Make your own free website on Tripod.com

KERTAS KERJA SEMINAR PEMBANGUNAN & ISU-ISU GLOBAL (MTP 3012)

peranan wanita dalam pembangunan. Sejauhmana mereka diperlukan dalam pembangunan sesebuah negara hari ini.

1.0 Pendahuluan

Pembangunan berasal dari perkataan ‘bangun’ iaitu bererti bangkit atau berubah kedudukan ataupun berlakunya transformasi. Proses transformasi ini melibatkan individu ataupun masyarakat secara progresif. Perkataan transformasi ini juga merujuk kepada manusia dan perubahan yang dialaminya secara berperingkat-peringkat ke arah kemajuan.

Menurut sarjana sains sosial dan kemasyarakatan, pembangunan adalah sebahagian daripada proses perubahan sosial yang menyeluruh. Istilah ini pula dibahagikan oleh mereka kepada dua bentuk- pembangunan yang dirancangkan dan pembangunan tidak dirancangkan. Ternyata hampir keseluruhan tumpuan selama ini adalah terhadap pembangunan yang dirancangkan kerana usaha ini membabitkan ‘tindakan sedar’ manusia dan banyak pihak.

Daripada sudut lain, pembangunan juga dikatakan mencakupi keseluruhan kehidupan manusia. Dari segi lahiriah dan batiniah, luaran dan dalaman, kebendaan dan kejiwaaan, fizikal dan mental, utilitarian dan humanis, praktis dan teori, yang alamiah dan dirancangkan. Pembangunan yang berjaya serta seimbang hanya berlaku jika ia dilaksanakan secara bersepadu antara pembangunan jiwa, mental dan pembangunan fizikal.

Dalam memastikan pembangunan berjalan dengan lancar, maka peranan wanita tidak boleh diketepikan. Sumbangan wanita dari pelbagai aspek kehidupan seperti ekonomi, sosial dan politik dikebanyakan negara-negara di dunia begitu dominan sekali. Nama-nama seperti Magaret Thatcher, Indra Ghandi, Benazir Bhutto, Corazon Aquino, Sirimavo Bandaranaike, dan lain-lain sudah menjadi sinonim kepada pemimpin-pemimpin dunia.

Senario kepimpinan wanita dalam sesebuah negara telah merebak ke dalam sistem pentadbiran di Malaysia. Kaum wanita telah diberi peluang dalam memegang beberapa portfolio dalam kabinet seperti Datin Paduka Rafidah Aziz, Datin Paduka Zaleha Ismail, Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman.

2.0 Peranan Wanita sebelum Hari Wanita Sedunia 1975

2.1 Peranan Wanita di Eropah

Sebelum abad yang ke 20, peranan wanita di Eropah adalah begitu terhad di mana peranannya lebih dominan di rumah. Wanita dianggap sebagai ‘tenaga buruh simpanan’. Bila tenaga lelaki tidak mencukupi, mereka dipanggil untuk mengisinya; ketika tenaga berlebih mereka disuruh pulang. Layanan seperti inilah yang mendorong mereka bertindak membela nasib. Perasaan wanita yang inginkan pembebasan dicetuskan oleh desakan sosial dan ekonomi. Di semua negeri di Eropah semakin ramai wanita yang masuk dalam kumpulan yang bekerja tetapi wanita yang berjaya meningkatkan ketaraf penting dalam kerajaan masih boleh dibilang dengan jari.

Sementara itu, wanita di Scandinavia hanya digunakan bagi tujuan eksploitasi seks. Didapati kadar pendapatan wanita adalah 4.8% daripada kaum lelaki, dan dari segi sosial pula wanita Sweden berjuang untuk mendapatkan kedudukan yang sama taraf dengan lelaki dan keadaan ini memungkinkan mereka untuk tidak berkahwin. Di Denmark wanita-wanita adalah dilarang daripada mengambil bahagian dalam pertandingan-pertandingan ratu cantik yang dianggap sebagai satu cara ‘eksploitasi seks’ terhadap wanita. Walau bagaimana aktif pun pergerakan kaum wanita, mereka masih tidak menerima gaji yang sama dengan kaum lelaki walaupun skop kerja yang dilakukan tiada bezanya.

Di negara Britain sendiri didapati wanita masih diberi kerja yang lebih teruk daripada kaum lelaki. Kadar pendapatan mereka hanya 55% daripada pendapatan kaum lelaki. Dalam masa setengah abad yang lalu jumlah wanita dalam bidang profesional meningkat dari 6% kepada 8% sahaja. Daripada seramai 3,281 profesor di universiti-universiti, hanya 44 sahaja wanita. Britain sekurang-kurangnya telah memecah tradisinya apabila Puan Magret Thatcher terpilih menjadi pemimpin dari Parti Konservatif.

Sementara di Amerika pula, didapati wanita Amerika lebih berjaya dalam bidang politik. Pada tahun 1974 telah dianggap sebagai ‘Tahun Wanita’. Seramai 88 orang wanita dari kedua-dua parti iaitu Parti Demokratik dan Republik, menjadi calon untuk merebut jawatan-jawatan dalam Dewan Bandaraya dan Dewan Undangan Negeri hingga keperingkat tinggi dalam kerajaan. Tetapi mereka yang berjaya kerana kebolehan mereka sendiri biasanya tidak dialu-alukan oleh kaum lelaki yang Cauvinistis.

2.2 Peranan Wanita di Asia

Di Asia pada keseluruhannya, kemajuan wanita dalam perjuangan menuntut hak yang sama tidak begitu berkesan. Tetapi kesedaran wanita Asia kian bertambah.

Di Filipina misalnya, wanita sudah jauh lebih maju daripada negeri-negeri membangun yang lainnya. Sejak 1936 mereka sudah mendapat hak mengundi. Dalam bidang pendidikan, lebih ramai kaum wanita daripada kaum lelaki. Undang-undang kewarganegaraan juga telah menaikkan taraf mereka di mana wanita Filipina sekarang boleh berkahwin dengan rakyat asing tanpa gugur kewarganegaraanya. Tetapi diskriminasi dalam pekerjaan masih kuat di mana masih terdapat syarat yang berbunyi ‘lelaki sahaja’ walaupun dari segi kelayakan ramai wanita yang boleh memohon.

Di Hong Kong pula, wanitanya telah berjaya menghapuskan ‘sistem gundik’ setelah lebih satu dekad mereka berjuang, apabila terbit ‘Rang Undang-undang Pembaruan Perkahwinan’ dalam tahun 1971 yang tidak membenarkan lelaki mengambil lebih daripada seorang isteri. Ramai di antara mereka yang selama ini terpendam di rumah, yang memainkan peranan isteri dan ibu yang pasif, sudah berani keluar mencari pekerjaan dalam meningkatkan ekonomi keluarga dan negara.

Di Jepun, hasil dari pergolakkan politik pada akhir tahun 1960 an, pelajar-pelajar wanita telah sedar bahawa dalam pergerakkan politik negara mereka, masalah wanita tidak diambil berat langsung. Mereka menubuhkan badan wanita yang menentang diskriminasi terhadap wanita dalam pekerjaan. Gaji bagi mereka hanya 48% daripada gaji lelaki bagi kerja yang sama. Dari 10,000 peguam, hanya 200 wanita; dari 120,000 doktor hanya 4,000 wanita; dari 23,000 profesor kolej lelaki hanya 600 wanita.

Pada keseluruhannya, perjuangan wanita untuk membela nasib kaum sejenis dan memainkan peranan mereka dalam pembangunan negara masing-masing menampakkan kesan yang nyata, meskipun masih belum begitu cemerlang. Keadilan yang dicari oleh kaum wanita adalah, pertama, kaum wanita masih dipandang lebih rendah daripada kaum lelaki; kedua, kaum wanita tidak mendapat hak-hak yang sepatutnya menjadi hak mereka dalam segala bidang kehidupan; dan ketiga, kaum wanita tidak mendapat upah yang sama bagi pekerjaan yang sama dengan kaum lelaki. Ini adalah antara yang membantutkan perkembangan pembangunan ekonomi sesebuah negara itu.

2.3 Peranan dan Fungsi kaum Wanita di Malaysia

Dalam masyarakat traditional, peranan kaum wanita adalah terhad kepada peranan pembantu (supporting role) kepada kaum lelaki. Ini dapat dilihat daripada jenis-jenis tugas yang mereka lakukan, umpamanya peranan mereka dalam pekerjaan sawah adalah untuk membantu suami mereka seperti menyemai, mengubah dan menuai. Dalam membangunkan keluarga masing-masing, wanita zaman traditional menjalankan tugas seperti mencucuk atap, membela ayam itik dan lain-lain sebagai membantu peranan lelaki yang lebih besar dan pokok dalam kehidupan keluarga dan masyarakat keseluruhannya.

Dalam bidang politik dan pemerintahan status kaum wanita telah bertambah baik dan jika dilihat dalam perkembangan status mereka sama tinggi dengan lelaki. Ini dapat dilihat apabila kaum wanita diberikan hak mengundi seawal-awal usia penubuhan negara kita ini.

Dalam bidang ekonomi, adalah bidang yang sudah diterokai oleh kaum wanita dan di mana kaum lelaki agak bersikap liberal dalam membuka pintu kepada kemasukan dan penyertaan wanita. Pada masa dahulu peranan dan fungsi kaum wanita dalam bidang ini amat terbatas. Jumlah wanita yang bekerja dalam perkhidmatan kerajaan maupun swasta semakin bertambah dan begitu juga pembahagian pendapatan. Walaupun jumlah pekerja-pekerja wanita ramai, hampir keseluruhannya termasuk pada peringkat pekerja-pekerja kurang mahir mendapat jumlah gaji yang kecil sahaja.

Perubahan pada peranan ekonomi mempunyai kesan yang amat besar dan meluas terhadap kaum wanita yang terlibat dari segi peranan dan fungsi sosial. Nilai sosial lama masih lagi menganggap wanita sebagai makhluk yang dicipta untuk kesenangan kaum lelaki di mana timbulnya institusi-institusi ekonomi moden yang khusus memperdagangkan wanita seperti pelacuran, teman sosial, kelab-kelab khusus dan lain-lain. Peranan wanita sebagai isteri adalah untuk mentadbir hal-ehwal rumah dan keluarga dan lebih utama lagi mereka berjaya menentang diskriminasi yang dikenakan kepada kaum wanita dalam soal gaji dan pembayaran cukai.

3.0 Peranan Wanita dari sudut Politik.

Menerusi cetusan ideal Wawasan 2020, ternyata hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju begitu tinggi sekali. Berbagai perubahan telah, sedang dan akan dilakukan untuk mencapai matlamat tersebut. Ini termasuklah di dalam bidang politik negara supaya sistem perundangan dan pentadbiran negara dapat berjalan dengan lancar tanpa wujud sebarang pertelingkahan serta bangkangan yang boleh membantutkan pembangunan negara. Oleh yang demikian penglibatan semua pihak adalah amat diambil berat untuk menguruskan pembangunan negara. Dan ini tidak terkecuali penglibatan kaum wanita di dalam pembangunan negara.

Apabila membicarakan politik ,Imam Al-Ghazali mendefinasikan politik sebagai suatu kehidupan manusia. Setiap manusia yang berkecimpung dalam bidang politik memerlukan diri mereka terlibat dengan masyarakat. Justeru itu, politik amat berkait rapat di antara individu dengan masyarakat. Oleh yang demikian apabila wanita melibatkan diri di dalam politik menyebabkan penyertaan mereka di dalam bidang-bidang di luar rumah tangga untuk bersama dengan masyarakat untuk turut sama menyumbangkan kepada pembangunan negara.

Di Malaysia khususnya apabila kaum wanita terutama kaum muslimah melibatkan diri di dalam bidang politik untuk sama-sama membangunkan negara maka akan terdengar pelbagai pandangan akan penglibatan mereka. Maka timbulah pelbagai persoalan dari penglibatan mereka dalam politik seperti sejauhmanakah Islam membenarkan kaum muslimah bergerak cergas dalam arena politik ? Bolehkah seseorang muslimah bertanding untuk menjadi wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri atau Parlimen ? Adakah Islam merestui wanita dilantik menjadi Perdana Menteri sebagaimana yang berlaku di setengah-setengah negara hari ini seperti Pakistan ?.

Oleh yang demikian maka timbulah aliran–aliran pemikiran berhubung dengan penyertaan wanita dalam lapangan politik. Aliran pertama berpendapat bahawa wanita diharamkan menceburi politik dengan memberi alasan berikut:

Pada zaman nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat, tidak ada seorang pun dari kalangan wanita yang diajak untuk membincangkan masalah-masalah yang berhubung dengan urusan negara atau hukum syarak bersama dengan kaum lelaki.

Oleh yang demikian jika diteliti akan peranan yang boleh diberikan oleh wanita dalam membangunkan negara khususnya dari segi politik antaranya ialah wanita itu boleh menjadi penasihat kepada suami mereka. Ini dapat kita lihat jika seseorang wanita itu bersuamikan orang politik maka ianya boleh melibatkan dirinya secara tidak langsung dengan memberi nasihat dari segi keputusan yang telah dibuat atau dilaksanakan oleh suaminya yang mungkin tidak bersesuaian dengan kaum wanita yang mungkin tidak sesuai dengan pembangunan.

Sebagai contoh mungkin di setengah-setengah negeri tidak membenarkan kaum wanita melibatkan diri mereka secara aktif dalam bidang perniagaan yang bertentangan dengan ajaran agama dan adat sopan. Sebagai isteri mereka boleh memberi pandangan bahawa peraturan yang dilaksanakan itu mungkin tidak bersesuaian dengan kehendak pembangunan masa kini yang mahukan kaum wanita sama-sama melibatkan diri dalam arus pembangunan negara. Ini adalah dikhuatiri wanita yang menceburi bidang politik tidak dapat mengawal batas-batas agama seperti pergaulan bebas dengan lelaki yang boleh membawa kepada kerosakan akhlak dalam masyarakat yang seterusnya akan membantutkan pembangunan negara.

Hadis Nabi Muhammad s.a.w ada menjelaskan bahawa

"Tidak akan beroleh kemenangan suatu kaum yang melantik wanita menjadi ketua bagi menguruskan hal ehwal mereka".

Manakala aliran yang kedua pula adalah berpendapat wanita boleh berpolitik untuk pembangunan dan kemajuan negara dan umat keseluruhanya. Menurut sebahagian ulama wanita boleh berpolitik termasuk menjadi wakil rakyat sama ada di Dewan Undangan Negeri atau Parlimen. Malah dalam sejarah sendiri telah tercatit bahawa khalifah Umar ibn Al khatab juga pernah mendapat nasihat dan teguran dalam melaksanakan undang-undang dan pentadbiran negara dari kaum muslimah pada masa zaman pemerintahan khalifah. Ini menunjukkan peranan wanita dalam pembangunan sesebuah negara adalah tidak boleh disisihkan dan diketepikan.

Demikian juga wanita boleh melibatkan diri untuk membangunkan negara secara aktif melalui pelbagai pertubuhan NGO seperti PERTIWI dan HAWA. Melalui pertubuhan-pertubuhan inilah mereka boleh menyalurkan pelbagai ideal dan cadangan dalam usaha untuk membangunkan negara sama ada dari segi pendidikan, keagamaan, sosial, budaya dan ekonomi. Melalui NGO juga mereka boleh membantu membangunkan negara dengan memastikan kesejahteraan dan keharmonian masyarakat terutamanya mengemaskinikan undang-undang dan akta-akta yang boleh mengawal kemakmuran.

Selain itu wanita juga boleh memainkan peranan membangunkan negara melalui ideal-ideal yang dikemukakan menerusi bidang penulisan. Ini adalah merupakan jalan yang terbaik bagi wanita kaum muslimah yang terkongkong oleh peraturan serta hukum yang tidak membenarkan mereka bergaul secara bebas dengan golongan bukan muhrim mereka serta perlu menjaga dan mengawal aurat mereka daripada dicerobohi. Oleh itu menerusi penulisan dengan mengemukakan pandangan dan pendapat diharapkan ianya akan dapat membantu dalam mentadbir negara. Menerusi penulisan juga mereka berpeluang mengemukakan pandangan serta komen ke atas pembangunan yang sedang dilaksanakan dan telah dilaksanakan samada bersesuaian dengan peredaran zaman dan kehendak negara.

Namun begitu jika dikaji dan diteliti akan penglibatan atau peranan yang kaum wanita khususnya kaum muslimah di negara ini untuk membangunkan negara adalah amat kecil dan terhad sekali sumbangan mereka malah tidak kedengaran langsung dari wanita di dalam dewan Undangan Negeri dan Parlimen. Ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor yang menyebabkan mereka tidak dapat menyumbangkan tenaga dan ideal untuk sama-sama membangunkan negara.

Di antara faktor-faktor yang berkaitan yang membataskan sumbangan kaum wanita dalam pembangunan negara ialah mereka terlalu terikat dengan tradisi dan budaya masyarakat timur yang menjadi identiti masyarakat di negara ini. Ini adalah kerana wanita timur terkenal dengan sifat sopan santun dan berbudi pekerti baik dan mulia serta lemah lembut. Jika kaum wanita itu melibatkan dirinya di dalam bidang politik untuk membangunkan negara maka sudah tentu sifat yang menjadi kebanggaan dan kemegahan masyarakat timur sudah tentu akan hakis dan tercemar apabila mereka keluar untuk berkempen dan mempromosikan negara untuk pembangunan maka sudah tentu ianya memerlukan mereka bertindak di luar batas sifat wanita timur.

Demikian juga dengan faktor Perkahwinan ianya merupakan salah satu daripada faktor yang membataskan dan menghalang kaum wanita dari memberi penuh perhatian dan tumpuan dalam usaha untuk membangunkan negara . Ini adalah kerana apabila seseorang wanita itu menjadi pemimpin maka sudah tentu ianya terpaksa membahagikan masanya di antara keluarga dan kerjayanya serta ianya juga perlu mendapat keizinan dari suaminya terlebih dahulu sebelum melangkah keluar rumah.

Adalah tidak bermakna pembangunan yang dikecapi jika keluarga dan kehidupan anak-anaknya kucar-kacir dan tidak terurus dengan baik dan kemas. Sesuai dengan kejadian wanita itu sendiri yang berlainan dari kaum lelaki maka sudah tentu mereka sukar untuk memberikan sumbangan dan peranan yang baik dalam membangunkan negara kerana wanita itu sendiri mengalami beberapa gangguan tabii mereka seperti peredaran haid, mengandung dan sifat emosi mereka yang sukar dijangkakan dan mereka bertindak mengikut perasaan dan nafsu tanpa dapat membuat pertimbangan yang baik dan sempurna. Dan sekiranya wanita menjadi pemimpin maka sudah tentulah ianya akan mendatangkan kesan yang kurang baik kepada pengurusan dan pembangunan negara.

4.0 Peranan Wanita Dalam Pendidikan

Wanita memainkan peranan yang penting di dalam pelbagai bidang khususnya dalam bidang pendidikan. Peranan wanita dalam bidang pendidikan boleh dilihat dari dua perspektif, iaitu perspektif barat dan perspektif Islam.

Dari perspektif barat, golongan cendiakawan dan ahli-ahli falsafah barat beranggapan bahawa wanita adalah insan yang lemah, kurang dan hina. Oleh yang demikian wanita tidak boleh disama tarafkan dengan kaum lelaki. Pengaruh ahli falsafah yang begitu kuat telah mendorong ahli fikir serta ketua-ketua masyarakat barat pada ketika itu tidak membenarkan anak-anak perempuan diberi pendidikan atau pengajaran di dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan.

Ramai ahli falsafah barat berpendapat bahawa wanita dijadikan hanya untuk berkhidmat kepada kaum lelaki. Oleh itu, usia wanita haruslah dihabiskan untuk membuat segala kerja yang diperlukan di dalam rumah, iaitu melayan dan memenuhi keperluan suami dan anak-anak.

Menurut Rosseau, beliau mengatakan bahawa "wanita itu tidaklah dijadikan untuk ilmu pengetahuan, untuk hikmat, untuk berfikir, untuk mempunyai keahlian, untuk menjadi sarjana dan tidak pula untuk berpolitik atau untuk tugas negara, tetapi ia dijadikan hanya untuk menyusukan anak-anaknya dengan air susunya dan…".

Oleh yang demikian, peranan wanita sebagai pendidik tidak begitu ketara kerana pelbagai kerjaya telah didominasi oleh kaum lelaki. Dipercayai bahawa kerjaya kaum wanita dalam bidang pendidikan telah bermula pada tahun 1600, tetapi ianya hanya cenderung untuk mendidik anak-anak.

Menjelang abad kedua puluh, ahli-ahli pemikir barat telah mengubah cara pemikiran mereka dan mula memberi kebebasan kepada kaum wanitanya seperti kebebasan yang dinikmati oleh kaum lelaki. Wanita telah diberi kebebasan seperti, bebas bersuara, mencari ilmu, bekerja mencari rezeki, memimpin dan sebagainya. Bermula pada abad inilah, profesyen wanita sebagai pendidik mula terserlah.

Perjuangan wanita telah mencapai klimaksnya pada tahun 1975, di mana pada tahun itu Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) telah mengiktiraf perjuangan kaum wanita dengan mengistiharkan tahun berkenaan sebagai "tahun wanita antarabangsa". Perjuangan wanita telah merebak ke Asia Tenggara khususnya dalam bidang pendidikan. Sebagai contoh, Raden Adjeng Kartini telah membuka sekolah wanita pertama di Indonesia.

Dari perspektif Islam, Islam telah menyebarkan dasarnya dengan jelas mengenai wanita di dalam segala aspek kehidupan terutamanya di dalam bidang pendidikan. Rasullullah s.a.w. bersabda, "mempelajari ilmu itu wajib bagi setiap orang Islam, lelaki dan perempuan". Dasar ini telah ditegaskan sejak kemunculan Islam pada abad ke enam Masihi, dan ianya masih terpakai dan terus menjadi tunjang kepada dasar pengajaran Islam hingga kehari ini.

Islam bukan sahaja meletakkan wanita di tempat yang paling wajar sebagai manusia dan sebagai teman hidup bagi seorang lelaki, tetapi Islam menghargai sifat kehalusan dan ketajaman perasaan wanita yang menjadikan mereka layak untuk memegang tugas sebagai seorang pendidik dibandingkan dengan kaum lelaki. Sebab itulah dari satu aspek, wanita lebih penting diberi pengajaran atau pendidikan yang secukupnya kerana kaum wanita merupakan pendidik atau guru yang paling layak untuk mendidik anak-anak dan anak bangsa mereka.

Sesuatu bangsa akan berjaya apabila wanitanya mendapat pendidikan yang lengkap dan tinggi harga diri dan akhlaknya kerana kehalusan sifat wanita serta ketajaman perasaan seseorang ibu boleh memindahkan segala kebaikan yang ada padanya untuk diwarisi oleh anak-anaknya. Menurut seorang ahli falsafah Islam, "bila pendidikan telah begitu lengkap bagi wanita, biarlah kaum lelaki tidak begitu dipentingkan pendidikannya, kerana wanita-wanita itulah kelak akan mendidik kaum lelaki".

Peranan wanita dalam bidang pendidikan di Malaysia, boleh dilihat dengan kemunculan maktab-maktab perguruan. Untuk merealisasikan peranan wanita sebagai seorang pendidik, maka sebuah maktab telah ditubuhkan untuk wanita pada tahun 1935 iaitu Maktab Perguruan Perempuan Durian Daun, Melaka.

Sejak kebelakangan ini, wanita telah mendominasi sistem pendidikan di Malaysia. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Bahagian Penerangan dan Penyelidikan, Kementerian Sumber Manusia, terdapat 68% wanita terlibat di dalam sektor pendidikan. Namun demikian, jumlah peratusan kaum wanita yang memegang jawatan penting di dalam sektor pendidikan adalah kecil. Menurut N.Siva Subramaniam, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Malaysia, terdapat 5% sahaja kaum wanita yang memegang jawatan penting di dalam bidang pendidikan seperti Pegawai Pendidikan, Pengetua, Guru Besar dan Guru Penolong Kanan.

Kebanjiran wanita di maktab-maktab perguruan memang tidak dapat dinafikan. Lebih 75% wanita merupakan pelatih-pelatih dikebanyakkan maktab perguruan. Sebagai contoh Enrolmen Guru Pelatih dan Peserta Kursus, Maktab Perguruan Batu Pahat sehingga April 1997 menunjukkan bahawa pelatih perempuan lebih ramai dengan jumlah 471 orang berbanding dengan pelatih lelaki hanya 182 orang (rujuk LAMPIRAN ‘A’ enrolment guru pelatih dan peserta kursus April 1997).

Jumlah guru wanita yang terlalu ramai kadangkala boleh menimbulkan beberapa masalah. Pertama, pelajar-pelajar lelaki tidak mendapat pendedahan yang secukupnya untuk melakukan aktiviti-aktiviti luar kelas yang mana kebanyakkannya guru wanita tidak tahan lasak, tidak berkebolehan untuk memimpin permainan-permainan tertentu seperti ragbi, bola sepak, sepak takraw dan lain-lain. Kedua, sesetengah guru wanita merungut bila dibebankan dengan matapelajaran di luar bidang dan kesanggupan mereka. Ketiga, apabila guru-guru bercuti panjang kerana bersalin kemungkinan pelajar-pelajarnya akan mengalami risiko ketinggalan kelas.

Wanita perlu mendapatkan pendidikan tinggi bagi menjamin keberkesanan peranannya sebagai salah satu daripada tunjang pembangunan negara terutamanya dalam bidang pendidikan. Menurut Dr. Nik Safiah Karim (1976), di dalam ceramahnya anjuran Pertiwi di Kolej Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, antara lain berkata "perbezaan antara wanita berilmu dengan wanita terpelajar amat jauh. Wanita terpelajar dapat bertindak dalam apa jua keadaan; kalau orang berbicara A wanita yang terpelajar boleh menyambung kepada B dan terus kepada Z. sebaliknya bagi wanita berilmu, pelajaran hanya menjadi tiket untuk mendapatkan pekerjaan, bukan sebagai kegunaan untuk hidup sempurna".

Kesimpulannya peranan wanita serta dominasi wanita dalam bidang pendidikan tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Ini berdasarkan kepada jumlah kaum wanita serta sumbangannya yang begitu besar di dalam bidang pendidikan.

5.0 Peranan Wanita dalam Ekonomi

Ekonomi merupakan sesuatu yang amat penting bagi sesebuah negara. Kekayaan, status dan jatuh bangunnya sesebuah negara adalah bergantung kepada kepesatan ekonomi yang dialaminya. Wanita telah memainkan peranan yang besar dalam aktiviti ekonomi dunia dan sesebuah negara melalui peranannya yang produktif dan reproduktif. Penglibatan wanita dalam ekonomi telah meningkat tidak hanya pada emansipasi (pembebasan dari prasangka dan kongkongan) malah mengambil berat akan keperluan ekonomi. Malangnya kebanyakan penglibatan wanita dalam ekonomi masih di bawah nilai sebenar, kerana pekerjaan wanita tidak mudah diukur dari pengumpulan data secara sistem tradisional.

Wanita merupakan lebih dari 1/3 penduduk yang terlibat aktif dalam kegiatan-kegiatan ekonomi di dunia. Daripada jumlah wanita yang layak bekerja(antara 15-64 tahun) 46 peratus terlibat sebagai tenaga buruh. 65 peratus wanita daripadanya adalah mereka yang tinggal dalam negara-negara yang sedang membangun. Fakta ini membuktikan bahawa sumbangan wanita terhadap ekonomi sesebuah negara adalah besar. Sumbangan dan peranan wanita dalam ekonomi negara terbahagi kepada dua iaitu pekerjaan formal dan kerja tidak formal.

5.1 Pekerjaan tidak formal

Dunia wanita adalah berbeza daripada dunia ibu-ibu dan nenek kita dahulu. Perbezaan ini terbit dari beberapa keadaan. Kalau dahulu kanak-kanak perempuan kurang mendapat pendidikan asas persekolahan. Tetapi sekarang mereka mendapat pendidikan berlipat kali ganda akibat dari pembangunan yang amat pesat. Semua ini membawa implikasi bahawa penglibatan wanita dalam ekonomi juga turut berubah. Dahulu sumbangan wanita lebih bersifat tidak formal sebagai pembantu di rumah, di ladang dan perusahaan-perusahaan kecil, dalam bentuk tidak rasmi serta tidak disenaraikan sebagai tenaga kerja negara. Adalah amat sukar untuk menganggarkan penglibatan dan pengukuran sebenar penglibatan wanita terutama di kawasan luar bandar dan pendalaman.

Penglibatan wanita dalam menyumbang ke arah ekonomi bukannya hanya melalui pekerjaan formal tetapi juga melalui pekerjaan tidak formal. Wanita terlibat dalam pengeluaran barangan dan perkhidmatan untuk pasaran dan kegunaan seharian, dalam pertanian, pengeluaran makanan. Wanita yang terlibat dalam pertanian adalah diantara yang teramai golongan yang dibawah nilai sebagai pekerja dan tidak direkodkan.

5.2 Pekerjaan Formal

Jenis-jenis pekerjaan yang dipegang oleh wanita berbeza dengan lelaki. Sebahagian besar wanita bekerja dalam jenis pekerjaan yang terhad jumlahnya, pada peringkat rendah dan menerima gaji yang kecil. Kaum wanita mengalami diskriminasi dari segi gaji, kenaikan pangkat, syarat-syarat pekerjaan dan cara pengambilan. ILO menganggarkan kadar penglibatan wanita dalam pekerjaan adalah purata sebanyak 44 peratus dalam negara sedang membangun.

Di Asia Tenggara, 80 peratus wanita bekerja dalam zon perdagangan yang melibatkan export, manakala di China hanya seramai 55 peratus. Di negara Arab pula adalah dianggarkan sekurang-kurangnya seorang dari empat wanita bekerja dalam bidang pemasaran. Walaupun negara Arab mempunyai kadar wanita bekerja yang rendah, tetapi penglibatan wanita didapati semakin meningkat. Di Afrika Utara tenaga buruh wanita meningkat dari lapan peratus dalam tahun 1970 kepada 21 peratus dalam tahun 1990. Tenaga kerja wanita di Latin Amerika pula adalah rendah daripada negara industri dan Asia. Dianggarkan lebih kurang lebih kurang 30 peratus pekerja wanita dalam lingkungan umur diantara 15 hingga 64 tahun. Sektor perkhidmatan adalah pekerjaan utama wanita di negara industri, Amerika Latin dan Caribbean di mana 60 peratus wanita bekerja dalam sektor ini adalah negara industri, hampir 75 peratus di Amerika Latin dan Caribbean berbanding cuma 30 peratus sahaja bagi negara Sub-Saharan Afrika dan negara Asia.

Lebih ramai wanita dari lelaki bekerja dalam industri pembuatan kecuali di Afrika Utara. Pertanian adalah sumber utama ekonomi wanita bagi negara sub-Afrika dan Asia. 75 peratus daripada pekerja wanita di sub-Saharan Afrika dan lebih dari separuh adalah bekerja dalam pertanian atau perladangan.

Wanita semakin ramai dari lelaki adalah satu hakikat yang patut diterima. Ini telah memaksa kaum wanita secara halus untuk bekerja dalam menampung tenaga buruh di sesebuah negara. Banyak jawatan pekerjaan diwujudkan yang memerlukan tenaga wanita terutama dalam tugas-tugas yang tidak sesuai dengan jiwa lelaki seperti tugas yang memerlukan penumpuan dan penelitian yang tinggi.

Kini terdapat wanita memegang jawatan tinggi dalam organisasi. Walaubagaimanapun, kebanyakan wanita memegang tugas pengurusan pertengahan. Di Malaysia sebagai contoh, hanya terdapat lima peratus jawatan pengurusan atasan yang diterajui oleh wanita. (Dewan Ekonomi,1994). Walaupun wanita menunjukkan kemajuan pesat dalam pelbagai bidang, namun masih terdapat sikap prejudis terhadap mereka sehingga wujud menara kaca (glass ceiling) dalam dunia korporat. Menara kaca merupakan rintangan yang dihadapi oleh wanita untuk terus maju dalam kerjaya mereka.

Wanita kini mempunyai bilangan yang menyamai kaum lelaki malah di setengah-setengah negara bilangan kaum Hawa ini lebih tinggi lagi berbanding dengan kaum Adam. Akibat dari pembangunan yang telah banyak memberi kesedaran kepada rakyat akan pentingnya pendidikan telah membuka ruang kepada kaum wanita ke sekolah dan menimba ilmu yang samarata dengan kaum lelaki. Kini wanita telahpun berada di alam pekerjaan berganding bahu bersama kaum lelaki dan melaksanakan tugas-tugas penting.

6.0 Peranan wanita dalam pembangunan melalui bidang sosial.

Pembaharuan yang dicapai oleh negara sekaligus menuntut perubahan dalam apa jua tindakan yang diambil. Perubahan minda dan gaya hidup masyarakat, turut menuntut kaum wanita agar membuat keputusan yang selaras dengan kehendak komuniti.

Selaras dengan ini, kaum wanita perlu bangkit dengan wajah baru bagi mendapatkan hak yang sewajarnya dalam masyarakat. Wanita bukan lagi sebagai pendukung dan penyokong kepada setiap keputusan yang diambil oleh kaum lelaki. Tetapi wanita perlu juga diberi tempat dalam membuat sesuatu keputusan dasar terutamanya dalam bidang sosial.

Perumpamaan yang menyatakan "tangan wanita yang membuai buaian boleh menggegarkan dunia" adalah landasan yang menggambarkan betapa besarnya peranan kaum wanita dalam pembangunan negara apabila kita memperkatakan tentang kaitan wanita dalam bidang sosial. Dengan senario yang melanda negara dengan isu-isu gejala sosial yang melibatkan anak-anak gadis seperti bohsia, lari dari rumah, gadis yang murtad, bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan atau GRO, penderaan, perkosaan memberikan kita juga gambaran bahawa pentingnya lagi peranan kaum wanita dalam membasmi gejala-gejala ini demi menjamin pembangunan yang seragam dari pelbagai segi.

Jelasnya apabila kita membicarakan soal tanggungjawab sosial dalam pembangunan negara ini, ianya harus diukur dari segi tahap kemampuan warganegara terutama kaum wanita. Memang tidak dapat dipersoalkan lagi bahawa peranan kaum wanita dalam pembangunan yang berperspektif sosial perlu di teliti. Ini kerana ianya akan menentukan ke manakah arah perkembangan anak-anak yang kebanyakkannya dididik oleh kaum wanita yang digelar ibu. Oleh itu peranan wanita dalam keluarga dan masyarakat jelaslah amat penting dalam membangunkan ummah serta negara.

6.1 Peranan wanita dalam keluarga.

Dalam membincangkan peranan wanita dalam keluarga, perubahan telah berlaku pada peranan wanita sebagai isteri di dalam rumahtangga moden hari ini. Secara traditional peranan isteri adalah untuk mentadbir hal-ehwal rumahtangga dan keluarga tetapi dengan timbulnya cara hidup baru berlakulah perubahan tertentu yang meluaskan lagi peranan para isteri.

Peranan wanita sebagai pengurus rumahtangga telah mengalami perubahan dengan adanya bantuan dari orang gaji, pengetahuan sains dan teknologi yang telah mencipta pelbagai perkakas rumahtangga untuk memudahkan kerja-kerja mereka. Tugas sebagai ibu dan jentera penambah zuriat juga telah mengalami perubahan dalam ertikata wanita tidak lagi menyerahkan nasib mereka bulat-bulat kepada takdir, oleh kerana dengan adanya pengetahuan sains perubatan yang dapat mencipta alat-alat pencegah kehamilan. Ini menjadikan wanita perlu bangkit seiring dengan kemajuan yang dicapai tanpa meninggalkan sikap keluhuran, kemurnian dan tatasusila seorang wanita.

Hari ini para isteri moden mempunyai tanggungjawab yang lebih besar terhadap kebajikan suami berbeza dengan masa dahulu. Mereka tidak lagi memegang peranan hanya sebagai tukang masak dan pengasuh kanak-kanak sahaja, malah mereka harus pada waktu yang sama menjadi penyambut tetamu yang baik, setiausaha yang cekap, pengarah yang tegas dan menteri yang berkalibar dan sebagainya. Menurut Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman dalam simposium yang bertemakan "Wanita Alaf Baru Abad ke 21", wanita hari ini telah mempunyai imej dan tanggugjawab sosial yang berbeza sesuai dengan kehendak dan perubahan zaman.

Imej-imej dan tanggungjawab sosial seperti ini akan membawa kepada perubahan di mana peranan kaum isteri ini dilihat adalah amat besar dalam terus memberi sumbangan dalam pembangunan negara. Dalam pada itu juga, seperti yang disuarakan oleh pemimpin peringkat nasional tentang krisis institusi keluarga di kebanyakkan negara dapat dikategorikan sebagai serius. Kesan dan implikasi terhadap krisis ini akan memberikan kerugian jangka panjang kepada negara terutamanya terhadap penghasilan golongan intelektual dan berkebolehan.

Keadaan krisis ini mampu menebalkan amalan bercirikan individualistik di kalangan masyarakatnya. Akibatnya sistem nilai yang berteraskan keagamaan dan sosiobudaya mula kehilangan mekanisme kawalannya. Kelonggaran pegangan pada sistem nilai tradisi yang tidak diimbangi dengan penerapan nilai positif baru yang berkesan boleh mendorong generasi muda kita terpengaruh dengan nilai yang bersifat negatif yang diperolehi melalui media massa dan persekitaran di luar keluarga dan sekolah. Ini akan mengakibatkan potensi salah laku murid-murid di sekolah, penglibatan remaja dengan amalan lepak dan gejala dadah kian berleluasa. Oleh yang demikian alternatif yang diperlukan untuk mengatasi masalah ini dengan menjadikan peranan kaum ibu sebagai penasihat dan pengasuh supaya dapat memulihkan keutuhan fungsi institusi keluarga.

Disinilah peranan yang dimainkan oleh kaum ibu yang bergelar wanita adalah penting agar pembangunan dan kemakmuran negara dapat di majukan dengan baik tanpa mengorbankan pembangunan institusi keluarga. Ini kerana sekiranya diperhatikan dalam institusi keluarga, kaum ibulah yang paling rapat dengan anak-anak dan sumbangan mereka dalam melahirkan generasi yang berpekerti mulia banyak terletak ditangan mereka. Seperti mana yang diulas oleh Dr. Muhammad Nur Munaty, Presiden Angkatan Belia Islam (ABIM), yang mengatakan tugas dan peranan ibu adalah penting dalam menghalang anasir dan unsur yang cuba untuk mempengaruhi pemikiran dan budaya anak-anak.

Sekiranya diteliti peranan itu wanita sebagai ibu di dalam sistem kekeluargaan bukanlah semata-mata untuk menjaga makan-minum, kesihatan dan keselesaan hidup anak-anak tetapi juga yang terpenting ialah untuk mendidik, mengasuh dan membimbing. Ini kerana kesan kepada didikan pada anak-anak itu akan memberikan manafaat kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara secara keseluruhannya. Sesunguhnya watak, keperibadian anak-anak terletak sebahagian besar di atas isi dan cara pendidikan yang diberikan oleh ibu bapa. Di dalam hal ini Rasullullah s.a.w dalam hadisnya mengatakan;

" Tiap-tiap anak Adam itu di lahirkan dalam keadaan fitrah sehingga kedua ibu

bapanyalah yang akan menjadikannya seorang Nasrani, Yahudi ataupun Majusi" (Al-Hadis).

Dalam menentukan pembentukan anak-anak adalah yang terbaik dalam keluarga, banyak kaum wanita sanggup mengenepikan kerjaya mereka bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga. Dengan ini tidak hairanlah fakta yang menunjukkan peningkatan bilangan ibu yang berhenti kerja untuk menjadi pengasuh sepenuhnya di dalam keluarga adalah bertambah dari masa ke semasa terutamanya bagi keluarga yang mempunyai anak lebih dari 2 orang.

 

6.2 Peranan wanita dalam masyarakat.

Dari segi amalan sosial ini, kaum wanita berperanan mempersiapkan diri dengan ilmu yang bukan hanya tertumpu kepada ilmu undang-undang dan politik tetapi juga ilmu syariah. Ilmu tersebut akan membawa kepada keimanan dan akhirnya melahirkan amalan-amalan yang baik bagi membentuk sebuah masyarakat madani. Justeru itu bagi alaf abad ke 21 ini merupakan pemangkin bagi penghijrahan bagi kaum wanita agar berjaya memikul tanggungjawab ini dalam membentuk sebuah masyarakat yang berketrampilan dan bukannya membentuk sebuah masyarakat yang ekstrim.

Dengan senario sosial yang makin menjadi-jadi kebelakangan ini, kaum wanita berperanan menangani dengan baik sesuatu perkara yang berbahaya agar masyarakat tidak terlibat dengan arus ekstrim dan akhirnya akan menimbulkan keadaan yang gawat. Kegawatan di sini membawa maksud dengan keadaan pembangunan dan modenisasi yang pantas tetapi menolak beberapa unsur lain yang terdapat dalam zaman traditional seperti lari daripada prinsip dalam memuliakan agama kerana terlalu bangga dengan kecanggihan yang di capai.

Pada situasi yang sama juga penglibatan kaum wanita dengan lebih luas dan mendalam pada hal-hal yang satu ketika dahulu dianggap tugas dan peranan perseorangan. Umpamanya peranan pengasuh kanak-kanak telah dikembangkan lagi dengan mengambil berat terhadap pelajaran dan pendidikan kanak-kanak atau anak-anak mereka. Kaum wanita bertanggungjawab secara langsung terhadap perkembangan-perkembangan terbaru dalam sistem pendidikan negara yang akan mempengaruhi anak mereka keseluruhannya.

Atas peranan yang besar dalam memberikan bimbingan ini, tidak mustahil mereka mampu membentuk satu generasi yang matang, berwibawa dan berkemampuan dalam membangunkan negara ke arah perkembangan yang padu dan berwawasan. Ini bertepatan dengan pandangan Senator Kamilla Ibrahim dalam menjawab persoalan Bicara Wanita 1 anjuran Biro Perpaduan dan Pembangunan Wanita Umno yang menyatakan bahawa perspektif yang berlandaskan sosial dalam pembangunan wanita adalah penting sebagai kuasa pembentukan ketamadunan manusia dan negara.

Selain daripada itu, kaum wanita juga berperanan sebagai orang yang bertanggungjawab dalam menjamin kebajikan masyarakat secara amnya. Kaum wanita hari ini telah berjaya meluaskan lagi rasa penglibatan mereka dalam soal-soal kebajikan kepada bidang yang lebih serius dan besar. Mereka telah berani memperjuangkan perubahan-perubahan pada peraturan-peraturan bekerja dan hak-hak pekerja wanita supaya mendapat layanan yang baik dan taraf yang sama dengan kaum lelaki.

Kejayaan dalam menentang diskriminasi yang dikenakan kepada kaum wanita dalam soal gaji dan pembayaran cukai membayangkan betapa besarnya nilai peranan golongan ini dalam membentuk kebajikan dan pembangunan keluarga serta negara. Perjuangan ini banyak dilakukan melalui saluran-saluran yang betul seperti melalui badan pertubuhan wanita bukan kerajaan di bawah naungan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita (NCWO). Melalui NCWO ini juga banyak perbincangan diadakan yang berkisar pada isu-isu semasa yang menjurus pada matlamat membangunkan negara.

Sementara itu dengan wujudnya Dasar Wanita Negara (DWN) di awal tahun 1990, ianya telah banyak menjadi landasan untuk membolehkan kaum wanita turut sama menyertai pelbagai bidang pembangunan negara. Menurut Datuk Rafidah Aziz, DWN menjadi wadah dalam memberi panduan dan hala tuju dalam segala usaha perancangan dan program-program pembangunan negara agar wanita tidak diabaikan. Melalui DWN kaum wanita dapat memperjuangkan agar matlamat kesamaan dam persamaan dengan kaum lelaki dapat dijadikan teras dasar pembangunan yang berorientasikan rakyat agar kaum wanita sama-sama dapat menyumbang pada pembangunan negara.

Melalui DWN ini juga kaum wanita telah memperjuangkan agar imej wanita di pandangan dunia diubah dan tidak diekspoitasi dengan sewenang-wenangnya. Wanita melalui DWN sudah mampu mengadakan program besar seperti seminar, simposium, persidangan dan sebagainya samada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa yang menunjukkan bahawa kaum wanita aktif bukan sahaja dalam pembangunan keluarga malahan masyarakat dan negara. Melalui program-program seperti yang disebutkan ini, kaum wanita berjaya mengumpulkan pelbagai bentuk pemikiran, merumuskannya dan menjadikannya sebagai suara tunggal yang mereka wakili dalam sesuatu isu terutamanya yang membabitkan pembangunan negara.

Sekiranya kita meneliti pula perubahan dari segi sosio-budaya, peranan kaum dalam pembangunan sebuah negara juga adalah besar. Contohnya di Malaysia, sejak tahun 1970’an, perangkaan menunjukkan penghijrahan wanita dari desa ke kota telah meningkat dengan pesat. Kesan perubahan sosio-budaya ini telah mewujudkan masyarakat bandaran dan masyarakat yang menuju ke arah zaman perindustrian matang yang akan meningkatkan pelbagai industri perkhidmatan, perindustrian dan sebagainya. Ini menujukkan pada kita bahawa dengan kesan penghijrahan kaum wanita ini, beberapa sektor yang memerlukan tenaga kerja wanita telah membangun dengan pesat dan ini akan menjurus pada pembangunan negara.

Selain daripada itu juga, tugas-tugas yang memerlukan penglibatan kaum wanita sepenuhnya seperti bidang kejururawatan, doktor sakit puan dan sebagainya menambahkan lagi keperluan dan peranan kaum wanita. Inilah tugas-tugas penting yang diperlukan oleh masyarakat dan dalam hubungan ini masyarakat mempunyai hak untuk mewajibkan kaum wanita memenuhi bidang pekerjaan ini sepertimana masyarakat berhak mengarahkan kaum lelaki memikul tugas-tugas berperang dan keselamatan negara.

Segala kesimpulannya peranan kaum wanita amatlah besar dalam sama-sama berganding bahu dengan kaum lelaki dalam pembangunan negara. Rasanya tidak lengkap sekiranya tugas pembangunan negara hanya disandarkan di bahu kaum Adam kerana maksud pembangunan itu sendiri adalah amat luas. Pembangunan sesebuah negara itu bukanlah hanya semata-mata merujuk pada pembangunan ekonomi tetapi meliputi pembangunan dari segi sosial, sahsiah dan perpaduan ummah. Untuk itu, pembangunan dari unsur-unsur yang melibatkan faktor-faktor sosial memerlukan tindakan dan perjuangan yang lebih berani dari kaum wanita. Sememangnya perbezaan fizikal wanita akan menyebabkan perbezaan tugas dan tanggungjawab dari pandangan umum.

Justeru itu untuk menampilkan imej wanita sebagai berketerampilan selain memiliki ilmu, wanita juga hendaklah memiliki sifat ketakwaan. Melalui ilmu, seorang wanita mampu mempertingkatkan kualiti diri sebagai wanita mithali yang dapat menyumbangkan kearah pembangunan negara. Sementara itu ketakwaan menjadikan wanita itu mantap, memiliki ketahanan diri yang kuat dengan erti kata keimanan menjadi benteng menahan arus cabaran yang mendatang. Keimanan menjadikan wanita kebal, umpamanya seekor ikan, jika dicampakkan ke laut masin, ia tetap tidak masin melainkan ia sudah mati dan digaramkan.

 

 

7.0 Kesimpulan

Wanita hari ini kian bergerak maju dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, kemahiran pekerjaan kepimpinan dan sebagainya. Keadaan wanita boleh dibanggakan berbanding lebih lima puluh tahun dahulu. Kita harus membetulkan tanggapan masyarakat hari ini yang meletakkan wanita sebagai pihak kedua dalam pembangunan. Ini adalah kerana tuntutan untuk memperkemaskan generasi dan ummah yang akan datang tidak lagi hanya dibebani pada bahu lelaki tetapi sebaliknya memerlukan sokongan dan dokongan wanita. Apabila kita mengatakan wanita itu amat penting dalam masyarakat dan negara ia boleh ditafsirkan sebagai melengkapi antara satu sama lain.

Memang kita akui wanita sendiri kadangkala tidak dapat melakukan sesuatu kerja sepertimana lelaki namun dalam sesetengah keadaan golongan lelaki juga tidak boleh melakukan sesuatu kerja yang boleh dilakukan oleh wanita. Justeru itu kita harus ingat bahawa tanggapan ini harus dibuat secara positif dan rational. Kita tidak harus meletak wanita sebagai golongan lemah kerana mereka juga berkemampuan dan berkredibiliti. Wanita sebagai isteri, ibu dan tidak kurang juga sebagai pemimpin.

Maka wanita harus mengubah paradigma untuk melihat bahawa mereka juga mampu bersama-sama setaraf dengan lelaki dalam semua keadaan. Dalam Islam ketokohan saidatina Khadijah sebagai tokoh korporat dan ahli perniagaan yang berjaya menjadi inspirasi wanita dan lelaki. Tidak kurang juga ketokohan Aisyah sebagai seorang ilmuan dan pakar rujuk kepada sahabat dan keluarga baginda rasul telah membuktikan bahawa Islam meletakkan wanita pada tempat yang tinggi

Peranan mendidik generasi serta kerjasama semua pihak samada dalam keluarga, tempat kerja, jiran tetangga dan masyarakat setempat perlu diperhebat untuk menjadikan wanita kepada penyumbang pembangunan negara.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Rujukan

Ainon Muhammad. (1875, Mac 15). Modenisasi dan Implikasinya Terhadap Peranan Serta Fungsi Kaum Wanita. Dewan Masyarakat, pp. 6-8.

Faridah Idris. (1994, September 1). Wanita dalam Arus Pembangunan: Menyusun Strategi "Pandang Ke Depan". Dewan Masyarakat, pp. 50-51.

Hamsiah Abdul Hamid. (1975, Mac 15). Satu Tinjauan: Perjuangan Wanita Dunia. Dewan Masyarakat, pp. 3-5.

Makmor Tumin. (1997, November 8). Wanita, NGO, dan Dasar Wanita Negara. MASSA, pp. 57-52.

Mohamad Haji Ikhsan. (1994, September 1). Dilema Wanita Bekerja. Dewan Masyarakat, pp. 32-33.

Mohamad Razak Idris. (1997, April 1). Keluarga Sakinah Mawaddah Warrahmah. Tamaddun, pp. 20.

Natacha David. (1998). International Women’s Day: Women in the Economic. El Publication.

Nik Safiah Karim (1990). Wanita Malaysia: Harapan dan Cabaran. Kuala Lumpur: K Publishing & distribution.

Nor Samsinar Baharin. (1997, Oktober 18). Wanita Bangkit Melalui NGO. MASSA, pp.54-55.

Nor Shamsinar Baharin. (1998, Mei 26). Bersikap Profesional Dalam Perjuangan.

MASSA, pp. 32-33.

Rosni Hassan. (1997, Jun 21). Suara Wanita Tenggelam di Parlimen. MASSA, pp. 49-50.

Sidang Editor. (1988, September 12). Imej Wanita. Tahap Lama, Harapan Baru. Dewan

Masyarakat, pp. 10-14.

Wanita dengan Cabaran Zaman Perindustrian Matang. (1990, Mac 16). Berita Harian,

pp. 12

Wanita Rakan Dalam Pembangunan Negara. (1990, Januari 5). Berita Harian., p. 8