera untuk menyediakan tenaga kerja yang separa terlatih dalam pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk menggerak dan menyuburkan pertumbuhan ekonomi negara. Dari sudut lain pula pelajar yang sama setelah melalui sistem pendidikan formal, diharapkan menjadi individu yang seimbang dari segi pertumbuhan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosialnya (JERIS).

Mereka bentuk dan melaksanakan sistem yang fleksibel.

Pendidikan vokasional mampunyai peranan untuk mengubahsuai sistem pendidikan sekarang dan membina sistem baru bagi menampung keperluan pekerjaan masa hadapan. Segala perubahan yang dilakukan hendaklah dibuat dengan kerjasama pihak industri. Perubahan tersebut perlu fleksibel dalam aspek:-

  1. pengurusan proses pendidikan vokasional.
  2. Kurikulum.
  3. Penilaian.
  4. Cara penyampaian
  5. Tenaga pengajar.

Hanya dengan perancangan yang teliti dan mendapat kerjasama semua pihak sajalah sesuatu sistem itu dapat menunaikan hasratnya untuk mengeluarkan pendidikan berkualiti.

Sistem pendidikan negara yang berorientasikan peperiksaan akan diubah kepada satu sistem yang lebih fleksibel dan bersesuaian dengan keupayaan pelajar sebagai individu. Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan demikian berkata, pihaknya sedang membuat kajian terperinci mengenai perkara itu dan keputusannya akan diumumkan dalam masa yang terdekat.

Perubahan yang dinyatakan adalah secara menyeluruh di setiap peringkat pendidikan termasuklah pendidikan sekolah menengah vokasional dan ia tidak lagi bertumpu pada sistem pembelajaran yang mewajibkan para pelajar mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Penilaian pintar akan dibuat pada setiap peringkat bagi memenuhi keperluan pelajar sebagai individu dan bukannya robot yang diarah untuk mendapatkan keputusan peperiksaan yang cemerlang.

''Oleh itu, pihak kementerian sedang mengkaji kaedah yang lebih bersesuaian yang mampu melahirkan pelajar yang berfikiran kritis dan kreatif,'' katan Menteri Pendidikan selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pendidikan. Pada persidangan yang bertemakan Pendidikan untuk Persaingan Global.

Pendidikan sekolah menengah vokasional pada masa depan akan berorientasikan keperluan dan pembangunan individu yang mempunyai kemahiran berfikir secara kreatif, intelektual dan berlandaskan nilai-nilai murni yang kukuh. Ini semua adalah untuk membolehkan para pelajar bersaing dalam era yang lebih kompetetif. Sistem peperiksaan di vokasional juga perlu lebih fleksibel bagi memenuhi keperluan para pelajar berbanding satu paiwaian asas.

Mengatasi masalah memantapkan sistem pendidiakan Vokasional.

Sistem pendidikan vokasioanal perlu kepada perubahan dari masa ke semasa kerana tidak ada satu sistem yang boleh dijadikan sebagai formula untuk menyelesai masalah vokasional untuk negara. Fokusnya yang selalu berubah menyebabkan perlu kaedah penyelesaian dinamik. Usaha-usaha untuk mewujudkan masyarakat Malaysia abad ke 21 yang berdaya saing dan berdaya maju digariskan dalam Wawasan 2020. Kesemua usaha ini bermatlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara moden dan maju, sebuah masyarakat industri yang adil, bermoral dan rasional dan mempunyai keperibadian sendiri.

Dalam pembangunan sebuah negara yang maju, pendidikan vokasional perlulah melahirkan pelajar-pelajar yang bekesediaan diri yang kukuh dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosialnya (JERIS). Sebagai sebuah negara maju, pembangunan pesat berlaku dalam pelbagai bidang dan setiap bidang memerlukan sepenuh perhatian. Dalam soal ini sistem pendidikan vokasional perlulah dimantapkan lagi

Pada suatu ketika dahulu, sistem pendidikan vokasional dianggap sebagai penyelamat kepada pelajar-pelajar yang gagal dalam SRP, tetapi sekarang ini oleh kerana ada tekanan untuk mengeluarkan tenaga pekerja yang berkualiti maka fungsinya terpaksa berubah. Demikian juga dengan terlaksananya sistem PMR mungkin perubahan kecil terpaksa dilakukan. Pendidikan Vokasioanl memerlukan modal besar dan perbelanjaan yang tinggi dan sentiasa mendapat perhatian berbagai pihat untuk mengetahui keberkesanannya. Cabaran kepada pendidikan ialah untuk memastikan sumber yag diperlukan akan sentiasa mendapat layanan oleh pihak-pihak berkuasa di samping itu pendidikan vokasional terpaksalah mengeluarkan hasil yang setimpal dengan belanja yang dikeluarkan.

Untuk mendapat pelajar yang baik, para guru dan pendidik perlulah meningkatkan kemahiran mereka terlebih dahulu. Pendekata untuk kaedah pengajaran dalam pendidikan vokasional juga perlu diubahsuai. Ini dapat dilihat dalam ucapan Menteri Pendidikan Malaysia Y.B.Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak kita pada hari guru yang lapas. Berbunyi :

"............aspirasi negara untuk mewujudkan sebuah negara maju menjelang tahun 2020 mengikut acuan sendiri memerlukan komitmen yang menyeluruh dan pengurusan kerja yang berkualiti daripada setiap warga pendidik. Selaras dengan tema Hari Guru pada tahun ini, guru perlu meningkatkan lagi peranan menyemai rasa tanggungjawab bersama di kalangan pelajar agar mereka menjadi aset dan faktor utama ke arah mencapai cita-cita murni tersebut.............." di sini jelaslah bahawa para guru termasuklah guru dalam pendidikan vokasional perlu menghadapi cabaran masa ini dan masa depan dengan cekal.

Di saat-saat kegawatan ekonomi yang sedang hangat diperkatakan, ia turut dirasai oleh para pendidik di seluruh negara. Menurut kata-kata Ketua Setiausaha  Kementerian Pendidikan Malaysia Y. Bhg. Tan Sri Dr. Johari bin Mat :

"............Di sebalik segala masalah dan kegawatan yang melanda negara, profesion perguruan di negara ini masih teguh dan utama. Malahan pada saat ini tugas guru telah menjadi lebih penting dan mencabar. Di samping tugas harian guru mendidik anak-anak di bangku sekolah, guru juga dipertanggungjawabkan untuk menanam semangat waja di kalangan para pelajar supaya mereka menjadi warganegara yang lebih cekal dan berwibawa dalam menghadapi rintangan dan halangan bagi mencapai kemajuan dan pembangunan negara.........."

Walaupun kita sedang menghadapi saat ekonomi yang kritikal, tetapi tugas melahirkan tenaga kerja perlulah diteruskan. Pendidikan secara tidak langsung dapat memangkin pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.

Untuk memantapkan sistem pendidikan guru vokasional, perlulah diwujudkan kurikulum guru vokasional sebagaimana yang dibuat bagi melatih profesyen arkitek, undang-undang dan perubahan. Kursus-kursus perguruan perlu dibuat perubahan agar kaedah mengajar lebih berkesan dan efisient. Sesuatu perlu dilakukan untuk mendapatkan calon yang berkebolehan dan berpendidikan tinggi menyertai profesion perguruan teknikal. Di Jerman profesion perguruan menerima imbuhan yang tinggi kerana untuk seseorang itu diterima sebagai pendidik mereka terpaksa menjalankan latihan yang panjang dan rapi. Mengekalkan tenaga ini adalah juga satu yang perlu mendapat perhatian segera.

Pembiayaan Pendidikan Vokasional

Perubahan dalam dunia pekerjaan akan membabitkan perubahan dalam struktur kurikulum di sekolah-sekolah. Perubahan akan melibatkan kos, masa dan latihan tambahan. Dalam tempoh negara kita menuju ke arah Wawasan 2020, tidak mungkin sistem pendidikan kita dapat menanggung kos beban perubahan tanpa bantuan dari pihak lain. Contohnya baru-baru ini, Malaysia telah meminjam US $300 juta atau RM 1.17 billion dari Bank Dunia yang telah ditandatangani oleh Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Dali Hashim. Pinjaman ini adalah untuk tujuan membasmi kemiskinan, Kesihatan dan peruntukan pelajaran.

Sistem pendidikan vokasional perlu mendapat sumbangan dalam bentuk kewangan atau peralatan. Pihak swasta perlu digalakkan untuk memainkan peranan mereka dengan menjalankan latihan di tempat sendiri sama ada secara usahasama dengan institusi kerajaan ataupun melalui sumber dalaman. Sumbangan secara terus dalam bentuk peruntukan tetap, biasiswa dan juga pinjaman perlu digalakkan. Sistem pendidikan juga perlu berusaha supaya setiap industri mencarumkan ‘levi’ latihan ke dalam sesuatu tabung dan memastikan setiap industri diwajibkan melatih beberapa orang pelatih mengikut kemampuan dan saiz industri berkenaan. Dengan cara ini pembiayaan latihan dapat dikongsi bersama oleh kerajaan dan sektor swasta.

Kerajaan perlu memikirkan bagaimana untuk menarik minat sektor swasta supaya terlibat secara langsung di dalam mempertingkatkan latihan kemahiran. Ini adalah kerana pendidikan vokasional merupakan satu bidang yang memerlukan sumber kewangan yang besar untuk mengendalikannya. Bagi mengatasi masalah ini, kerajaan telah memperkenalkan insentif cukai dalam Belanjawan 1991 bagi syarikat-syarikat yang terlibat di dalam latihan sumber manusia.

Adalah diharapkan dengan adanya insentif seperti ini, penglibatan sektor swasta di dalam latihan dan pendidikan vokasional dapat dipertingkatkan. Sektor swasta melalui daya usahanya sendiri atau dengan kerjasama kerajaan akan digalakkan menubuhkan Pusat Latihan Khas bagi menghasilkan kemahiran yang berkaitan dengan teknologi baru dan canggih.

Selain daripada itu, sekolah-sekolah dan institusi-institusi juga digalakkan untuk menambah sumber kewangan dengan menawarkan kursus-kursus kepada pihak swasta, memberi khidmat perunding, membuat projek-projek khas dan memberi latihan kepada pekerja-pekerja swasta.

Mewujudkan Perhubungan Industri dan Institusi

Tidak dapat dinafikan bahawa cabaran untuk mewujudkan hubungan erat di antara kedua-dua pihak akan memakan masa. Hubungan di antara pihak swasta harus dijalinkan terlebih dahulu. Budaya koperat lebih menitik beratkan kepada keuntungan dan sedikit sangat untuk perkara kebajikan lebih-lebih lagi yang melibatkan kos tambahan mereka. Di Amerika, perubahan terakhir menunjukkan peningkatan hubungan di antara pihak swasta dengan institusi. Malah, adalah sesuatu yang janggal sekiranya institusi itu tidak ada hubungan dengan institusi tempatan. Beberapa cara untuk mewujudkan hubungan di antara industri dan pihak swasta menerusi :-

  1. Pembangunan dan pelaksanaan kurikulum
  2. Penilaian keluaran
  3. Pembangunan bahan pengajar
  4. Lembaga Penasihat
  5. Seminar anjuran bersama

Di samping itu juga, pihak swasta digalakkan mengguna kemudahan yang ada di politeknik dan sekolah menengah vokasional untuk menjalankan kursus-kursus teknikal bagi pekerja-pekerja mereka pada kadar yang berpatutan. Negara kita patut mencontohi negara-negara maju yang mana adanya kerjasama yang erat antara institusi pendidikan dan pihak swasta untuk mempertingkatkan pendidikan vokasional.

Pendidikan vokasional perlu mengambil kira candangan-candangan yang dikemukakan oleh kabinet. Misalnya, kurikulum sekolah-sekolah vokasional perlulah selalu dikaji untuk mengikut perkembangan semasa dan permintaan yang berbeza. Dengan terbentuk satu Jawatankuasa Penasihat Bersama antara Bahagian Teknik dan Vokasional (BPTV) dan sektor swasta. Jawatankuasa ini akan memberi input terhadap sebarang perubahan kurikulum dari masa ke semasa untuk mengurangkan perbezaan antara tenaga yang dikeluarkan dan tenaga yang diperlukan oleh industri.

Program latihan dan kandungan kursus akan diawasi secara berterusan dan diubahsuai bagi memenuhi permintaan pasaran buruh yang berubah mengikut masa ke semasa. Keutamaan akan terus diberi kepada program-program untuk menyediakan lebih banyak penempatan pelatih di firma, latihan perindustrian, latihan amali serta pembangunan keusahawan.

Latihan pembangunan gunatenaga diberi perhatian yang lebih menerusi pembukaan pusat latihan awam dan swasta. Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), menyusun pelbagai usaha memajukan industri. Berikutan langkah menyediakan landasan kukuh bagi membawa Malaysia melangkah ke alam perindustrian, FMM yang mewakili kepentingan pengeluar tempatan menyediakan kemudahan latihan-Pusat Pembangunan Kemahiran dan Keusahawanan (ESDC) pada tahun 1991. Kelahiran ESDC yang dinanti-nantikan itu bukan sahaja melengkapkan tetapi juga mempercepatkan lagi proses perindustrian negara.

Untuk mendapat pelajar yang baik dan berilmu pada masa kini, guru dan pendidik perlulah meningkatkan kemahiran mereka lebih terlebih dahulu. Salah satu caranya ialah pendedahan dan penglibatan sektor swasta. Pendekatan untuk mengajar pendidikan vokasional juga perlu diubahsuai.Penekanan kepada menganalisa sesuatu proses teknikal lebih bermakna dari cuma membina tanpa mengetahui asas-asas penting.

Agensi latihan awam tidak berupaya memenuhi keperluan industri dalam menyediakan tenaga kerja terlatih. Sehubungan dengan itu, usaha secara tidak langsung pihak kerajaan untuk meningkatkan tenaga kerja terlatih ialah dengan mengajak pihak industri turut mengambil bahagian dalam aktiviti latihan, terutama latihan sambil kerja dan latihan meningkatkan kemahiran.

Tabung Pembangunan Sumber Manusia 1992 (Human Resource Development Fund) merupakan satu bentuk insentif kepada pihak industri yang melibatkan diri dalam aktiviti latihan untuk tenaga kerjanya. Untuk menjadikan latihannya lebih efektif dan relevan, latihan yang dijalankan itu akan diberi pengiktirafan dan kelayakan oleh MLVK (Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan) berdasarkan piawaian kemahiran yang telah dibentuk bersama oleh pihak industri dan kerajaan.

Dengan menyediakan satu bentuk pengiktirafan dan kelayakan, pihak majikan dan industri akan berasa yakin terhadap seseorang pelatih yang mempunyai satu kelayakan vokasional kebangsaan yang disediakan oleh MLVK. Secara perlahan, pihak industri akan melanggan kepada kelayakan vokasional kebangsaan yang baru dan tidak akan lagi bergantung kepada kelayakan vokasional dari luar negara seperti City and Guilds of London Institute (CGLI).

Mewujudkan Piawaian Bagi Sesuatu kursus Kemahiran

Pada masa kini pelbagai institusi telah tumbuh dengan pesatnya dengan memperkenalkan pelbagai kursus semata-mata dari sudut keuntungan. Boleh dikatakan semua institusi mengeluarkan Sijil dan Diploma mengikut takrif mereka sendiri tanpa merujuk kepada sesuatu piawaian yang ditetapkan. Ia akan memberi kesan negatif kepada perkembangan ekonomi dalam jangka masa panjang. Adalah menjadi cabaran kepada sistem pendidikan kita untuk menyediakan piawaian yang menyeluruh di samping mengambil kira perbezaan di antara industri-industri dan lokasi mereka. Dengan cara inilah kemahiran dan pengetahuan asas dapat digunakan dengan berkesan oleh pihak industri.

Pihak swasta juga digalakkan untuk membina institusi yang memberi latihan kemahiran dan bukan semata-mata berbentuk am. Kawalan oleh pihak berkuasa amat diperlukan supaya hasilnya akan mempunyai kualiti sepadan dengan yuran yang dikenakan.

Pihak kerajan melalui Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) telah mula membangunkan prasarana untuk mengembangkan pentauliahan kemahiran. Satu jawatankuasa petugas yang dianggotai oleh agensi-agensi latihan kemahiran/vokasional termasuk Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Kementerian Pendidikan telah dibentuk pada 17 Mac 1992 untuk menjalankan kajian bagi perubahan fundamental dan seterusnya memajukan lagi sistem latihan vokasional yang sedia ada.

Di antara rumusan dan cadangan hasil kajian jawatankuasa petugas yang telah dibentangkan dan menerima mandat dalam Mesyuarat Anggota Majlis Latihan Vokasional 9 Disember 1992 ialah :-

Kelayakan kemahiran individu yang telah menjalani program latihan juga akan diiktiraf dan dikenali pada peringkat kebangsaan. Di bawah sistem ini juga reputasi, pentauliahan, pengiktirafan dan pendaftaran penyedia latihan (training providers) dapat dikawal agar semua pusat latihan berusaha supaya kursus latihannya ditauliah dan program latihannya diiktiraf serta institusi mereka berdaftar dengan MLVK untuk menjalankan kursus dan program latihan di mana-mana dalam Malaysia.

Pemupukan Budaya Pendidikan Untuk Seumur Hidup

Menurut George R. Knight, pendidikan bukan hanya terhad kepada pembelajaran di peringkat sekolah sahaja, malah ia lebih merupakan suatu proses pembelajaran sepanjang hayat. Pendidikan menjelang Abad ke-21 bukan sahaja untuk memberikan pelajaran asas kepada pelajar-pelajar sekolah sahaja, bahkan ia juga bertujuan untuk memberi peluang kepada setiap individu yang berminat untuk memperkayakan ilmu pengetahuan dan meningkatkan kemahiran diri sendiri mengikut perubahan semasa. Ini adalah selaras dengan Matlamat Pendidikan Negara yang bertujuan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang sempurna dan menghayati ilmu pengetahuan. Oleh yang demikian, program pendidikan lanjutan perlu diwujudkan bagi membolehkan latihan tambahan diberi kepada mana-mana individu yang ingin meningkatkan pengetahuan dan kemahirannya. Kemahiran tambahan sedemikian adalah perlu untuk seseorang itu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi semasa agar ilmu yang dimiliki oleh seseorang itu tidak akan statik dan ketinggalan zaman.

Masyarakat Malaysia secara umumnya perlu diberikan kesedaran terhadap kepentingan program pendidikan lanjutan. Kejayaan program pendidikan lanjutan di luar negeri sepatutnya dijadikan ikhtibar bagi mewujudkan program pendidikan lanjutan tempatan. Sebagai contoh di Hong Kong, mengikut perangkaan yang diperolehi pada tahun 1984, jumlah peserta yang mendaftar untuk kursus peningkatan kemahiran adalah jauh lebih besar dari yang mengikuti kursus juruteknik. Seramai 2,400 peserta sahaja merupakan pelajar sepenuh masa, manakala yang selebihnya adalah pelajar secara separuh masa dalam kursus-kursus program pendidikan lanjutan.

Salah satu halangan kepada perkembangan program pendidikan lanjutan adalah disebabkan oleh jadual kursus yang rigid dan ketidaksesuaian lokasi pusat latihan. Program pendidikan luar kampus, S.P.A.C.E . (School Of Professional And Continuing Education) yang sedia ada, sungguhpun mempunyai jadual waktu yang agak fleksibel, namun ia masih tidak dapat memenuhi permintaan orang ramai disebabkan pilihan lokasinya yang terhad. Individu-individu yang berminat mungkin terpaksa melupakan hasrat mereka memandangkan mereka berasa sukar untuk meluangkan masa untuk menghadiri latihan kerana urusan kerja yang sibuk dan terikat dengan keluarga masing-masing. Oleh itu, bagi menggalakkan penyertaan golongan bekerja dalam program pendidikan lanjutan, latihan yang ditawarkan seharusnya mudah diikuti dari segi kesesuaian tempat dan masa. Disamping itu, latihan tersebut juga perlu menjurus kepada bidang yang berkaitan dengan kehendak individu dan juga pihak industri.

Namun begitu, cabaran kepada pendidikan kita kini ialah untuk menyediakan prasarana yang sesuai untuk perlaksanaan aspirasi program pendidikan lanjutan tersebut. Salah satu cara untuk mencapai matlamat ini adalah dengan mengembangkan penggunaan Pendidikan Jarak Jauh (distance education). Pendidikan Jarak Jauh merujuk kepada kaedah pembelajaran yang melibatkan perpisahan antara pelajar dan pendidik dalam suatu program penyampaian bahan mengajar yang teratur dan menggunakan media berteknologi tinggi seperti 'teleconferencing'. Pendidikan Jarak Jauh adalah lebih merupakan sejenis pendidikan bukan formal (informal education) yang ditujukan khas untuk golongan pekerja atau profesional yang ingin meningkatkan ilmu pengetahuan seiring dengan perkembangan sains dan teknologi. Ia adalah sejajar dengan saranan Yang Berhormat Dato Najib Tun Razak baru-baru ini bahawa perlunya pendekatan 'Individuals-Oriented' dalam sistem pendidikan negara, yang mana aspek pembelajaran individualistik ditekankan. Pengalaman negara Indonesia, Thailand dan India menunjukkan penyebaran ilmu yang berkualiti dapat dilaksanakan dengan kaedah Pendidikan Jarak Jauh. Malaysia mempunyai asas yang membolehkan pendidikan menerusi sistem ini dijalankan. Apa yang kurang cuma bahan-bahan bantuan (software) dan kesungguhan melaksanakannya. Mengikut Profesor Ungku Aziz, terdapat tiga peringkat yang boleh menjayakan program Pendidikan Jarak Jauh:

  1. Kursus-kursus di peringkat maktab, institusi dan universiti untuk pelajar-pelajar.
  2. Kursus berbentuk pendidikan lanjutan kepada mereka yang sudah bekerja yang berminat untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran diri, contohnya bbagi kursus pengurusan dan perakaunan.
  3. Orang-orang dewasa yang berminat untuk belajar semata-mata kerana dahagakan ilmu. Antara contoh kursus yang dimaksudkan ialah penulisan kreatif, bahan, teknik pertanian dan lain-lain lagi.

 

Menaikkan Taraf Lulusan Dalam Bidang Vokasional

Pendidikan juga mempunyai peranan untuk memberi penerangan bahawa tidak ada bezanya di antara sistem pendidikan vokasional dan akademik. Sungguhpun president Pertubuhan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Abu Bakar Shauket Ali pernah menyeru kepada pihak kerajaan untuk memberikan peluang kepada pelajar-pelajar yang gagal dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi memperolehi latihan vokasional. Tetapi ini tidak bermakna bahawa sekolah-sekolah vokasional yang sedia ada telah diturunkan tarafnya. Sikap memandang rendah terhadap pelajar-pelajar sekolah vokasional sebagai gagal ke sekolah akademik masih menebal di kalangan kita. Setengah ibu bapa berasa malu pada jiran-jiran apabila anak mereka bersekolah aliran vokasional. Mesipun sering kali ditegaskan bahawa masa depan bagi lepasan sekolah vokasional yang bercorakkan kemahiran adalah cerah, namun pada hakikatnya tanggapan orang ramai terhadap pendidikan vokasional sukar dikikis. Akibatnya, hanya sejumlah 7% pelajar-pelajar PMR kita yang berminat untuk memasuki sekolah vokasional dan teknik berbanding dengan di negara perindustrian seperti Jerman di mana 70% daripada lepasan sekolah ditempatkan untuk latihan vokasional. (Lampiran A)

Di sini, masyarakat khususnya golongan remaja haruslah mengubah sikap dan pandangan mereka terhadap pendidikan vokasional. Dengan wujudnya peluang-peluang pekerjaan yang semakin meluas, gaji yang lumayan dan kenaikan pangkat yang lebih cepat dalam sektor pekerjaan vokasional, pandangan masyarakat harus berubah dan memandang tinggi terhadap pekerjaan kolar biru. Selagi jurang ini masih wujud maka sukarlah untuk menggalakkan lebih ramai pelajar mengikuti bidang vokasional.

Namun begitu, berbagai-bagai usaha telah dijalankan bagi mengalihkan pandangan masyarakat agar beranggapan positif terhadap pendidikan teknik dan vokasional. Contohnya, dalam Falsafah Pendidikan Negara dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM), telah ditekankan terhadap nilai-nilai yang tinggi seperti berkeupayaan untuk bekerja keras, semangat untuk memajukan diri, etika kerja yang baik, disiplin dan semangat untuk bersaing. Dalam kurikulum baru ini , mata pelajaran baru iaitu Kemahiran Hidup Bersepadu telah diperkenalkan. Ini secara tidak langsung mendedahkan pelajar-pelajar aliran akademik kepada pendidikan teknik dan vokasional.

Selain daripada itu, sistem pendidikan perlu menyedarkan orang ramai bahawa peluang dan laluan memang disediakan bagi lulusan dalam bidang kemahiran. Peluang melanjutkan pelajaran untuk lepasan sekolah vokasional kini masih terhad (Lampiran B). Oleh yang demikian, peluang peningkatan ilmu untuk lulusan bidang vokasional perlu diperbanyakkan. Disamping itu, pekerja-pekerja dalam sektor industri juga boleh menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik dan perlu mendapat galakan. Dengan itu, institusi-institusi pengajian tinggi tempatan juga perlu bersikap terbuka untuk memberi peluang kepada golongan pekerja ini untuk melanjutkan pelajaran mereka. Pengiktirafan sijil kemahiran seperti Sijil Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) yang setaraf dengan akademik juga perlu diterima segera sebagai usaha untuk menaikkan taraf lulusan dalam bidang vokasional.

Dari segi kualiti pendidikan vokasional pula, tenaga pengajar di institusi latihan vokasional dan teknikal perlu mempunyai pengetahuan yang terkini, berorientasikan industri dan mempunyai pengalaman bekerja dalam industri. Justeru itu, tenaga pengajar digalakkan untuk menjalani kerja-kerja perundingan di industri, menghadiri kursus-kursus latihan teknikal jangka pendek dan diadakan pertukaran kakitangan antara institusi pendidikan teknik dan vokasional. Penubuhan Institut Teknologi Tun Hussein Onn (ITTHO) pada tahun 1992 khususnya, merupakan kerjasama antara Kementerian Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia dan juga konsortium MUCIA dari luar negeri bagi melatih bakal tenaga pengajar berkualiti untuk politeknik.

Cadangan-cadangan:

Sebagai rumusan, beberapa langkah yang wajar perlu diberikan perhatian oleh semua pihak bagi menyahut cabaran-cabaran perubahan dalam sistem pendidikan vokasional negara kita:-

  1. Masyarakat perlu mengubah sikap yang selama ini memandang rendah terhadap pendidikan teknik dan vokasional.
  2. Industri perlu terlibat dalam perancangan kurikulum dan perkembangan pendidikan vokasional agar latihan yang diberikan kepada pelajar dapat dihubungkaitkan dengan dunia pekerjaan yang sebenar.
  3. Program vokasional mestilah disokong oleh polisi yang kukuh serta dibantu sepenuhnya oleh sistem pentadbiran dan politik yang ada.
  4. Pendidikan sekolah aliran akademik mulai peringkat yang terendah sehinggalah ke sekolah menengah perlu diterapkan komponen-komponen latihan vokasional.
  5. Pihak swasta perlu digalakkan untuk memberi sumbangan kerana beban dan kos untuk membiayai pendidikan vokasional adalah terlalu tinggi.
  6. Program vokasional yang khusus untuk sesuatu pekerjaan perlu diperkuatkan pada peringkat tertinggi seperti institusi pengajian tinggi, maktab-maktab dan persekolahan peringkat menengah atas.
  7. Perkembangan sistem vokasional pada masa depan seharusnya memberi peluang kepada sesiapa saja yang berminat tanpa mengira kedudukan sosio-ekonomi mereka.
  8. Kursus-kursus sambilan hujung minggu atau luar waktu kerja perlu diadakan untuk tujuan meningkatkan kemahiran pekerja-pekerja supaya sejajar dengan perkembagan teknologi.
  9. Pegawai-pegawai yang bertanggungjawab dalam pembangunan pendidikan vokasional perlu diberi pendedahan mengenai perkembangan teknologi untuk dihayati implikasi teknologi baru kepada sistem pendidikan.

Penutup

Sebagai kesimpulan, pendidikan vokasional haruslah berhadapan dengan beberapa cabaran untuk menyahut seruan kerajaan menjelang tahun 2020. Sikap masyarakat sendiri perlu diubah agar rakyat memberi pandangan yang lebih positif terhadap pendidikan teknik dan vokasional. Walaupun perubahan dari segi sikap dan nilai sesebuah masyarakat itu akan memakan masa yang lama, namun usaha-usaha perlulah dijalankan mulai dari sekarang. Generasi muda perlulah ditanam dengan sikap dan norma kehidupan yang baik agar mereka mampu menjadi pekerja-pekerja yang berkemahiran tinggi.

Cabaran kepada pendidikan vokasional kita adalah besar sekiranya kita ingin mencapai taraf negara maju dalam tahun 2020. Tidak dinafikan bahawa asas sudah ada dalam pendidikan vokasional kita yang akan membolehkan kita merancang untuk menuju ke arah cita-cita tersebut. Namun begitu, dengan persaingan yang akan kita hadapi pada tahun-tahun akan datang khususnya dalam kegawatan ekonomi yang melanda negara kini, tenaga manusia yang bakal dilahirkan oleh pendidikan vokasional kita haruslah mempunyai daya saingan dan peka kepada perubahan yang berlaku sekelilingnya. Mereka mestilah mempunyai kemahiran yang secukupnya dan menjadi pekerja yang terpelajar. Penduduk yang terpelajar akan mengukuhkan ekonomi dan dari kekuatan ekonomilah terbinanya negara yang kuat dan dihormati di peringkat antarabangsa.

 

 

 

Rujukan:

  1. Haji Yahya Bin Emat (keluaran 78 jun 1993 jilid 37). Jurnal Pendidikan.
  2. Yulpisman Asli. Utusan Malaysia (Khamis, 15 Januari 1998). Krisis Ekonomi Graduan Menganggur Berulang Kembali.

3. Sistem Pendidikan Awal Kemerdekaan (1957-1969). Pemikiran dan Tujuan Sistem Pendidikan di Awal Kemerdekaan. pp. 133-135.

4. Laporan Rahman Talib. Sistem Pendidikan Awal Kemerdekaan (1957-1969).pp. 135-141.

5. Artikel Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional. pp.1-6.

  1. Falsafah Pendidikan Negara. Kurukulum abad ke 21(sembilan cabran ke arah wawasan 2020).

7. Noraini Abdul Razak. Utusan Malaysia (Jumaat, 27hb Februari 1998). Pendidikan fleksibel -- Sistem Berorientasikan Peperiksaan Akan Diubah – Najib.

8. Richard L. Lynch.Vokasional Education Journal, 1991.

9. Majalah Didacticum (No. 9). Magazine for Automation Training.

10. George R. Knight, Issues And Alternatives In Educational Philosophy (Michigan: Andrews University Press, 1982). pp. 9.

11. Imran Bin Idris. Jurnal Pendidikan Kementerian Pendidikan. Perubahan Dunia Vokasional - Satu Cabaran Kepada Sistem Pendidikan. (Kuala Lumpur: Percetakan kerajaan), pp.10.

12. Heirich, Robert. "Instructional Media and Technology For Learning" (New Jersey: Prentice-Hall, 1996), pp.20.

 

13. YB. Dato' Sri Mohd. Najib Tun Haji Abdul Razak. Reforms In Education (1998). The Next Stage. Kuala Lumpur.

14. Royal Prof. Ungku Aziz, The Star (20 Januari 1992). Human Resource Development - The Key Towards A Developed and Industrialised Society.

15. Uma Rudd, The Star (Khamis, 16 Januari 1997). Send PMR Failures For Vocational Training, says NUTP.

16. The Federal Minister For Education and Science (1992). Vocational Training In The Dual System In The Republic Of Germany, FMFES, Munich.

17 Haji Yahya Bin Emat. Jurnal Pendidikan Kementerian Pendidikan (Jilid 37, Keluaran 78. Jun 1993). Cabaran Dan Strategi Pendidikan Teknik Dan Vokasional Ke Arah Mencapai Wawasan 2020, Malaysia.

  1. Prospektus Institut Teknologi Tun Hussein Onn 1997.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

(lampiran A)

Falsafah Pendidikan Negara

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha

berterusan ke arah memperkembangkan lagi

potensi individu secara menyeluruh dan

bersepadu untuk mewujudkan insan yang

harmonis dan seimbang dari segi intelek,

rohani, emosi dan jasmani berdasarkan

kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat

Malaysia yang berilmu pengetahuan,

berketrampilan, berakhlak mulia,

bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai

kesejahteraan diri serta memberi sumbangan

terhadap keharmonian dan kemakmuran

masyarakat dan negara.

 

(Lampiran B)

 

 

Sembilan cabaran yang telah dikenal pasti iaitu:

(i) Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai

matlamat yang serupa dan dikongsi bersama. Ia mesti

menjadi negara yang aman, berintegrasi di peringkat

wilayah dan kaum, hidup dalam harmoni, berkerjasama

sepenuhnya, secara adil dan didokong oleh satu bangsa

Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi

kepada negara;

(ii) Mewujudkan masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan

maju dengan keyakinan terhadap diri sendiri, bangga

dengan apa yang dicapai serta gagah menghadapi

pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat

dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, sedar

semua kemampuannya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan

dihormati oleh rakyat negara lain;

(iii) Mewujud dan membangunkan masyarakat demokratik yang

matang, mengamalkan satu bentuk persefahaman yang

matang, demokrasi Malaysia berasaskan masyarakat yang

boleh menjadi contoh kepada banyak negara membangun;

(iv) Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan

beretika, yang mana warganegaranya kukuh dalam nilai

agama, dan kejiwaan dan didorong oleh tahap etika

paling tinggi;

(v) Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur,

rakyat pelbagai kaum bebas mengamalkan adat,kebudayaan

dan kepercayaan agama masing-masing dan pada masa yang

sama, meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara;

(vi) Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif,

mempunyai daya perubahan tinggi dan memandang ke

depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi

tetapi juga menyumbang kepada tamadun saintifik dan

teknologi masa depan;

(vii) Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi,

iaitu sistem sosial yang mana kepentingan masyarakat

lebih utama daripada diri sendiri dan kebajikan insan

tidak berkisar kepada negara atau individu tetapi di

sekeliling sistem kekeluargaan yang kukuh;

(viii)Memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi.

Iaitu masyarakat yang melaksanakan pengagihan

kekayaan negara secara adil dan saksama di mana wujud

perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam

perkembangan ekonomi. Masyarakat sedemikian tidak

akan wujud jika masih ada pengenalan kaum berdasarkan

fungsi ekonomi, dan kesemua kemunduran ekonomi

berdasarkan kaum.

(ix) Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi

bersaing, dinamik, giat dan kental.